Tuesday, July 22, 2008

SEMANIS SENYUMANMU -BAB 15

BAB LIMA BELAS

Sudah tiga hari Fizal balik ke rumah. Dua minggu di hospital cukup menyeksakannya. Kedua-dua kakinya patah. Dia terpaksa menggunakan kerusi roda, menjadikan kehidupannya agak sukar dan pergerakannya terbatas.

Selama dua minggu dia di hospital, hanya kawan-kawan lelakinya yang datang menjenguk. Gadis-gadis yang selama ini sering mengucapkan cinta, sayang dan rindu langsung tidak menampakkan bayang. Yang ada cuma si misteri, Syarina Wirdayu. Setiap hari akan mengirimkan kad hasil nukilannya melalui pos terus ke rumahnya.

Kala itu juga dia teringat kepada Rahayu, gadis yang pernah dikecewakannya hanya kerana kemalangan yang pernah merampas kecantikan pada wajah gadis itu. Fizal teringat bagaimana dia meninggalkan Rahayu tanpa sebarang alasan kukuh. Dia cuma malu kalau kawan-kawan lain mengetahui yang dia punya hubungan dengan gadis yang hodoh. Fizal insaf kini, tetapi masih malu untuk menceritakan perkara tersebut kepada Syarina Wirdayu, walaupun hanya gadis itu sahaja yang tidak pernah jemu menghubunginya.

Setiap hari gadis itu menelefonnya. Memberi kata-kata semangat. Sungguhpun tidak pernah bersua muka, tetapi mereka bagaikan sudah bertahun berkenalan dan segala yang terbuku dihatinya pasti diluahkan kepada si misteri Syarina.
“Fizal hairan, mana perginya semua awek-awek Fizal yang dulu kata cinta, sayang kat Fizal… semuanya tak datang jenguk. Masa sakit ni, Fizal perlukan mereka untuk berbual…” adunya pada suatu malam.

Syarina Wirdayu terdiam seketika. Hanya pada gadis itu sahaja tempatnya mengadu setiap hari.
“Mereka sibuklah tu. Nanti bila free, mereka datang. Fizal jangan risau sangat. Mereka ingat kat Fizal…percayalah!” jawapan Syarina tetap sama, bagai mahu menyejukkan hati Fizal yang sudah terlalu kecewa mengenang diri sendiri.
“Takkan semuanya sibuk. Dulu, bila telefon berdering je mesti untuk Fizal. Tapi sekarang, Fizal kena tunggu pukul 10:00 malam baru ada panggilan untuk Fizal. Kadang-kadang, Fizal rasa tak guna Fizal hidup macam ni…semua orang tak mahu berkawan,” ujarnya lirih.

Kalau boleh, dia nak Syarina ada di sisi untuk temankannya berbual. Berceloteh. Berjenaka. Apalah daya!

Fizal sudah mulai rindukan suara Syarina. Fizal sudah pandai rindukan tawa Rina. Dan kini, dia sudah mula kenal apa itu erti sepi.

“Fizalkan ada Rina. Fizal tahu tak, setiap manusia mesti jalani proses perubahan hidup. Jadi, Fizal pun tak terkecuali. Dulu hidup Fizal lain, sekarang Fizal dapat ujian yang akan membuatkan hidup Fizal berubah. Tapi, Fizal tak boleh putus asa sebab setiap ujian tu ada hikmahnya. Macam exam juga, kalau kita nak Berjaya, kita kena usaha dan tak boleh putus asa. Hidup pun macam tu jugalah,” kata-kata Syarina membuatkan Fizal kembali bersemangat.
“Kadang-kadang Fizal rasa malu dengan diri sendiri bila kenangkan apa yang sudah Fizal buat semasa Fizal sihat. Fizal tak habis-habis nak atur awek, angkut ke sana sini…mungkin ini balasan Allah pada Fizal kan?” suaranya lirih mengadu kepada temannya itu.
“Sebab tu Allah bagi Fizal ujian. Kalau tak ada ujian ni, tentu sampai bila-bila pun Fizal tak tahu salah Fizal selama ini. Betul tak?” lembut kata-kata Syarina Wirdayu bagai titis hujan membasahi hatinya.

“Fizal kan ada adik perempuan…Fizal mesti rasa marahkan kalau ada orang mainkan adik Fizal kan? Macam tu juga dengan orang lain, tentu dia marah kalau dipermainkan,” Syarina menarik nafas panjang kemudian menyambung lagi.
“Mulai hari ini Fizal kena fikirkan, apabila dah sembuh nanti, Fizal mesti berjanji untuk berubah. Kalau tidak, tak mustahil Fizal akan terima balasan yang lebih dahsyat lagi dari ini,” kata-kata Syarina ditelannya walaupun ayat itu begitu pahit.

Pandai betul gadis itu berbicara. Lancar dan membina. Memang benar apa yang Syarina ucapkan. Selama ini, Fizal permainkan orang tanpa memikirkan hati dan perasaan mereka. Sekarang baru Fizal sedar apa yang Fizal lakukan selama ni memang salah.

Namun, selama ini belum pernah ada mana-mana kawan perempuan mahupun lelaki yang pernah menasihatinya sebegitu. Ternyata gadis misteri ini mempunyai banyak kelainan.
“Betul kata Rina dulu, Fizal perlukan kawan macam Rina. Kita kawan sampai bila-bilakan? Fizal tak mahu Rina tinggalkan Fizal di saat Fizal perlukan Rina. Anyway, thanks for your support and kad-kad yang Rina bagi tu. Cantik sangat!” ucapnya.

Memang dia tidak mahu kehilangan Syarina, dia adalah segala-galanya bagi Fizal sekarang. Teman, sahabat dan kawan pada saat Fizal betul-betul perlukannya. Syarina adalah semangat Fizal.
“Fizal jangan risau, okey? Rina akan sentiasa dalam hati Fizal. Rina tak ke mana-mana. Sekarang Fizal tidur dan mimpikan yang indah-indah. Rina akan datang dalam mimpi Fizal. Selamat malam!” ucap Syarina sebelum mengakhiri perbualannya.

Adakalanya dia curiga dengan kebaikan gadis ini. Takut kalau-kalau Rina yang didambakan bukan seperti yang diharapkan. Takut kalau-kalau gadis itu sebenarnya hanya ingin mempermainkannya. Tapi yang pasti, setiap kali selepas Syarina letak telefon, Fizal tidak sabar tunggu malam esok untuk mendengar suaranya lagi. Perasaan apakah itu?


Aryssa menarik nafas panjang. Ganggang telefon diletakkan ke tempatnya. Dia memejamkan mata. Ah, menipu lagi!

Kadangkala dia rasa bersalah dengan perbuatannya. Adakalanya dia macam mahu lelaki itu menangis kecewa. Dia sendiri tidak tahu apa perasaannya terhadap Fizal. Dia senang berbual dengan anak muda itu, suaranya cukup memikat. Patutlah ramai gadis yang tertawan.

Bila dia berbual dengan Fizal, hatinya teringatkan Amir, walaupun Fizal dan Amir banyak perbezaannya. Fizal agak manja dan sentiasa inginkan perhatian. Amir pula berdikari dan selalu bersikap tegas dengan keputusannya. Kedua-duanya juga pernah diuji perkara yang sama. Amir tidak perlukan Aryssa sewaktu dia sendiri hilang kekuatan, biarpun Aryssa terlalu ingin menemaninya untuk bersama menghadapinya.

Fizal pula selalu mahu ditemani pada saat ujian mendatanginya. Kenapa Amir tidak seperti Fizal, sentiasa inginkannya di sisi? Perlukah Aryssa menanti Amir datang semula dalam hidupnya? Adakah Amir akan hadir semula memberikan cintanya? Aryssa sendiri tak pasti sampai bila dia akan menunggu. Hatinya kini mula beralih arah.

Bukan dia sengaja mencipta perasaan itu, tetapi ianya datang sendiri tanpa dipinta. Perasaan itu mula menguasainya. Aryssa tidak dapat memastikan sama ada ianya cinta atau kasihan.

No comments: