Sunday, August 10, 2008

SEMANIS SENYUMANMU -BAB 33

BAB TIGA PULUH TIGA

Zakiah dan Alias menarik nafas lega bila Aryssa sudah selamat dibedah, namun kerisauan masih tergambar di wajah mereka bila Doktor Ong menyatakan harapan Aryssa cuma lima puluh peratus. Keadaannya masih tidak stabil walau pun selepas lima jam pembedahan. Ini membuatkan pasangan itu masih tidak keruan.

Aryssa terbaring lemah. Kebas akibat ubat bius sudah beransur hilang, terasa ada kesakitan di belakang pinggangnya yang sentiasa menggigit tiap kali badannya digerakkan.

Tidak putus Zakiah dan Alias mengucapkan terima kasih kepada Amir Hizam yang bermurah hati menderma buah pinggangnya. Sekurang-kurangnya Amir mampu memberi harapan kepada mereka.

Menurut keluarga Amir, Aryssa adalah kawan baik Amir suatu masa dahulu. Kerana itulah Amir bersedia mendermakan buah pinggangnya dan Amir meminta mereka merahsiakan perkara itu. Anak muda itu tidak mahu Aryssa berasa terhutang budi.

Aryssa seperti biasa, masih mampu menebarkan tersenyum. Biarpun senyum itu terlihat payah. Tangannya dihulurkan kepada Zakiah, lantas ibu itu memeluk dan menciumnya bertalu-talu.
“Mak… ayah, maafkan segala kesalahan Ary. Halalkan makan minum Ary…” perlahan tutur Aryssa.

Permintaan itu membuatkan Zakiah semakin tidak keruan. Airmatanya yang sentiasa membasahi pipi semakin galak mengalir. Kian sukar untuk ditahannya.
“Ary jangan cakap macam ni? Mak dan ayah selalu maafkan Ary, sayang. Ary suka buat mak risau…” balasnya.

Zakiah mengucup lembut dahi anak itu. Dia tidak sanggup kehilangan Aryssa, sungguh!

Alias mengusap rambut Aryssa. Itulah satu-satunya anak yang dia ada dalam dunia ini. Dugaan sebesar ini tak tertanggung hati lelakinya, namun dia tidak punya banyak pilihan.
“Ary akan sembuh, sayang. Kalau Ary dah keluar hospital nanti, kita pergi memancing sama-sama ye… Ary boleh main hoki, Ary boleh jogging, Ary boleh buat apa yang Ary suka,” pujuk Alias. Tangannya tidak lepas menggenggam jemari anak itu.

Aryssa tersenyum lagi. Redup sinar matanya menatap.
“Tapi Ary rasa macam dah tak mampu nak tahan, rasa macam nak pergi jauh…”

Betul, yah. Ary rasa nak pergi jauh…nak tinggalkan semua. Nak tinggalkan ayah, mak, dan dunia ni. Ary tak lagi mampu untuk bertahan. Ary tak berdaya melawannya. Ary akan tewas, yah!

“Tak. Ary takkan ke mana-mana. Ary kena kuat! Ary tak boleh putus asa! Ary kan tabah. Ary selalu cakap pada mak macam tu, kan? Ary takkan tinggalkan mak, Ary janji dengan mak, Ary tak boleh pergi mana-mana tanpa mak dengan ayah,” Zakiah tersedu-sedu menahan tangis.

Tangannya tidak lepas memegang erat tangan Aryssa. Mana mungkin dia akan tersenyum bila anak tunggalnya berkata begitu. Memang dia tidak boleh melawan takdir yang ditentukan, namun kalau ditakdirkan penyakit Aryssa tidak dapat disembuhkan, dia rela menjaganya siang malam. Janji Aryssa berada di depan mata. Jangan diambil anak ini, Ya Allah!

Zakiah tidak sanggup. Zakiah tidak mahu kehilangan Aryssa. Tiada lagi yang paling berharga melainkan Aryssa satu-satunya permata hatinya.

Aryssa tersenyum melihat orang yang berada di sekelilingnya. Dia terasa dihargai saat dia perlukan sokongan mereka. Tapi dia sedar, dia tidak ada kesempatan lagi untuk mengucapkan terima kasih pada mereka. Segalanya seperti akan berakhir bila-bila masa. Nafasnya juga tidak seperti biasa, turun naik tidak menentu.

Salina dan Nurul juga tidak henti menitiskan air mata. Pilu melihat keadaan gadis itu. Gadis yang selama ini dikenali dengan lagaknya yang bersahaja dan ceria, akan tetapi kini sudah bertukar rupa. Wajahnya pucat tidak bermaya. Badannya kurus tak berupaya.

Seorang demi seorang dari mereka mula mengucup dahi gadis itu. Aryssa masih tersenyum seperti tadi, dia tahu dia tak dapat menunggu lama untuk bertemu insan-insan yang pernah disayanginya.

Aryssa menggapai tangan kepada Wani, gadis itu mulai rapat padanya.
“Aku minta maaf, Wani. Aku… ba… nyak… buat salah… pada kau! Ja… ga… Fizal elok-elok, dia milik… kau…” bisiknya amat perlahan dan tersekat.
“Ary, aku yang kena minta maaf. Aku… aku khianati persahabatan kita. Aku berdendam pada kau, padahal kau tak tahu apa-apa! Aku yang bersalah Ary. Boleh tak kita macam dulu? Kita jadi kawan balik, Ary. Aku menyesal…aku minta maaf sangat-sangat pada kau. Kita kawan balik, Fizal cuma sayangkan kau… ” pohon Wani sambil mengoncang lengan Aryssa.

Tangis Wani pecah. Biarpun dia cuba mengawal perasaannya, seisi bilik itu dapat mendengar esak itu. Kala itu rasa kesal membelit jiwa Wani, alangkah berdosanya dia mengkhianati kawannya itu alangkah bebalnya dia kerana mendendami Aryssa, sedangkan gadis itu tidak pernah bersalah padanya.

Aryssa menitiskan airmata sewaktu Wani meminta maaf. Dia tahu temannya itu memohon dalam penuh penyesalan. Dia sudah lama memaafkan Wani.

Fizal terpaksa jauhkan Wani dari katil dan memintanya bersabar. Pantas tangan Wani menarik lengan Fizal untuk rapat kepada Aryssa yang bagaikan mahu menyatakan sesuatu.

Fizal duduk merapati gadis itu, tangannya menggenggam kejap jemari Aryssa yang sejuk dan pucat.
“Fizal ma… afkan… Ri…na!” bisikan itu dibalasnya dengan senyuman bermakna.

Bukan pohon maaf itu yang ditunggunya. Hanya jawapan. Dan ucap maaf itu sudah menjelaskan seluruh tanda tanya yang mengepung dirinya sekian lama.

Kasihan dia melihat gadis itu yang terlalu payah untuk mengeluarkan kata-kata. Tidak pernah dia menyangka akan bertemu Aryssa dalam keadaan ini, terasa menyesal bila teringat layanannya pada gadis itu selama ini.
“Tidak sayang, Rina tidak pernah bersalah pada Fizal. Dah lama Fizal nekad untuk menerima Syarina Wirdayu walau siapa pun dia… Fizal sayang Ary!” dia juga berbisik, tidak mahu didengar oleh sesiapa di dalam bilik itu.

Mata mereka bertentang. Pandangan bertaut. Masing-masing mengukir senyuman yang hanya difahami mereka. Senyum di bibir Aryssa masih terukir, senyuman yang termanis di dunia buat Fizal.

Saat itu juga dia terpandangkan Amir dari celahan pintu. Ingin sekali dia melaungkan nama Amir. Dia ingin mengucapkan terima kasih. Dia tahu lelaki itu telah mengorbankan buah pinggang untuknya, biarpun tiada siapa khabarkan padanya. Dia sendiri nampak wajah Amir sesaat sebelum dia ditidurkan, beberapa minit sebelum pembedahan. Namun, dia langsung sudah tidak berdaya untuk bersuara.

Pandangannya semakin kabur. Wajah mereka yang berada di situ semakin kelabu. Suara tangisan emaknya juga semakin jauh dan sayup. Tangan kirinya semakin terlerai dari genggaman Fizal. Tiada upaya biarpun untuk menghela nafas.
“Ary jangan tidur sayang, jangan tinggalkan mak! Ary please… abang, cepat bang, panggil doktor… Aryssa! Aryssa anak mak! Buka mata sayang, mak ada kat sini…” Zakiah sudah mengogoi seperti anak kecil.

Zakiah merapati semula anaknya itu, dia menepuk lembut pipi Aryssa kiri dan kanan. Tangannya tidak berhenti mengenggam erat jemari anak gadisnya.

Aryssa sudah lemah tidak berdaya lagi untuk membalas genggaman itu. Jemarinya terkulai layu. Hanya bibir pucatnya masih lagi mengukir senyum walaupun tidak semekar dulu.

Alias bagaikan tidak tahu berbuat apa-apa. Itukah saatnya yang selama ini cuba dihindarkan berlaku dalam hidupnya?

Nafas Aryssa semakin turun naik. Berat. Tertahan. Nyata benar payah untuk gadis itu menghela nafas. sesak. Keadaannya semakin meresahkan.
“Aryssa, mengucap… Ary…” menyedari keadaan Aryssa, Alias pantas membisikkan kalimah syahadah di telinga kanannya, Fizal yang duduk rapat di sebelah kiri juga membisikkan kalimah suci itu.

Bibir Aryssa bergerak perlahan, mengikut kalimah syahadah. Dengan bisik yang lemah. Habis sahaja kalimah, tiba-tiba Aryssa menarik nafas dalam dan melepaskannya perlahan dengan dengkuran kecil. Saat itu Aryssa tidak bergerak lagi. Matanya tertutup rapat. Ada titisan air mata di hujung kelopak matanya. Hembus dengkuran halus itu cukup menandakan dia terpaksa pergi meninggalkan segalanya untuk selama-lamanya.

Fizal terpempan melihat keadaan itu. Seumur hidupnya, pertama kali dia melihat pemergian seseorang di depan mata. Seseorang yang tidak sempat untuk mendengar kalimat sayang yang sejujurnya dari hati lelaki ini.
“Ary! Ary!” Fizal cuba mengejutkan gadis itu.

Tidak mungkin Aryssa pergi begitu sahaja tanpa menyambut cintanya. Dia tidak akan benarkan gadis itu pergi darinya. Dia perlukan Aryssa. Selama ini, Aryssa adalah kekuatannya. Namun, siapalah dia untuk menolak takdir ilahi.

Doktor Ong datang memeriksa diekori Jefri. Saat itu juga Doktor Ong mengesahkannya. Aryssa sudah tiada. Ada komplikasi terhadap buah pinggang yang baru dipindahkan itu. Tubuh badannya tidak dapat menerima buah pinggang baru itu. Ada rejection terhadap organ baru itu dan menyebabkan ianya tidak berfungsi.

Bagaikan tidak disangka Aryssa sudah pergi jauh meninggalkan mereka. Alias menggelengkan kepala dan terduduk di sofa. Sekalipun dia redha dengan pemergian anak tunggalnya, namun rasa kehilangan itu tidak mampu disembunyikan. Selama ini pun dia dan isterinya tidak pernah sanggup melihat Aryssa menderita, tetapi untuk melepaskannya pergi begitu sahaja tanpa usaha, mereka tidak rela.

Zakiah rebah dipangkuan Salina. Lemah longlai sekujur dirinya. Kehilangan Aryssa memang ketentuan Ilahi, namun hatinya terlalu berat melepaskan. Hanya Aryssa satu-satunya cahaya mata yang dia ada. Zuriat yang diberikan Allah. Secepat itu pula dia perlu menerima hakikat tentang kehilangan itu.

Fizal mengusap mukanya. Tidak disangkanya hadiah yang diberikan oleh Aryssa untuk pertama kali bertemu adalah air mata. Padahal, dia mengharapkan senyum paling manis gadis itu. Mendambakan tawa dan usik nakalnya.

Dia tidak mampu lagi menahan sebak. Airmata lelakinya laju mengalir tidak tertahan. Buat pertama kalinya dia menangis. Menangis hanya kerana seorang gadis. Gadis yang pertama kali meninggalkan bekas di hatinya. Selama ini, entah berapa ramai gadis yang menangis kerananya. Dan kali ini,dia tidak mampu lagi menurut egonya.

Untuk kesekian kalinya, Fizal menyesali perbuatannya selama ini. Andai keegoaannya dapat dileraikan sejak dulu, pasti Aryssa menjadi miliknya. Dan tangisan untuk Aryssa hari ini bukan tangisan penyesalan yang tidak dapat dilafazkannya. Paling memilukan hatinya, tangisan sesal itu tidak akan mengembalikan Aryssa pun.

Kala menatap wajah gadis itu, Fizal dapat melihat tenang wajahnya seperti sedang beradu lagaknya. Di sudut bibirnya masih lagi terukir senyuman yang manis. Senyum yang tidak pernah Fizal temu semasa hayatnya. Senyumnya yang terakhir. Lalu kini, entah bagaimana mahu disimpannya senyum manis itu dalam lipatan ingatan. Ah, Manisnya…manisnya senyumanmu!

Sepasang mata bundar yang masih menjadi penonton setia di balik celahan pintu, masih tidak dapat menerima hakikat itu. Gadis yang pernah dicintainya telah meninggalkannya bersama kenangan. Tidak pernah dia menyangka semua ini akan berlaku. Secepat ini pula. Malah, sejak dia mengetahui buah pinggangnya akan didermakan kepada Aryssa, dia bagai tidak sabar-sabar lagi untuk memberikan satu daripada organnya itu kepada gadis itu. Sekurang-kurangnya dia mahu melihat gadis itu ceria seperti dahulu.

Sampai hati awak tinggalkan saya, Aryssa! Bisik hatinya dalam sebal yang teramat.

Untuk pertama kali juga, Amir Hizam menitiskan mutiara jantan yang jarang sekali mahu merembes keluar. Namun, bila dilihatnya gadis yang amat disayanginya itu telah terbujur kaku, dia tidak mampu lagi menahan empangan airmatanya. Harapan dan anganannya kosong. Serasa sebahagian daripada dirinya telah hilang saat itu.
Walaupun dia bagaikan tidak mahu lagi menyulam hidup bersama gadis itu, namun masih ada secebis harapan untuknya menagih kembali kasih Aryssa. Malangnya, gadis itu pergi dulu tanpa pesan dan salam. Selamat jalan, Aryssa!

No comments: