Monday, August 11, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 7

Haizam segak sekali hari ini, semuanya gara-gara Mazwin sudah bersetuju untuk keluar dengannya. Dia benar-benar tak pernah menyangka gadis itu akan bersetuju dengan pelawaannya. Dari malam semalam selepas dia menelefon gadis itu, dia tersenyum sendirian. Alangkah bahagia andainya dia punya jodoh seperti Mazwin, cantik, bijak, bertanggungjawab dan berdikari. Pendek kata Mazwin mempunyai kualiti perempuan idamannya.

“Terima kasih Maz, sudi juga kau keluar dengan aku…” ucapnya berkali-kali. Kerana ucapan terima kasih itu, Mazwin mula rasa tak selesa.

“Zam, sudah-sudahlah kau cakap terima kasih … kau buat aku rasa tak selesa!” Mazwin berterus-terang.

“Maz, aku sebenarnya nervous jumpa kau ni… sampai tak tahu nak cakap apa. Hari tu masa atas motor, aku tak nampak muka kau bila bercakap. Ni sekarang berdepan pula, kau pula tengok aku macam tu…” terang Haizam, jujur. Selama ini memang dia jarang bercakap dengan Mazwin, dia terasa gelisah bila Mazwin memandangnya.

“Pemalu rupanya kau ni ye…okeylah! Aku tak pandang kau! Zam, aku tanya sikit boleh?” Mazwin tersenyum melihat gelagat Haizam.
“Tanya banyak pun boleh Maz,”
“Kenapa kau suka kat aku?” Tercengang Haizam mendengar soalan itu.
“Maksud kau macam mana?”
“Tak delah, kau suka aku dari segi apa? Sebab aku ni baik ke? Cantik ke?” soalnya bertalu.

Mazwin terasa mahu mengenali Haizam lebih dekat, selama ni dia tak pernah terfikir ada lelaki yang menyukainya. Malah Mazwin sering merasakan dia tidak layak untuk mendampingi mana-mana lelaki.

“Aku suka kau dari semua segi dan aspek. Memang dari dulu aku suka pada kau, Maz… masa tu aku tak tahu pun kau tengah belajar, aku selalu makan di restoran tempat kau kerja. Kalau kau nak tahu aku paling suka nasi goreng yang kau buatkan untuk aku… sedap! Sebab tu hari-hari aku makan di situ, kau tak perasan ke muka aku?” Mazwin tersenyum, dia tahu lelaki di hadapannya jujur.

“Kau ingat kau sorang je makan kat situ? Manalah aku nak ingat, Zam… tapi terima kasih sebab suka pada aku… selama ni tak pernah ada orang suka kat aku sama macam kau…” ujarnya, rendah diri.

Haizam merenung wajah lembut di depannya, dia suka pada Mazwin kerana gadis itu suka merendah diri. Takkanlah tidak ada yang perasan keayuan yang ada pada gadis ini, ataupun Mazwin memang pandai berbicara.

“Maz, aku nak tahu sama ada kau sudi tak terima aku untuk berkongsi segala-galanya dengan kau?” tangan Haizam sudah mulai merapati tangan Mazwin, matanya merenung tepat ke mata gadis itu.

“Zam, aku tak boleh buat keputusan sekarang, kita kawan dulu, okey! Mungkin kau kenal aku dah lama, tapi kau tak tahu hati budi aku macam mana lagi Zam, aku tak mahu kau menyesal satu hari nanti…” Mazwin membalas pegangan itu, dia mahu Haizam berpijak di bumi nyata, dia tidak mahu Haizam buta kerana menyintainya.

Mazwin juga mahu mempunyai perasaan itu, ingin dicintai dan menyintai, tetapi kadangkala mimpi ngerinya selalu menganggu fikiran untuk akur pada keadaan yang dia tidak layak untuk menerima cinta dari mana-mana lelaki.

Haizam tidak bersalah kerana menyintainya, tapi mampukah Haizam menerimanya sepenuh hati kerana Haizam hanya mengenali Mazwin secara luaran. Bolehkah Haizam menerimanya andai dia berterus terang? Mampukah Haizam berhadapan dengan kenyataan dan sanggupkah lelaki itu mengambilnya sebagai permaisuri hidupnya andai dia mengetahui perkara yang sebenar? Segalanya itu sentiasa kalut berlegar difikirannya.

“Aku sedar Maz aku tak layak kawan dengan kau, kaukan bakal peguam… tentu kau malu nanti berkawan dengan budak pejabat seperti aku kan?”

“Bukan macam tu… kita kawan biasa dulu, bagi aku kenal kau lebih rapat lagi, kau pun takkan kecewa satu hari nanti kalau kau tahu siapa aku…” puas dipujuknya Haizam.

Biarlah Haizam kecewa sekarang jangan nanti dia jadi mangsa kekecewaan Haizam. Mazwin juga sukakan lelaki seperti Haizam, gentlement, berani menyuarakan hasratnya. Haizam juga terlalu merendah diri dan adakalanya suka berjenaka, membuatkan Mazwin berasa senang dengan lelaki itu.

*****************

“Win, apa pandangan kau tentang Yanti?” tanya Syahirwan, Mazwin merenungnya hairan. Dia masih ada kesempatan untuk melayani Syahirwan berbual, malam ini tak begitu ramai pelanggan lagipun masih awal.

“La, macam kau tak kenal dia sampai nak minta pandangan aku, Wan?!” jawabnya sambil tangannya lincah mengelap meja.

Kadangkala terasa lucu bila Syahirwan membahasakannya ‘Win’ dan dia membahasakan Syahirwan dengan nama ‘Wan’.

“Bukan apa, first time aku jumpa dia balik, dia okey, second and third she’s still okey! Tapi bila aku lunch dengannya kelmarin aku mula distrust, masa dia pergi ladies, ada call di handphone dia, aku jawabkan… belum sempat aku say hello, suara lelaki say, hello sayang!” Syahirwan mulai menyedut rokoknya dalam, kemudian menghembuskan asap yang berbunga-bunga.
“Wrong number, maybe!” balas Mazwin tanpa menoleh Syahirwan, dia takut reaksinya akan menambahkan kecurigaan pada lelaki itu.

“Jawapan kau sama macam jawapan dia! Did you hiding something from me?” Renungan Syahirwan membuatkan Mazwin tak tentu arah. Takkan dia mahu membocorkan rahsia kawan baiknya sendiri.

“Sembunyikan apa? Kau terlalu banyak fikirlah Wan, lagipun kalau dia sembunyikan apa-apa dari kau, tak salah sebab kau pun ada rahsiakan sesuatu dari dia!” kata Mazwin, sekadar mahu memerangkap.

“Ini soal hati Win, aku rasa dia ada lelaki lain la… sebabnya lepas je aku bagitahu pasal panggilan tu, dia terus ambil telefon dan pergi ladies balik, katanya, lipstick tertinggal… logic ke?” Syahirwan mengerutkan dahi, memikirkan kelogikan alasan Yanti tempoh hari.

“Logik! Kau bukan tak kenal dia, mana boleh lekang dengan lipstick… mengarut lah kau Wan…okeylah, aku ada costumer… kalau free karang aku joint kau balik!” pintas Mazwin kemudian berlalu, sengaja dia meninggalkan Syahirwan.

Dia tidak mahu bersoal jawab dengan lelaki itu, lagipun dia tak mahu campur urusan mereka, Yasmin sudah berpesan padanya dari awal lagi.

Syahirwan nampak ada kekeliruan pada wajah Mazwin, dia juga dapat tangkap Mazwin sengaja mencari alasan untuk tidak berbual panjang dengannya. Memang mereka ada sembunyikan sesuatu, getusnya. Dia tidak mahu bertanya terus pada Yanti, takut kalau-kalau gadis itu akan terus meninggalkannya tanpa banyak bicara. Dia sudah terlalu menyintai gadis itu, tapi dia tidak mahu tertipu lagi seperti mana Harliana pernah menipunya.

Kenapalah, perempuan suka menipunya? Kenapa perempuan suka memperbodohkannya? Kali ini kalau dia tertipu, dia bersumpah akan membalas dendam ke atas segala penipuan yang pernah berlaku pada dirinya.

Mazwin merenung Syahirwan dari jauh, kasihan pada lelaki itu yang seakan keliru dengan perbuatan Yanti tapi dia tidak mahu turut masuk campur, Yanti kawannya. Walaupun adakalanya dia semacam mahu mengkhianati hubungan persahabatan itu. Lagi pula Yanti sudah berkali memberi ingatan kepadanya supaya tidak turut mencampuri urusan percintaan mereka, Mazwin terpaksa akur sungguhpun hatinya teramat kasihan melihat keadaan lelaki itu.

No comments: