Anizan merenung Izham yang sedang asyik bermimpi, ada dengkuran kecil menyelangi nafasnya. Hatinya berdetik kasihan, mungkin Izham tidak tidur semalaman kerana memikirkan tentang kerja dan buah hatinya yang garang itu, fikirnya.
- Itulah nak cari buah hati, ala-ala Nasha Aziz yang boleh jalan kucing, cubalah cari yang baik budi pekerti macam aku ni, tentu bahagia dunia akhirat, mak mertua pun sayang. Bila difikirkan semula, betul juga kata Asma, dia gila! Mana ada orang yang sanggup nak menyamar begitu, tapi dia buat semuanya kerana wang.
Selama ini Anizan hidup sendiri, cari wang sendiri dan sejak usianya lapan belas bermacam kerja dia lakukan untuk menampung hidupnya. Sejak dia keluar dari Rumah Anak-Anak Yatim Sri Cahaya, dia berusaha memajukan diri walaupun keputusan SPMnya cuma setakat cukup makan. Dia tahu, dia perlukan sesuatu yang lebih baik dari itu, kerana itu dia cuba untuk belajar semula dan dia berjanji untuk memajukan Rumah Anak-Anak Yatim Sri Cahaya, yang pernah memberi kehidupan padanya. Dengan wang yang diberikan Izham nanti, dia akan menampung pembelajarannya, dan selebihnya untuk dihadiahkan pada Rumah Seri Cahaya, kampung halamannya suatu ketika dahulu.
Anizan senyum dan kakinya terus menekan pedal minyak dan kereta hitam metalik itu terus meluncur laju membelah jalan. Sekejap sahaja mereka sudah sampai di hentian rehat Tapah, Anizan memandu terus ke tempat letak kereta. Dilihatnya Izham masih lagi lena sambil berpeluk tubuh, mungkin terlalu mengantuk.
“Bos! Dah sampai…” tangannya menggoyangkan bahu Izham, perlahan.
“Huargh!! Hah! Dah sampai mana?” Izham menguap dan terus bangun terpinga-pinga.
“Hentian rehat Tapah,” ujarnya selamba.
“Sekarang baru pukul sembilan setengah? Kita bertolak tadi pukul lapan… lajunya awak bawa kereta. Awak ingat ini kereta formula one ke? Awak ingat highway ni litar lumba Sepang ke, Anizan? Kalau saya tahu macam ni awak bawa, saya tak tidur tadi… nasib baik, tak jadi apa-apa kalau tak, tak pasal-pasal meninggal bersama awak! Kalau kena saman speed trap siapa nak bayar? Saya potong dari gaji awak. Berapa laju awak bawa tadi?” bebel Izham.
Dia teramat terkejut dengan masa yang dilihatnya, perjalanan yang sepatutnya memakan masa dua jam setengah, dipendekkan Anizan menjadi sejam setengah.
“160km sejam, ala, apa guna beli BMW kalau tak boleh bawa laju? Kalau Bos nak membebel lagi, bagi saya pergi toilet dulu, saya nak bersiap, maklumlah takut mak Bos terkejut bila tengok Bos bawa jantan balik…” Anizan memulangkan paku buah keras. Terkedu Izham seketika mendengar kata balas Anizan.
Iye tak iye juga, sia-sialah aku beli kereta mahal begini kalau tak gunakan sebaiknya. Tapi dia sendiri tidak pernah memandu sepantas itu, biar benar budak ni, tak tahu takut ke? Dia merenung sahaja gadis ala jantan itu menuju ke tandas awam. Dilihatnya cara jalan pun tiada lenggok perempuan, hatinya dilanda risau, macam mana perwatakan gadis itu andai bersemuka dengan ibunya. Dalam hati dia berdoa agar semuanya berjalan lancar.
Anizan mengenakan pakaian yang dibeli Izham tiga hari lepas. Selesai mengenakan pakaian, dia mula menghadap cermin menyapu bedak, gincu dan sedikit pemerah pipi, dia lakukan seperti yang diajar Asma. Kemudian dia menyapu sedikit perapi pada rambut yang sudah mencecah leher supaya kelihatan lembab dan bermaya. Sememangnya dia tidak biasa menggunakan alat solek, Anizan langsung tidak pernah menyapu bedak ketika keluar rumah.
1 comment:
haha!!sama arh..aku jln2 x pakai bedak.rilek je..
Post a Comment