Monday, November 10, 2008

Aku Bukan Untukmu - 22

Pulang sahaja dari klinik siang tadi, Anizan langsung tidak dibenarkan bangun. Segala-galanya tersedia untuknya di bilik. Dia dilayan begitu istimewa. Hajjah Saniyah yang baik hati itu cukup membuatkannya merasa sedikit nikmat kasih sayang seorang ibu, yang selama ini dirinduinya. Sungguh sejak ibunya meninggal di usia menjangkau empat belas tahun, dia langsung tidak pernah merasa belaian kasih dari seorang ibu. Kalau ada pun ibu Asma, tapi ibu Asma tidaklah semesra umi Izham. Umi Izham melayannya umpama anak kandung. Justeru itu, dia terasa sedikit berdosa kerana bersubahat dengan Izham membohongi uminya yang baik hati itu.
“Anis, nanti kalau nak apa-apa, Anis panggil je umi. Anis jangan bangun nanti kaki Anis ni bengkak. Hah! Dahi yang dah berbalut tu, jangan basahkan… Anis kena tinggal di sini sehingga jahitan tu terbuka.”
Hajah Saniyah menyapu minyak kayu merah pada pergelangan kaki Anizan. Kaki yang tadinya bengkak membiru sekarang surut sedikit bila di sapu minyak panas.
“Terima kasih, umi. Anis menyusahkan umi saja. Anis minta maaf ye!” Anizan tunduk, walaupun agak kekok untuk membahasakan dirinya begitu setelah sekian lama tidak menggunakannya, tapi itulah panggilan dari keluarganya pada suatu ketika dulu.
“Tak apa, Anis pun anak umi juga. Izham kata Anis dah tak ada keluarga, betul ke? Umi bukan nak ungkit kisah sedih Anis. Tapi umi faham, Anis perlukan kasih sayang dari umi. Anis boleh menganggap umi ni emak Anis. Walaupun suatu hari nanti hanya jadi ibu mertua Anis!” luah Hajjah Saniyah, dia tidak mahu Anizan berasa kekok ketika berada di sini.
“Anis, umi bukannya mahu memaksa, tapi… kalau boleh umi mahu Anis jadi menantu di rumah ini. Kalau Anis tiada halangan, umi nak lamar Anis untuk Izham,” sambung Hajjah Saniyah lagi.
Kala itu Anizan terkaku bila Hajah Saniyah membuka kotak baldu bewarna biru. Perlahan-lahan cincin bermata satu itu dikeluarkannya. Sinar mata Hajjah Saniyah sama bercahaya seperti sinar dari permata di cincin emas itu.
“Sa…saya tidak boleh terima ini ummi…” ucapnya tersekat. Perasaan berdosa menyelubungi hati. Sungguh dia mahu kehilangan wang ganjaran itu namun untuk membohongi wanita yang berhati mulia di hadapannya dia tidak sanggup lagi.
“Kenapa pula tak boleh terima? Macam tu lah dia umi, dari dulu bila orang melamar mesti dia tolak. Datang sini pun Ham gertak baru dia nak ikut. Terima je la lamaran umi tu, Anis. Anis nak tunggu sampai bila?” soal suara itu dalam bohong yang bersahaja. Tuan empunya dirinya terjengul di sebalik pintu bilik. Anizan terpempan. Dia tidak sanggup terus membohongi ibu ini, tetapi mana mungkin dia mengingkari janjinya terhadap Izham. Dia benar-benar tersepit, dia keliru.
“Ta… tapi… Anis, nak belajar lagi! Kan… kan Anis dah beritahu bila Anis dah tamat belajar barulah Anis terima lamaran abang!” jawabnya gugup. Jawapan itu benar-benar menyelamatkan keadaan. Nasib baik dia dapat fikirkan alasan dan dia pasti wanita mulia itu mempercayai kata-katanya.
“Anis belajar lagi? Anis belajar apa Ham?” soalan Hajah Saniyah bagaikan menguji mereka.
“Akaun!” jawab Izham yakin serentak dengan suara Anizan menjawab, “Undang-undang!”
“Mana satu betul ni? Akaun ke undang-undang?” Hajah Saniyah keliru antara dua jawapan itu.
“Kan abang dah pesan jangan ambil undang-undang? Anis langsung tak mahu dengar nasihat abang langsung, jadi peguam ni susah Anis! Abang dah suruh Anis ambil akaun, bukan sebab apa, nanti senang nak jaga akaun syarikat!” Izham tahu andai dia benar-benar pelakon pasti dia dapat anugerah untuk lakonan terbaik.
“Tapi, Anis tak suka akaun, Anis tak suka nak mengira, lagipun Anis dah bagi tahu abang banyak kali yang Anis tak mahu ambil akaun,” jawab Anizan tanpa gugup lagi. Memang dia tidak rela untuk berlakon lagi, tapi demi menyelamatkan Izham dia harus melakukannya. Lagipun dia tidak patut mungkir janji.
“Jadi Anis ambil jurusan undang-undang tanpa pengetahuan abanglah ni. Anis tahu tak yang kerja peguam ni bukan kerja orang perempuan. Cabarannya banyak. Nampak saja senang tapi abang tak rasa Anis mampu bertahan satu hari nanti. Lebih baik Anis ambil jurusan akaun itu memang sesuai untuk perempuan macam Anis. Anis tak pernah nak dengar cakap abang!” suara Izham keras sedikit bagi memantapkan lagi lakonannya.

No comments: