Monday, November 10, 2008

Aku Bukan Untukmu - 5

“Anizan masuk bilik saya kejap!” arahan Izham membuatkan Anizan mula mengelabah.
Apa pula dia nak pagi-pagi ni? Aku rasa belum buat salah pun hari ni. Surat semalam semua aku hantar kat tempat yang betul. Aku dah check dah, sebelum ni pun tak pernah aku hantar ke tempat yang salah. Aduss! Apalagilah yang dia nak dari aku ni?
“Ye, Boss! Apa yang boleh saya tolong?” Anizan terus duduk sebaik sahaja masuk ke dalam bilik Izham. Dia cuba mengawal pernafasan, takut kalau-kalau dia sudah terbuat salah.
“Awak dah makan?” soalan yang terpacul dari mulut Izham membuatkan Anizan tercengang.
“Belum lagi. Kenapa Bos nak belanja ke?” jawabnya, hairanlah pula tetiba je bertanya dengan muka yang baik hati, mesti ada apa-apa ni. Izham mengeluarkan sekeping not merah sepuluh ringgit, dihulurkannya kepada gadis itu. Anizan menyambutnya dengan senyuman.
“Awak belikan saya nasi lemak, sambal udang dengan petai ye. Lepas tu awak belilah untuk awak sekali. Suruh Fizah buatkan saya kopi, black, sweet and strong!” pinta Boss muda itu.
Itu aje? Apasal pula dia buat baik dengan aku hari ni? Siap belanja lagi, ini mesti ada apa-apa ni, entah-entah dah berkenan kat aku kot? Mimpilah kau Ijan, dia tu siapa? Engkau siapa? Tapi kalau berkenan dengan aku pun, aku tak kisah… bolehlah aku demanding sikit! Hish! Mengarut je aku ni… Nak sangat mamat ni kat aku, tak layak pun.
Anizan terus keluar untuk membeli makanan yang dipesan Izham. Dia berasa pelik bila Izham begitu baik dengannya pagi ini yang pasti, lelaki itu ada rancangan, paling tidak pun ada benda yang nak suruh Anizan lakukan. Whatever, janji gajinya tak kantoi tiap bulan!
“Fizah, bos suruh kau buat kopi, black, sweet and strong!” arah Anizan, mengikut nada Izham.
Dia memang suka mengajuk cara lelaki itu bercakap. Padanya Izham punya gaya yang menarik bila bercakap. Maklumlah rupa Izham tu ada iras-iras Farid Kamil, pelakon lelaki pujaannya. Kalau dilonggokkan jejaka-jejaka sehandsome mana sekalipun, Anizan tetap memilih Farid Kamil, padanya pelakon itu punyai karisma tersendiri. Cara dia tersenyum, ketawa tambah kalau buat gaya ala-ala jantan macho, mak oi! Cair bila tengok! Balik rumah nanti dia akan tengok VCD cerita Remp-It, dia dah tengok cerita tu hampir sepuluh kali. Ni apa ceritanya ni, ke Farid Kamil pula perginya.
Balik sahaja dari warung kak Nah depan pejabat mereka, dia terus ke bilik Izham dengan membawa bungkusan nasi lemak yang dipesan Izham. Nasi lemak yang dibuat kak Nah ni, memang best! Cukup santan, cukup garam, bila dia buka sahaja periuk nasi lemaknya tu, dah buat orang lapar. Mana taknya bau daun pandan segar, memang mengancam. Kalau pagi tu sebelum pukul sepuluh dah habis dah. Selalunya orang yang datang bukannya beli sebungkus, paling tidak pun dua tiga bungkus baru puas!
“Bos, ni nasi lemaknya, err…ada apa-apa lagi?” dengan penuh sopan, Anizan meletakkan nasi lemak beserta pinggan dan sudunya sekali.
“Awak dah makan?” pertanyaan itu hanya dibalas dengan gelengan.
Bukan apa, terkujat juga bila tiba-tiba mamat ni bersuara lembut dan romantis ni, apahal? Buang tebiat kot!
“Awak makan dulu, tapi sebelum tu awak ambil duit ni, belikan saya satu jambangan bunga mawar warna putih dan merah. Suruh budak kedai tu buat cantik-cantik, lepas tu awak hantar di alamat ni, bagi pada Cik Sofea?” Izham menghulurkan sekeping wang kertas ungu kepada gadis tomboy itu.
Dia mengambil wang kertas seratus ringgit dan alamat yang diberi Izham. Patutlah buat baik, nak pujuk awek rupanya, siap pakai bunga, memang jiwang karat betul mamat ni. Tak rock langsung!
“Bunga je ke? Hadiah-hadiah tak de? Bagilah coklat ke, perfume ke… lagi cun! Sure dia terharu punya!” Izham termenung sejenak mendengar cadangan Anizan.
“Dia tak makan coklat, takut gemuk! Harga perfume dia pun nak dekat sama dengan gaji awak, tak kuasa saya buang duit banyak-banyak. Nanti birthday dia pun nak kena bagi juga!” balasnya dalam seribu kerutan di dahi.
Anizan hampir nak tergelak mendengar kata-kata Izham. Kedekut juga bos aku ni. Dengan awek sendiri pun nak kedekut! Tak boleh buat laki ni, mana taknya, dekat sebulan awek merajuk, baru teringat nak bagi bunga?

No comments: