Monday, November 10, 2008

Aku Bukan Untukmu - 7

“Anizan, awak dah buat apa yang saya suruh?” tanya Izham sebaik sahaja nampak kelibat Anizan menuju ke meja Zaharah.
“Dah boss! Cik Sofea dah sign dalam dispatch record ni…” Anizan menunjukkan bukti tandatangan Sofea yang tertera di dalam rekodnya.
Izham menghela nafas lega. Lalu dia masuk semula ke biliknya dan mahu menghubungi teman wanitanya itu. Dia perlu memujuk Sofea kalau tidak mahu Amira menjadi isterinya. Tempoh untuk dia membawa calonnya sudah hampir. Sudah hampir empat kali dia cuba menghubungi gadis itu, tapi Sofea langsung tidak mahu menjawab panggilannya.
- Takkanlah dah pujuk dengan bunga masih nak merajuk. Susah betul dengan perempuan ni, kalau dia ada pilihan lain, tak payah dia bersusah payah nak memujuk gadis itu.
“Amacam Ham, dah settle?” tepukan di bahunya membuatkannya sedikit terperanjat. Melihat sahaja wajah monyok Izham, Hasrul sudah dapat jawapannya.
“Rul, hari ni kita kena lunch dengan client baru, Haji Ghani, director of Maju Mahir Development. Dia minta kita jadi panel lawyer untuk uruskan jualbeli rumah, dua ratus unit,” ujarnya mengubah tajuk.
Itu adalah kebiasaan Izham, kalau di pejabat, jarang dia mahu berbual tentang hal peribadi. Dia lebih mementingkan kerjayanya dari hal peribadinya. Sebab itu juga Hasrul tidak teragak-agak untuk menjadi rakan kongsinya. Kerana dia faham tentang Izham dan mereka memang serasi berkawan sejak menuntut di Universiti dulu. Satu lagi yang Hasrul suka tentang kepandaian Izham dalam berkomunikasi dengan client. Sungguhpun cara komunikasinya dengan kekasih hati, tidak berjaya, tapi dengan client, Izham cemerlang. Kalau tidak masakan firma mereka yang baru beroperasi setahun jagung sudah menjadi panel kepada syarikat insuran, bank dan sekarang sudah dapat client baru juga mahukan mereka menjadi panel lawyer. Rezeki datang bergolek.
Walaupun kerja yang mereka dapat tidak banyak tapi, sekurang-kurangnya setiap bulan mereka tidak perlu risau dengan pendapatan syarikat. Kebanyakan firma guaman bumiputra yang baru dibuka, tanpa perkongsian dengan bangsa lain adakalanya cuma mampu bertahan beberapa tahun kerana tiada client yang besar yang dapat diharapkan untuk pulangan yang baik setiap bulan. Insya-Allah, firma guaman Hasrul, Izham & Co. akan bertahan selamanya dengan usaha gigih mereka.

No comments: