Monday, November 17, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 14

BAB EMPAT BELAS

Hari ini dia langsung tidak ke pejabat, selesai sahaja kes sebutan di Batu Pahat, dia terus pulang ke rumah, letih akibat perjalanan yang amat jauh. Kes pagi tadi menunggu tarikh bicara dari Mahkamah bulan depan, manakan tidak anak guamnya tidak mahu menerima tawaran dari pihak Insuran.

Dia mahukan penyelesaian lebih dari apa yang pihak insuran tawarkan. Tawaran yang diberikan pihak insuran ditolak bulat-bulat oleh anak guamnya. Mengikut liabiliti sebenar, gantirugi itu cuma akan dibayar lebih kurang amaun yang ditawarkan, tapi disebabkan anak guamnya tetap berdegil tidak mahu menerimanya, Mazwin terpaksa akur dan kes itu terpaksa dibicarakan, ianya akan memanjangkan masa dan kosnya juga bertambah.

Tapi apa nak buat, dia bekerja untuk orang, mahu tidak mahu terpaksa menurut apa yang diminta oleh klien, walaupun sudah berkali Mazwin menasihati kliennya itu. Adakalanya dia letih melayan kehendak klien yang kelabu mata bila mendengar tentang wang ribuan ringgit.

Pulang sahaja ke rumah dia terus duduk melunjurkan kaki ke kerusi, meregangkan segala kelenguhan ketika memandu.
“Baru balik Mazwin? Mak tak dengar bunyi kereta pun…” Manisah menjenguk ke luar bila melihat anak gadisnya sedang melepaskan lelah. Dia masuk semula ke dapur kemudian keluar membawa segelas minuman sejuk dan sepiring kuih keria.

“Rajin mak buat kuih petang-petang ni, biasanya hari minggu je…”

“Tadi, mak uda kau bawa orang datang nak tengok kau…” Manisah meletakkan dulang ke meja kecil di sebelah Mazwin, dia menunggu reaksi Mazwin. Anak itu cuma diam, tanpa apa-apa reaksi.

“Ini gambarnya, Awin… kacak juga orangnya, kerja pegawai di Pejabat Daerah…namanya, Azmi…” dia menghulurkan sekeping gambar kepada Mazwin, hulurannya disambut tapi Mazwin hanya merenung gambar itu acuh tak acuh.

“Mak, kan saya dah cakap, belum tiba lagi masanya saya nak kahwin mak. Mak janganlah layan mak uda tu sangat. Hidup kita ni baru nak senang mak, baru nak merasa hidup macam orang lain. Tunggulah mak, ada jodoh nanti saya kahwin, mak jangan risau. Cakap kat mak uda tu saya sudah ada pilihan sendiri…” ujarnya lembut, dia memang tidak pernah menyakiti hati Manisah.

Kata-katanya selalu sopan walaupun dia sedang marah, tidak pernah walau sekali dia meninggikan suaranya pada adik-adiknya apatah lagi pada orang tuanya. Andai dia tidak bersetuju dalam sesuatu perkara dia akan bercakap perlahan sambil tangannya akan memicit lembut bahu emaknya itu.

“Nanti mak cakapkan, Win. Mak bukan tak tahu hati Awin, tapi bila mak uda kau beriya-iya, mak tak tahu nak buat apa, dah orang datang mak sambut ajelah…” terang Manisah, ikhlas.

Diambilnya semula gambar Azmi, bukannya dia mahu sangat bermenantu, tapi adiknya, si Miskiah, tidak henti mendesaknya menyuruh Mazwin berkahwin. Tapi bila di depan anak sulungnya itu, takut pula si Kiah tu nak bersuara, kalau Mazwin tiada bukan main riuh lagi mulutnya.

“Kak Nisah nak biarkan si Mazwin tu jadi anak dara tua ke? Tengok anak si Jamal yang duduk sebelah dewan tu, dah tua tak mahu kahwin-kahwin, last-last laki orang disambarnya, minta simpanglah kak oii…janganlah ada keturunan kita mengambil laki orang!” terjuih-juih mulut si Miskiah bercerita tentang anak Jamal.

“Dah dia tak mahu kahwin lagi, lagipun dia baru je kerja Kiah, tak sampai setahun pun lagi, biarlah dia kumpul duit dulu…” jawab Manisah, tangannya masih lagi mengait untuk membuat lapik kusyen yang baru dibeli Mazwin bulan lepas.

“Eh! Bukan dia yang meminang orang, orang yang pinang dia, kak. Tak kisahlah kalau dia tak ada menyimpan pun. Yang penting orang tu bergaji besar, Kak Nisah…bukan calang-calang orang!”

Miskiah tetap tidak mahu mengalah, bukan apa dia memang berkenankan dengan si Azmi anak kepada Dato’ Selamat, wakil rakyat di daerah itu. Bukan senang nak bersaudarakan orang besar-besar ni, nak harapkan anak dia, belajar pun setakat SPM je, takkanlah orang tu mahu.

Lagipun senang sikit dia nak menjawat jawatan ketua wanita kampung ni, tak adalah dah berbelas tahun jadi AJK tak pernah sekalipun diundi untuk jawatan pengerusi. Kalau dah ada kabel ni, lain sikit, orang pandang pun hormat!
“Kalau macam tu kau halakan aje dengan anak dara kau si Hayati tu habis cerita takpun kau aje yang kahwin…” balas Manisah.

“Kak Nisah tulah, orang nak halakan anak dia anak orang pula yang disibuknya. Kiah bukan apa, kalau boleh biarlah Mazwin tu berkahwin dengan orang yang berada, senangkan akak juga nanti…” kata-kata Miskiah membuatkannya tersenyum sinis. Sibukkan anak orang konon, dia tu tak sibukkan anak orang ke?

“Mazwin tu dah ada pilihan sendiri, kau tak perasan ke budak lelaki yang selalu hantar dia balik dulu? Sejak sekolah lagi mereka berkawan, sekarang budak tu dah jadi akauntan… tu yang si Awin tak mahukan orang lain tu…” ujarnya, bukan apa cuma mahu menutup mulut adiknya itu yang terlalu asyik sibukkan hal orang lain, walhal hal anaknya sendiri langsung tak ambil peduli.

Saat itu juga Manisah terkenangkan Syahirwan, anak muda yang memang diharapnya untuk menjadi menantu. Pada pandangannya Syahirwan cukup sempurna untuk dijadikan calon suami, orangnya sopan-santun, hormat orang tua, berpelajaran tinggi, sepadan dengan anak gadis itu.
Tapi takkan dia yang mahu tersorong-sorong menyuruh Syahirwan meminang Mazwin, lagipun belum pernah sekalipun Syahirwan menyatakan tentang perasaannya terhadap Mazwin, cuma anak muda itu selalu berseloroh memanggilnya dengan panggilan, mak. Manisah tidak pernah lupa mendoakan Mazwin dipertemukan jodoh yang baik setiap kali selesai bersolat, dia juga berdoa semoga Allah menjodohkan Mazwin dan Syahirwan.

Dia amat menyenangi pemuda itu seperti anaknya sendiri, malah kadangkala anak muda itu begitu manja berbanding anaknya sendiri. Dia tahu Syahirwan memang sudah lama hendak memikat anak sulungnya itu, tapi Mazwin bagaikan tidak mahu memahaminya. Puas Syahirwan berkias dengan gadis itu, tapi Mazwin seperti biasa tidak membalas langsung kiasan itu, adakan tidak dia cuma ketawa sambil menyindir pemuda itu. Syahirwan pula tidak pernah jemu-jemu datang bertandang, takkan nak dihalau orang dah datang.

******************

“Sedaplah asam pedas ikan pari ni, kalau saya datang makan hari-hari tak apa ke mak?” pinta Syahirwan, tidak berhenti tangannya menyudu kuah asam pedas dan menghirupnya.
Manisah seronok melihat anak muda itu makan, sudah dua kali dia menambah nasi, habis semangkuk kuah asam pedas di hirupnya, gemar benar anak muda itu dengan asam pedas ikan pari, tambah pula ianya hasil air tangan Mazwin.

“Tak tahu malu, datang pun orang tak jemput, lagi nak datang hari-hari…” perli Mazwin bila dilihatnya Syahirwan langsung tidak segan silu menghabiskan hidangan di atas meja.

Seronok juga melihat Syahirwan makan, penuh berselera tapi kadangkala hujung minggunya membosankan dengan kehadiran Syahirwan.

- Dia ni macam tak ada keluarga, asal hujung minggu je di sinilah dia menempek lepas tu mulut pula tak reti nak diam, dua puluh empat jam berkicau macam murai. Kalau berkicau tu tak mengacau aku, tak apalah juga ni tidak, sudahlah dari pagi sampai petang bertunggu tangga di sini, lepas tu asyik memerintah aku masak itu ini. Macamlah aku ni tukang masak dia. Yang emak pun layanlah dia macam putera raja, siap marah-marah kalau aku tak sudi nak masakkan untuknya.

“Cancel lah mak cik, Mazwin tak suka saya datang sini…” ujarnya perlahan, seakan merajuk.

- Merajuklah konon, dah lah mak aku tu dah berkenan pada kau, lagi kau selalu datang lagi mak aku bising suruh kahwin…

“Bukan tak suka, tapi menyampah! Eh! Aku melawak jelah, mengada-ngadalah kau ni, nak merajuk pula…kau datang sini hari-hari lagilah mak aku suka, sebab dalam rumah ni tak ada orang bermulut murai macam kau, pot-pet, pot-pet, mengalahkan perempuan!” Mazwin ketawa gelihati bila melihat Syahirwan yang sengaja memuncungkan bibirnya.

“Kau jangan kutuk aku lebih-lebih Win, aku pinang kau karang, baru padan dengan muka kau dapat laki suka pot-pet, pot-pet. Mak cik, berapa hantaran si Mazwin ni, saya nak pinang dia sekarang!” usikan Syahirwan membuatkan Mazwin mencebik, meluat. Macamlah aku ni anak ayam, suka hati je nak sebarangan.

“Kau ingat aku ni anak ayam? Kalau tak ada lima puluh ribu, jangan dekat… Aku ni mata duitan, kau tengok mata aku ada tulis RM tak?” balas Mazwin, sambil menjegilkan matanya ke arah Syahirwan.

“Betul lah Win, tapi bukan RM, Rupiah…aku sanggup kalau lima puluh ribu rupiah, sekarang pun aku boleh bagi…” seloroh Syahirwan lagi, kali ini Mazwin pura-pura menjelingnya.

“Kalau nak meminang, kena ikut adat. Mulanya merisik, kemudian bertunang… mana boleh terus nak bayar hantaran kemudian nikah!” kata-kata Manisah membuatkan Syahirwan tersengih.

Manisah merenung Mazwin dengan pandangan bermakna. Mazwin pula yang seram bila melihat emaknya memandangnya begitu.

- Hish! Mak ni orang main-main aje, bukannya betul. Takkanlah aku nak berkahwin dengan Syahirwan ni. Otak pun tak berapa nak betul. Jadi kawan dia pun aku sudah pening kepala, nak jadi suami? Mahu roboh rumah asyik kena usik dengannya.

“Mak cik dah bagi green light… bila boleh saya hantar rombongan?” Syahirwan menggosok telapak tangannya sambil memandang Mazwin yang sudah terdiam.

“Tanya dulu tuan empunya diri dah berpunya ke belum, kot nanti merana pula kena kahwin paksa!” ujar Manisah lagi. Menjeling dengan ekor mata ke arah Mazwin, anak sulongnya itu masih seperti tadi tetap bersahaja.

“Tuan hamba, sudikah kiranya tuan hamba jadi permaisuri hamba…” ucap Syahirwan bagaikan mahu memulakan drama bangsawan.

- Betullah lelaki ini tidak malu, ada ke depan-depan mak aku pergi tanya benda macam ni, tak logic langsung!

“Jangan buat lawaklah, Wan! Malas aku nak layan kau…” Mazwin terus bangun mengangkat pinggan-pinggan kotor ke sinki, si Syahirwan tak boleh dilayan sangat, makin dilayan makin menjadi.

“Orang tua-tua kata, kalau dah muka macam malu-malu nak jawab, lepas tu siap lari-lari lagi, maknanya sudilah tu…” usik Syahirwan yang masih tak jemu untuk mengetahui isi hati Mazwin.

Mazwin mengeluh, membiarkan saja kata-kata lelaki itu, dia tidak mahu lelaki itu terasa hati, apatah lagi hati emaknya yang memang kepingin bermenantukan Syahirwan, sudah tentu akan terasa juga bila Syahirwan dikasari. Bukan dia tak sudi, bodohlah pada siapa yang menolak cinta dari lelaki ini, dia punyai segalanya, rupa, kerjaya, pandai mengambil hati, pandai berjenaka dan boleh dikatakan segala criteria seorang jejaka idaman ada pada Syahirwan, tapi malangnya hatinya tidak terbuka lagi untuk semua itu.

Hatinya sudah dibawa Haizam terlebih dahulu, mana mungkin dia boleh lupa pada cinta Haizam, walaupun hati Haizam tak begitu kukuh menyintainya tapi perasaannya yang baru dipupuk sukar untuk dia padamkan.

Semasa zaman remajanya juga dia tidak pernah fikirkan tentang teman lelaki, dia hanya fikirkan bagaimana nak mencari wang sehingga dia bertemu Haizam, lelaki yang pertama sudi menghulur cinta padanya, tapi setelah dia benar-benar menyintainya, dengan senang lelaki itu memutuskan hubungan tanpa sempat dia membela diri. Mana mungkin dia akan terus hidup dibayangi cinta semalam, dia harus menyimpan cinta baru, tapi masih belum tiba masanya, mana tahu mungkin cinta barunya adalah Syahirwan atau mungkin juga orang lain, dia sendiri tak tahu.

Lagi pun bila terkenangkan peristiwa hitam hidupnya, dia mulai tawar untuk bercinta, baginya tidak akan ada lelaki yang sanggup menerima dirinya seadanya. Tidak mungkin ada lelaki sanggup memperisterikan gadis yang sudah rosak. Masih adakah sinar cinta suci untuk gadis sepertinya? Mampukah dia berterus-terang pada Syahirwan tentang dirinya dan sanggupkah Syahirwan menjadi teman hidupnya andai dia mengetahui Mazwin sudah tidak suci lagi? Mazwin sentiasa mencari jawapan tapi persoalan itu masih tidak dapat dijawab sehingga kini.

No comments: