Monday, November 17, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 18

BAB LAPAN BELAS

Syahirwan dan Mazwin jalan bergandingan menuju je banglo mewah yang sedang meriah melangsungkan majlis perkahwinan untuk Yanti dan Zakri. Mereka memakai pakaian dari warna yang sedondon, Syahirwan memakai baju melayu satin bewarna biru lembut, lengkap bersamping dan songkok manakala Mazwin pula memakai kebaya pendek bewarna sama juga diperbuat dari kain satin.

Pada mulanya Syahirwan tidak mahu turut serta menghadiri majlis itu, maklumlah dia pernah dikecewakan oleh si pengantin perempuan, berpuluh kali Mazwin memujuk anak muda itu supaya hadir, malah dia sudah menempah pakaian untuk Syahirwan. Pelbagai alasan yang keluar dari mulut Syahirwan, Mazwin pura-pura merajuk dan tidak mahu menghubunginya beberapa hari, tidak sangka pula Syahirwan boleh kalah dengan rajuknya dan akhirnya lelaki itu bersetuju.

Mereka yang baru sahaja sampai di perkarangan banglo itu terus masuk, Mazwin meninggalkan Syahirwan yang sudah menemui kawan berbual. Dia terus masuk menuju ke kamar pengantin, dilihatnya Yanti begitu anggun dalam pakaian persandingan bewarna jingga muda.
“Selamat Pengantin baru, Yanti!” ucap Mazwin.

Diciumnya pipi temannya itu kiri dan kanan, Yanti hampir mahu menitiskan air mata melihat kehadiran Mazwin.

“Terima kasih, Mazwin. Syahir ikut tak?” tanya Yanti.

Bukannya dia mahu melihat kekecewaan di wajah lelaki itu. Dia hanya mengharapkan secebis kemaafan dari Syahirwan, andai Syahirwan sudi hadir, bermakna, lelaki itu sudah memaafkannya.

“Dia ada di bawah, sedang berbual dengan Rizal dan Hakim. Kau cantik sekali. Kau dengan Zakri memang sepadan!” pujian Mazwin dibalasnya dengan senyuman.

“Kau dan Syahir pun sepadan. Bila dia nak mengikat kau? Aku tak sabar nak tengok kalian naik pelamin…” giat Yanti.

Memang dia gembira bila dapat tahu Mazwin sudah mulai rapat dengan Syahirwan. Kalau boleh dia tak mahu Syahirwan jatuh ke tangan orang lain, kerana dia tahu Mazwin adalah gadis yang selayaknya berada di sisi Syahirwan.

“Bukan dia yang mengikat aku. Aku yang akan ikat dia!” gurau Mazwin.

Dia tidak mahu bercerita tentang hubungannya dan Syahirwan, bukan apa tak mahu ianya merosakkan mood Yanti kerana dia dapat rasakan Yanti masih lagi menyimpan perasaan terhadap Syahirwan. Bukannya Mazwin cemburu, sedikit pun dia tidak cemburu, tetapi mana mungkin cerita tentang bekas kekasih boleh menceriakan hati si pengantin di hari persandingannya. Dia tidak mahu Yanti digigit rasa berterusan.

“Maz, nanti kau jadi pengapit aku ye. Aku nervous ni…” pinta Yanti.

Kedengaran paluan kompang memeriahkan suasana majlis, mungkin kerana pengantin lelaki sudah tiba. Ada suara meminta pengantin perempuan keluar kerana rombongan mempelai sudah mulai menghampiri pagar, Mazwin mengiringi temannya itu menuju ke tingkat bawah.

“Selamat menjadi raja sehari, Min!” ucap Syahirwan sebaik sahaja dia melihat Mazwin dan Yanti keluar ke muka pintu, menantikan rombongan Zakri.

“Terima kasih, Syah!” ucap Yanti, sungguh dia lega melihat Syahirwan sudi datang ke majlisnya dan sudah bercakap dengannya setelah lebih dari setahun mereka tidak berhubungan.

Dia bertambah gembira melihat pakaian Syahirwan dan Mazwin bewarna sedondon, sudah pasti, mereka sudah mulai mengikat kasih bersama. Syahirwan sudah berdiri di sisi Mazwin, juga mahu menyambut rombongan Zakri, baginya sekarang tiada wanita lain yang lebih berseri melainkan Mazwin.

Memang sejak mula mereka datang, hatinya tidak henti memuji kecantikan Mazwin. Sebelum ini belum pernah lagi dia melihat Mazwin memakai kebaya dan mengenakan solekan, walaupun hanya solekan nipis tapi gadis itu tetap menawan.

“Aku bayangkan macam kita pula yang jadi pengantin!” usik Syahirwan, lantas dirasakan ada cubitan halus singgah di lengannya.
Syahirwan mengaduh kecil, kemudian tersenyum nakal bila Mazwin menjelingnya sementara itu juga Syahirwan menyedari ada sepasang mata yang bagaikan cemburu melihat kemesraan mereka. Syahirwan sedar ada mata yang memerhatikan mereka sejak mereka sampai ke majlis Yanti. Dia merenung semula ke arah orang itu, pantas tuan punya mata mengalihkan pandangannya ke arah lain, ingin diberitahu kepada Mazwin, tapi gadis itu sedang sibuk mengapit Yanti. Sebaik sahaja kedua mempelai menaiki singgahsana, dia kemudian keluar mencari tuan punya mata yang begitu asyik memerhatikan mereka.

“Kau datang seorang, Har?” tegur Syahirwan.

Harliana yang sedang membetulkan duduknya bagaikan serba salah bila Syahirwan menegurnya, dia cuba menyembunyikan perutnya yang sudah mulai memboyot dari pandangan mata Syahirwan. Tetapi Syahirwan terlebih dahulu melihat Harliana semasa dia dan Mazwin sampai tadi.

“Kau dengan Mazwin nampak bahagiakan? Kalian memang secocok!” Harliana masih menundukkan wajahnya, tidak mahu bertentang mata dengan bekas kekasihnya itu.

“Bila kau kahwin? Tahu-tahu dah pregnant je… Mana Fauzi, dari tadi aku tak nampak?” Syahirwan masih mahu bertanya tentang wanita itu dan suaminya.

“Fauzi dah tinggalkan aku sebaik sahaja aku mengandung. Kami terlanjur, kemudian berkahwin atas desakan keluarga. Selepas beberapa bulan, ketika kandunganku mencecah lima bulan, dia tinggalkan aku, lari mengikut kekasihnya ke Sabah,” payah bagi Harliana untuk meneruskan ceritanya. Airmatanya tiba-tiba terasa ingin mengalir. Cepat jarinya menyeka.

“Aku balik ke sini semula dan bertemu Yasmin, dan Yasmin bagi aku bekerja dengannya bagi menanggung hidupku. Keluarga aku sudah tak mahu menerima aku, Syah,” sambung Harliana lagi.

Airmata yang sudah diseka tadi masih mahu jatuh. Namun ditahannya. Syahirwan yang berada disebelahnya cuma mendengar, simpati.

“Har, aku turut bersimpati pada kau!” suara itu membuatkan mereka menoleh.

Syahirwan terkejut bila tiba-tiba Mazwin berada di situ. Dia serba salah, melihat Mazwin sudah duduk di sebelah Harliana. Kalau boleh Syahirwan tak mahu Mazwin mengesyaki apa-apa.

“Sejak bila Awin ada di sini?” Mazwin senyum mendengar pertanyaan Syahirwan.

“Tadi, aku cari kau, nak ajak makan sama, nampak kau tengah berbual di sini, aku ingatkan dengan siapa, rupanya Harliana! Lama kita tak jumpa ye Har, rindu!”

Dengan mesra Mazwin memeluk Harliana. Harliana dapat rasakan pelukan mesra itu bukannya pura-pura, pelukan Mazwin erat umpama meluahkan rasa rindu terhadapnya. Harliana kelu, dia tidak mahu Mazwin berprasangka padanya, dia bukan mahu menagih simpati dari Syahirwan, juga bukannya mahu merayu Syahirwan mengambilnya semula. Cuma dia ingin meluahkan kekesalannya terhadap apa yang dilakukan terhadap Syahirwan dulu.

“Har dah makan? Jom makan sama aku dengan Wan! Kitorang tak makan lagi…” ajak Mazwin.
Ditariknya lembut tangan Syahirwan, bukan dia mahu menunjuk-nunjuk di hadapan Harliana, tapi dia tak mahu Syahirwan berasa serba salah. Sebenarnya dia langsung tak cemburu, dia tahu Syahirwan tak mungkin akan berpaling darinya, dia percayakan Syahirwan seratus peratus, kerana cintanya pada Syahirwan sudah menyerap jauh ke dalam hatinya.

Dia juga tak mahu Syahirwan menganggapnya perempuan yang suka mengongkong, lagipun apa gunanya dia mahu mengongkong, sedangkan mereka baru sahaja menjalin kasih.

Mereka berbual lama, semasa makan, ternyata tiada riak irihati di wajah Mazwin, walaupun Syahirwan dengan sengaja melayan Harliana, menuangkan air untuknya, mencedukkan lauk-pauk ke pinggannya. Semua dilakukan untuk menerbitkan rasa cemburu pada gadis itu, tetapi ternyata Mazwin bukan mudah berperasaan sebegitu, dia tetap tersenyum sambil tangannya juga sendukkan nasi ke pinggan Syahirwan sendiri.

Hati lelakinya bagai tercabar, sayangkah Mazwin padanya atau gadis cuma berpura-pura menyintainya sedangkan hatinya masih ada budak dispatch itu…
“Kau langsung tak cemburu bila aku berbual dengan Harliana?” tanya Syahirwan, bila mereka pulang bersama dari rumah Yasmin.

Hatinya sedikit terasa bila melihat wajah Mazwin langsung tiada riak cemburu bila melihat dia berbual dengan Harliana, malah gadis itu melayani bekas kekasihnya seperti tiada apa-apa yang terjalin antara mereka.

“Cemburu? Nak cemburu kenapa? Kita bukannya ada ikatan lagi, Wan. Apa yang kau buat, aku tiada hak untuk menghalang, lainlah kalau kau dah jadi suami, at least tunang aku, masa tu barulah aku boleh nak cemburu!” jawapan Mazwin memang tepat hingga Syahirwan bingung dengan jawapan itu.

“Maknanya kau tak sayangkan aku? Kan cemburu tu tanda sayang?” Syahirwan masih mahu tahu apa yang tersirat di hati Mazwin, hati kecil gadis itu sukar diramal.

Mazwin bagaikan malas nak menjawab pertanyaan itu, baginya kasih sayang tidak boleh diukur dengan cemburu, tak mungkin semakin kurang rasa cemburu maka semakin kurang juga rasa sayang begitu juga sebaliknya, alasan itu adalah alasan kuno pasangan kekasih, mana mungkin kita boleh memaksa hati untuk cemburu sedangkan kepercayaan adalah ukuran kasih sayang.
Dia memang sayangkan Syahirwan, teramat sayang namun sayangnya itu tak mampu diluah dengan kata-kata, ianya kukuh tersemat dalam hati. Memang selepas melihat Syahirwan bertemu semula dengan Harliana hatinya sedikit resah, takut kalau-kalau Syahirwan berubah hati.

Namun mana mungkin dia boleh menahan perasaan orang lain? Andai memang tidak ditakdirkan jodohnya dengan Syahirwan apa yang boleh dia lakukan? Memang dia tak mahu kehilangan Syahirwan, tapi dia tidak berdaya menghalang andai Syahirwan berubah hati. Semuanya bukan kehendaknya, dia cuma mampu merancang dan mampu menyayangi, tapi segala kehendak Tuhan, tak mampu disangkal. Mazwin hanya percaya pada prinsipnya, andai Syahirwan menyayanginya, pasti lelaki itu ada di sisinya, tapi jika sebaliknya, untuk apa lagi dia menunggu orang yang tak sudi.

“Mazwin, are you still here?” Syahirwan memetik jarinya dihadapan gadis itu.

Dia sudah beberapa minit memberhentikan keretanya di tepi Taman Polo, tempat riadah yang terkenal di Bandar ini. Mazwin tersentak, jauh dia mengelamun sampai tidak sedar mereka sudah sampai ke destinasi.

“I’m sorry, Wan! Entah sampai mana aku berangan!” tawanya kecil dan bersahaja.

“Kau tengah fikir jawapan pada soalan aku? Soalan yang sesenang itu pun kau tak boleh nak jawabkan untuk aku. Kau buat aku tak yakin yang kau sayangkan aku!” suara Syahirwan seolah-olah merajuk.

“Kasih sayang tak perlu diungkapkan berkali-kali, Wan. Cukuplah ianya terpahat indah dalam hati. Selagi aku tak ada orang lain, bermakna aku masih lagi sayangkan kau!” luahnya, ikhlas.

Memang perasaan sayang itu teramat indah sehingga tidak terungkap. Cara kita menafsirkan sayang berbeza-beza, dan bagi Mazwin perasaannya tidak perlu diucap cukuplah dibuktikan dengan kesetiaannya. Syahirwan langsung tidak mahu membicarakannya lagi, hati Mazwin begitu sukar untuk diselami, setiap kata-katanya terlalu tersirat. Cukuplah kalau dia sudah dapat rasakan perhatian Mazwin, itu sudah memadai baginya sebagai bukti Mazwin juga cintakannya.

No comments: