Monday, November 17, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 20

BAB DUA PULUH
Marhanis menyeret beg besar yang beroda ke arah bangku yang terletak di dalam stesen bas ekspress. Dia merungut sendirian, sejak bas yang dinaikinya keluar dari lebuhraya PLUS berpuluh kali dia mendail nombor telefon Mazwin, tetapi kakaknya itu mematikan telefon bimbitnya. Moodnya sudah rosak tatkala cuti semester baru sahaja bermula.

Tapi semua itu berpunca dari kesalahannya juga, bila Mazwin menawarkan diri untuk mengambilnya dari kolej dia berkeras menolak, kononnya tidak mahu kakaknya itu bersusah payah memandu sebegitu jauh semata-mata untuk mengambilnya pulang bercuti. Dia berpendapat mungkin kakaknya di dalam mahkamah ketika itu, tapi mahkamah buka ke hari Sabtu?

Kan semua jabatan kerajaan sudah mula bekerja lima hari seminggu, sudah tentu hari Sabtu dan Ahad adalah hari kelepasan, pening kepalanya memikirkan persoalan seremeh itu. Marhanis terus membiarkan sahaja persoalan itu, dia terpaksa pulang sendiri juga, takkan nak tunggu kak long sampai petang? Buang masa sahaja… Mahu tidak mahu terpaksalah dia menunggu teksi untuk pulang ke rumah.
Sekali lagi Marhanis menyeret beg berodanya ke perhentian teksi di seberang jalan. Naik teksi di bandar ini terpaksa berhati-hati sedikit, maklumlah bandaraya ni tiada teksi yang bermeter dan kebanyakan pemandu teksi di sini suka mencari untung lebih dengan menaikkan tambang yang kadangkala tidak masuk akal langsung.

Setelah memastikan tiada kenderaan akan melalui jalan itu, Marhanis terus melintas dan tiba-tiba sebuah motorsikal meluncur laju lalu melanggar begnya, Marhanis tidak sempat mengelak lalu terjatuh.

“Hoi! Tak guna punya mat rempit!” jerit Marhanis, tetapi ternyata jeritan hanya sekadar di situ, mat rempit itu pergi begitu sahaja tanpa memberhentikan motorsikalnya.

“Adik tak apa-apa?” tanya seorang lelaki yang kebetulan berhenti di hadapan Marhanis.

Marhanis yang sedang tunduk menggosok sikunya yang bercalar akibat tergesel di jalanraya itu. Sikunya itu berdarah, jeannya juga terkoyak di bahagian lutut dan kepala lututnya mengalami kecederaan sedikit.
“Luka sikit saja… er… encik nampak tak nombor plat motor tadi tu? Saya nak pergi balai polis dulu untuk buat repot.” Marhanis mengangkat muka memandang lelaki itu.

“Insyaallah, saya ingat…mari saya tolong bawakan awak ke balai…” lelaki yang baik hati itu, menolongnya bangun, Marhanis terpegun.

Rupanya masih ada lagi pemuda sebaik ini pada zaman sekarang? Ingatkan semua pemuda di Malaysia ni sudah bertukar jadi kurang ajar macam mat rempit tadi tu! Tak pasal-pasal aku dirempitnya! Mujur lukanya sedikit, kalau serius, sudah tentu dia akan dibawa ke hospital. Sudahlah cuti semester baru bermula, malang pula datang bertimpa.

Pemuda yang baik hati tadi membawanya ke balai polis, setelah membuat laporan, pemuda itu membawanya ke klinik pula. Sungguh Marhanis tak menyangka ada lelaki yang sebaik itu, padahal mereka langsung tidak mengenali antara satu sama lain cuma kenal nama itupun semasa membuat laporan polis tadi, dan pemuda itu mengaku menjadi saksi kejadian.

“Terima kasih encik Haizam! Tuhan je yang dapat balas budi baik encik Haizam…” ucap Marhanis.
“Sama-sama, hari ni hari Hanis. Mana tahu esok lusa hari saya pula, ini nombor telefon saya, kalau ada apa-apa call je ye… ataupun Hanis mahu saya hantar Hanis balik rumah? Tapi naik motor ajelah…” pemuda itu menghulurkan secebis kertas tertera nombor telefonnya.

“Tak apalah encik! Terima kasih, saya boleh naik teksi, ini nombor telefon saya… senang-senang call lah…?”

“Tak payahlah nak berencik-encik dengan saya, Hanis. Panggil je Haizam, lenguh saya dengar…”

“Kalau macam tu saya panggil Abang Zam ajelah, maklumlah Abang Zam lebih tua dari saya, jadi panggilan itu adalah penghormatan dari saya…” ujarnya, bukan apa kadangkala ada lelaki akan salah faham dengan panggilan itu, tapi bagi Marhanis panggilan ‘Abang’ adalah panggilan hormat untuk orang yang lebih tua, lebih berilmu dan adalah sebaik panggilan untuk suami.

“Apa-apa ajelah Hanis… nanti Abang Zam tahankan teksi untuk Hanis…” lelaki itu sudah mula menarik beg berodanya dan menahan teksi untuk Marhanis.
Tiada apa lagi yang mampu diucapkan Marhanis bila Haizam yang baru dikenalinya itu melayannya sebaik itu. Sebelum ini dia tidak pernah rapat dengan mana-mana lelaki selain dari adiknya, Arif.

Dengan ayahnya juga dia tidak pernah dilayan sebegitu rupa. Kekasih? Marhanis tidak pernah terfikir untuk mempunyai kekasih walaupun dia sudah agak dewasa dengan usianya sudah mencecah dua puluh dua tahun. Lagipun dia tidak mahu mempersiakan harapan emak dan kak long untuk dia mencapai cita-citanya, walaupun baginya kak long sudah berjaya membawa mereka sekeluarga keluar dari kesusahan yang membelenggu hidup selama ini.

Kak long juga adalah lilin yang memberi cahaya untuk mereka dapat mengecapi kehidupan sesempurna orang lain. Kerana kak long juga mereka tidak lagi makan nasi berlaukkan garam dan berkuahkan air masak. Atas pengorbanan kakaknya yang seorang itu juga mereka dapat belajar tanpa memikirkan soal kewangan yang sentiasa membelit hidup mereka.

Marhanis sedar segala pengorbanan kak long dan emak harus dia balas dan kerana itu juga dia tidak mahu mensia-siakan masanya untuk mempunyai teman lelaki. Kerana baginya semua itu akan merosakkan masa depannya kelak!
Mazwin menghela nafas lega sebaik sahaja kereta Syahirwan keluar dari perkarangan banglo kediaman orang tuanya. Bukannya dia tidak menyukai kedua orang tua Syahirwan, tetapi pertanyaan demi pertanyaan dari kedua orang tua itu membuatkannya tidak selesa. Mazwin sedar siapa dirinya, dia masih sedar antara dia dan Syahirwan bagai langit dan bumi dan kerana itu dia harus berterus-terang, jangan nanti ada yang mengungkit kerana ketidaksenangan terhadap hidupnya yang lampau.

Dia lalu mengajak anak muda itu ke Taman Polo, tempat mereka selalu berbual dan meluahkan perasaan. Mereka memang kerap ke situ, semenjak Syahirwan kehilangan cinta Yasmin. Acapkali mereka ke situ sambil melihat kehijauan padang dan keriuhan kanak-kanak bermain.

“Wan, aku nak beritahu kau sesuatu sebelum kau setuju untuk berkahwin dengan aku! Sebelum itu aku nak minta maaf sebab merahsiakan perkara ini dari pengetahuan kau!” ujarnya bila sahaja mereka masing-masing tidak bersuara sejak pulang dari rumah orang tua Syahirwan.

“Perkara apa? Kau tak suka mak dan ayah aku?” berkerut keningnya melihat wajah Mazwin.

“Bukan pasal tu. Aku suka mak dan ayah kau, mereka baik sangat. Tapi aku tak mahu nanti lepas kahwin kau terasa tertipu dengan aku. Rahsia ni aku simpan hampir dua puluh tahun, Wan dan aku nak kau buat keputusan samada kau masih mahu menerima aku atau tidak? Aku akan terima apa pun keputusan kau…” saat itu Mazwin menggenggam erat jemari Syahirwan, dia perlukan kekuatan untuk meneruskan kata-kata.

“Teruskan, Awin. Aku dengar…” Syahirwan menguis tanah dengan hujung kasutnya.

“Sebenarnya aku! Aku pernah diperkosa oleh pak cik aku sendiri!” luahnya dengan airmatanya mengalir deras.

Dia tidak tahan bila mengenangkan peristiwa hitam itu, yang bakal merubah kehidupannya. Tapi dia tidak sanggup untuk terus merahsiakan dari Syahirwan, tidak sanggup andai bila hati sudah cinta Syahirwan akan meninggalkannya. Dia perlukan sokongan dan kepercayaan Syahirwan sebagai seseorang yang dekat dengannya, walaupun pemuda itu tidak mahu mengambilnya menjadi isteri, cukuplah andai mereka dapat bersahabat seperti sebelum ini.

“Mazwin! Sudahlah, jangan ingat perkara itu lagi. Aku dah lama tahu pasal perkara itu, Yasmin pernah menceritakannya tapi aku terima kau ikhlas, Awin! Dan tak ada sesiapa yang boleh mengubah keputusan aku,” dia menelan liur. Kemudian menyambung kata.

“Pokok pangkalnya aku berkahwin bukan semata-mata mencari teman tidur, dan bagi aku itu semua tak penting. Yang aku cari selama ini, teman untuk aku berkongsi hidup, berkongsi cerita dan cinta…dan aku rasa aku sudah menemuinya, dia adalah kau, Mazwin! Sudikah kau jadi isteri aku?” kata-kata Syahirwan begitu menyentuh perasaannya.

Mazwin betul-betul sebak, tiada lain yang dia nampak dia wajah Syahirwan melainkan keikhlasan pemuda itu terhadapnya. Tetapi dalam pada itu dia tidak menduga yang Yasmin sanggup bercerita tentang aibnya kepada Syahirwan, tidak sangka perkara yang pernah menjadi rahsia dalam hidupnya dibocorkan dengan mudah oleh kawan baiknya sendiri.

Nampaknya selama ini Mazwin salah tanggapan terhadap Yasmin, kawan yang dianggapnya sebagai sahabat yang terbaik telah mengkhianatinya dalam diam.
“Tak sangka Yasmin sanggup bercerita tentang aibku pada kau? Bukankah lebih baik kalau kau tahu sendiri dari mulut aku? Aku kecewa dengan sikap Yasmin, Wan!” kesalnya.

“Sudahlah, lepas ni kau kena berhati-hati dalam mencari kawan untuk bercerita tentang rahsia kau!” nasihat Syahirwan akan dipegangnya teguh.

Terasa serik untuk bercerita sesuatu kepada kawan perempuan, patutlah orang kata perempuan kebanyakannya bermulut tempayan.

“Sekarang aku tak perlu kawan lain, kaukan ada… Aku sayang kau!” ditariknya tangan Syahirwan lalu dikucupnya jari-jemari lelaki itu.

“Tahu tak pe… aku bagi pakej sekali, jadi kawan, jadi boyfriend, jadi suami, jadi bapa kepada anak-anak kau,” dicuitnya hujung hidung Mazwin.

“Hey! Jom balik, belum tiba masanya lagi. Hantar rombongan dulu, kemudian tetapkan hari, lepas tu aku akan bagi segala-galanya pada kau!”

Mazwin tidak mahu akan ada perkara yang tidak baik berlaku sebelum mereka sempat bergelar suami isteri. Dia hanya akan menyerahkan dirinya hanya kepada yang berhak.

“Segala-galanya? Termasuk hati kau?” pertanyaan Syahirwan cuma dibalas dengan senyuman, dia sendiri tiada jawapan untuk itu.

Hatinya memang ingin dibuka untuk Syahirwan tetapi entah mengapa cuma perasaan kasihan yang membuatkan dia berani menyatakan sayang. Padanya dia masih menyayangi Syahirwan sebagai sahabat, walaupun berdetik hatinya untuk menyulam cinta dengan lelaki itu.

Tetapi dia harus membalas setiap keikhlasan yang diberikan Syahirwan dengan cintanya. Mazwin sedar dia harus punya keikhlasan untuk semua itu, setakat ini dia cuma ikhlas untuk menyayangi Syahirwan sebagai sahabat. Mungkin apabila mereka berkahwin nanti baru cinta itu datang.

“Termasuk hati aku, Syahirwan. Aku akan jaga kau dan sentiasa pastikan kau bahagia bila bersama aku! Terima kasih kerana sudi menjadikan aku teman hidup kau! Aku harap suatu hari nanti jangan ada pertelingkahan antara kita, kerana aku rasa aku tak akan sanggup untuk hidup tanpa kau!” tiba-tiba sahaja kata-kata itu keluar dari bibirnya.

Mazwin ikhlas semasa meluahkannya, dia tahu pasti suatu hari nanti sayangnya pada lelaki itu akan terus mendalam. Walaupun adakalanya dia takut andai suatu hari nanti Syahirwan akan mengungkit peristiwa hitam yang pernah terjadi dalam hidupnya.

“Aku pun tak akan sanggup hidup kalau kau tiada di sisi aku, Mazwin!” kata-kata yang keluar dari bibir Syahirwan membuatkan kepercayaan semakin kuat. Dia yakin Syahirwan adalah pilihan yang terbaik untuknya.

Kereta Syahirwan terus meluncur laju membelah jalan meninggalkan Taman Polo, yang menjadi tempat mereka mengikat janji. Seperti biasa dia menghantar Mazwin betul-betul dihadapan rumahnya, seperti biasa juga dia akan singgah sebentar untuk menikmati kopi buatan emak Mazwin.

“Saya kalau tak singgah minum kopi rumah mak cik memang tak sah.” Gurauan Syahirwan membuatkan Manisah senyum meleret.

Anak muda itu memang pandai mengambil hati. Tersenyum-senyum Manisah mendengarnya. Tambahan pula semalam lagi Syahirwan meminta keizinannya membawa anak daranya bertemu keluarga. Hasratnya nak menjalin hubungan dengan anak muda itu semakin cerah.

“Mak cik dah tahu kau nak datang, Wan. Mak cik dah siapkan satu jag untuk kau, kalau tak cukup, mak cik buatkan lagi satu cerek…” gurau Manisah, senang hati.

Lega rasanya bila mendapat tahu yang Mazwin sudah setuju menerima Syahirwan dalam hidupnya. Bukan harta benda yang diukur pada anak muda itu, tetapi dia tahu Syahirwan mampu memberikan kebahagiaan dan kasih sayang yang mendalam pada anak sulungnya itu.

“Hah! Abang Wan, minumlah kopi mak tu sampai mabuk! Kak long ni, kalau nak dating pun, bagi tahulah dulu, takdelah orang tunggu macam tiang letrik kat stesen bas tu!” Marhanis yang kebetulan menjenguk dari dapur duduk menyertai mereka.

“Ya Allah! Hanis, kak long betul-betul lupa kau balik hari ni…kak long ingatkan esok! Ni kenapa berbalut-balut tangan ni? Kau naik motor dengan siapa?” terkejut dia melihat keadaan Marhanis.

“Hah ni lah, nak bagitahu ni… tunggu kak long punya pasal, tetiba je ada mat rempit lalu, habis dirempitnya Hanis, tak sempat nak elak mujur ada sorang mamat handsome datang tolong, dia lah yang bawa Hanis pergi klinik…” saat itu Marhanis tersenyum panjang, teringatkan pemuda yang menolongnya tengahhari tadi.

“Ya Allah! Kesian adik kak long! Habis lebam-lebam… macam ni turunlah saham!” gurau Mazwin sambil mencuit hidung Marhanis yang sudah mula memuncungkan bibir.

Mulanya dia hendak merajuk juga dengan perkara itu, tapi bila Mazwin balik dengan wajah manis macam baru disimbah air gula, langsung disimpannya rajuknya. Iyelah, sekarang ni, dia kenalah kurangkan sedikit kemanjaan terhadap Mazwin, nak bagi peluang kakak sulungnya itu bermanja pada kekasih tersayang pula.

“Turun saham tak apa, jangan jatuh terus, nanti terus tak laku! Siapa yang susah?” ujarnya sekadar membalas gurauan Mazwin.

“Mereka dan keluarga mereka!” sampuk Syahirwan selamba, sambil bibirnya meniup kopi panas yang sudah terhidang.

Mereka tertawa serentak mendengar kata-kata Syahirwan. Marhanis terus duduk di sisi Mazwin. Fikirannya kini melayang teringatkan peristiwa tadi. Entah mengapa hatinya asyik terkenangkan kebaikan pemuda itu. Teringatkan kekacakan Haizam. Lelaki itu berambut lurus dan agak panjang tetapi tidak sampai mencecah ke bahu, senyumannya juga memikat, walaupun kulitnya hitam manis, namun melihat caranya melayan gadis dengan cara yang cukup terhormat, Marhanis mengkaguminya.

Malam ini dia akan menantikan panggilan telefon dari Haizam. Takkanlah dia pula yang akan menghubungi lelaki itu, malulah, kalau apa-apa pun biar lelaki yang mulakan dulu… entah-entah Haizam tu sudah punya buah hati, alamak! Melepaslah kau Hanis!

No comments: