Monday, November 17, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 22

BAB DUA PULUH DUA

Berseri-seri wajahnya setelah disolekkan oleh juru andam yang memang ditempah khas untuk majlis hari itu. Selepas disolekkan, dia dikenakan busana bewarna ungu lembut yang menyerlahkan lagi kejelitaannya. Teman-teman yang datang ke biliknya seakan terpaku melihat dirinya yang sudah berhias indah seumpama seorang puteri dari kayangan. Dia cuma tersenyum menyembunyikan gemuruh yang tidak hilang semenjak dia dan Syahirwan diijabkabulkan semalam.

“Wah! Kak long ke ni? Macam tak percaya! Cantiknya! Macam muka artis mana ye? Emm… Tak ada rupa sesiapa pun, tapi paling cantik di antara yang tercantik!” pujian melambung dari Marhanis membuatkan yang berada di situ mengangguk bersetuju.

Mazwin mengetap bibir sambil pura-pura merenung tajam ke arah Marhanis yang asyik menggosok mata, kononnya tidak percaya dengan apa yang dilihat. Seorang demi seorang kawan-kawan dan saudara-maranya datang ke dalam bilik pengantin dan masing-masing dengan kamera di tangan, tidak mahu melepaskan peluang bergambar dengan gadis jelita itu sementara menunggu rombongan pengantin lelaki tiba.
“Kawan Hanis dah datang ke? Yang mana satu ye?” tanya Mazwin setelah bilik pengantin itu surut dari dijenguk orang.

Hatinya masih lagi berdebar menanti rombongan Syahirwan. Pertanyaan Mazwin membuatkan Marhanis tersenyum simpul.

“Kak long tengoklah nanti, Hanis suruh dia menepung tawar. Dia pun akan pakai baju melayu sama warna dengan baju Hanis!” jawabnya malu-malu.

Sejak kejadian dilanggar mat rempit sehingga hari ini sudah lebih setahun dia menjalinkan hubungan cinta dengan Haizam. Hari ini dia sengaja mahu memperkenalkan Haizam pada keluarga, selama ini dia mahu merahsiakan seketika hubungan mereka sehingga dia menamatkan pelajaran.

“Tahun depan Hanis pula ye. Nanti kak long akan carikan mak adam yang paling baik untuk Hanis supaya Hanis lebih cantik dari kak long masa kahwin nanti!” tangannya dilekapkan pada kedua pipi adiknya itu.

“Eh! Hanis tak nak kahwin awal-awal. Hanis nak balas jasa kak long. Kali ni giliran Hanis pula jaga keluarga, kak long jaga abang Wan je, okey!” balasnya sambil meraih Mazwin dalam pelukannya.

Marhanis menggenggam erat tangan Mazwin, ada titisan mutiara jernih yang menitis dari kolam mata kakak kesayangannya itu, mungkin terharu mendengar kata-kata yang keluar dari bibir Marhanis.

“Kak long jangan menangis, airmata kak long tak diperlukan masa ni. Nanti masa kak long datang pada hari konvekesyen Hanis, baru kak long keluarkan airmata tu!” pantas disekanya airmata yang sudah jatuh di pipi Mazwin.

Paluan kompang yang bertalu-talu menandakan rombongan mempelai sudah tiba di perkarangan rumah itu. Cepat-cepat Mazwin mengelap sisa-sisa airmata yang masih basah di kelopaknya. Ibu saudaranya sibuk memanggil mereka keluar menyambut kedatangan pengantin lelaki. Mazwin bangun bersama Marhanis yang sudah bersedia dengan kipas tangan yang ditekat cantik.

Selepas sahaja bertemu muka, kedua raja sehari mula beriringan menaiki singgahsana yang dihias indah dengan jambangan bunga biru putih, warna kegemaran Mazwin. Ternyata tiada yang dapat menyangkal kesepadanan kedua mempelai, yang datang terus memuji mereka. Ada yang bagai tidak sabar untuk menepung tawar kepada kedua pengantin ini.

Mazwin dapat melihat kejernihan wajah ibunya yang bagaikan lega setelah mereka disatukan. Selepas sahaja keluarga terdekat menepung tawar, tiba pula giliran kawan-kawan rapat, tidak terkecuali teman lelaki Marhanis yang segak berbaju melayu cekak musang bewarna jingga lembut sedondon dengan adiknya itu.

Mazwin bagaikan terpempan melihat teman lelaki Marhanis, kecilnya dunia ini. Tidak pernah disangkanya lelaki yang sering dibahasakan dengan panggilan Abang Zam oleh Marhanis adalah bekas kekasihnya, Haizam.

Saat lelaki itu menepung tawar, sempat dia mengerling ke arah Syahirwan bagaikan sedang tersenyum megah memenangi piala cinta Mazwin. Haizam masih berlagak selamba bagaikan tiada apa yang pernah berlaku diantara mereka, walaupun mukanya agak terkejut saat menatap wajah Mazwin. Selesai menepung tawar, Haizam merenung wajah Mazwin dari kejauhan.

Sekarang baru dia faham apa cerita sebenar yang berlaku antara dia dan Mazwin. Tapi apa yang harus dia lakukan sekarang Mazwin sudah dimiliki orang, orang yang telah mengkhianati cinta mereka.

Sejak dia memutuskan hubungan dengan gadis itu, dia keliru dengan keputusannya. Keliru kerana tidak menyiasat terlebih dahulu siapa yang menghantar sms kepadanya pada malam itu, yang dia dapat tahu sememangnya Mazwin bekerja sebagai waitress disitu, itupun selepas dia bertanya kepada salah seorang pekerja disitu.

Setelah beberapa bulan baru dia sedar yang nombor telefon penghantar sms itu bukanlah milik salah seorang dari kawan-kawannya. Andai dia tahu pengkhianatnya adalah Syahirwan, pasti dia tidak akan mengalah, kerana lelaki yang sudah sah menjadi suami bekas kekasihnya terlalu memandang rendah padanya.

Tapi segalanya sudah terlewat untuk dia berpatah semula, pernah dulu dia ingin memohon kemaafan dari Mazwin setelah kekesalan membelit jiwa, namun kerana ego hati lelakinya sering menafikan yang dia masih menyayangi gadis itu. Sehingga kini dirasakan masih ada secebis sayang untuk Mazwin, walaupun dia cuba pula menjalin hubungan dengan Marhanis untuk melupakan cinta Mazwin.

Tapi apa dayanya sekarang, Mazwin sudah sah menjadi hak orang dan dia harus meneruskan hubungannya dengan Marhanis. Mampukah dia untuk meneruskan hubungan itu dan bisakah dia menatap wajah Mazwin yang mungkin bakal menjadi kakak iparnya kelak? Dulu dia kagum dengan keikhlasan Mazwin menerimanya seadanya tapi dia terasa kesal bila dia tidak dapat membuktikan kepada gadis itu yang dia juga ikhlas menyintai Mazwin.

“Apa yang abang Zam menungkan tu? Cantik sangatkah kak long Hanis?” Marhanis tahu, pasti Haizam terpaku melihat Mazwin. Haizam tersentak, lantas merenung wajah manis Marhanis.

“Cantik lagi Hanis! Perempuan kalau disolekkan memanglah cantik. Muka abang yang karat ni kalau disolekkan, dah tentu Hanis tak ada peluang nak tackle abang!” pujian Haizam membuatkan gadis itu tersenyum malu.

“Itulah kak long Hanis yang banyak sangat berkorban untuk keluarga. Dia bekerja siang malam semata-mata untuk membahagiakan kami. Tak pernah sekalipun dia merungut, dan dia juga adalah idola Hanis!”

Marhanis mengubah tajuk, tidak mahu terus hanyut dalam pujian manis Haizam. Pemuda manis itu cuma tersenyum, memang sejak perkenalannya dengan Marhanis, gadis itu tidak pernah lupa bercerita tentang kebaikan Mazwin. Haizam juga mengakui kebenaran cerita itu, memang susah untuk mendapat seorang gadis sebaik dan setabah Mazwin, tapi malangnya kerana kesilapannya sendiri, cinta gadis itu terlepas dari pegangannya.


**********************

Malam pengantin mereka berjalan lancar. Saat menempuhi malam pertama itu, Mazwin dapat rasakan cinta Syahirwan meresap jauh ke dalam hatinya. Sentuhan hangat Syahirwan membuatkannya terasa selesa dan selamat di samping lelaki yang mula dicintainya kini.

Walaupun siang tadi hatinya bagai disentap satu perasaan bila menatap wajah Haizam namun kerana cinta Syahirwan yang bagai sudah sebati meresap ke dalam sanubarinya, Mazwin tidak dapat menyangkal lagi, dirinya memang ditakdirkan untuk Syahirwan dan lelaki yang sudah sah menjadi suaminya itu sememangnya dilahirkan untuknya. Mazwin merenung Syahirwan di sebalik samar-samar cahaya lampu yang menerobos dari luar jendela.

Suami tercintanya itu bagaikan keletihan setelah puas mereka melayari bahtera cinta bersama, dikucupnya lembut bibir basah Syahirwan, dibelainya rambut lelaki itu dengan kasih sayang. Mazwin akur dalam hatinya kini, betapa dia menyintai lelaki itu, lelaki yang pernah menjadi kawan, sahabat, kekasih dan kini suaminya.

“Awin sayangkan Wan, sepenuh hati Awin… Tiada apa yang dapat memisahkan kita kecuali maut, sebab Awin rasa hidup Awin tak akan lengkap tanpa kehadiran abang! Awin janji, hanya nama Wan sahaja yang tersemat dalam hati Awin sampai mati!” bisiknya lembut dan hangat.

Mazwin tahu Syahirwan sedang mendengar bisikannya. Lelaki yang paling dikasihinya itu lantas menggenggam tangannya erat dan meletakkannya di dada.

“Wan pun berjanji, hanya Mazwin sahaja di dalam hati Wan. Wan sayang Mazwin, dulu, kini dan selamanya!” dibalasnya kata-kata Mazwin sambil dikucup mesra dahi isterinya itu.

Seluruh jiwanya sudah sebati dengan nama Mazwin, segenap pelusuk hatinya telah tertanam cinta Mazwin dan sepanjang hidupnya akan dihabiskan bersama isteri yang amat disayanginya.

No comments: