Sunday, November 23, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 31

BAB TIGA PULUH SATU


“Aku tidak dapat menerimamu, Rio.” tegas Mazwin.

Pohon-pohon maple menggugurkan dedaunan ke bumi. Angin menyeret dedaun itu ke tepi. Musim gugur telah bermula, amat indah sekali. Rio merenung wajah sayu Mazwin. Sejak mengenali wanita itu dia belajar sesuatu. Belajar menyintai seorang wanita, sesuatu yang selalu difikirkannya terlalu jelik. Selama ini dia hanya sering menggunakan wanita sebagai pelampias nafsu semata-mata tanpa ada perasaan cinta.

Setelah mengenali Mazwin dia berasa ketabahan wanita itu membuatkan hatinya terpesona. Walaupun wanita itu terlalu banyak rahsia yang dia sendiri tidak tahu. Tapi Rio sedar, hati Mazwin pernah terluka teruk sehingga dia tidak dapat menerima mana-mana lelaki dalam hidupnya.

“Seharusnya kita bersama Mazwin, dalam apa jua keadaan. Puteri juga seperti anak kandungku. Kita sama-sama membesarkannya. Aku tidak tahu mengapa kamu selalu tidak menginginkan kita bersatu? Aku tidak mengerti mengapa hingga kini kamu tidak bisa menyintaiku, mengapa Win?”
Rio menggenggam jemari Mazwin erat. Wanita itu cuma membiarkan sahaja tanpa apa-apa tindak balas. Dia tidak pernah dapat memahami hati wanita itu. Wanita itu terlalu kecewa dengan kehidupannya dahulu, itu yang dia tahu. Selebihnya, sedalam mana kekecewaan itu Rio tidak dapat menyelaminya kerana Mazwin begitu perahsia. Langsung tidak mahu berkongsi kesedihan lalu. Apalagi kekecewaan. Dia cuma dapat tahu melalui Stephanie segalanya tentang Mazwin.

“Aku tidak mahu kehilangan lagi Rio, aku harap kau faham. Aku tidak mahu kehilangan orang yang aku sayang. Aku tidak boleh hidup dalam kekecewaan lagi. Luka ku yang dulu teramat dalam Rio, tidak bisa untuk ku rawat jika aku kembali terluka. Aku juga tidak mahu kau terluka jika suatu hari nanti aku terpaksa meninggalkan cintamu!” rintih Mazwin.

Sejak mengenali Rio dan kerana sering berbual dengan warga Indonesia di kawasan kejiranannya membuatkan pertuturannya juga turut berubah. Kebanyakan orang Melayu di Perth menggunakan Bahasa Indonesia sebagai perantaraan sesama mereka.

“Mazwin, aku bukan hadir untuk melukai, tapi aku di sini untuk merawatnya. Aku tewas Win, tewas pada pandangan pertama ku pada kamu. Hatiku sering menyatakan yang kamu benar-benar untukku. Aku tidak perduli apa sahaja masa silammu, Mazwin! Aku benar-benar tulus menyayangimu! Aku pasrah menerimamu seadanya!” ucap Rio penuh jujur.

Mazwin tahu lelaki itu ikhlas menyayanginya. Namun dia tidak dapat membohongi hati sendiri. Dia tidak dapat menyintai Rio sepenuh hatinya. Dia sudah cuba menyayangi lelaki itu lebih dari seorang kawan, tapi dia tidak mampu. Di hatinya sudah terisi kekecewaan yang maha dalam. Dasarnya amat parah hingga tidak dapat menerima sesiapa pun untuk hadir menyelam cintanya lagi.

“Rio maafkan aku, cinta tidak memestikan kita bersatu, Rio. Carilah orang yang lebih baik dari ku Rio! Aku doakan kau semoga berbahagia!” Mazwin senyum, pantas tangannya meraih jemari Rio dan mengucupnya.

Dia mengerti hati lelaki itu, tetapi dia tidak dapat membalas segala ungkapan sayang darinya. Dia cuma berharap Rio memahami hatinya. Sejak hari itu, Rio mengambil keputusan untuk berlayar jauh, sesuatu yang tidak pernah dilakukan semenjak dia mengenali Mazwin. Lebih tiga tahun dia tidak berlayar, dia sanggup bertukar tugas semata-mata mahu mendampingi dan mengenali Mazwin.
Hampir setiap hari dia bermain dengan Puteri semenjak Puteri dilahirkan. Dia memanjakan Puteri setiap hari, malah nama Puteri Qistina adalah ilhamnya. Tapi setelah lebih tiga tahun dia menunggu jawapan Mazwin, dia redha, kerana Mazwin tidak pernah cuba menyintainya. Namun kasihnya pada Puteri tidak pernah padam seperti mana kasihnya terhadap Mazwin yang tidak pernah hilang.

*******************

“Mama… mama ingat pada daddy ya? Mama kangen sama daddy?” usik Puteri bila dilihatnya Mazwin masih melamun di atas buaian selepas makan malam.

“Puteri tak rindukan daddy?” giliran Mazwin pula bertanya. Anak itu tunduk, ada garis sayu di wajahnya kemudian dia mengeluh kecil.

“Ya, rindu… tapi daddy selalu bilang kalau rindu sama daddy, tengoklah bintang di langit. Kerana masa daddy belayar, bintang menjadi teman daddy, jadi penunjuk jalan buat daddy!” jawapan anak kecil itu membuatnya tersenyum dia memeluk erat anak itu.
Usianya baru enam tahun namun pemikirannya amat dewasa. Mazwin bangga dengan anak itu. Walau dia memeliharanya dalam kepayahan. Namun kekuatan hati dan sokongan Rio membuatkannya bertahan. Sakit demam Puteri ditanggung bersama. Rio jugalah yang tidak tidur malam jika Puteri di serang demam panas. Malah lelaki itu sanggup menemani Puteri sepanjang hari jika anak itu merajuk kerana kesibukan mamanya di kedai.

Puteri meletakkan kepalanya di riba Mazwin. Wanita itu mengusap lembut rambut anaknya penuh kasih sayang. Dia teramat bersyukur dengan anugerah Allah yang tidak terbanding itu. Sembilan bulan sepuluh hari mengandungkan Puteri adalah saat yang amat bahagia baginya. Setelah tiba masanya Puteri dilahirkan dialah orang yang teramat gembira walaupun hanya ada Rio menjadi teman yang sentiasa berada di sisinya kala itu. Budi Rio padanya tidak dapat di balas.

Justeru dia tidak mahu suatu hari nanti Rio bakal kecewa kerananya. Dia tidak sanggup untuk menyayangi lelaki itu sepenuh hatinya walaupun saat ini dia tidak dapat menipu diri sendiri kerana, setiap kali mereka berpisah pasti, rindu ini kuat mencengkam hatinya. Namun Mazwin cepat tersedar, tidak mungkin dia mampu untuk menyintai lelaki itu. Maafkan aku, Rio….

No comments: