Sunday, November 23, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 36

BAB TIGA PULUH ENAM

“Mengapa kamu biarkan dia pergi, Win? Tidakkah dia orang yang kamu dambakan, yang kamu nantikan bertahun-tahun sehingga tidak bisa menerima cintaku?” soal Rio, sambil matanya tajam memandang Mazwin yang sedang merenung bulan yang mengambang penuh.

“Aku mahu lihat wajahnya kecewa, seperti mana aku dulu!” jawabnya, perlahan.

“Mazwin, sudah aku katakan berkali-kali, membalas dendam bukan penyelesaian kekecewaan hati. Sampai kapan kamu mahu biarkan luka itu bertambah parah, kamu bisa mengobatinya dengan menerima dia semula bukan?” Rio menggeleng kepala merenung wajah wanita di hadapannya.

“Pokoknya, kamu akan kecewa!” luah Mazwin.

“Yang bakal kecewa nanti iya kamu. Aku tahu kamu tidak pernah cuba menyintaiku, mana bisa aku memaksa. Tapi di wajah Syahirwan aku bisa melihat cintanya masih ada untukmu, Mazwin! Pergilah padanya, aku rela mengalah!” luah Rio.
Dia mengalah bukannya kerana tidak mahu bersaing atau takut untuk bersaing. Tapi apa gunanya dia pertahankan cinta itu jika Mazwin sendiri tidak pernah ada hati padanya. Dia tidak mahu terus-terusan menyeksa hati Mazwin. Dia tahu betapa wanita itu pernah terluka walaupun dia sendiri mahu merawatnya namun Mazwin tidak pernah memberinya peluang.

Dan hanya Syahirwan sahaja yang bisa mengubati luka yang diberikan pada Mazwin kerana wanita itu tidak pernah dan tidak akan membiarkan hatinya dihuni lelaki lain. Cinta dan kasihnya pada lelaki bernama Syahirwan teramat dalam walaupun masih ada dendam mengikat jiwanya.

“Rio! Mengapa kau begitu baik pada aku? Sehinggakan kadangkala aku keliru sama ada aku menyintaimu atau tidak. Tapi hatiku masih untuknya, Rio. Walau aku terluka, namun luka itu telah dibaluti dengan kemaafan bila Puteri lahir ke dunia. Maafkan aku Rio, maafkan~”

“Sudahlah! Aku ngerti, kok! Kamu masih sayang pada pria ganteng itu! Iya pergi kepadanya. Mengapa perlu kamu menyeksa dirimu, bertahun kamu simpan lukamu, pantas Puteri anak kandungnya. Dia punya hak Win! Kamu tidak bisa menafikannya, malah dunia tidak bisa menafikan yang Syahirwan itu punya hak ke atas Puteri! Aku akan mendukungmu sejujurnya!” ujar lelaki itu, ikhlas dan jujur.

Dia tidak mahu Mazwin terus terbelenggu dengan dendam. Baginya dendam tidak pernah akan menyenangkan hati. Malah dendam hanya mampu meleraikan cinta sejati.

Rio menepuk-nepuk bahu Mazwin, menyuntik semangat baru untuk satu-satunya wanita yang pernah disayangi. Namun, cinta tidak semestinya bersatu. Pasti suatu hari nanti, ada cinta baru bakal menantinya, antara sekejap atau cepat.

Mazwin merenung Rio, perasaan kasihan terhadap lelaki itu membelitnya. Tapi mana mungkin dia bisa hidup dengan hanya rasa kasihan. Dia perlu menyintai Rio sepenuh hati andai dia mahu Rio menjadi teman hidupnya. Dia perlu memberikan segala cintanya pada lelaki itu andai dia mahu mengubati kecewa di hati Rio terhadapnya. Namun hatinya masih kuat menyintai Syahirwan.

Betapa dia ingin melunaskan segala hutang kerinduannya pada lelaki yang pernah digelar suami itu. Betapa dia mahu dibelai oleh jemari Syahirwan sepertimana dulu. Tetapi sekerap mana perasaan itu datang, sekerap itu juga dendamnya hadir memintanya membalas setiap kelukaannya selama ini.

Mazwin keliru sendiri dengan perasaannya. Dia tidak mampu lagi menafsir apa yang berlegar di fikirannya, sama ada cinta, rindu, atau dendam yang membara.

“Win, besok aku harus pergi. Aku doakan kamu bahagia! Cintailah dia semula Win! Aku rela! Aku tidak bisa mungkin menemuimu lagikan? Tapi kita masih boleh jadi sahabat! Sahabat nan kanti! Aku tunggu berita bahagia mu nanti di sana, di lautan!” untuk kesekian kalinya Rio bersuara.

Dikucupnya lembut jemari Mazwin yang masih seperti tadi. Diam dan terus membisu.

“Maafkan aku Rio! Aku pasti merinduimu!” ucapan itu sudah cukup memuaskan hatinya.

Dia tidak perlu lagi mengharap jawapan yang mengembirakan. Dia tahu tiada langsung ruang untuknya di hati wanita itu. Dia hanya berharap agar wanita itu tidak melupakannya. Terutama Puteri, dia tidak sanggup melupakan anak kecil yang didiknya seperti anak sendiri.

“Aku juga, kok! Aku tidak ingin lagi melihat tangisanmu! Jarang sekali melihat kamu tersenyum! Tertawa juga tidak pernah lahir dari hatimu! Aku akan berusaha melupakan cintaku, tapi jangan pinta aku melupakan mu ya!” ucapnya Rio.

Dia merenung Mazwin penuh makna. Mazwin faham makna renungan itu. Dia tahu, dia juga tidak dapat memaksa Rio untuk memadamkan namanya di hati. Apalagi perasaan lelaki itu. Mazwin tidak mampu memberi cintanya apalagi untuk mengubat luka dihati lelaki itu kerana dia sendiri yang melukakan.

*****************

Hari ini tangisan menyelubungi pagi. Selepas subuh tadi, bila Puteri mengetahui Rio akan pergi, dia menangis teresak-esak di dada lelaki yang pernah memberikannya kasih sayang seorang bapa. Dipeluknya lelaki itu erat dan kejap seperti tidak mahu lagi melepaskan. Mereka sekeluarga menghantar Rio ke pelabuhan untuk dia meneruskan pelayarannya. Sepanjang perjalanan itu juga Puteri Qistina murung dan tidak banyak bercakap. Sesekali dia memeluk Rio erat dan mencium lelaki itu bertalu-talu.

Saat tiba di pelabuhan mereka bersalaman. Mengucap selamat tinggal dan Puteri masih dalam dukungan Rio. Dipeluknya lelaki itu, diciumnya semahu-mahunya. Dia bagaikan tahu, kerinduannya akan datang lagi dan kali ini kerinduan itu bakal lama untuk diubati. Semalam Puteri sudah mendengar perbualan mama dan daddynya. Walaupun dia masih kecil untuk menyelami hati orang dewasa, namun dia tahu konflik yang berlaku. Dia faham kenapa daddy tegar menjadi anak kapal semula.

“Puteri jangan nakal tau, dengar kata-kata mama dan opah. Nanti Daddy akan selalu telefon. Nanti bila balik Perth, Puteri call Daddy, okey! Daddy akan pulang dan bermain dengan Puteri seperti dulu,” kata Rio bagi memberi harapan kecil kepada anak itu.

Dipeluknya anak itu erat seperti tidak mahu berpisah. Esakan anak itu membuatkan hatinya bertambah walang. Bagaikan tidak sanggup melepaskan tubuh kecil yang basah pipinya dek airmata.

“Daddy janji pulang ya! Puteri tunggu. Daddy janji kita bermain seperti dulu. Nanti malam Puteri akan lihat pada bintang, Daddy juga. Kalau Daddy lihat bintang itu menangis, itu tandanya Puteri juga menangis. Puteri sayang Daddy!” ucap anak kecil itu dalam esakan.

Puteri menangis teresak-esak sambil mengait jari kelingkingnya bercantum ke jari kelingking Rio. Begitulah yang selalu dilakukannya ketika mahu berjanji sesuatu. Rio mengait erat jari kecil itu. Airmatanya juga tumpah saat itu.

- Apa perlu Daddy lakukan, sayang. Mama mu tidak pernah mahu beri Daddy peluang untuk Daddy buktikan kita mampu membina hidup bersama.

Airmata Puteri mengiringi langkah longlai Rio yang sudah meninggalkan mereka. Mazwin juga turut menahan tangis bila melihat kedua-dua mereka menangisi perpisahan itu. Sungguh dia mengasihani Puteri, namun Puteri harus dipulangkan kepada yang berhak.

No comments: