Monday, May 25, 2009

Aku Bukan Untukmu - 46

Pagi itu cerah. Sejak bangun dari tidur dia sudah berkira-kira untuk keluar. Menghilangkan bosan. Di rumah itu juga tidak ada sesiapa. Mama dengan butiknya dan ayah pula jarang pulang kerana menghabiskan masa dengan isteri-isterinya yang lain. Hidupnya memang amat membosankan. Tidak ada adik beradik lain. Tidak ada kawan. Kosong tanpa makna.
Dia merenung keluar tingkap. Daun tingkap langsung tidak ditutup sejak semalam. Angin luar menerobos masuk. Sejuk sekali. Dia menghela nafas malas. Tidak tahu ke mana harus dia pergi hari ini untuk menghilangkan kebosanan. Selepas tamat sahaja peperiksaan STPM kelmarin, dia mula berkira-kira untuk mencari kerja. Namun masih belum tergerak kakinya untuk ke mana-mana. Fahril bangun menghadap dinding kosong. Kemudian mencapai tuala dan ke bilik air. Pancuran air yang hangat menyegarkan paginya. Dia bersiap dan turun ke medan sunyi tanpa penghuni.
“Nak Fahril mau makan?” tanya Bik Siti, pembantu rumah yang terbaru berkhidmat di rumahnya. Yang kali ini mama memilih pembantu yang agak berumur. Mungkin kerana Mama sudah serik dengan pembantu lama yang muda dan mungkin juga mama takut pembantu muda akan menjadi madunya lagi. Tapi itu sudah terlewat. Ayah sudah cukup memenuhi kuota dengan mengahwini kak Indy, bekas pembantu Mama yang juga muda dan jelita.
“Bibik masak apa?” soalnya pula.
Sejak beberapa bulan orang tua itu di situ dia jarang bercakap. Cuma kalau waktu untuk makan Bik Siti bertanya. Dia menjawab dengan anggukan atau gelengan.
“Bik Siti cumanya gorengkan mi,” senyum Bik Siti bila mendengar suara Fahril. Jarang sekali anak muda itu bercakap dengannya. Apatah lagi mahu bertanyakan tentang masakannya.
Dia mengekori tuan mudanya ke dapur. Kemudian cepat-cepat mengeluarkan mi goring yang dimasaknya tadi. Pinggan diletakkan di meja. Fahril cuma duduk. Cawan berisi milo suam dicapainya. Sejak semalam perutnya tidak diisi apa-apa. Memang dia lapar. Bik Siti menyendukkan mi goreng untuknya, untuk sendukan yang kedua Fahril mengangkat tangan tanda isyarat, cukup.
“Bibik dah makan?” soalnya sambil matanya memandang ke arah wanita yang menghadapnya makan. Walau biasa keadaan itu namun dia agak tidak selesa.
“Bentar lagi bik Siti makan,” balasnya.
“Mari makan sekali la bik, tak seronok makan seorang!”
Selalunya memang dia makan seorang saja. Tidak pernah pula minta bibik menemaninya. Lagipun bibik ini baru bekerja tiga bulan. Sudah pasti dia kekok. Lainlah dengan kak Indy yang sekarang sudah bergelar ibu tirinya. Kak Indy ramah, ada saja cerita yang mahu dibicarakan. Kadangkala cerita tidak masuk akal juga terkeluar. Dia sukakan kak Indy. Rumah itu jarang kesunyian semasa ada kak Indy. Tapi bila ayah mengahwini pembantu rumah cantik itu dan membawa kak Indy tinggal di apartment, Fahril orang yang paling sunyi. Tiada teman berbual.
“Bibik suka kerja di sini?” soalnya tiba-tiba. Entah mengapa soalan itu yang terpacul. Atau mungkin itu juga pemula bicara yang baik.
“Iya, suka. Tapinya, rumah ini sunyi ya, puan jarang pulang. Tuan pula tidak pernah nampak. Apa, nak Fahril tidak bosan?”
“Memang begini la bik. Bosan pun tak boleh buat apa,” balas Fahril. Mi goring di sudunya ke mulut. Kunyahan demi kunyahan di telan. Sedap juga masakan bibik.
Selesai makan, dia bangun. Terus menuju ke kereta. Sejak lepas SPM dia sudah punya Toyota Vios 1.5 G. Mama yang berikan. Untuk dia senang ke sekolah. Namun dia lebih gemar menaiki kenderaan awam. Senang. Tidak perlu bersusah payah mencari parking. Tidak perlu membayar tol. Hari ini dia mahu merubah watak. Mahu berkereta menuju Bandar. Mengubah citarasa. Dia bukan budak sekolah lagi. Sudah dewasa.

“Dik, tumpang tanya, di sini ada kerja kosong?” soalnya pada seorang budak lelaki. Budak itu menoleh. Wajah Fahril berkerut. Bukan lelaki. Tapi pengkid. Muka budak yang disangka lelaki itu memang comel.
“Jap ek, saya try tanya!” budak itu terus menghilangkan diri di sebalik pintu. Kemudian beberapa minit lepas tu dia keluar.
“Sorry le bang, takde arr! Kitorang takde ambil orang!” budak itu menggeleng kepala.
Fahril melangkah keluar dari kedai buku itu. Dia menoleh semula. Dilihatnya budak tomboy itu sedang menyusun kotak. Sebuah kotak diangkat oleh budak tomboy. Kemudian dinaikkan di atas motorsikal buruknya. Kotak itu diikat dengan tali bercangkuk untuk mengemaskan kedudukan kotak itu supaya tidak jatuh. Fahril hanya merenung cara budak itu bekerja. Menarik.
“Abang tengok apa?” tiba-tiba budak itu bersuara. Fahril cuma tersenyum kemudian angkat tangan tanda minta maaf. Mungkin budak itu menyangka dia fikirkan yang bukan-bukan.
“Awak nampak kuat!” tiada apa yang boleh Fahril ungkapkan untuk budak itu selain apa yg terucap. Baginya budak perempuan tidak sepatutnya bekerja seteruk ini. Wajah comel budak itu mungkin membolehkan dia bekerja sebagai setiausaha atau kerani. Paling tidak pun pramugari.
“Ini urat dawai tulang besi tau!” gurau budak itu tanpa rasa marah.
Fahril senyum lagi. Kali ini angkat ibu jari dan tunjukkan pada budak itu. Budak perempuan comel itu meninggalkannya bersama motor buruknya. Fahril geleng kepala. Kemudian berjalan lagi mencari destinasi untuk dia memulakan hidup baru. Hidup baru untuknya akan bermula. Dia tahu dia tidak boleh tinggal di rumah yang kosong yang hanya ditemani pembantu rumah tua.
Fahril membelokkan keretanya ke Wisma Warisan. Kemudian mencari parkir di hadapan Wisma itu. Tadi dia terjumpa iklan kerja kosong di 7Eleven. Justeru itu yang membuatkan dia sudah terpacak di sini.
Beberapa minit dia memasuki Wisma itu, Fahril keluar semula. Geram dia dengan syarikat yang mengiklankan kerja kosong. Kononnya ada kerja dengan tawaran gaji yang menarik. Tapi sebenarnya iklan itu mencari pekerja perempuan sahaja. Dalam iklan di 7Eleven itu tiada pula mereka meletakkan syarat memberitahu yang mereka hanya memerlukan pekerja perempuan.
“Hoi, apa yang kau orang buat kat kereta aku ni?” pekik seorang perempuan. Fahril terperanjat melihat budak perempuan itu memekik. Dua orang lelaki yang berada di sebelah Vios 1.5nya bergegas meninggalkan tempat itu. Mungkin kedua lelaki itu mahu berbuat sesuatu pada keretanya.
“Tu nak buat jenayah le tu, siang-siang pun nak mencuri kereta orang!” budak perempuan itu membebel tanpa menyedari yang Fahril sudah berada di belakangnya.
“Ini kereta cik ye?” soal Fahril mengangkat kening.
“Ha-ah… !” budak itu tidak menoleh. Malah sedang bersandar sambil mengetuk-ngetuk bumbung kereta dengan jarinya.
“Kalau macam tu, saya nak tarik kereta ni, sudah 4 bulan tak bayar!” Fahril tersenyum sambil mengenakan budak perempuan itu. Budak perempuan berperwatakan ala lelaki itu tercengang.
“Hah? Err… bukan bang, ini bukan kereta saya. Tadi ada dua ekor mamat tu nak curi, saya sergah la,” terangnya dengan wajah yang jujur. Fahril senyum. Kemudian dia menekan butang alarm.
“Terima kasih sebab selamatkan kereta saya,” ucapnya selamba.
“Oh, kereta abang ke?” selamba dia berlalu setelah melihat anggukan Fahril. Budak perempuan itu terus menuju ke arah motorsikalnya.
“Sama-sama!!” jerit budak itu.
Fahril senyum sendiri. Memang dia amat berterima kasih pada budak perempuan itu dan dia harap budak tomboy itu dapat menjadi kawannya. Fahril bagai teringat sesuatu. Dia kemudian berpusing semula. Ingin ditanyakan nama budak tomboy itu, namun terlambat. Bila dilihatnya budak itu terus meluncur membelah jalan bersama kapcainya.

No comments: