Monday, June 23, 2008

KU BIARKAN WAKTU MENGUKIR RINDU

“Masliha!!!” Mendengar saja namanya dipanggil, terkocoh-kocoh dia datang mengetuk pintu yang memang sudah sedia terbuka.
Apa saja le orang tua ni, pagi-pagi lagi dah jadi tarzan. Kalau suara sedap tu tak apa lah juga, ini macam bunyi petir, dah tu dua puluh empat jam nak bertempik macam Tarzan. Orang tahulah awak tu Bos tapi janganlah nak tunjuk sangat kuasa tu…
“Apa yang tercegat lagi kat situ? Ni, Pernyataan Pembelaan ni, dah berapa kali saya suruh awak betulkan, asyik buat salah yang sama. Awak nak kerja ke, nak main-main? Kalau awak tak mahu kerja, ada beratus ribu penganggur kat luar sana yang berminat nak kerja kat sini!” tengking lelaki di hadapannya.
Masya Allah! Terkezut aku! Orang tua ni kalau dapat bertempik macam apa… hie! Hari-hari bad mood macam orang datang bulan pula. Takkan dia datang bulan kot?
“Maaf Cik Qamarul, saya betulkan ye… saya janji tak buat salah lagi!” tertunduk-tunduk Masliha memohon maaf, sambil tangannya menyambut huluran fail dari lelaki itu. Kalau ikutkan hati mahu saja ditempiknya lelaki itu semula, tapi apa nak buat dia memang dah dilahirkan sebagai orang yang tak berapa berani.
“Ni lagi satu, kopi ni tawaq hambiaq! Apa, dah tak ada gula kat ofis ni? Ambik ni taruh gula!” Lelaki itu menghulurkan mug di hadapannya, Masliha menyambutnya dengan hati yang kecut.
Bukan aku yang buat kopi ni, kak Salmi, apasal aku jugak yang kena marah? Marahlah kak Salmi! Bentaknya dalam hati, nak luahkan tak berani, terpaksalah dia simpan marahnya dalam hati.
Boleh dikatakan setiap pagi lelaki itu begitu, bertempik macam Tarzan panggil gajah. Entah apa yang dia tak puas hati dengan Masliha, gadis itu sendiri tak tahu. Walhal kalau dengan orang lain bukan main baik lagi tambah pula dengan Salmi, ketua kerani merangkap tukang buat air untuknya. Sebab itu jugalah dia tak berani pandai-pandai nak buatkan air untuk lelaki itu. Sedangkan Salmi yang buat air pun, Masliha yang kena sembur, inikan kalau Masliha yang buat sendiri, mahu sehari suntuk kenyang makan sindiran.
Takpe balik nanti aku mengadu pada Ikmal, tengoklah nanti… Tapi kalau dia mengadu pun lelaki itu hanya ketawa tak pun tersenyum manis sambil menyuruhnya bersabar. Tiada perkataan lain yang bakal muncul dari bibir yang bertahi lalat itu, melainkan sabar…sabar! Orang kata tahi lalat di bibir ni, banyak cakap, tapi berbeza sangat dengan Ikmalnya, bertahi lalat di bibir tapi berat mulut…
“Sabarlah, Mas… Tengku Qamarul memang macam tu. Kalau dia tension sangat habis semua orang ditempiknya. Akak ni dulu masa baru kerja, macam tu jugaklah, Mas. Tapi dah lama-lama dia okey je,” bisik Rubiah bila dilihatnya Masliha masam mencuka setelah keluar dari menghantar kopi ke bilik Tengku Qamarul Arif, majikan mereka.
“Harap-harap macam tu lah kak Ruby, kadang-kadang rasa nak berhenti kerja, patutlah kat sini, orang keluar-masuk je ye kak? Mesti tak tahan dengan perangai Tengku Tarzan tu!’ balas Masliha, sejuk sedikit hatinya bila Rubiah memberi jaminan. Rubiah pula tergelak kecil mendengar gelaran yang diberi Masliha kepada Tengku Qamarul Arif.
“Kau ni Mas, Tarzan kau gelarkan Putera Raja… Nanti dia minta kau carikan Jane dia baru kau tahu, kalau tak kau saja lah yang jadi Jane si Tarzan tu! Kak Sal tengok dia macam suka kat kau je, sebab tu lah tiap pagi, nama kau dulu naik!” sampuk Salmi yang baru mendengar perbualan mereka. Masliha mencebik bila mendengar perkataan Putera Raja. Harap nama je Tengku, tapi perangai lebih teruk dari orang kebanyakan, orang kebanyakan macam aku ni lebih berbudi bahasa.
“Hie! Minta simpang lah kak. Tak mahu saya, silap haribulan bukan jadi Jane, tapi jadi gajah dia, asal nak apa-apa je bertempik!” balas Masliha. Pecah tawa Rubiah dan Salmi mendengar kata-kata Masliha.
Sudah hampir tiga bulan Masliha bekerja sebagai kerani di situ. Dia mesra dengan semua orang termasuk Encik Taufiq Ali, peguam di situ, mak cik Hasnah dan Azmi, budak dispatch merangkap pemandu peribadi Tengku Qamarul Arif, jika majikan itu ke luar daerah. Tapi dengan bos yang seorang ni dia tak berapa mesra, cakapnya tak pernah yang lembut, senyum pula jarang dilemparkan pada Masliha, sehingga gadis itu tercari-cari kesalahannya setiap hari. Kadang-kadang dia rasa takut nak datang kerja, takut ada saja kesalahan yang akan dilakukannya sehingga menyebabkan Tengku Tarzan itu mengamuk setiap pagi. Dia lebih suka bekerja dengan Taufiq Ali, seorang yang lemah-lembut dan sentiasa tersenyum, tapi lelaki itu jarang-jarang ada di pejabat kerana setiap hari ada kes di Mahkamah, jika tidak ke Mahkamah, peguam muda itu sering saja keluar bertemu klien.
Kalau tak kerana Ikmal, sudah lama Masliha berhenti dari Qamarul Taufik & Co. itu. Kerana teman lelakinya yang tersayang itu jugalah, Masliha mendapat kerja itu setelah tiga tahun bekerja sebagai kerani di sebuah kedai alat ganti motorsikal. Di mana lagi dia nak bekerja dengan kelulusan SPM yang cukup-cukup makan saja. Dulu semasa dia bekerja di kedai alat ganti motorsikal tu tidaklah dia se’tension’ sekarang, tapi mengenangkan tauke kedai tu tidak mahu menaikkan gajinya, dia bertekad untuk berhenti. Mana tidaknya, tiga tahun dia bekerja di situ dengan bayaran RM500-00 je, itu pun dinaikkan RM50 sewaktu tamat tempoh percubaan tiga tahun dulu. Apa dia nak makan, dahlah semua barang naik harga. Dan kerana itu juga Ikmal mencarikannya kerja di pejabat peguam ini.
Ikmal, buah hati kesayangannya. Mereka sudah bercinta hampir dua tahun. Perkenalan mereka bermula bila Ikmal menjadi pelanggan tetap di Kedai Alat Ganti Wah Lai Thong. Bibit-bibit percintaan itu juga bermula dari jelingan-jelingan manjanya pada lelaki itu. Ikmal seorang yang pemalu dan pendiam, sebab itu segalanya dimulakan oleh Masliha di atas bantuan Alex Wah, anak tauke kedai spare part itu. Alex lah orang tengah yang menjadikan hubungan mereka kekal hingga kini. Ikmal, I love you so much….

“Mas, kenapa kau lambat hari ni? Pagi-pagi lagi Tengku Qamarul cari kau, kak Sal rasa ada yang tak kena dengan opinion yang kau taip semalam,” kata-kata yang keluar dari mulut Salmi membuatkan hatinya kecut. Masliha yang baru sahaja meletakkan tas tangannya di meja, menggaru kepala yang tidak gatal.
Aduss! Apa lagi salah aku yang orang tua ni nampak? Takkan pasal opinion tu? Aku dah check betul-betul semalam, memang tak ada yang salah, malah perkataannya juga sudah diperiksa satu persatu. Kalau ikutkan nak marah pasal aku lambat pun tak boleh juga, sebab waktu kerja bermula jam 9:00 pagi, tapi aku sampai tadi baru pukul 8:55 pagi walaupun selalunya pukul 8:30 aku dah terpacak kat depan pintu. Hari ni cuma terlewat datang, sebab aku terlebih rajin menolong mama menggoreng cucur udang, hah! Cucur udang pun aku ada bawa, siap kuah kacang sekali, panas pula tu! Apa salah aku ni?
Dengan hati yang gundah gulana, Masliha gagahkan diri mengetuk pintu ‘Tengku Tarzan’ itu. Setelah mendengar suara garau menyuruhnya masuk, barulah dia membuka pintu kayu bewarna oak. Ampunkan patik, Tuanku, patik pacal yang hina datang mengadap! Ada apa-apa kegusaran yang mampu patik bantu untuk Tuanku? Ingin saja diucapkannya ayat itu di hadapan lelaki itu.
“Apa yang awak tercegat di pintu tu?!” jerkahan Tengku Qamarul membuatkan Masliha tersentak Bagai nak luruh jantungnya menerima jerkahan itu. Dah tu dengan muka garang mencuka, tak handsome langsung, handsome lagi Ikmal, buah hati aku! Kerana Ikmal jugalah aku nak kerja di sini lama-lama kalau tidak jangan harap….
“Err! Ampunkan patik, Tuanku, patik pacal yang hina datang mengadap. Ada apa-apa kegusaran yang mampu patik bantu untuk Tuanku?” tiba-tiba sahaja ayat yang difikirkannya itu keluar dari bibirnya, lancar siap dengan tertib menghadap Sultan. Tengku Qamarul menahan tawa melihat gelagat pekerjanya itu.
Ooo…bila kat belakang aku, sedap-sedap bagi gelaran Tengku Tarzan kat aku ye. Bila dah berdepan, dah gabra macam tikus nampak kucing. Dah tu siap melatah-latah macam nak jumpa Sultan di singgahsana je. Kalau tak kerana Boy, adik lelaki kesayangan aku tu, takdelah budak perempuan kelam kabut ni kerja dengan aku. Beriya-iya Boy minta tolong padanya untuk berikan kerja tu pada kawan baiknya. Tapi seperti biasalah, kenalah ikut prosedur, mana boleh main ambil je. Tapi bila melihat wajah tulusnya semasa temuduga dulu, membuatkan hati aku tertarik untuk mendekatinya.
“Apa yang awak merepek ni Masliha? Nah, ini surat perlantikan jawatan awak, ini bermakna awak telah disahkan bekerja di sini mulai hari ini dan gaji awak saya naikkan sebanyak RM150-00. Lepas ni buat kerja elok-elok, jangan asyik nak berangan mengadap Sultan,” kata Tengku Qamarul, masih lagi bernada keras dan kasar dan membuatkan Masliha menutup mulutnya dengan kanan kiri, tangan kanannya teragak-agak menyambut surat yang dihulurkan itu. Tak guna kak Sal, dia kenakan aku le ni. Surat ni dah tentu dia yang prepared, hie! Kak Sal ni sengaja buat aku malulah! Keluar sahaja dari bilik Tengku Qamarul, Masliha lalu di meja Salmi sambil tangannya mencubit kecil lengan Salmi.
“Kak Sal ni kan main-mainkan Mas ye,” ujarnya bernada merajuk. “Ala… Mas, takkan marah kot! Seronok ke dah confirm ni? Belum tiga bulan kau probation kat sini dah confirm, kan betul kak Sal cakap, Tengku Tarzan kau tu memang berkenankan kau!” gurau Salmi, tak henti bibirnya mengukirkan senyuman meleretnya memandang Masliha.
“Eh! Mas dah confirm? Bolehlah Mas belanja abang Mi kat Juara Ikan Bakar malam ni! Seronok abang Mi dengar Mas dah confirm, ada juga penyeri kat company ni, takdelah asyik tengok muka dua orang mak budak ni, boring!” cebik Azmi yang sedang melipat surat-surat yang perlu dihantar. Salmi dan Rubiah menarik muka.
“Amboi! Sedap je mengata orang mak budak. Awak tu apa pula? Ingat Masliha ni nak sangat dengan muka kau tu Mi? Pak we dia lagi handsome le Mi. Sebijik macam Farid Kamil, betul tak Mas?” Rubiah yang dari tadi diam menyampuk pula, membuatkan Masliha mengulum senyum, malu bila wanita itu berkata begitu.
Memanglah, bukan seorang dua yang cakap rupa Ikmal macam Farid Kamil, ramai. Bukan Saleh Kamil pelakon dolu-dolu tu… tinggi pun macam Farid Kamil hero pujaannya dalam filem Remp-it. Tapi muka Ikmal lebih sweet, sebab lelaki itu gemar tersenyum, bukan macam Tengku tarzan tu, dua puluh empat jam buat muka tapai basi. Kalau handsome tu tak pe lah juga ni, serabai macam orang baru lepas mati bini je.

Hari Sabtu, adalah hari untuk mengendurkan segala urat saraf otak yang terlalu tegang semasa hari bekerja. Mana tidaknya menghadap muka cuka expired Tengku Tarzan tu sepanjang minggu cukup membuatkan otaknya letih. Dan semalam dia mengadu tentang segala-galanya kepada Ikmal, buah hati pengarang jantung Masliha. Ikmal hanya memintanya bersabar. Hampir dua minggu dia tidak bertemu kekasih hatinya itu. Hari ini Masliha akan melampiaskan kerinduan itu. Bertemu dengan Ikmal cukup membuatkannya bahagia.
“Mas! Saya dapat tawaran ke luar negeri dan saya rasa hari ini adalah hari terakhir kita berjumpa sebelum saya ke sana,” kata-kata Ikmal petang itu cukup meruntun hati Masliha, tambahan pula setiap kali dia bersuara senyuman manis pasti terukir di bibir. “Berapa lama?” tanyanya, dia seakan terkejut dengan keputusan itu. Tapi Ikmal seperti biasa masih seperti Ikmal yang dikenalinya, pendiam dan penuh rahsia. Selama ini setiap kali mereka bertemu, Masliha yang paling banyak cakap, memandangkan Ikmal memang seorang yang pendiam dan pemalu untuk bersuara.
“Walau selama manapun, saya tetap akan ingatkan awak! Saya minta maaf sebab terpaksa tinggalkan awak. Saya sayangkan awak, terlalu sayang, Tapi saya terpaksa tinggalkan awak, Mas,” ucapnya berkali-kali membuatkan Masliha terasa bersalah. Dia percaya Ikmal tak mungkin akan memungkiri janjinya.
“Apa lah awak ni, cakap macam tu? Awak kan nak pergi belajar, pergi je lah! Jangan risau tentang saya, saya akan simpan awak dalam hati saya, saya akan tunggu awak walau seribu tahun lagi awak akan balik. Ikmal, saya pun sayang awak, tapi cita-cita awak lagi penting untuk masa depan kita!” saat itu Masliha menggenggam erat jemari Ikmal. Kehangatan jemari sasa lelaki itu meresap ke dalam sanubarinya. Walaupun hatinya seakan tidak merelakan kepergian Ikmal, tapi Masliha sedar dia tidak punya hak untuk menghalang lelaki itu. Dua tahun mereka bercinta tanpa melanggar landasan agama sudah cukup membuatkan Masliha yakin Ikmal akan kembali padanya. Kerana cintanya pada Ikmal terlalu dalam.
Petang itu mereka menghabiskan masa bersama. Ikmal membawanya ke semua tempat kenangan mereka, tempat mereka melepaskan rindu setelah beberapa minggu tak bertemu. Tempat pertemuan mereka yang pertama dan mereka makan di restoran pertama pertemuan mereka. Segalanya membuatkan Masliha gembira walaupun petang itu juga, kelakuan Ikmal berubah, selalunya hanya Masliha yang selalu bercakap, tapi hari ni, Ikmal macam orang baru dapat mulut, ada sahaja yang mahu diceritakannya. Masliha senang dengan perubahan itu. Mungkin kerana mereka akan terpisah lama membuatkan Ikmal mahu menggembirakan Masliha.
“Saya seronok sangat keluar dengan awak hari ni! Terima kasih Mas, sebab bagi peluang pada saya untuk menyintai awak!” ucap Ikmal, jemari runcing Masliha dikucupnya. Masliha tergelak, selama ini Ikmal tak pernah nak pegang tangannya, cuma dia yang kadang-kadang gatal tangan sengaja nak sentuh-sentuh jari Ikmal. Lelaki pemalu itu selalunya cuma tersenyum.
“Alah! Awak ni macam nak tinggalkan saya selama-lamanya je… Awak jangan bawak balik minah saleh pulak nanti! Kalau awak bawak balik minah saleh, saya bunuh –“ belum sempat Masliha menghabiskan ayatnya, Ikmal menutup mulutnya.
“Saya tak akan bawa minah saleh, percayalah! Saya akan bawa awak dalam hati saya sampai mati!” kata-kata itu cukup membuatkan Masliha terharu. Sebelum ini begitu payah mulut Ikmal untuk mengucapkan sayang dan rindu padanya, tapi hari ini, bibirnya begitu lancar mengukir janji. Yang pastinya bila Ikmal ke England nanti, hati Masliha akan dicengkam rindu. Pertemuan mereka diakhiri dengan kata-kata cinta Ikmal yang membuatkan hati Masliha bagaikan tidak merelakan pemergiannya. Saya sayang awak, Ikmal! Bisiknya hatinya sambil membalas lambaian lelaki itu.

Sudah sebulan Ikmal meninggalkan tanah air. Selama itu juga Ikmal tidak pernah menghubunginya, malah e-mail yang dihantarnya pun tidak pernah berbalas. Namun Masliha faham tentang keadaan itu, dia redha. Hatinya kuat mengatakan Ikmal tidak akan menduakannya. Mungkin lelaki itu sedang bertungkus lumus belajar. Entah mengapa dia sendiri hairan, kenapa hatinya bagaikan merelakan tanpa ada rasa curiga walaupun dia teramat sayangkan lelaki itu.
“Oit! Berangankan siapa tu? Ooo… ni mesti rindukan cik abang yang jauh di rantauan ni. Tak pun teringatkan Tengku Tarzan ni!” usik Rubiah bila dilihatnya Masliha termenung merenung kuntuman bunga kristal yang dihadiahkan oleh Ikmal sewaktu dia diterima bekerja di sini. “Dia langsung tak contact, Mas, dia kata nak bagi surat… tapi, takde pun!” balasnya tanpa sedar, tapi matanya masih tertancap pada bunga kristal itu.
“Alah, biasalah orang study kat abroad ni, memang busy Mas, nanti adalah dia hantar surat tu. Dahlah tak payah pening-peningkan kepala tu. Lagipun minggu ni kau boleh enjoy, pasal Tengku tarzan kau tu cuti emergency seminggu!” sampuk Salmi pula.
“Hah! Emergency leave seminggu? Itu emergency ke buat-buat emergency. Kalau cuti emergency takkan apply awal-awal?”
“Dia tak apply awal-awal, pagi tadi dia call akak, dia bagitahu dia kena cuti seminggu ada hal keluarga!” balas Salmi. Masliha cuma mengangguk mendengar kata-kata Salmi. Baguslah kalau macam tu, takdelah jiwa raga aku ni sesak dengar tempikan hilang akal dia tu. Hal keluarga? Ada keluarga ke Tengku tu? Setahu aku selama lima bulan aku kerja kat sini tak pernah aku tahu dia ada keluarga, kerja macam nak hidup beribu tahun je, siang malam ada je di pejabat. Ah! Lantak dialah, bukan masalah aku. Yang menjadi masalah aku ni, Ikmal… kenapalah awak tak contact saya, wak? Awak tak rindu ke kat saya? Saya ni rindu gila nak dengar suara awak, tak dapat dengar suara dapat tengok tulisan awak pun tak apa! Ini e-mail pun tak mahu balas… awak dah jumpa minah saleh ke sampai awak dah lupakan saya?


Pejam celik pejam celik, sudah setahun Ikmal pergi ke England. Selama itu juga dia biarkan sahaja waktu mengukir rindunya pada lelaki itu. Ikmal langsung menyepi tanpa khabar berita, tapi hati Masliha sudah nekad, walau apa pun terjadi, dia mahu menunggu lelaki itu. Biarlah mama dan abah bising bertanyakan soal jodoh, namun untuk menduakan Ikmal, tidak sekali-kali. Bukannya mereka tak tahu aku berkawan dengan Ikmal, tapi mama dan abah terlalu bimbang bila melihat aku menatap gambar Ikmal sepanjang masa di rumah.
Tengku Qamarul pula semakin baik padanya, benar seperti kata kak Ruby. Cuma sejak akhir-akhir ini, dia lihat ada kekurangan pada wajah Tengku itu. Mungkin dia masih bersedih dengan peristiwa yang pernah berlaku pada keluarganya hampir setahun lalu. Tapi siapalah dia untuk bertanya.
“Mas, nanti tolong kemaskan bilik Tengku, mak cik Nah, cuti. Tengku nak pindah ke bilik sebelah conference room tu. Dia nak renovate bilik dia bagi besar sikit. Nanti akak tolong Mas ye… akak ada kerja sikit ni…” terang Salmi tanpa dipinta. Masliha akur, lagi pun kerjanya tidak berapa banyak hari ini. Tengku sudah mengupah seorang lagi kerani bagi mengurangkan beban kerja mereka yang bertambah banyak. Lagipun apa salahnya dia menolong mengemas sekali sekala, bukan apa, sejak dia bekerja di situ tidak pernah dia menjengah ke bilik Tengku Qamarul jika tidak dipanggil. Masliha terus ke store, mengeluarkan apa yang patut digunakan untuk mengemas bilik Tengku Qamarul.
Masliha sudah mengemas fail-fail yang berselerak di atas rak yang tersedia di penjuru bilik, fail-fail itu dimasukkan ke dalam kotak. Kemudian dia beralih ke meja komputer matanya terpandangkan sebuah frame yang seperti sengaja ditiarapkan. Perlahan dia menarik frame gambar yang tertiarap dilantai meja. Matanya terus tertumpu pada wajah lelaki di dalam frame itu. Terperanjat dia melihatnya.
Ikmal? Macam mana gambar Ikmal boleh ada di sini. Patutlah beriya dia menyuruh aku bekerja di sini, rupanya dia ada kaitan dengan Tengku Qamarul. Tapi sampai hati dia tak beri tahu aku…
“Awak mahukan gambar itu? Awak simpanlah… saya tahu, dia kawan baik awak! Dia ada beritahu pada saya dulu…” sekali lagi Masliha terperanjat bila suara Tengku Qamarul menerjah ke cuping telinganya. Masliha terkaku seketika. Kawan baik! Kenapa Ikmal tidak mengatakan aku ni kekasih dia, seperti yang selalu diucapkan padaku? Sampai hati awak, Ikmal! Saat itu mutiara jernih menitis ke pipi, cepat-cepat disekanya airmata itu, jangan dilihat Tengku Qamarul.
“Saya tahu, awak sedih! Saya sebagai abang dia, lagilah tak dapat terima semua ni… Boy, adik yang paling rapat dengan saya! Tapi, kita tak boleh melawan takdir, Masliha!” kata-kata Tengku Qamarul membuatkan Masliha merenung majikannya itu dengan pandangan hairan.
Melawan takdir? Apa maksud Tengku Qamarul? Aku cuma terkilan kerana sejak Ikmal pergi, tiada berita darinya dan yang paling aku terkilan, Ikmal cuma menganggap aku sebagai kawan baik? Betapa kejamnya awak, Ikmal!
“Ik…Ikmal ni, adik Tengku? Dia tak pernah beri tahu saya pun… Macam mana dia sekarang?” Cepat-cepat tangannya mengemas apa yang ada di meja itu. Dia cuba menyembunyikan perasaan kesalnya, cuba memaniskan muka seperti tiada apa-apa yang pernah berlaku antara dia dan Ikmal.
“Awak tak tahu?” Tengku Qamarul memandangnya dengan wajah yang berkerut, hairan. Masliha menggelengkan kepala tanpa suara kemudian dia termenung seketika dan airmatanya mengalir tiba-tiba.
Ya Allah! Ikmal tu adik Tengku Qamarul dan yang meninggal dunia akibat canser itu adalah Ikmal aku?
Tiba-tiba sahaja kelopak matanya panas semula, saat itu titisan mutiara jernih umpama hujan, laju membasahi pipi. Perasaan menyesal menyelinap ke dalam jiwanya bila teringatkan bagaimana dia tidak dapat datang ke pengkebumian adik Tengku Qamarul dulu. Tiba-tiba kepalanya terasa berpusing, dia akhirnya tak mampu mengimbangi badan dan kemudian, dia tidak ingat apa-apa lagi.

Tengku Qamarul meletakkan kereta di bawah pokok angsana yang berbunga lebat di tepi pagar kawasan perkuburan itu. Dia berjalan beriringan dengan Masliha yang berbaju kurung putih susu dan bertudung putih berbunga hitam. Seharian dia menemani Masliha kelmarin, mendengar cerita cinta antara gadis manis itu dan adiknya, Ikmal. Patutlah, Ikmal sering berpesan agar menjaga ‘kawan’nya itu sebaik mungkin. Rupanya selama ini, gadis manis bertubuh kecil itu adalah buah hati pengarang jantung Ikmal. Hingga ke saat terakhir, Ikmal masih sempat berpesan agar tidak mensia-siakan Masliha. Dan pesanan terakhir itu akan dikotakannya kelak.
Pohon kemboja terus menggugurkan kuntuman-kuntuman bunganya yang putih bersih menaburi pusara yang berdindingkan marmar putih. Masliha duduk berteleku sendiri sambil bibirnya tak henti menghadiahkan Fatihah untuk Ikmal, di usapnya nama pada nisan yang bagai tidak pernah dimamah hari. Tertulis huruf-huruf jawi di nisan putih itu nama Tengku Ikmal Arif, kekasih hatinya yang telah lama pergi. Tidak pernah dia menyangka Ikmal telah pergi meninggalkannya dan selama ini dia hanya merindu sendiri.
Dari cerita Tengku Qamarul, Masliha mengetahui bahawa Ikmal ke England untuk menjalani pembedahan terhadap tumor yang menumpang di otaknya bukannya untuk melanjutkan pelajaran. Kalaulah aku tahu segala ini akan terjadi, pasti aku tak benarkan Ikmal hilang dari pandangan mataku walau sesaat. Sampai hati awak tinggalkan saya tanpa memberitahu saya.
Ikmal, akan kubiarkan waktu mengukir rinduku buat selamanya… bisiknya dalam tangisan yang panjang.

TAMAT

5 comments:

anyss said...

Alamak...cedih la plak. Tapi...best. Bahasa segar, bersahaja dan nampak original x copy n paste org lain punya.

dina said...

TQ for reading n comment my dear anyss... aku rasa hebat kalau kau sudi membaca semua cerpen aku

LeaQistina said...

kak dina.. citer ni best.. but wkt dlm beberapa perenggan pertama lea baca.. lea seolah2 terbayang kisah aku bukan untukmu.. huhu.. apa pun.. wat citer lg ek..

-Ain-Dak In- said...

hmmm,,,

nice story...
tp mcm agak keskemaan,,,

huhuhuhuhu..............

nadiahaerani said...

huhuhuuuuu sedihnyeeee cita ni dina;-(

chayyyoookkkkk2...pandaila hang karang...;-)