Monday, June 23, 2008

SEMANIS SENYUMANMU -BAB 5

Selepas sahaja selesai kuliah dia menuju kafetaria untuk mengisi perutnya yang mulai berkeroncong. Hari ini Wani tidak datang kuliah, terpaksalah Aryssa berseorangan. Dia tidak punya ramai kawan di sini. Kawan di luar memanglah ramai, tapi dia lebih serasi dengan Wani yang dikenalinya sejak sekolah rendah. Hanya Wani sahaja temannya saat dia menangis dan ketawa. Wani tidak pernah meninggalkannya semasa dia bersedih, tidak pernah mengkhianati persahabatan mereka selama ini.
“Hoi! Jalan tak tengok orang ke? Main langgar je… Mata letak kat tapak kaki?” tengking seorang lelaki yang seakan mahu terjatuh ke tepi kaki lima.

Aryssa langsung tidak menyedari dia sudah sampai di belakang kafe, dan terlanggar pula manusia yang tidak ada budi bahasa. Sedang berasmaradana pula. Entah apa malangnya nasib dia hari ini.

Macam dah tak ada tempat lain, belakang café ni pun jadi? Mentang-mentang tempat ni sunyi, tak ada orang lalu lalang, mulalah nak ambil kesempatan bercengkerama. Dia ingat belakang kafe ni taman bunga ke? Kena tangkap dengan penyelia baru ada akal! Tangkap khalwat!

“Yang korang lepak kat tempat orang lalu-lalang pasal apa? Tak ada tempat lain nak bercengkerama? Pergilah taman bunga ke, taman tasik ke… ini tempat terceruk cam gini nak dating, tak ada taste langsung!” jawabnya kasar bila disedarinya orang yang menengkingnya itu adalah Fizal, Casanova Kolej Perdana, anak mak cik Salina yang datang ke rumahnya tempoh hari. Budak lelaki yang suka sangat mengepit perempuan ke sana ke mari.
“Dah lah buat salah, tak reti nak minta maaf. Cakap pula tak reti nak elok-elok. Suka hati akulah nak lepak kat mana, kau jealous apasal? Dahlah macam perempuan tak cukup hormon… langgar-langgar orang pula. Jealous lah tu!” tempelak lelaki itu lagi, sedang sang gadis di sebelahnya mencebik.

Macamlah dia tu cakap penuh dengan bersopan santun sangat, konon bagus sangat jantan ni. Hari tu Suzanna, hari ni Azmira. Esok entah anak dara siapa dirosakkannya. Jantan macam ni tak boleh layan, hancur!

“Mari, Sayang…kita pergi tempat lain. Jangan layan betina-jantan tak laku ni… Potong stim je!” ejekan Fizal membuatkan Aryssa bertambah bengang.

Tak guna mamat ni, siap kutuk aku depan awek dia. Macam bagus je…

“Celaka!” maki Aryssa.

Fizal menoleh saat Aryssa memakinya. Matanya tajam merenung gadis itu.
Pandangan Fizal ditentang Aryssa. Tajam juga.

Ingat aku takutlah tu bila tengok orang macam nak telan. Harap muka je handsome, tapi attitude langsung out, tak boleh pakai!

“Kenapa, tak puas hati? Nasib baik kau pompuan tau…kalau tak dah lama aku bagi penumbuk sulung. Lebam biji mata! Orang macam kau ni, jangan kata aku, lembu tengok pun tak ada selera,” tempelak Fizal.

Kata-kata lelaki itu sudah sampai tahap menghina. Pedih telinga mendengarnya!

Yang si betina di sebelahnya pula tersengih-sengih mengiakan kata-kata teman lelakinya. Padahal dia sendiri tidak tahu dia nombor berapa. Dia ingat dia sorang saja awek jantan ni? Jangan harap! Satu kolej tahu perangai buaya si Fizal ni. Kalau bertukar-tukar tak kisah juga. Ini tidak, mengatur anak dara orang untuk di jadikan koleksi. Dia ingat anak dara orang tu apa? Setem? Poskad? Nak dibuat koleksi?

“Habis kau ingat aku berselera tengok muka kau? Blah lah! Tadi elok-elok aku nak makan…tengok muka kau jadi nak muntah pula! Uwek!” balasnya dalam nada geram.

Aryssa pura-pura menunjukkan aksi mahu muntah. Sengaja dia mahu memanaskan keadaan. Orang berbudi kita berbahasa. Orang tidak berbudi kita juga jangan pandai berbahasa…
“Hoi, Tak guna punya betina-jantan! Aku bagi sebijik karang!” Fizal mengepal penumbuk dan menghalakannya ke arah muka Aryssa.
“Kalau dah rasa bacul sangat, pukullah. tak malu!” sindir Aryssa.

Dia kemudian berlalu dengan bungkam. Geram. Malas nak layan orang kurang ajar sebegitu. Cakap tak reti elok-elok, main tengking saja.

Nak declare perang dengan aku, cakaplah. Biar aku pasang perisai!

Seleranya langsung patah di situ. Terus dia menuju ke tempat letak motorsikal. Memecut laju ke depan setelah meninggalkan bingit enjinnya yang sengaja dikuatkan.

Motorsikal Yamaha 125 pemberian ayahnya sempena kecemerlangannya dalam SPM setahun lalu diletakkan di tepi gerai. Tempat dia selalu melepak. Lepak itu bukanlah lepak kosong. Kadangkala dia menolong kawan-kawannya itu berniaga. Dia senang berkawan dengan kedua kembar ini, Meor dan Acid. Mereka anak orang susah, tidak mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tinggi walaupun memiliki kelulusan yang baik dalam peperiksaan dan layak memasuki universiti. Dan mereka memilih untuk berniaga siang dan malam untuk membantu keluarga.
“Woi, Apasal monyok je ni? Macam orang tak makan setahun je. Wani mana? Biasanya asyik melekat macam kembar siam, hari ni tak ada pula?” tegur Meor yang sedang menggoreng daging burger.

Dia hairan melihat Aryssa datang berseorangan, selalunya bersama Wani. Hari ini, budak bermulut becok itu tidak pula membonceng motorsikal Aryssa. Kalau tidak, mulut dialah yang paling bising macam baru cas bateri.
“Lama tak datang, Ry… Berapa bulan aku tak nampak muka kau. Kembar siam kau mana?” sapa Acid pula, kembar Meor yang berniaga air di sebelah gerai burger itu.
“Ada. Busy sikit, study! Wani tak datang kolej hari ni,” balas Aryssa.
“Meor, burger daging special satu. Garing!” pesannya kemudian.
“Garing ke rentung?” usik Meor dan ketawa kecil.
“Banyak la kau punya rentung, karang, tak pepasal engkau yang rentung,” sahut Aryssa membalas.

Mereka ketawa kecil. Mesra.

Aryssa membuka helmetnya dan meletakkannya di atas seat motor. Kedua-dua kembar itu rakannya semasa di sekolah. Rakan karib Amir Hizam juga.
“Aku dengar ada budak pompuan jatuh cinta dengan kau. Apa cerita ni Ary? Takkan kau dah jadi…” Meor bersuara sambil menyapu margerin pada kepingan roti yang telah dibelah dua.
“Ops! Budak pompuan tu yang syok kat aku…tapi aku tak. Aku masih Aryssa yang dulu..” cepat sahaja Aryssa memintas kata-kata Meor. Bimbang kiranya berlaku salah faham.
“Ini mesti dapat cerita dari Wani kan?”

Dia tidak mahu mereka menganggapnya seperti mana anggapan Fizal tadi. Anggapan itu boleh mewujudkan pandangan serong orang lain terhadapnya.

Wani ni memang mulut tempayanlah, cepat je sampai berita yang memalukan tu pada kawan-kawannya.

“Kau masih tunggu Amir?” soalan Meor membuatkannya terdiam seketika. Direnungnya wajah temannya itu.
“Ry, aku kesiankan kau. Amir tu keras hati, tak payahlah kau tunggu dia. Lagipun sampai bila?”

Meor sudah duduk menghadap Aryssa. Burger yang sudah masak tu dihulurkan pada gadis tomboy itu.
“Aku pun tak tahu sampai bila, tapi…aku memang sayangkan dia, Meor!” ujarnya. Perlahan.

Terasa ada sebal yang mencengkam di dadanya. Memang Meor dan Acid tahu tentang cintanya dan Amir. Sudah berpuluh kali mereka menasihatinya. Namun, semua nasihat si kembar itu hanya disimpan dalam hati. Nasihat itu memang ada benarnya, namun hati… entah bagaimana mahu dipujuk.
“Dia tak pernah hargai kau…dia dah berubah. Kalau aku jadi kau, aku tak sanggup lagi nak tunggu,” Acid pula mencelah.
“Aku tahu, kau sanggup berubah begini semata-mata tak mahu padamkan nama Amir dalam hati kau. Kau memang gila la, Ry,” sambung Acid lagi.

Dia pun sama seperti abangnya, selalu simpati dengan Aryssa. Mereka tidak seakrab ini dulu, tetapi semenjak Aryssa ditinggalkan Amir, hubungan mereka bertambah rapat. Meor dan Acid lah yang selalu berusaha memujuk Amir bertemu Aryssa. Namun semua usaha mereka sering hampa apabila Amir Hizam sendiri tidak lagi mahu bertemu sesiapa.
“Jangan buang masalah Ry, dari kau tunggu dia yang belum tentu datang balik ke tidak tu, baik kau terima aku je,” gurau Meor dengan ketawa kecil.

Aryssa turut ketawa. Roti burger yang lembut itu digigitnya. Dikunyah perlahan.
“Ala… tak kisahlah Cid, Meor. Aku percaya satu hari nanti Amir akan datang semula pada aku. Aku akan tunggu walau seribu tahun!” tegas Aryssa.
“Ha-ah. Ye lah tu! Masa tu, kau dan Amir dah kerepot, dah bertongkat. Masa tu baru masing-masing menyesal sebab tak kahwin masa muda,” tawa Acid mengakhiri sesi luahan perasaan itu.

Meor yang berbadan agak gempal dari adiknya, terhinggut-hinggut ketawa. Aryssa turut tertawa. Hanya mengikut rentak mereka. Jauh di dasar hatinya, tertancap kepedihan yang tidak tertanggung.

Mereka berborak lagi. Sesekali perbualan itu terganggu apabila beberapa orang pelanggan tiba. Sesekali yang lain perbualan diteruskan sementara tangan mereka ligat bekerja. Aryssa turut membantu, membungkus burger yang telah siap.

Deruman sebuah Satria GTi kelabu metalik mengaum membuatkan tangan Aryssa terhenti membungkus burger. Dia mengalihkan pandangan yang terhalang dek rak kaca tempat meletakkan segala roti dan sos.
“Meor, burger ayam special dua. Cid, Cincau dua… cepat sikit ye!” pesanan lelaki itu membuatkan Aryssa separuh ternganga.

Mana datangnya mamat ni, tetiba saja muncul. Bawa awek lain pula tu… baru je tengah hari tadi bertekak dengan aku. Datang sini pun ada lagi muka dia? Apalah sialnya hidup aku hari ni.

Tengokkan lagaknya, bukan main lagi. Belanja awek makan burger je? Huh, dah habis modal ke?

Mahu saja diperlinya lelaki itu. Apabila mengingatkan Meor dan Acid berniaga di situ mencari rezeki, dia menahan diri.

Aryssa mengintai dari jauh. Dilihatnya perempuan dalam kereta itu. Bukan Suzanna atau Azmira. Bukan juga Lidya, tetapi Sharifah Faizurin Atikah, teman sekelasnya semasa di tingkatan dua.

Hari ini saj aku dah nampak dia kelek tiga orang perempuan. Agaknya, berapa banyaklah koleksi perempuan yang dia simpan. Kesian perempuan-perempuan tu!

“Ary! Oii… aku lah!” jerit perempuan itu, sambil melambai ke arah Aryssa.

Dia kenal sangat budak yang nama panjang macam keretapi ini. Suka menayang dan menunjuk-nunjuk. Mentang-mentanglah anak tunggal, apa yang dia hendak akan dapat.

Aku pun anak tunggal juga, tak le over sangat macam dia.

“Hai, Zurin… ni abang kau ke?” sengaja Aryssa bertanya begitu sambil matanya mengerling ke arah Fizal. Kuat suaranya.

Bukan dia tidak tahu yang si Zurin tu anak tunggal tapi sengaja dia mahu memancing reaksi lelaki yang berlagak dengannya tadi.
“Tak lah. Balak baru aku, kenalkan… Jay. Takkan kau tak kenal? Satu kolej dengan kau kan?” tergedik-gedik Zurin memeluk lengan Fizal.

Fizal di sebelahnya tersenyum tawar. Mungkin malu dengan tindakan Zurin yang memperkenalkannya pada Aryssa.
“Mana nak kenal, kolej aku tu besar. Aku ingatkan abang kau. Sebab aku nampak… Ah, Just forget it!” Aryssa cuba permainkan emosi lelaki itu. Mengugut dalam diam, sebenarnya.
“Hai, Saya… Aryssa binti Alias,” sambung Aryssa.

Dilihatnya muka Fizal sudah berubah keruh saat dia menghulurkan tangan sambil memperkenalkan diri sambil menekankan sedikit perkataan ‘binti’. Biar lelaki itu tahu bezakan antara lelaki dan perempuan. Antara jantan dan betina. Dia tahu Fizal sedang cuba mengawal pernafasannya.
“Ary, tolong pass burger ni!!” jerit Meor sambil memegang bungkusan plastik berisi pesanan Fizal.

Aryssa terus mengambil bungkusan burger dan cincau dari tangan Acid dan bungkusan itu diserahkan pada Fizal.
“Bagi awek makan burger je, bang? Elaun tak masuk lagi?” perli Aryssa sambil tersenyum. Sinis.

Lelaki itu sudah mulai berpeluh. Pantas dia menghulurkan not merah.
“Keep the change!” kata Fizal tidak mahu menunggu lagi.

Dia terus menekan minyak. Satria GTi kelabu metalik itu meluncur laju. Sekelip mata hilang sebalik selekoh.

Eleh, RM10 bolehlah keep the change. Cuba kalau RM100 ke, gempak juga…

Aryssa senyum. Puas. Akhirnya berpeluang juga dia mengenakan lelaki itu. Biar dia sedar sikit. Kalau tidak, sesedap rasa saja dia dikutuknya dihadapan aweknya tadi.

**** ********** ****

Alamak, Malu siot! Sumpah! Kalau aku tahu dia lepak kat situ, aku tak jejak stall burger tu. Mesti dia dengan Meor to kamcing.

Isk! Mana aku nak letak muka? Bukan aku tak mahu bawa awek pergi restoran mahal. Awek macam Lydia lainlah. Aku belanja burger tepi jalan, sure dia blah punya. Lagipun, mama kedekut sikit sekarang ni. Semuanya kerana aku selalu keluar malam. Spoil!

Yang si Zurin tu pula, tergedik-gedik kenalkan aku pada si betina-jantan tu. Si betina-jantan tu apa lagi, kemain lagi dia perli-perli aku. Tak apa, hari ni hari dia. Mana tahu esok lusa hari aku. Siaplah dia makan sindiran aku sampai menangis. Masa tu, aku nak tangkap gambar dia, nak jual dan tunjuk pada semua orang budak yang betina-jantan ni menangis sebab aku…

“Fizal, telefon… Lydia!” laungan mama membuatnya tersentak.

Lydia? Alamak! Macam mana aku boleh terlupa nak ambil dia. Ni semua pasal budak betina-jantan tu.

Pantas Fizal terjun katil dan berlari anak turun ke tingkat bawah. Gagang dicapainya.

“Hello. Sorry, baby…I lambat sikit!” ucapnya. Lembut. Separuh memujuk.

Memang dia terlupa untuk mengambil gadis itu pulang dari kelas aerobik. Gadis ini memang high class, tetapi ada kalanya dia terasa seperti pemandu pula. Setiap kali Lydia mahu keluar, pasti dia yang dihubunginya.
“Sayang, apasal I call handphone you, tak dapat?” tanya Lydia. Manja.
“Baby, kan I bagi tau semalam, handphone I rosak. You tak ingatlah tu… Baby tunggu okey, lima belas minit lagi I sampai,” lembut suara Fizal memberitahu.
“Hmm… nanti kita beli yang lain, okey!” jawapan Lydia membuatkan Fizal tersenyum panjang.

Fizal mencapai kunci kereta dan bergegas keluar. Adakalanya dia sendiri terasa bosan bila terpaksa mempunyai jadual baru sejak berkawan dengan gadis itu. Mana tidaknya, setiap hari selepas habis sahaja kuliah, pasti ada sahaja aktiviti dilakukan.

Banyak masa Fizal untuk menemani temannya yang lain terpaksa dikorbankan untuk itu. Isnin, Rabu dan Jumaat, gadis itu ada kelas renang. Dan hari lain pula, ada kelas aerobik. Kalau tidak pun, Fizal terpaksa menemaninya ke kelab tennis. Penat.

Hujung minggu pergi menonton dan membeli belah. Langsung tak punya masa untuk berseronok dengan gadis lain. Bosan.

Adakalanya, dia rasa bangga pula apabila bersama Lydia. Siapa yang tidak kenal anak Dato’ Hisham, ratu Kolej Dermaga yang sentiasa menjadi pujaan lelaki di Bandar ini.Dan dia, amat bertuah kerana berpeluang mendekati gadis itu.

No comments: