Tuesday, July 22, 2008

SEMANIS SENYUMANMU -BAB 18

BAB LAPAN BELAS

Fizal sudah menanti di sisi telefon. Dengan susah payah dia beralih ke atas katil. Fizal tidak mahu menyusahkan mama mahupun ayah seperti hari pertama dia pulang ke rumah. Bersusah payah mama dan ayah mengangkatnya naik ke katil. Dia sudah mampu lakukannya sendiri kini.

Kemudian dia mengambil alat kawalan jauhnya dan memasang Hi-finya. Berkumandang lagi lagu Manisnya Senyumanmu dari kumpulan Elite. Dulu, Fizal tidak pernah ambil tahu tentang lagu-lagu semua ni. Sejak mengenali suara Syarina Wirdayu, lagu ini bagaikan sebati dengannya. Bagai ada satu perasaan yang meminta Fizal mendengar lagu ini. Fizal melirik ke arah jam dinding, beberapa minit lagi pukul 10:00.

Rasa tidak sabar benar dia nak mendengar celoteh Syarina Wirdayu. Padanya, Syarina adalah segala-galanya buatnya sekarang. Bukan lagi Suzanna, Lydia, Mira dan perempuan-perempuan lain yang Fizal pernah kenal. Dulu, Fizal rasa perempuan bagaikan permainan, boleh ditukar bila sudah jemu. Boleh dikumpulkan bila suka. Yang penting, bila dia berdampingan dengan mereka, lelaki lain akan cemburu. Fizal mahu jadi hero. Hero pada gadis-gadis yang didampinginya.

Sayangnya, ketika Fizal inginkan simpati daripada mereka, semuanya menjauhkan diri. Fizal terasa sunyi. Mujur ada Syarina yang masih lagi sudi menghulurkan sebuah persahabatan.

Fizal dikejutkan dengan bunyi telefon. Mencantas kenangan lamanya. Pantas tangannya mencapai ganggang.
“Assalamualaikum, Hai, Fizal! Dah makan ubat?” suara ceria Syarina membuatkan hati Fizal berbunga riang.

Suara yang dinanti telah muncul semula seperti malam-malam sebelumnya.
“Wa’alaikumussalam. Nak cakap dengan Fizal ye, sekejap ye,” Fizal berpura-pura memanggil.
“Fizal tak payah nak menyamar. Rina kenal suara Fizal, bunyi nafas Fizal pun Rina kenal…” Syarina ketawa.

Fizal senyum, biarpun senyuman itu tidak ada siapa yang Nampak. Memang Fizal rindukan tawa itu. Walaupun hanya suara itu yang menemaninya setiap malam. Tanpa wajah. Tanpa rupa.
“Lain kali Rina buat-buatlah tak kenal,”

Ini tak, tiap kali call mesti tau je aku yang angkat. Macam dia tahu-tahu je aku tengah tunggu panggilan darinya.

“Kenapa? Fizal rasa malu tunggu Rina call? Buat apa nak malu? Kita kan kawan…Rina tak malu pun telefon Fizal…”

Memang le malu. Mana tidaknya, Casanova Malaya dah terjatuh cinta dengan seorang gadis yang langsung tak dikenalinya. Tanpa wajah. Tanpa rupa. Hanya mendengar suara. malu siot!

“Kalau Rina bagi nombor telefon Rina kan senang. Bolehlah Fizal call bila-bila masa Fizal perlukan Rina…”
“Maknanya, Rina ni kawan masa diperlukan ajelah ye. Kalau masa Fizal tak perlukan, Fizal tak call ye? Sekarang Fizal perlukan Rina ke tak? Kalau Rina tak diperlukan sekarang, Rina nak letak telefon…” jawapan nada merajuk Syarina membuatkan Fizal terdiam.

Aiseh! Dia salah faham pula. Takkan Syarina merajuk? Habislah aku macam ni. Mana pernah aku memujuk awek, awek pujuk aku adalah. Hish, macam mana ni?

“Bukan macam tu maksud Fizal. Fizal nak Rina temankan Fizal setiap masa. Fizal… Fizal… sayangkan Rina,”

Isk, Memalukan! Selalunya, awek yang akan cakap macam tu pada aku dulu. Ini sudah terbalik. Nasib baik perempuan ni tak kenal aku.

“Cepatnya Fizal sayangkan Rina. Baru tiga bulan kita kawan. Tak kenal pun, macamana boleh sayang pula?”
“Tak boleh ke Fizal sayang Rina sebagai kawan?”

Memang Fizal sayang Rina bukan saje setakat sebagai seorang kawan, kalau boleh Fizal nak Rina jadi lebih dari itu. Fizal nak, Rina jadi permaisuri hidup Fizal. Rina sudi tak jadi permaisuri hidup Fizal?

“Fizal belum kenal Rina lagi, macam mana boleh sayang? Kalau Rina ni gemuk, rendah, hitam legam, macam mana? Masih sanggup nak sayang Rina?” umpan Syarina.

Fizal terdiam. Menggigit bibirnya.

Alamak! Habislah aku. Begitukah rupa dia? Gemuk, pendek… hitam legam macam negro? Sanggupkah aku?

“Jangan terlalu cepat menghulur sayang, nanti cepat juga kebencian tu datang…” Syarina berfalsafah.

Fizal terdiam lagi. Tidak terkata. Dia jadi pelik. Payahnya hendak memahami hati perempuan yang satu ini. Cakap macam ini, dijawabnya begitu. Tidak pernah habis ideanya untuk terus berkata-kata. Kerapkalinya, Fizal yang kematian ayat.
“Cerita pasal benci ni, Fizal teringat cerita siang tadi,” Fizal mengubah tajuk bual mereka.

Dia tidak mahu lagi belayar dalam perasaan sendiri. Dia tahu, gadis itu tidak akan sudi untuk menjadi teman hidupnya. Siapalah dia, hanya sekadar menjadi teman berbual gadis itu sahaja.

“Rina tahu, musuh ketat Fizal datang rumah tadi… tak sangka, rupanya dia tu anak kepada kawan baik mama Fizal. Kalau tengok mak dia…dahlah cantik. Lemah lembut, baik hati pula… Fizal memang suka mak cik Zakiah tu, dia baik macam mama Fizal juga. Dia pandai masak tau! Fizal suka masakan mak cik Zakiah tu, tapi anaknya buat Fizal sakit hati, Rina nak tahu tak?” panjang lebar cerita Fizal.

Semuanya diceritakan, sedikit pun tidak tertinggal. Dari mula dia bertekak dengan budak tomboy itu di kolej, hinggalah cerita budak tomboy tu datang ke rumahnya.

Diselangi dengan tawa Syarina, tidak henti pula Fizal berceloteh. Memang Fizal bencikan budak tomboy itu. Terlalu benci. Bukan budak tomboy itu sahaja yang dibencinya, malah tomboy yang ada seluruh dunia pun dia tak suka.
“Tak ada gunanya jadi tomboy ni. Bukankah elok kalau mereka jadi perempuan sejati? Hanya perempuan dan lelaki dilahirkan di dunia, segelintir lagi khunsa. Kenapa perempuan masih mahu berebut title lelaki sehingga sanggup membuat hubungan sejenis yang terang-terang menyalahi hukum Tuhan? Kenapa perlu menentang hukum alam? Fizal sendiri tak faham,” ujarnya.

Ternyata yang tersarang di hati Fizal adalah persaingan. Masih belum cukupkah sebegitu ramai perempuan yang pernah kau heret ke sana sini selama ini? Seisi duniakah mahu kau kuasai? Ah, lelaki ini lagilah susah nak faham. Tamak!
“Kalau Fizal tahu perkara itu salah, sepatutnya Fizal jangan membenci, tapi membimbing…” lembut suara Syarina Wirdayu membuatkan Fizal terdiam.
“sampai bila setiap kesalahan itu dihukum dengan perasaan sendiri? Bukankah lebih baik kita bimbing mereka daripada terus buat salah? Kalau kita yang normal ni tak tolong mereka, siapa lagi?”

Diam juga. Fizal sedikit rasa terpukul. Gadis itu seakan menyimbah semula kesilapan masa lalunya.
“Bukan sahaja perempuan berkelakuan lelaki, tapi lelaki berperasaan seperti perempuan lebih ramai, Fizal. Tapi…kita sendiri tak sanggup memberi mereka peluang untuk berubah. Masyarakat kita hanya tahu mengkritik. Jadi, pada dasarnya, kita juga bertanggungjawab apabila mereka jadi begitu…” panjang lebar Syarina berhujah.

Tidak sangka Syarina begitu tegas. Bernas pendapatnya. Jauh pandangannya.
“Rina macam sokong mereka je. Atau, Rina juga salah seorang daripada mereka?” pancing Fizal.

Dia sendiri mula was-was dengan identiti Syarina. Terlalu misteri. Entah-entah, bapuk!

Terdengar Syarina ketawa di hujung talian.
“Rina bukan tomboy atau bapuk. Rina seorang perempuan sejati secara lahiriah dan batiniah. Puas hati?” akuinya.

Fizal menarik nafas lega mendengar pengakuan Syarina. Sekurang-kurangnya tidurnya lena malam ini.
“Tapi…kalau Fizal berjaya menjadikan seorang tomboy sebagai perempuan sejati, bermakna Fizal benar-benar lelaki sejati,” cabar Syarina. Cabaran yang paling berat buat Fizal.
“Fizal takkan berbaik dengan orang begitu. Fizal benci, Rina. Tengok mukanya pun Fizal meluat…” luahan Fizal membuatkan Syarina mengeluh.
“Jangan terlalu membenci, nanti bertukar sayang….” Sebaris ayat itu membuatkan Fizal menelan liur.

Sayang? Tak mungkin Fizal akan menyayangi budak betina-jantan itu, never! Sudahlah sebijik macam lelaki. Kasarnya pula mengalahkan lelaki sejati. Macam tu nak jadikan teman hidup? Jadi kawan pun, belum tahu lagi. Hilang akal apa nak couple dengan betina-jantan tu. Silap haribulan, aku minta flying kiss dia bagi flying kick. Tak pasal-pasal, lebam mata. Hari tu, dah lah lebam dahi kena pelangkung!

“Hello, Fizal, ada lagi ke? Dah sampai bulan ke bintang ni? Fizal memang kuat berangan ya?”

Lamunannya terhenti dengan usikan itu.
“Rina, Betul ke kalau kita terlalu benci nanti jadi sayang?” uji Fizal.
“Yups! Selalunya begitulah, kenapa?”
“Kalau macam tu, Rina bencilah pada Fizal. Suatu hari nanti, Rina akan sayang pada Fizal. Boleh ke macam tu?” soalnya.
“Memang Rina bencikan Fizal pun. Siapa kata Rina suka pada Fizal? Memang selama ni, Rina benci sangat sangat pada Fizal!” kata Syarina.
“Kalau benci kenapa Rina call?” perangkapnya. Dia tahu Syarina mempermainkannya lagi.
Dan perangkap itu mengena bila tiada lagi suara di hujung sana.

Lama Syarina terdiam.
“Dulu Rina benci. Tapi sekarang, dah jadi… sayang!” perkataan ‘sayang’ dibisikkan hingga tidak kedengaran di telinganya.
“Sekarang dah jadi apa? Tak dengarlah!” Fizal tak puas hati dengan bisikan gadis itu.

Dan tiba-tiba Fizal terus mendengar nada yang menandakan gadis itu telah meletakkan telefonnya.

Rina, Rina, payahnya nak selam hati kau ni. Dah dekat tiga bulan bertelefon dan saling mengenal. Dah lah tak mahu tunjuk muka, nombor telefon pun tak sudi nak bagi. Betul-betul misteri lah dia ni… tapi ye ke dia nak kawan dengan aku betul-betul ataupun dia cuma nak main-mainkan aku je?

Ah! Rina, kemisterian kau ni selalu membuatkan aku rasa tak menentu! Rina, Rina, Rina… muncullah kau dalam realiti!

No comments: