Tuesday, July 22, 2008

SEMANIS SENYUMANMU -BAB 19

BAB SEMBILAN BELAS

Semester baru sudah bermula, ramai yang masih lagi bercerita tentang percutian dan aktiviti mereka semasa cuti semester lepas. Aryssa duduk menghadap ke padang yang hijau. Dia suka suasana itu, tenang dan meringankan mindanya.
“Nah, mee goreng kau! Ajak makan di kafe, tak mahu! Orang balik dari cuti, ceria. Yang engkau ni, balik dari cuti monyok macam orang mati laki ni… apahal?” tingkah Wani, sambil menghulurkan bekas plastik putih.

Aryssa mencapai bungkusan itu, lalu membuka penutupnya. Aroma mee goreng yang masih panas menerawang ke udara. Kata-kata Wani tidak diendahkan. Dia terus menikmati keenakan makanan tengah hari itu.

Wani melemparkan pandangannya pada Fizal yang sedang berusaha membetulkan kedudukan kerusi rodanya.
“Ry, kesian aku tengok mamat selenga tu… terkial-kial dengan wheel chair dia. Aku tengok, awek-awek dia dulu tu buat bodoh je, siap tayang balak baru lagi. Nasib baik ada gak kawan-kawan dia yang baik hati…”

Wani menggelengkan kepala. Tersentuh hatinya melihat keadaan pemuda itu. Dahulu, dia juga salah seorang gadis yang meluat dengan perangai buaya darat lelaki itu. Melihat keadaannya kini, hati perempuannya mudah tersentuh.
“Padan muka dia! Itulah balasannya orang yang selalu mempermainkan orang. Dia tak sedar yang orang pun sebenarnya main-mainkan dia…” balas Aryssa.

Dia masih belum puas menyudu mee goreng di hadapannya. Dia menghadap rezeki begitu berselera.

Sedap juga mee goreng pak cik ni. Tengah kebulur macam ni, memang apa pun sedap. Batu dengan kayu tu, kalau boleh makan cicah sos cili pun sodap…
“Ish kau ni, tak baik. Kau janganlah main-mainkan dia lagi, Ary. Kau tak kesian ke kat dia? Nanti, kalau dia tau hal sebenar, bunuh diri pun mahu tu…” kata-kata Wani dibalas dengan senyum sinis.

Aik, sejak bila pula minah ni berubahnya? Balik je dari Gua Telinga dah kena sampuk orang bunian kot, tetiba je nak jadi penyelamat!

Belum sempat Aryssa membalas kata-kata Wani, dilihatnya gadis itu sudah berada di belakang Fizal. Wani menolak kerusi roda pemuda itu menghala ke arahnya. Aryssa yang melihatnya seakan ternganga.

Mampus! Si Wani ni biar benar! selama ni, tak pernah buat kerja kebajikan macam tu. Buatnya dia berbaik dengan budak lelaki tu, kemudian dia bocorkan pula rahsia aku…habis aku!

“Joint kitoranglah, lagipun kami dah habis class…” ramah Wani mempelawa Fizal.
Lelaki itu merenung ke arah Aryssa. Seperti biasa Aryssa memandang dingin terhadap Fizal. Lelaki itu bagaikan serba salah untuk menerima pelawaan Wani.
“Wani, aku nak pergi library, kau lepak dulu. Nanti aku datang balik, Chow!” Aryssa sudah menggalas beg dan berlalu.
“Eh! Ry, relaxla dulu. Karang kita pergi la sama-sama. Ry, Aryssa! Hish, Budak ni!!!” jeritan Wani langsung mati di situ, bila Aryssa langsung tidak menoleh padanya lagi.
“Tak apa, saya pun tak berapa suka pada dia, kasar! Kurang ajar pula tu. Macam mana awak yang selembut ni boleh berkawan dengan dia?” komen lelaki di hadapannya.

Eh! Mamat ni, banyak mulut pula. Macamlah kau kenal sangat dengan Aryssa. Kalau kau kenal dia, mahu jatuh cinta, tahu! Pandai-pandai je bagi komen pada kawan orang!

“Awak jangan kecil hati dengan Aryssa tu, dia memang macam tu. Awak tak rapat dengan dia, awak tak tahu tentang dia. Sebenarnya Aryssa tu ok, cool pada semua orang. Tapi… mungkin awak pernah buat salah pada dia kot!”

Yang Aryssa ni pun satu, kot iya pun benci sangat janganlah tunjukkan depan-depan. Kecilkan hati orang. Mentang-mentanglah kawan ni dah jadi macam ni…tak suka konon, walhal malam nanti dia juga yang telefon kawan tu. Ish, tak paham aku!

Perangai Aryssa memang payah nak difahami. Tambah pula kalau dia sudah mula tidak sukakan sesorang. Jangan kata nak duduk berbual, nak tengok muka pun dia tak berapa mahu.
“Well, may be! Saya pun bukannya kenal sangat dia. Forget about it! Nama saya, Fizal. Awak?” ucap anak muda itu sebagai mukadimah perkenalan mereka.
“Siapa dalam kolej ni tak tahu nama awak. Well, saya Syazwani, just call me, Wani. Short and cool…”
Mereka mula bercerita tentang diri masing-masing. Fizal agak pandai berbicara. Banyak perkara yang dia tahu tentang alam yang luas ini. Sesekali disusuli tawa nakalnya. Jenakanya. Sesekali yang lain, wajahnya serius.

Wani merenung Fizal. Lama. Dan dia mengakui ketampanan jejaka itu. Suaranya pula memang memikat, pandai berjenaka. Mereka juga bertukar nombor telefon dan Fizal mengenakan syarat untuk menghubunginya sebelum jam sepuluh malam. Mendengar syarat itu Wani tersenyum. Dia tahu jam sepuluh adalah masa untuk Syarina. Kalaulah dia tahu Syarina itu adalah Aryssa, mahu bunuh diri!
“Jadi, Wani memang suka aktiviti lasak. Wah! Fizal tak sangka dari wajah lembut Wani ni, rupanya Wani ni aktif panjat gunung. Dahsyatlah! Muka Wani langsung tak nampak ganas pun, lembut dan ayu. Ingatkan suka menari ballet ke, main piano ke, masuk kelas gubahan bunga ke, itu baru sesuai,” pujian Fizal membuatkan Wani tidak keruan lagi.
Fizal ketawa. Sejak dia kemalangan, inilah kali pertama dia ketawa riang di luar. Selalunya dia hanya ketawa dan berbual dengan satu-satunya Syarina Wirdayu.
“Ye ke, wajah lembut ke? Tak adalah! Awak ni pandai memuji oranglah!” Wani mengelak.

Merah muka Wani bila dipuji. Kembang hatinya. Casanova Kolej yang member pujian tu…dia senyum senang.

Sudah lama dia tidak dipuji oleh seorang lelaki. Kalau ada pun, cuma pujian daripada seorang yang berlagak macam lelaki. Aryssalah tu! Patutlah, ramai gadis yang terpikat dengan lelaki di hadapannya ini. Rupanya lelaki ini pandai menyusun ayat, membuatkan hati gadis cair bila berbual dengannya.
“Senang-senang, datanglah rumah Fizal. Boleh kita borak lama-lama sikit. Mama Fizal tak kisah. Lagipun Fizal senang berkawan dengan Wani… banyak cerita!” pelawaan lelaki itu diterimanya senang hati.
Fizal, Fizal… patutlah ramai yang terpikat! Aku pun dah naik cair dengar kau berbicara. Memang patutlah si Aryssa tu tak jemu menelefonnya setiap malam. Penangan godaan lelaki ini memang kuat! Aura cintanya cepat meresap dalam jiwa. Dia ni pakai susuk ke? Tak pun memang ada ilmu pengasih kot! Senang-senang je aku dah tergoda ni…

Aryssa merenung mereka dari kejauhan. Dilihatnya Wani dan Fizal berbual lama. Bukan dia sengaja tidak mahu menyertai mereka, tetapi entah kenapa hatinya rasa tidak menentu bila melihat lelaki itu. Pelbagai perasaan yang hadir dalam dirinya. Bersalah. Kasihan. Adakalanya satu perasaan yang sukar diucapkan datang bertimpa-timpa. Dia telah cuba untuk menamatkan drama yang diciptanya. Cuba untuk tidak menghubungi Fizal lagi, namun dia bagaikan tidak berdaya. Tidak mampu. Hatinya masih mahu menghubungi lelaki itu melalui telefon saban malam.

Dia sudah terlanjur merindui suara itu. Hidupnya bagaikan tidak lengkap kalau dia tak berbual dengan Fizal melalui telefon. Aryssa terlalu sayang untuk memutuskan hubungan itu. Biarlah mereka terus berhubung dengan suara itu, biarpun mereka masih terus bermusuhan tiap kali bertembung..

Lagipun dia tidak mahu, Fizal mengesyaki sesuatu andai mereka berbual. Suaranya pasti dapat dikesan Fizal.

Hujan di luar begitu lebat malam itu. Berlarutan sejak petang tadi. Mujurnya dia sempat tiba dari kolej ketika gerimis mendamparkan diri ke bumi. Kesejukan itu dapat dirasai segenap ruang bilik. Kesejukan itulah membuat kakinya ngilu yang amat sangat. Dia menarik selimut tebalnya hingga ke paras pinggang. Dia masih menunggu panggilan Syarina walaupun jarum pendek sudah jauh melangkau dari angka sepuluh.

Sebentar tadi dia baru sahaja habis berbual dengan Wani, gadis yang menemaninya di kolej siang tadi. Dia senang dengan gadis itu, ramah dan menghiburkan seperti Syarina. Pada Wani juga dia memberitahu perihal misteri Syarina. Dia juga menyatakan yang Syarina begitu istimewa, biarpun dia pernah didampingi berpuluh gadis tetapi mereka tak sama dengan Syarina.

Tapi siang tadi dia agak berkecil hati dengan sikap yang ditunjukkan Aryssa. Marah sangatkah Aryssa padanya? Kenapalah gadis itu begitu memusuhinya. Mungkin kerana sikapnya selama ini membuatkan Aryssa begitu membencinya, tapi sampai bila? Kadangkala dia terasa mahu berbaik dengan gadis ala tomboy itu, semuanya kerana nasihat si misteri Syarina.

Kerana nasihat si misteri itu juga dia sudah mula untuk melupakan apa yang berlaku antara dia dan Aryssa. Namun, si betina-jantan itu bersikap terlalu dingin. Jangan kata nak berbual, senyum Fizal pun tidak berbalas, sedangkan kedua keluarga mereka bersahabat. Untungnya, permusuhan mereka tidak dapat dihidu keluarga.

Fizal masih menanti panggilan daripada si misteri Syarina Wirdayu, tetapi hingga jam dua belas malam, hanya suara hujan yang masih tak jemu menemaninya.

Si misteri yang dirinduinya setiap malam, masih tidak menghubunginya. Fizal semakin resah. Gelisah bila telefon merah di atas meja tidak berdering seperti selalu. Kenapa dengannya? Dia sakitkah atau pergi mana-mana? Ataupun, ada saudaranya yang sakit dan meninggalkah? Semuanya berlegar di fikiran.

Kenapalah dia tak mahu bagi nombor telefon bimbitnya tidak pun alamat e-mailnya, tidaklah aku menunggu macam buah tak gugur!

No comments: