Sunday, August 10, 2008

SEMANIS SENYUMANMU -BAB 20

BAB DUA PULUH

“Mak! Ayah!!!”

Jeritan Aryssa tenggelam dalam hujan lebat. Dia tahu ibunya tidak dapat mendengar suaranya ketika itu, tika guruh dan kilat sabung menyabung. Aryssa tidak berputus asa, dia menjerit lagi dengan harapan yang sama. Semoga ibunya mendengar suaranya.
“Ary, Abang! Ary tu!!!” Zakiah yang kebetulan melintas di hadapan bilik Aryssa terus meluru ke arahnya.

Alias segera masuk dan memangku anak gadisnya yang sudah lemah. Dicempungnya Aryssa masuk ke perut kereta. Wajah Aryssa yang begitu pucat amat merisaukan Zakiah.
“Bang, cepat bang…dia susah nak bernafas dah ni…” desak Zakiah.

Zakiah terus memasukkan inhaler ke mulut Aryssa dan menekan beberapa kali, tetapi ternyata inhaler itu langsung tidak berkesan pada anak gadis tunggalnya itu. Jantung Zakiah berdegup kencang.

Ya Allah, Selamatkanlah anak aku! Dialah satu-satunya permata dalam hidup aku!

Digenggamnya tangan anak tunggalnya itu. Wajah Aryssa yang putih kemerahan kini berubah pucat. Bibir merah jambunya yang sentiasa memekarkan senyuman sudah mulai bertukar biru. Ada darah mengalir dari rekahan bibirnya.

Sudah sekian lama Aryssa tidak diserang sakit sebegitu. Semenjak berusia dua belas tahun lagi dia menderita dengan penyakit buah pinggang. Sejak usia itu juga, sudah dua kali pembedahan dilakukan.

Menurut doktor, buah pinggang Aryssa yang sudah rosak perlu digantikan dengan buah pinggang yang sesuai. Rumitnya, buah pinggang Zakiah dan Alias sendiri tidak sesuai untuk menggantikannya. Sehingga kini, tiada buah pinggang yang sesuai untuk Aryssa. Justeru, Aryssa terpaksa bergantung dengan ubat dan mesin dialysis untuk terus hidup.

Tiga bulan sekali dia terpaksa membuat ujian darah dan dialysis atau pembersihan darah akan dilakukan dua hingga tiga kali setiap hari selama beberapa jam. Mesin itu juga dibeli mereka atas permintaan Aryssa kerana anak gadis itu sudah tidak sanggup berulang-alik ke hospital. Lagipun Aryssa mahu meneruskan hidup seperti orang biasa. Dia mahu ke kolej dan menikmati kehidupan remajanya tanpa dibelenggu oleh jadual doktor.

Mata Zakiah masih basah. Sudah satu jam Aryssa berada di wad kecemasan. Masih belum sedarkan diri.

Alias juga bagai tidak senang duduk melihat keadaan anak itu. Dia sudah lama mencari penderma dan kalau ada yang sanggup menjual buah pinggang mereka pun, dia sanggup untuk membeli walau berapa harganya.

Setiap kali merujuk kepada doktor, jawapannya masih sama. Masih tidak ada buah pinggang yang sesuai untuk dipindahkan. Setiap kali memikirkannya dia menyalahkan diri sendiri kerana tidak mampu menyembuhkan anak gadis kesayangannya itu.
“Mak bawa apa untuk Ary?” pertanyaan si anak membuatkan Zakiah mencerunkan mata. Tajam merenung anak itu.

Bila dia mendapat tahu Aryssa diserang sakit kerana sudah lama tidak makan ubat, dia jadi geram. Anak itu memang degil. Kedegilannya kadangkala membuatkannya bagaikan mahu diserang sakit jantung.
“Seronoklah ye! Duduk wad, mak bawa makanan dan suapkan tiap-tiap hari. Ary tahu tak, Ary buat mak dan ayah hampir putus nyawa? Nasib baik ayah dengan mak tak ada sakit jantung! Cubalah fikir dulu sebelum buat apa-apa tindakan…” sindiran Zakiah hanya dibalasnya dengan senyuman.
“Sorry! Wah, Rajinnya mak masak pudding, rendang ayam pun ada… kalau macam ni, Ary nak duduk hospital ajelah… dapat makan sedap-sedap!”

Dia tersengih membetulkan duduknya. Air liurnya terkecur bila melihat emaknya membuka mangkuk tingkat yang terisi makanan kegemarannya. Tidak sabar-sabar dia mahu menikmati juadah yang di bawa Zakiah.
“Ye lah, duduk je kat sini. Hari-hari mak datang…” sindir Zakiah.

Aryssa hanya tersengih. Mulutnya dingaga lebar-lebar.

“Ary kan tahu, Ary kena makan ubat setiap hari empat kali sehari…tak boleh miss sekalipun. Jangan buat macam ni lain kali ye. Buat mak semput je lah!” rungut Zakian sambil menyuap nasi putih bersama rending.
“Kami ada anak seorang je tau… Mak dan ayah sentiasa berusaha untuk menyembuhkan penyakit Ary. Tapi, Ary kena makan ubat ikut jadual. Jangan buat macam ni, Mak tak mahu kehilangan Aryssa,”

Airmata Zakiah meluncur laju. Tangannya yang ingin menyuap anak kesayangannya itu terhenti. Hatinya sebak tiba-tiba bila teringatkan keadaan Aryssa semalam. Dia benar-benar risau. Degup jantungnya bagaikan terhenti bila melihat wajah pucat anak gadis itu. Jantungnya bagaikan gugur bila mendengar suara Aryssa mengerang kesakitan.

Aryssa adalah satu-satunya anak yang ada dalam hidupnya. Dia memang tidak boleh hamil lagi kerana ada ketumbuhan yang pernah menumpang di dalam rahimnya. Walaupun selepas pembedahan, ruang rahimnya tidak kuat menampung bayi untuk dihamilkan. Akibat dari itu dia keguguran beberapa kali selepas melahirkan Aryssa.

Hati Aryssa tersentuh bila melihat airmata Zakiah. Terasa teramat berdosa kerana mengundang kebimbangan orang tua itu. Memang salahnya. Dia tahu, dia harus makan ubat untuk meneruskan hidup. Tetapi dia cuba untuk membuat eksperimen untuk dirinya. Dia bertekad tidak mahu bergantung dengan ubat lagi sejak tiga bulan lalu.

Akibatnya, bahagian pinggangnya sering mengalami kesakitan yang amat sangat hingga sukar untuknya bernafas. Setiap kali menyerang, dia dapat melawan kesakitan itu. Entah mengapa, semalam sakitnya tidak dapat ditahan lagi. Terasa buah pinggangnya bagaikan sudah pecah. Perit dan menyakitkan.
“Maafkan Ary, mak. Ary janji tak buat lagi… Ary hanya nak hidup macam orang normal. Ary tak mahu hidup dengan ubat saja. Ary dah jemu…” pelukan erat Aryssa membuatkan Zakiah teresak-esak menahan tangisan.
“Ary tak boleh buat macam ni. Selagi tak ada orang yang boleh dermakan buah pinggang pada Ary, Ary kena ikut kata doktor. Mak faham keadaan Ary…tapi mak minta Ary bersabar sehingga suatu masa nanti Ary dah sihat. Ary boleh lakukan apa yang Ary suka, okey!” pujuk Zakiah.

Tangannya lembut membelai rambut anaknya itu. Mengusap pipi gebu Aryssa. Hati ibu mana yang tidak terusik melihat keadaan anak yang tidak dapat hidup seperti orang lain. Dia faham kemahuan Aryssa, tetapi kemahuan itu tidak mungkin dapat dilaksanakan sehingga dia bertemu penderma yang sesuai.

Menurut doktor, pembedahan perlu dilakukan dengan segera. Penyakit Aryssa sudah sampai ke tahap kritikal dan perlukan pembedahan secepat yang mungkin. Kedua-dua buah pinggangnya sudah rosak.

Sudah puas dia dan suaminya berusaha mencari penderma yang sesuai. Kalau perlu membayarpun, mereka sanggup walau berapa harganya. Aryssa lebih penting daripada segala material yang mereka miliki.

Pada usia Aryssa menjangkau empat belas tahun, ada seorang penderma yang baik hati hendak memberi sebelah daripada buah pinggangnya secara percuma. Namun mereka hampa bila buah pinggang penderma itu juga tidak sesuai. Pernah mereka cuba mahu mengiklankan pada media, tapi dihalang Aryssa. Aryssa tidak mahu dirinya diiklankan kerana penyakit itu. Dia tidak mahu semua orang tahu tentang penyakitnya. Dia tidak mahu suatu hari nanti orang mempersoalkan kemampuannya untuk melakukan sesuatu kerja hanya kerana dia berpenyakit. Aryssa tidak ingin terbelenggu dengan belas simpati orang lain sedangkan selama ini dia berusaha keras untuk mencapai sesuatu kejayaan.
Mereka terpaksa akur dengan kehendak anak itu, walaupun hati mereka tidak pernah tenteram kerana risaukan penderitaan si anak. Sehingga kini, mereka masih berurusan dengan pihak hospital untuk mencarikan buah pinggang yang sesuai untuk Aryssa.

No comments: