Sunday, August 10, 2008

SEMANIS SENYUMANMU -BAB 21

BAB DUA PULUH SATU

Hampir seminggu Syarina tidak menelefonnya. Semalam dia menunggu hingga tertidur. Apabila tersedar, terus dia menjerit memanggil mama dan bertanya sama ada terdapat panggilan untuknya.

Jawapan yang diterimanya tetap sama. Hampa. Dia jadi tidak keruan. Bimbang kalau-kalau Syarina sudah tidak sudi lagi untuk berkawan dengannya, ataupun Syarina sakit. Mungkin Syarina kurang sihat, dia cuba memujuk hati.

Tidak kisahlah kalau Syarina tidak mahu berkawan dengannya, dia sudah ada Wani untuk menggantikan tempat Syarina sekaligus menggantikan tempat awek-awek sebelumnya. Lagipun Syarina tidak jujur, tidak pernah mahu menceritakan siapa dirinya sebenar. Tapi mana boleh Syarina pergi semacam itu sahaja. Sekurang-kurangnya berilah dia peluang untuk mengucapkan terima kasih kerana gadis misteri itu sering menemaninya ketika dia perlukan seseorang untuk berbicara.

Rina, mana lah kau pergi…rindunya! Rina tak rindu pada Fizal? Sampai hati Rina buat macam ni. Rina call Fizal setiap hari sampai Fizal jatuh cinta, kemudian bila Fizal dah syok pada suara Rina, Rina pergi tanpa berita. Tidakkah Rina rasa diri Rina tu seorang yang kejam? Rina buat Fizal tertunggu-tunggu… Rina buat Fizal ternanti-nanti. Rina tak mahu kawan dengan Fizal lagi ke?

Fizal sudah mulai meracau. Bagaikan terigau-igau mendengar suara Syarina. Tetapi segala igauannya jadi kenyataan bila beberapa minit kemudian telefon berdering. Pantas tangan Fizal meraih telefon merah itu. Tak sabar menanti suara yang bakal memberi salam padanya. Dan suara ceria itu benar-benar kepunyaan Syarina Wirdayu.
“Hello, Fizal. Apa khabar? Fizal sihat ke? Rina…”
“Mana Rina pergi? Ooo…suka hati Rina je nak call Fizal bila ye? Rina tahu tak, Fizal tunggu Rina call macam tunggul kayu je… Kenapa Rina buat Fizal macam ni? Dah lah Rina tak mahu bagi nombor telefon, tak mahu kenalkan diri… sampai bila Rina nak menipu Fizal? Kalau Rina tak nak berterus-terang dengan Fizal, kita tak payah kawan lagi,”

Belumpun habis ayat Syarina Wirdayu menyapa, telinganya menerima puluhan ayat tanpa henti. Bentakan dari suara lelaki itu membuatkan Syarina terkejut. Belum sempat dia memulakan bicara dia sudah disembur begitu.

Kenapa dengan mamat ni? Hilang akal apa? Takkan marahkan aku tak call sampai macam ni sekali. Ke dia dah terangaukan aku? Eh, bukan aku, Syarina Wirdayu lah!

“Chup! Chup! Fizal ni dah kenapa, marah-marah je hari ni. Datang bulan ke? Rilexlah… Rina kena balik kampung la. Nenek Rina meninggal dunia,” jawapan sayu itu membuatkan Fizal pula terdiam di hujung talian.
“Sorry… Rina! Fizal out of control! Fizal… Fizal tak patut marahkan Rina. Fizal tak tahu apa jadi pada Rina, Fizal risau… kalau Rina tak mahu kawan dengan Fizal!”

Salah aku juga, main sembur je. Buatnya minah ni langsung tak mahu call aku lagi, baru niaya. Sudahlah sekarang, aku macam tak boleh hidup kalau tak dengar suaranya…

“No sweat! Lain kali, tanya dulu barulah nak marah-marah. Tak kanlah tak ada sebab, tiba-tiba Rina tak nak telefon Fizal. Kalau Rina tak call maknanya Rina ada hal… takkanlah Rina nak lapor diri pada Fizal setiap kali nak pergi mana-mana,”

Jawapan itu benar-benar melegakan Fizal.

Kalau diikutkan hati Aryssa tidak mahu lagi menelefon lelaki itu. Tapi entah kenapa hatinya memberontak juga untuk mendengar suaranya. Lima hari dia terbaring di hospital, betapa dia rindukan suara itu. Betapa dia rindukan gelak tawa Fizal. Betapa dia rindukan kata-kata Fizal yang meruntun nalurinya. Tidak sangka pula baru dia hendak melepas rindu, dia ditengking sebegitu. Boleh tahan juga kalau Fizal marah.
“Fizal minta maaf, Rina. Sebenarnya, Fizal rindu sangat pada Rina…”

Sungguh memang perkataan itulah dia nantikan selama dia di wad. Tapi benarkah lelaki itu rindukan Syarina ataupun Syarina cuma perhentian sementara buatnya? Syarina tidak mahu hanyut tiba-tiba. Walaupun hatinya sekarang sudah mulai dihuni Fizal.
“Fizal dah okey ke? Tak ada cerita menarik selama lima hari Rina tak call…”

Syarina mengubah topik. Dia tidak mahu terus tewas dilayari perasaan. Dia hanya mahu mendengar suara dan tawa lelaki itu. Lima hari dia merinduinya, selama itu juga dia memendam perasaan. Syarina tahu hatinya sudah tersangkut, tapi bolehkah dia melupakan kisah lama untuk memulakan cinta baru?
“Fizal okey! Cuma Rina tu je yang tak okey kan?”

Untuk kesekian kalinya Fizal cuba menyelami hati gadis itu lagi. Mana tahu, Syarina sebenarnya malu untuk mengaku yang dia juga menyintai Fizal.
“Eh, Tak lah. Rina okey je!”
“Rina tak rindu Fizal?”
“Tak!”
“Sikit pun tak?”
“Sikit pun taklah!”

Oh! Tuhan, janganlah kau uji lagi hati ini dengan perasaan yang mengelirukan ini.

“Kalau tak rindu, kenapa call Fizal lagi? Dah lima hari tak call, tak payahlah call sampai bila-bila pun!”

Syarina terperangkap dengan soalan yang bakal membuatkan segala rasanya terbongkar.
“Oh! Kalau tak rindu, tak boleh call? Kenapa Fizal nak marah-marah Rina ni? Kalau tak suka Rina call, lain kali Rina tak mahu call lagilah macam ni…” rajuknya. Pura-pura.
“Bukan macam tu, tapi tak boleh ke Rina buang sikit ego Rina tu and just say, U missed me? Fizal dah banyak buangkan segala ego Fizal selama ni, Rina. Terlalu banyak. Dan segalanya untuk Rina! Tak boleh ke Rina bagi sikit pun harapan untuk Fizal sulam sayang Fizal di hati Rina?” suara Fizal rendah sekali.

Dalam kerendahan suara itu, Syarina dapat rasakan kejujuran lelaki itu. Benarkah?

Ah! Jujurkah lelaki ini? Atau hanya pura-pura untuk mempermainkan hatinya sebagaimana dipermainkan hati gadis-gadis lain itu?

“Rina!”
“Hmmm….”
“Tak adakah secebis hati Rina untuk sayangkan Fizal lebih dari seorang kawan?”

Soalan Fizal memerangkap seluruh hati dan jiwanya untuk tidak pergi jauh menerawang mencari cinta lain. Kala itu Syarina kelu, tiada jawapan.

Tidak mungkin! Dia tak mungkin akan menyintai lelaki itu. Dia cuma mahu mempermainkannya. Fizal perlu diberi pengajaran di atas kesalahan yang pernah lelaki itu lakukan. Tetapi layakkah dia yang menghukum lelaki itu? Bukankah, dia sendiri sudah mulai jatuh kasih pada lelaki yang pernah digelarnya buaya? Bukankah dia juga merindui suara lelaki itu?

Tidak! bukan Aryssa yang menyintai Fizal. Aryssa hanya mahu mempermainkan hati Fizal. Yang menyintai Fizal, adalah Syarina. Tapi Aryssa dan Syarina adalah orang yang sama. Orang yang sama.

Aryssa mulai keliru dengan perasaannya. Mana mungkin dia menyintai Fizal. Tak mungkin! Hatinya hanya untuk Amir. Namun, semakin lama, rindunya pada Amir semakin tenggelam dan pudar. Dan rindunya pada lelaki bernama Fizal semakin menyegar!

Tidak Aryssa, kau cuma nak mempermainkan Fizal. Kau cuma mahu memberikan pengajaran kepada lelaki yang sudah banyak mendera perasaan ramai gadis. Kau cuma mahu lelaki itu menangis kecewa…

No comments: