Sunday, August 10, 2008

SEMANIS SENYUMANMU -BAB 22

BAB DUA PULUH DUA

Wani tidak dapat melelapkan mata. Dia asyik berpusing ke kiri dan ke kanan. Ingatannya tertumpu kepada lelaki yang sudah menghuni di hatinya. Dia baru sahaja pulang dari rumah Fizal, menemani anak muda itu berbual. Dia menyenangi Fizal dan keluarganya. Auntie Salina begitu baik dan melayannya seperti anak sendiri. Begitu juga uncle Jefri, bapa Fizal. Walaupun tidak sampai sebulan dia berkawan dengan anak bujang pasangan baik hati itu, kemesraan mereka sekeluarga begitu ketara.

Kalau dulu dia amat membenci romeo Perdana Kolej ini, tapi sekarang perasaannya bertukar sayang. Dia mahu jadi peneman Fizal sehingga lelaki itu sembuh. Namun, adakalanya terbit bibit cemburu di hatinya bila bibir lelaki itu tidak pernah lekang menyebut nama Syarina setiap kali mereka berbual.

Kelmarin Fizal mengadu yang Syarina sudah beberapa hari tidak menghubunginya. Dan tadi, Fizal memberitahu yang Syarina balik kampung kerana neneknya sakit meninggal dunia. Wani jadi keliru. Dia memang tahu kedua-dua belah nenek Aryssa sudah lama meninggal dunia. Dia juga hairan, hampir seminggu Aryssa tidak datang kuliah. Lenyap begitu sahaja.

Wani cuba menelefon telefon bimbitnya, tetapi tiada jawapan. Dia telefon ke rumah, tetapi tiada siapa yang menjawab panggilan itu. Petang kelmarin dia pergi ke rumah Aryssa. Pagarnya juga bermangga besar.

Mungkin mereka sekeluarga tiada di rumah, tetapi kemana mereka pergi dia sendiripun tidak pasti. Mungkinkah Aryssa atau keluarganya sakit?

Aryssa terlalu perahsia orangnya. teringat Wani ada suatu hari dia melepak di bilik Aryssa dilihatnya di atas meja ada beberapa botol pil yang bewarna-warni. Pernah juga dia bertanya, tetapi Aryssa seperti tidak mahu berbicara tentang ubat itu. Katanya itu cuma vitamin kesihatan.

Semasa mereka di tingkatan empat, Aryssa tidak diterima masuk ke dalam pasukan hoki sekolah walaupun tidak pernah ponteng waktu latihan. Dia dapat melihat wajah Aryssa pada ketika itu, langsung tidak kecewa dengan keputusan cikgu Sarjit. Permainannya juga agak mantap, tetapi dia akan berhenti beberapa minit sebelum meneruskannya.

Wani tahu Aryssa amat menggemari sukan itu sejak sekolah rendah lagi. Mereka sering berangan untuk menjadi ratu hoki di sekolah menengah suatu masa nanti. Namun, Wani sendiri hairan bila Aryssa bagaikan tidak kisah lagi tentang cita-citanya bila mereka sama-sama melangkah ke sekolah menengah.

Semasa di tingkatan lima, Aryssa diberi peluang cikgu Sarjit untuk menjadi pemain simpanan dalam pasukan hoki mereka. Namun, sejak menjadi pemain simpanan, tidak pernah walau sekalipun Aryssa dimasukkan ke padang semasa pertukaran pemain. Wani tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan teman baiknya itu, tapi sehingga kini Wani tidak pernah bertanya.

**** *********** ****

Wani berjalan ke tepi padang tempat dia selalu melepak bersama Aryssa sementara menunggu waktu kuliah. Dia terlihat bangku tempat dia selalu berbual dengan Aryssa diduduki seseorang. Hatinya gembira bila dilihatnya gadis itu adalah Aryssa.
“Hei, Mana kau pergi? Seminggu tak nampak muka? Melancong ke?” sergahan Wani bersama pukulan perit singgah di bahu Aryssa.

Aryssa mengaduh kecil. Dia menggosok bahunya yang perit dipukul itu.
“Tak, aku pergi melencong!” balas Aryssa dalam tawa kecil.
“Yelah tu..aku datang rumah kau, tak ada orang. Aku call handphone, tak angkat pun. Bertapa ke? Takkan satu family pergi bertapa…” gurauan Wani dibalas dengan senyuman.

Tiada jawapan yang boleh membuatkan Wani puas hati. Wani mengeluh, malas bertanya lagi. Dia sudah maklum dengan Aryssa. Jika dia tidak mahu memberitahu sesuatu perkara, dia tidak akan beritahu sampai bila-bila.
“Nah, aku beli masa ‘melencong’ hari tu…” sekeping penanda buku yang cantik dihulurkan pada Wani.

Penanda buku itu dihiasi bunga-bunga kering dan ada kata-kata hikmat di belakangnya. Penanda buku itu dibuatnya semasa berada di hospital minggu lalu. Bunga-bunga yang dibawa oleh saudara dan emaknya dikeringkan. Dia menghasilkan kad dan penanda buku menggunakan bunga-bunga tersebut.
“Ye lah tu kau beli. Aku tengok pun dah tahu kau buat sendiri… Kau tak nak cerita kat aku kau pergi mana? Ary, kitakan dah lama kawan?” tanpa jemu, Wani meminta penjelasan.
“Aku tak ke mana-mana, cuma tak sihat je,” jawab Aryssa.
“Ary, kau kan kawan aku. Kalau kau tak sihat, apa salahnya kau beri tahu aku. Bolehlah aku datang melawat kau…teman kau, bawa buah tangan untuk kau ke. Ini tidak, kau ni asyik nak berahsia je lah,” luah Wani.

Sememangnya dia tidak pernah melihat Aryssa sakit sebelum ini. Yang dia tahu gadis tomboy itu kelihatan ceria setiap hari.
“Hallow, Kawan. Aku demam sikit je lah, belum sampai tahap nak kena pergi lawat. Bukan apa-apa pun, okey! Next time kalau aku demam je, aku call kau. Kau buat press conference, panggil stesen tv. Okey?” gurau Aryssa.

Sengaja mahu mengubah situasi Wani yang kelihatan kusam bila mengetahui dia sakit. Tawa kecilnya buatkan Wani tarik muka masam.
“Orang cakap betul-betul, kau main-main! Takkan kau demam sikit cuti sampai seminggu, Ry. Kurang yakin lah aku dengan jawapan kau tu,” Wani masih tidak puas hati.

Pasti ada sesuatu yang disembunyikan Aryssa. Ingin dikoreknya lagi rahsia kawan itu.
“Hie… banyak ceritalah kau ni! Aku cakap yang betullah! Demam tu memang sikit je… malas yang banyak! Tu sebab ponteng kelas. Lepak kat rumah… itupun mau cerita ka? Sendiri mau ingatlah!” tinggi nada suara Aryssa.
“Letih betul kau ni. Nah, kau bagi pada boy friend kau tu,” Aryssa mengeluarkan sekeping lagi penanda buku dan diberikan kepada Wani.

Wani tahu siapa yang dimaksudkan Aryssa. Ingatannya melayang kepada Fizal, lantas dia membiarkan sahaja persoalannya tergantung. Penanda buku yang dibuat daripada bunga-bunga kecil yang dibentuk umpama jambangan itu untuk Fizal. Di belakangnya ada tertulis sesuatu yang agak puitis.
“Kau tahu, Ary… sekarang baru aku perasan muka dia iras-iras Arron Aziz. Lemah lutut aku bila tengok muka dia,”

Wani mula bercerita tentang Fizal. Dua tiga hari ini, perasaannya pada lelaki itu bertambah lain. Bila mendengar sahaja suara lunak pemuda itu, wani bagaikan sudah berada di awangan. Apakah ini yang dimaksudkan cinta? Wani sendiri tidak pasti. Yang pasti, dia begitu cemburu andai nama orang lain sering disebut lelaki itu.
“Arron Aziz? Siapa tu?”
“Alah, kau ni, pelakon drama TV tulah! Selalu dalam slot Samarinda, yang macho tu… Kau tu mana nak kenal, tengok TV pun malas. Malaslah aku cakap dengan kau…” Wani seakan malas untuk meneruskannya.

Bosan dengan temannya itu yang paling tidak suka menonton TV. Yang ditahunya melukis. Melukis dan melukis. Apa sahaja perkara berbentuk lukisan. Itu sahaja kesukaannnya.
“Mana aku tau…Rosyam Noor, aku kenallah. Aku rasa dia yang paling handsome antara pelakon-pelakon lain,” jawap Aryssa.

Mendengar itu, Wani mengeluh, kemudian ketawa geli hati.
“Rosyam Noor tu hero dah tua. Kau ni, memang tak ada tastelah. Malas aku nak layan kau!” Dia langsung menukar cerita.

Lagi dia layan Aryssa bercakap pasal pelakon di Malaysia, lagi dia akan pening kepala. Nanti tak pasal-pasal keluar nama Nordin Ahmad dengan P. Ramlee. Tau sangat dia dengan kawannya itu, menonton TV adalah aktiviti yang paling tidak digemari Aryssa.
“Bila kau nak hentikan lakonan kau? Setiap hari dia asyik bercerita pasal kau. Aku rasa dia dah terpikat pada kaulah…” suara Wani mula mendatar.

Wani menunduk. Ada kegusaran pada raut wajahnya. Aryssa tahu kawannya itu dilanda rasa cemburu.
“Bukan pada aku, pada suara aku ni je. Takkan baru sebulan kau rapat dengan dia, dah bercinta kot? Biar betul kau Wani… Kau tak mahu tunggu Hero Dermaga Kolej ke?” Aryssa ketawa bersahaja.
“Si Zastri tu? Kau tak tahu ke? Parents dia dah hantar dia study kat England, sebab dia dah terbuntingkan si Lydia, anak Dato’ Hisham tu… Kau tahu, si Fizal tu pun couple dengan Lydia on the same time. Terkejut si Fizal dengar cerita aku,” terjuih-juih mulut si Wani bergossip.
“Lydia cakap dia dah break off dengan Zastri. Rupanya perempuan tu penipu. Kesian Fizal, frust betul dia…” sambungnya lagi

Memang Aryssa tahu kisah itu. Fizal yang menceritakan padanya semalam. Bersungguh-sungguh lelaki itu bersyukur kepada Tuhan kerana mentakdirkan ujian untuknya. Kalau tidak, tentu dia akan diseret menjadi pak sanggup. Aryssa tahu Wani sudah mulai terpikat dengan Fizal. Hatinya dilanda sekelumit cemburu.
“Wani!”
“Yups!”
“Kau betul-betul dah jatuh cinta pada mamat tu ke?”

Aryssa merenung tepat ke mata Wani. Teman baiknya itu mengangguk perlahan, bagaikan malu-malu dengan jawapannya.
“Kenapa? Kau tak percaya ke atau kau pun dah suka dia?” pancing Wani bila dilihatnya Aryssa bagai bersungguh ingin tahu.
“Oh! Please… Wani. Soalan apa kau bagi aku ni? Kau pun tahu kan kita cuma nak mempermainkan dia. Dan kau dah tak ingat apa yang berlaku pada kaum sejenis kita dulu?” balas Aryssa mengelak dari persoalan itu.

Dia cuba mengimbas kembali ingatan Wani pada Rahayu, gadis yang meratap merayu lelaki buaya itu.
“Kita? Kita yang nak permainkan dia? Sekarang bukan kita…kau sorang je ye. Jangan nak babitkan aku pula dengan pekerjaan tak jujur kau tu!” tempelak Wani.

Aryssa terdiam. Manusia memang mudah berubah rupanya!

“Please la Ary…jangan kau mainkan dia sampai nanti kau yang dimainkan balik. Atau kau jatuh cinta pula dengan dia. Iman perempuan ni, bukannya kukuh sangat!” sindir Wani dalam senyum sinis.
“Oh! disebabkan kau dah jatuh hati pada mamat selenga tu, kau nak letak kesalahan pada aku pula? Tolonglah, Wani! Tak mungkin aku nak jatuh cinta pada mamat tak ada wawasan tu!”

Ternyata kata-katanya yang ditelan itu hanya kata-kata tanpa makna.

Memang adakalanya Aryssa merasakan ada sesuatu yang menyelinap di hati bila nama Fizal terkeluar dari bibirnya. Ada sesuatu yang berbunga bila tiba-tiba wajah Fizal menerawang di awangan bagaikan melambainya. Apa maknanya semua ini. Dia dah jatuh cinta juga kah pada lelaki yang juga dicintai Wani?

Ah! Mana mungkin dia boleh menyintai lelaki itu, kerana yang berbual setiap malam dengan lelaki itu adalah Syarina, bukan Aryssa. Tak mungkin lelaki itu akan memberikan secebis cintanya pada Aryssa, budak tomboy yang terang-terang dibencinya.


***** ***** ****

Fizal membelek penanda buku yang diberi Wani. Kata Wani, budak betina-jantan tu belikan semasa dia melancong. Bila pula betina-jantan ni pergi melancong? Tidak pernah pun mama bercerita yang family mak cik Zakiah pergi melancong. Lagipun takkan melancong selepas habis cuti semester. Tak pun, dia yang melencong!

Melihat pada penanda buku itu dia tahu penanda itu dibuat sendiri. Kreatif juga budak betina-jantan ni, sama macam Rina. Cute juga benda ni. Bunga-bunga kering yang disusun cantik dan kelihatan seperti jambangan kecil. Diikat pula dengan riben bewarna biru muda, warna kegemaran Fizal. Macam tahu-tahu je aku suka warna itu, fikirnya.

Fizal sendiri hairan kenapa tiba-tiba pula budak ni bagi souvenir sebegitu. Buang tebiat kot. Dia menterbalikkan penanda itu, tertera di belakangnya tiga baris kata-kata yang cukup puitis.

Cinta itu manis andai disulam keikhlasan dan kesetiaan, namun cinta itu rapuh jika tiada pengorbanan, dan cinta itu akan kukuh bila disulam doa dan tawakal, kerana cinta kepada Allah akan kekal!

Hemm… pandai budak ni mengarang kata-kata puitis, ringkas tapi padat dengan mesej yang bermakna. Tapi macam perli aku je. Hamper seminggu Fizal tidak terserempaknya di kolej. Wani sendiri tak tahu ke mana kawannya itu, padahal mereka kawan rapat. Ini yang membuatkan Fizal sedikit curiga. Entah-entah budak betina-jantan itu yang menyamar sebagai Syarina.

Tapi, tak berasas juga tuduhan itu. Mendengar pada suaranya, dapat Fizal bayangkan yang Syarina itu mesti seorang gadis yang lemah lembut. Sopan santun. Berperwatakan yang agak menarik dengan rambut yang panjang dan mempunyai ciri-ciri gadis sejati. Tak kena langsung dengan perwatakan si betina-jantan ini. Sudahlah kasar, muka pula tu tak pernah manis!

No comments: