Sunday, August 10, 2008

SEMANIS SENYUMANMU -BAB 23

BAB DUA PULUH TIGA

Wani menemani Fizal ke Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz. Besi yang terpacak di kaki Fizal sudah dikeluarkan. Fizal perlu berjalan di atas batu-batuan kecil untuk refleksologi. Wani pula akan memegang tangan lelaki itu dan mengadun untuk Fizal bertatih mengatur langkah perlahan-lahan.

Fizal sudah tidak perlukan kerusi roda untuk ke mana-mana. Yang dia perlukan cuma sepasang tongkat. Menurut doktor, dalam masa dua bulan lagi Fizal akan berjalan seperti sediakala.
“Kalau Rina ada sekali kan best? Fizal teringin nak jumpa Syarina. Dia baik sangat kat Fizal. Kalau tak ada dia, Fizal dah rasa putus asa je nak hidup,” kata-kata Fizal membuatkan Wani memalingkan wajah.

Balik-balik, Rina! Aku yang tercongok kat depan dia ni, jangan kata nak puji, terima kasih pun tak pernah. Yang dia tahu, sebut nama Syarina sepanjang hari. Tak boleh tidak. Teringin nak jumpalah, tak sabar nak tengok rupalah, tak sabar nak kenalkan pada mamalah, penyelamat hidup dialah. Konon! Macamlah Syarina tu superwoman yang selamatkan dia dari kemalangan tempoh hari.

Memang Wani cemburu. Dia yang sibuk melayan, temankan ke sana-sini. Siap datang rumah untuk temankan anak muda itu berbual. Tapi yang didengarnya setiap hari, nama Syarina sahaja. Terkadang mahu sahaja Wani membocorkan rahsia si Syarina tu.

Aku ni, dekat dua bulan tunggu kata-kata manis dari dia. Kot nak kata ‘aku sayang padamu’ ke, takpun ‘aku suka kau’ ke? Macam tunggu bulan jatuh ke riba, entah bila-bila.

“Wani agak-agak macam mana rupa Syarina? Fizal bayangkan, rambutnya lurus dan panjang melepasi bahu. Mata bulat, hidung mancung, ada lesung pipit dan semestinya mempuyai senyuman yang termanis di dunia...” Fizal masih lagi tidak jemu memuja si gadis misteri itu.

Syarina lagi? Sah budak ni dah gila bayang, boleh tahan juga penangan si Aryssa ni. Kalau lah kau tahu yang kau dah kena tipu dek budak tomboy yang kau bencikan sangat tu… terjun lombong tinggal, apa!

“Fizal tak takut ke kalau Syarina tu nerd, gemuk, kulit dia gelap, pakai cermin mata tebal, rambut kerinting macam Negro. Fizal nak ke couple dengan orang macam tu? Eww… tak padan langsung dengan Fizal!”

Telahan Wani membuatkannya terbayang keadaan itu, Fizal mengerutkan mukanya.

Hish, Wani ni…ada ke dia bayangkan macam tu. Tapi… ye tak ye juga. Dibuatnya bayangan Wani tu betul, macam mana?

Fizal telan liur, pahit dan perit bila bayangan wajah Syarina dalam keadaan yang hodoh datang dan menghampirinya… Mak!!!

Wani mengesat peluh yang bermanik di dahi anak muda itu. Fizal duduk di sebelah Wani. Dia mengambil botol air yang berada di sebelahnya, meneguknya perlahan-lahan.
“Kalau dah jodoh Fizal dengan dia, Fizal terima. Lagipun, selama ni…dia baik sangat pada Fizal. Susah Fizal nak lupakan dia…” suaranya perlahan.

Memang dia akui kadangkala takut jika Syarina itu bukan seperti Syarina yang selalu hadir dalam mimpinya. Tetapi dia juga takut kehilangan Syarina yang sering membuatkan mimpinya ceria. Bukan dia gila bayang, tetapi dia merasakan suatu keajaiban pada dirinya setiap kali menyebut nama gadis itu. Apalagi bila mendengar suaranya. Hati lelakinya seakan bergetar.

Apabila tidak mendengar suaranya pula, hidupnya terasa tidak sempurna. Adakah itu yang dinamakan cinta? Jika itu yang dinamakan cinta, sungguh! Dia tidak mahu kehilangan perasaan itu.
“Hey, Fizal ni dah kenapa? Takkan Fizal masih nak bercouple dengan perempuan hodoh macam tu? Hi yer! Tak ada taste langsung!” bentak Wani.

Ada ke masih nak kawan dengan orang yang seperti aku bayangkan? Cubalah renung lama-lama ke dalam mata aku ni, Fizal. Di mata aku ni, kau bakal temui cinta sejati bukannya cinta palsu yang si Syarina alias Aryssa tu bagi pada kau. Aku boleh berikan cinta yang sejuta kali lebih setia daripada cinta palsu si Syarina kau tu. Aku ni tak sempurna ke di mata kau sampai kau masih terkenang Syarina yang hanya kau kenal suara sahaja tu?

“Yang Wani ni emosional sangat apahal? Fizal just nak pendapat Wani. Tak semestinya pendapat Wani tentang Syarina tu tepat. Entah-entah Syarina tu memang cantik macam Miss Universe ke, mana tahu!”

Fizal menarik tuala di tangan Wani, kemudian mengelap peluhnya sendiri. Geram juga dia dengan perangai si Wani ni kadang-kadang.

Tak tentu hala, kejap-kejap nak marah la. Nak merajuklah. Macamlah aku ni balak dia yang dia nak merajuk sesuka hati. Hey, aku ni cuma nak berkawan je dengan awak, bukannya nak bercinta. Seriklah nak couple dengan girls ni, baik kita layan Syarina tu lagi best!

**** *********** ****

Memang sudah sah. Sudah confirmpun Wani couple dengan Fizal. Dia sendiri nampak dengan mata kepalanya. Patutlah, asal pergi rumah, budak Wani ni tak ada. Emaknya sendiri tidak tahu ke mana pergi anak gadis itu. Rupa-rupanya sedang dilamun cinta.

Di kolej pun susah nak nampak muka. Dulu di mana ada Aryssa di situ ada Wani. Macam kembar siam. Sekarang sudah lain. Fizal pula menjadi kembar siam si Wani. Kemana-mana sahaja mesti berpasangan.

Cemburu? Aryssa tidak kenal erti cemburu, tapi itu Aryssa yang dulu. Aryssa yang sekarang bagai digigit rasa bila melihat kemesraan mereka. Tambah menyakitkan bila Wani memimpin tangan Fizal. Hatinya bagai dihiris-hiris bila melihat mereka bergelak ketawa. Aryssa cuba untuk tidak kalah dengan perasaan. Dia tidak mahu dilamun cinta lagi.

Alah, aku telefon dia bukan apa, saja nak bagi tunjuk ajar pada jantan tu cara jadi manusia yang sebenarnya. Bukannya, jadi manusia yang berlidah biawak, bertelinga arnab dan bersifat buaya. Oleh kerana perkhidmatan percuma aku, Wani berada di sisi lelaki itu sekarang. Itu pun betul ke mamat tu sudah insaf? Entah-entah, lepas je kaki dia elok… tinggallah si Wani tu. Biasalah lelaki macam tu, buat perempuan macam bus stop. Lagipun, tak pernah Fizal menyebut nama Wani ketika mereka berbual. Bila di tanya, siapa teman baik Fizal sekarang, jawapannya cuma satu. Syarina Wirdayu.

Tapi mana mungkin dia membohongi diri. Sedangkan hatinya sudah mula terpaut pada lelaki itu. Resah bila tak menelefon walau sehari. Hatinya kacau jika terpandang wajah lelaki itu. Tapi, tak mungkin dia menyintainya. Tak mungkin dia akan menyulam cinta membelai sayang bersama lelaki itu. Sudah ternyata lelaki itu sedikit pun tidak mahu memandang wajah Aryssa, kalau dia terpikat pun cuma pada suara Syarina, penemannya di kala malam.

Ah! Ary, jangan kau layan sangat perasaan ni. Kau masih cintakan Amir kan? Kau masih mnegharapkan Amir. Cinta kau cuma untuk Amir. Kuat untuk Amir bukan untuk lelaki lain, apalagi mamat selenga ni… tak! Fokus Ary, kau cuma nak mainkan dia je…
**** *********** ****

“Hello, Arr… Aryyy… tolong… ak… aku!” tersekat-sekat suara itu.

Bagai menahan sendu dan mungkin kesakitan yang teramat.
“Kau kat mana ni Danny!” soal Aryssa.

Dia tahu saat itu Danny ada masalah. Jika tidak pengkid itu tidak akan menghubunginya subuh-subuh begitu.
“Ak… aku dekat depan jubilee… kau… datang seorang ye! Ak… aku ma… lu…” suara itu bertambah sendu. Tiada lagi kedengaran suara garau dibuat-buat seperti selalu.

Aryssa terus mengambil jacket jeansnya dan mencapai kunci motor. Kemudian dia mengetuk bilik ibu dan ayahnya memberitahu bahawa dia mahu berjogging di padang Polo bersama Wani. Tanpa banyak soal, ibunya yang baru selesai solat subuh membenarkan.

Aryssa sudah sampai di hadapan panggung Grand. Dia memperlahankan motorsikalnya. Kelihatan mamak penjual surat khabar di sebelah panggung Grand baru sahaja memulakan perniagaannya. Tidak ramai yang lalu lalang saat itu. Cuma ada dua tiga ‘pekerja malam’ yang sudah mulai pulang.

Aryssa berhenti betul-betul di hadapan perhentian bas di hadapan panggung lama itu. Dia mengeluarkan telefon bimbit dari koceknya. Kemudian nombor telefon Danny di dailnya. Saat itu dia ternampak Danny melambai di lorong menuju Jubilee park. Tempat itu gelap. Aryssa menongkat motorsikalnya dan mendapatkan Danny.

Sesampai sahaja dia melihat wajah Danny yang sugul sambil memijak puntung rokok. Danny nampak tegang. Mukanya basah dengan airmata. Matanya kelihatan bengkak. Pakaiannya juga bagai tidak terurus.
“Kenapa dengan kau? Ada problem?” tanya Aryssa bila dilihatnya Danny hanya menunduk.
“Ak… aku ke… na… rogol!” bisik pengkid itu dalam tangisan panjang.

Aryssa terasa mahu terduduk mendengar pengakuan Danny. Lemah longlai seluruh sendi lututnya.

Danny dirogol? Seorang pengkid dirogol? Apa puncanya, Aryssa tidak mahu terus bertanya. Dia tidak mahu menambahkan kerungsingan di hati temannya itu. Walaupun mereka bukanlah teman baik, namun, bila mengetahui keadaan itu, dia kasihan.
“Apa-apahal kita blah dulu dari sini!” Aryssa menghulurkan helmet dan membawa Danny ke tempat lain.

Sampai sahaja di padang Polo, Danny menceritakan segala-galanya. Tentang pergaduhan antara Jo dengan Arif dan kumpulannya kerana berebutkan Mimi. Mimi bekas tunang Arif yang telah menjadi girlfriend Jo. Malam sialnya bermula bila dia dipukul beramai-ramai kerana mempertahankan Jo, namun pengkid bernama Jo melarikan diri. Saat dia dihentak oleh Arif, dia sudah tidak berdaya lagi. Tenaga perempuannya terserlah. Dan kala itu dia hanya merelakan apa sahaja yang dilakukan mereka.

Arif dan kawan-kawannya merogolnya. Bergilir-gilir. Tanpa belas. Puas dia merayu minta dilepaskan, namun semakin dia merayu, semakin galak lelaki-lelaki itu membahamnya sehingga dia tidak sedarkan diri. Bila dia sedar subuh tadi, dia berada lorong belakang berdekatan dengan Jubilee Park. Mujur dia masih lengkap berpakaian. Namun badannya lebam dan bengkak sana-sini dan alat sulitnya teramat sakit.

Danny cuba menelifon Jo dan kawan-kawannya yang lain, tetapi mereka semua tidak mengangkat telefon. Dia tahu Jo terselamat daripada Arif. Dia dapat melihat Jo melarikan diri.

Aryssa mendengar cerita Danny dengan kusyuk. Tanpa bersuara walau sepatah. Dia faham, Danny menjadi mangsa keadaan. Dia telah dianiaya tanpa belas kasihan.
“Kita buat repot polis!” cadang Aryssa.
“Ak… aku maluu…! Ak… aku takut!” balas Danny.

Mungkin kerana dia berkeadaan begitu membuatkannya terasa malu untuk membuat laporan polis. Dia tidak mahu diketawakan.
“Kau mangsa keadaan, Danny. Kau tak bersalah. Buat apa kau nak takut? Jom, aku bawa kau,” ajak Aryssa.

Dia serius untuk menolong temannya itu. Kasihan dia melihat keadaan Danny. Temannya itu kebingungan. Tidak tahu apa yang harus dibuat. Takut untuk memberitahu keluarganya. Pasti ada yang menyalahkannya kerana penampilannya yang sering menjadi punca kemarahan keluarga. Kerana penampilannya sebagai lelaki dia mendapat susah.

Pagi itu juga Aryssa membawa Danny ke balai polis untuk membuat laporan. Segalanya berjalan lancar, di sebabkan Danny masih berumur 18 tahun, ahli keluarga diminta datang mengambilnya.

Terjadilah babak airmata yang menyentuh hati. Namun dia tahu Danny kuat menghadapi hidup. Danny pasrah dengan takdir yang menimpanya. Dan Aryssa sempat memintanya berubah laku.

Bagi Aryssa tidak perlu kita melukis semula corak baju yang kita pakai sedangkan hakikatnya kita sendiri tidak tahu untuk melukis. Kerana ‘lukisan’ hidup adalah kerja-Nya.

No comments: