Sunday, August 10, 2008

SEMANIS SENYUMANMU -BAB 24

BAB DUA PULUH EMPAT

Jam sepuluh malam datang lagi. Seperti malam-malam sebelumnya, sejak tiga-empat bulan kebelakangan ini, Fizal sentiasa menanti panggilan daripada Syarina, gadis misteri. Malam ini Fizal mahukan kepastian tentang rupa Syarina Wirdayu sebenarnya. Takut juga kalau-kalau Syarina tidak seperti yang selalu dibayangkan.
“Hello, Fizal buat apa tu?” ceria sahaja suara Syarina, seperti malam-malam sebelumnya.
“Tunggu Rina call la. Err… Rina dah makan?”

Mukadimah itu memang selalu diucapkan. Entah mengapa hari ini, Fizal rasa gugup nak mulakan perbualan.
“Dah. Siang tadi Fizal pergi mana? Ada buat terapi tak hari ni?”
“Ada. Kaki Fizal dah okey sikit, dah boleh berjalan pun,”
“Baguslah macam tu… esok lusa boleh berlari pulak,” ada tawa kecil mengiringi usiknya itu.

Fizal turut tertawa. Tawa sekadar ambil hati. Tawa menahan gementar sebenarnya.
“Rina, kalau Fizal tanya satu soalan…boleh?”
“Boleh. Apa dia?”
“Berat dengan tinggi Rina berapa? Kulit Rina colour apa? Muka Rina banyak jerawat tak?”

Ragu-ragu soalan itu, namun terlafaz jua dari bibir Fizal. Soalan Fizal membuatkan gadis itu ketawa panjang.
“Kenapa tanya macam tu? Kalau Rina tak cantik, Fizal tak mahu kawan ke?” soal Syarina balik.

Bukan tak mahu kawan, kalau awak tu cantik, peluang untuk jadi balak cerahlah… tapi kalau tak, cukup sekadar kawan biasa saja! Tapi…macam tak boleh je fikir macam tu. Kan Syarina yang beri semangat untuk Fizal hidup, lagipun Fizal dah janji tak mahu buat koleksi awek lagi. Ish, taubat macam mana ni?

“Tak adalah, Fizal cuma nak bayangkan macam mana rupa Rina, nanti kalau dalam mimpi Fizal tahulah yang mana satu Rina!” Alasan sebodoh itu yang terkeluar dari mulutnya. Syarina ketawa panjang.

Gelaklah, Rina. Gelaklah! Aku cuma nak tahu je, kau tu cantik ke tidak. Senang sikit aku nak berangan… ah! Sebenarnya aku takut kalau-kalau muka kau seperti yang dibayangkan Wani. Kenapalah bayangan Wani terhadap Syarina begitu menakutkan Fizal? Entah-entah Wani tu jealous kot!!!

“Sebenarnya biar Rina terus-terang ajelah. Rina ni tak lah secantik mana. Kulit pun gelap. Rina ni, gemuk pendek tau. Muka Rina penuh dengan kawah gunung berapi. Kiranya kalau dengan Fizal tak padan langsung tapi, Rina bukannya nak jadikan Fizal balak Rina pun…”

Mendengar itu, Fizal menelan liur. Air liur yang ditelannya terasa pahit.

Gemuk pendek?! Hi yer… takkan dia nak dating dengan orang macam tu, jatuhlah saham! Syarina yang masih di hujung talian masih lagi ketawa kecil. Lucu sangatkah bila dapat mengenakan orang? Dah tahu awak tu buruk, sedarlah diri sikit. Tak payahlah nak try tackle orang yang macho macam aku…

Tapi kan aku masih ada Wani? Tapi dengan Wani tiada apa yang mengetarkan naluri aku. Mungkin aku tak pernah cintakan Wani. Dia cuma kawan biasa yang baik dan selalu temankan aku. Itu pun secara kebetulan.

“Nampaknya, Fizal masih kurang keikhlasan nak kawan dengan Rina. Masih lagi mahu memilih rupa, walaupun Tuhan dah bagi warning. Tak serik lagi ke berkawan dengan orang cantik? Kalau Fizal rasa tak mahu Rina contact lagi pasal Rina ni buruk, it’s okey! Lagipun, biasanya kita tak pernah jujur dengan diri sendiri apalagi dengan orang lainkan?” sindiran Syarina membuatkan Fizal tersentak.

Terdetik di hatinya Syarina berbohong. Tak mungkin gadis selincah Syarina punyai rupa seteruk itu. Namun apa ada pada rupa? Syarina sudah cukup baik untuk dijadikan sahabat mahupun kekasih. Lagipun hatinya sudah terlanjur jatuh cinta pada suara itu, mana mungkin dia bisa hidup andai suara itu tidak menemaninya setiap malam.
“Elleh, Baru je Fizal tanya cam gitu dah spekulasi macam-macam. Mana boleh Rina tak contact Fizal, Rina kena bertanggungjawab ke atas apa yang Rina lakukan pada Fizal… Rina dah buat Fizal kena penyakit, makan tak kenyang, tidur tak lena, mandi tak basah!”

Sungguh, Fizal tidak mahu kehilangan suara itu. Suara yang membuatkan hari-harinya terasa indah. Hidupnya tidak akan sempurna andai suara gadis itu tidak menemani malamnya. Tidak mungkin dia mahu membiarkan suara itu pergi begitu sahaja, sedangkan hatinya mudah dilanda rindu. Dan kerinduan itu hanya untuk si gadis misteri, Syarina Wirdayu!

No comments: