Sunday, August 10, 2008

SEMANIS SENYUMANMU -BAB 28

BAB DUA PULUH LAPAN

Tiub untuk pembersihan darah sudah dicucuk di pangkal lengan Aryssa. Zakiah memasang mesin dialysis, menekan butang-butang yang diperlukan untuk kegunaan pembersihan darah. Pengalaman selama lima belas tahun menjadi jururawat telah membuatkannya yakin untuk menjaga dan merawat Aryssa sendiri. Sejak Aryssa disahkan menghidap sakit buah pinggang, Zakiah mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan yang memang amat diminatinya. Namun dia tidak pernah menyesal, malah berasa selesa menjaga dan menjadi jururawat kepada anaknya yang seorang ini.

Bilik itu akan dipastikannya dalam keadaan amat bersih dan setiap 2 minggu kakitangan hospital akan datang untuk memeriksa keadaan mesin tersebut. Mesin itu disewa dari sebuah hospital swasta. Aryssa tidak mahu lagi berulang alik ke hospital yang memaksanya tinggal selama satu malam di sana kerana melakukan pembersihan darah. Lagipun sudah tentu dia terpaksa menunggu gilirannya untuk menggunakan mesin tersebut. Akhirnya, Zakiah dan Alias berusaha menyewa mesin tersebut dari pihak hospital dengan bayaran yang agak tinggi. Mereka mahu anak tunggal mereka berkeadaan selesa kerana itu sahaja harapan yang mereka ada.

Dua bulan kebelakangan ini, Aryssa terpaksa melakukan dialysis dengan lebih kerap. Kalau dahulu, cuma sekali atau dua kali sebulan, tetapi kini Aryssa perlu mencuci darahnya sekurang-kurangnya dua kali hingga tiga kali seminggu. Tahap kesihatannya sangat merosot. Seringkali dia mengalami demam pada waktu malam. Gusinya juga sering berdarah dan anggota badannya mengalami lebam yang serius.

Aryssa juga terpaksa menjaga pemakanannya. Zakiah terpaksa memberi anak itu makanan berkhasiat dan seimbang yang mampu menambahkan kandungan darah dalam badannya. Dia tidak lagi boleh makan makanan segera dan berminyak. Makanannya terpaksa di sukat. Dan sejak dua bulan lalu juga, Zakiah sentiasa pastikan Aryssa membawa bekal dan tidak menjamah makanan di luar. Bagi Aryssa segala kenikmatannya sudah hilang. Dia tidak lagi boleh makan makanan kegemarannya.

Dia juga sentiasa murung tidak bermaya. Kadangkala langsung tidak mahu bercampur dengan teman-temannya yang lain. Tambahan pula Wani sudah tidak sudi menemaninya. Aryssa sudah tidak betah hidup begini, tetapi dia juga harus kuat, seperti mana yang selalu di cakapkan pada Fizal yang dihubunginya setiap malam. Aryssa sudah terlalu jarang menghubungi lelaki itu kebelakangan ini. Dia perlu membuat dialysis selama beberapa jam dan emaknya akan memastikan dia makan ubat sebelum waktu tidurnya yang tepat jam sebelas malam.

Zakiah memakaikan earphone pada telinga Aryssa dan memasangkan muzik kegemarannya. Aryssa menggemari muzik instrumental. Dia meminati petikan gitar Santana dan Eric Clapton. Adakalanya dia juga sukakan tiupan seruling dari Kitaro yang menenangkan jiwa. Bila saja muziknya menerjah ke gegendang telinga, Aryssa mula memejamkan mata.

Setelah memastikan keselesaan gadis itu Zakiah kemudian meletakkan beberapa buah majalah dan novel di atas meja kecil di sebelah katil anak itu. Dia tidak mahu Aryssa berasa bosan kerana terpaksa berbaring beberapa jam sehingga selesai proses dialysis.
“Mak keluar ye, nanti kalau Ary nak apa-apa call mak…” pesan Zakiah. Di bilik itu diletakkannya telefon supaya anak itu senang menghubunginya ketika dia di dapur.

Aryssa mengangguk sama seperti kebiasaan, tidak pernah sekalipun dia memanggil Zakiah ketika melakukan dialysis. Dia tahu emaknya itu sibuk dengan tugasan di rumah membuatkan dia tidak sanggup mengganggu wanita yang paling dikasihinya. Lagipun dia tidak perlukan apa-apa. Sudah cukup apa yang diberikan padanya sehingga dia tak berdaya membalas pengorbanan emak dan ayah. Maafkan Ary mak, ayah…

No comments: