Sunday, August 10, 2008

SEMANIS SENYUMANMU -BAB 29

BAB DUA PULUH SEMBILAN

Rina buat hal lagi. Hampir seminggu Fizal menunggu panggilannya, tetapi gadis itu masih tidak menghubunginya. Mungkin tidak mahu lagi berbual dengan Fizal setelah Fizal meluahkan perasaannya. Dia mula menyesali kata-katanya tempoh hari. Dia sedar, dia terlalu mendesak gadis itu.

Jika dia tidak mendesak Syarina dulu, pasti sekarang dia dapat berbual dengan Syarina. Mereka akan bercerita dan ketawa. Fizal masih menghadap telefon di meja. Hatinya resah bila tidak mendengar suara gadis itu. Sekilas Fizal melirik kalendar di dinding. Dia pasti bulan ini bukan bulan peperiksaan. Fizal mulai bosan menunggu, dia tidak lagi pernah keluar malam selepas Syarina mula menghubunginya sejak beberapa bulan lepas.

Segala perhatian Syarina semasa dia sakit membuatkannya sentiasa bersedia menunggu suara misteri itu. Fizal masih mengharap Syarina menghubunginya nanti, walaupun jam di dinding sudah berbunyi dua belas kali.

Fizal benar-benar tidak dapat melelapkan matanya. Pandangannya segar walaupun hari sudah jauh malam. Dia bosan menanti panggilan si misteri Syarina, tetapi di saat ini dia perlukan seseorang untuk berbual dan bercerita. Bagaikan sudah menjadi kebiasaan dia sering berbual dengan si misteri itu, jadi dia sudah tidak dapat lari dari kebiasaan itu.

Walaupun kini Fizal sudah sembuh sepenuhnya. Dan mungkin kerana itu Syarina mulai menjauhkan diri. Fizal membelek buku telefon berwarna hijau tua. Dia membuka setiap helaian, mencari kalau-kalau ada kawan-kawan yang boleh diajak berbual untuk menghilangkan kebosanan. Matanya tertumpu pada nama yang tertera di helaian bertanda huruf ‘Z’. Demi melihat nama itu, pantas jemarinya menekan butang-butang bernombor di telefon.
“Hello, Assalamualaikum. Aryssa ada?”
“Aryssa bercakap. Siapa ni? Nak apa malam-malam buta ni? Orang dah tidurlah!” jawapan panjang itu membuatkan Fizal ketawa kecil.

Rasa bersalah juga kerana mengejutkan anak dara mak cik Zakiah dari lenanya. Mendengar suara husky Aryssa cukup membuktikan yang bukan gadis tomboy itu yang menyamar jadi si misteri Syarina Wirdayu.
“A…aku ni…Fizal. Anak mak cik Salina…” Fizal terasa gugup untuk memulakan perbualan dengan gadis itu.

Mesti gadis itu terkejut. Ah! Peduli apa, asalkan, dia sanggup menemani aku berbual malam ini, sudah cukup baik bagi aku.
“Ooo… kau nak apa? Huargh! Hah? Anak makcik Salina? Fizal? Apa kau nak, call aku malam-malam ni?”
Fizal ketawa lagi mendengar bunyi Aryssa menguap, buruk betul dia menguap. Aryssa masih lagi mamai, suaranya juga serak dan kasar seperti selalu.
“Saja je… tak de kawan nak borak. Aku pun sebenarnya nak minta maaf kalau selama ini aku berkasar dengan kau…” Fizal menyusun ayat.

Bimbang benar dia kalau kali ini, dia terlepas lagi peluang untuk kenal rapat dengan gadis itu. Bagai terbayang-bayang wajah Aryssa memakai kebaya hijau putih semasa ke rumahnya tempoh hari. Sungguh ayu dan mempesonakan.
“Aku dah maafkan. Eh, Kau tak payahlah contact-contact aku…Kang awek kau tahu, mampus aku. Kau bukan tak tau Wani tu kan, jealous giler…”
“Aku tak ada apa-apa dengan dialah. Wani tu cuma kawan biasa saja. Tapikan…kadang-kadang macam dia yang…”
“Lebih-lebih perasan, gitu? Bila kau nak insaf? Baru je mak bapak kau buat kenduri kesyukuran, dah mula nak buat perangai lama balik. Kau tak ingat ke, apa yang dah jadi pada kau? Come on Fizal, jadilah lelaki yang setia pada yang satu... kau tak pernah rasa ke yang kemalangan itu sebenarnya suatu pengajaran pada sikap kau tu?”

Kerek betullah minah ni. Aku ni call nak hilangkan boring tetiba je kena ceramah! Masak betul! Kalau Syarina nak nasihatkan aku tu, tak kisah juga, dia tu lemah lembut… ini tak, suara pun macam bunyi guruh berdentum, ada hati nak nasihatkan orang. Macam ni nak jadi isteri? Silap gaya kalau terkahwin dengan minah ni, mau anak-anak aku jadi hypertension dapat mak suara macam petir ni.

“Aku call kau bukan nak ajak gaduh, aku cuba nak berbaik dengan kau. Yang kau kerek sangat ni apasal? Macam bagus je… Harap muka je cantik, perangai out! Patutlah tak ada jantan yang nak kat kau! Pompuan macam kau ni, boleh blah!” tempelak Fizal.
“Kaulah boleh blah. Sebab muka aku cantik la kau nak call. Kalau tak, dari dulu pun boleh nak buat baik dengan aku? Aku tak harap pun kau call aku. Pegi mampuslah!”

Eleh! Kalau tak kerana aku pakai kebaya hari tu bukannya kau sudi pun nak call aku. Kata dulang paku serpih!

Belum pun sempat Fizal membalas kata-kata Aryssa, budak itu sudah meletakkan telefon.

Tak guna punya budak, aku tak habis cakap lagi, dia dah letak. Apa punya perempuan lah ni, sikit punya handsome ke aku ni. Awal-awal dia dah reject kan aku. Dia ni memang tak ada nafsu kat lelaki kot? Kalau bukan sebab nak mengurat aku, apasal hari tu pakai kebaya? Buang tebiat ke apa? Alah perempuan, bukannya nak berterus terangkan? Ke aku yang perasan Aryssa nak mengurat aku, tapi aku nampak juga mukanya macam jealous je masa aku berborak sakan dengan Wani. Sah dia memang suka kat aku!

***********************

Fizal telefon aku? Nasib baik tekak aku sakit lagi, mesti dia tak cam suara aku. Kalau tidak, mampus! Memang aku teringin sangat nak dengar suaranya. Rindu giler!

Mana mungkin dia boleh menghubungi lelaki itu sedangkan semasa di kolej kelmarin suaranya memang sudah mulai serak. Kalau aku call jadi Rina, mesti pecah lubang. Tapi takkan aku nak call dia sebagai Aryssa pula, mau dia kata aku yang terhegeh-hegeh nak kat dia, tolonglah!

Kesian Wani, punyalah minah tu beria-ria jatuh cinta berguling-guling kat mamat tu sampai sanggup putus kawan. Mamat tu boleh cakap dia tak ada apa-apa. Aku rasa mamat ni jujur, memang dia melayan awek semuanya sama. Tapi, mungkin juga mamat tu belum mahu berubah. Masih mahu mengekalkan title playboynya itu dan menganggap perempuan seperti bus-stop, berhenti sementara menunggu bas lain.

Hatinya berdetik kasihan kepada Wani yang terlalu memberi harapan yang tinggi terhadap lelaki itu. Sedangkan lelaki itu hanya mahu menjadikannya perhentian sementara.

Namun adakalanya ingin saja dia mentertawakan Wani, yang pernah memberi amaran keras supaya jangan dekati Fizal. Tapi, bagaimana dia harus menerangkan kepada Wani bahawa perasaannya itu sedang dipermainkan lelaki buaya yang tidak pernah mahu insaf.

Betul kata orang, buaya mana yang menolak bangkai! Agaknya nasihatnya selama ini tak pernah menjadi apa-apa kesan di hati buaya darat itu. Tak habis-habis nak mainkan perempuan. Sampai bilalah kau nak insaf Fizal?

No comments: