Sunday, August 10, 2008

SEMANIS SENYUMANMU -BAB 30

BAB TIGA PULUH

Hari ini dia ada temu janji dengan doktor. Menurut mak, ada seseorang yang akan mendermakan salah satu buah pinggangnya pada Aryssa. Tidak dapat digambarkan bagaimana leganya perasaan kedua orang tuanya.

Sejak akhir-akhir ini kesihatan Aryssa semakin merosot. Badannya juga sudah mulai susut. Mukanya pula tembam tetapi pucat. Adakalanya dia langsung tidak mampu berjalan. Biarpun sudah berkali-kali emaknya menyuruh menggunakan kerusi roda, tetapi dia menolak.

Aryssa menunggu di luar bilik, sementara emak dan ayahnya berbincang sesuatu dengan Doktor Ong. Matanya tertumpu kepada seorang lelaki yang amat dikenalinya. Lelaki itu berkerusi roda.

Dengan hati yang gembira bercampur gementar, Aryssa menghampiri lelaki itu tanpa disedarinya. Dia lantas duduk di atas kerusi yang di belakangi lelaki itu.
“Semalam kau datang membawa cahaya, tersenyum menawan hati ini. Hari ini ku cuba melupakan seketika senyuman itu kerana ku tak layak berdampingan denganmu bidadari…”

Lelaki berkerusi roda itu bagaikan tersentak lalu menoleh ke belakang. Terkejut dia melihat seorang gadis bertopi terbalik, berseluar Jeans dan memakai jaket jeans lusuh. Dan bila melihat wajah gadis itu, dia terpempan. Betapa perubahan itu membuatnya terkelu seketika. Benarlah seperti yang diceritakan Acid dan Meor kepadanya. Aryssa sudah berubah. Aryssa sudah tidak seperti dahulu.
“Am, ingat lagi pada Aryssa? Tak sangka kita akan jumpa balik, Am,” Sungguh, Aryssa begitu terharu bila melihat lelaki itu dalam keadaan begitu.
“Maafkan saya…” ucapan itu membuatkan Aryssa bersyukur yang amat sangat. Amir masih mahu bercakap dengannya.

Aryssa juga tidak mahu melepaskan peluang itu, dia lalu melabuhkan duduknya di sebelah lelaki yang sudah terlalu lama dirinduinya.
“Am, kenapa awak tak mahu jumpa saya? Saya tak pernah lupakan awak…” luahnya.

Saat itu, dia seakan mahu menangis. Ingin diluahkan segala yang terbuku dihatinya selama ini. Selama Amir tidak mahu dihubungi dan menghubunginya.
“Saya dah lumpuh, Ary. Saya dah tak berguna pada sesiapa pun. Untuk apa saya perlu berkawan? Untuk siapa saya perlu hidup? Saya dah tak guna Ary…” memang dia kecewa.

Kecewa dengan takdir yang melanda hidupnya. Baru sahaja dia mahu bergembira dengan keputusan peperiksaannya, tetapi kemalangan petang itu meragut segala kegembiraannya. Kemalangan itu juga merampas seluruh kehidupannya. Justeru itu dia merasakan dia tidak punya hak untuk hidup lagi. Hidupnya sudah tidak beerti lagi untuk diri sendiri, bagaimana dia mahu berkongsi kehidupannya dengan Aryssa.
“Lumpuh tak beerti kalah, Am. Awak masih lagi bernafas untuk meneruskan kehidupan awak. Setiap orang ada masalahnya sendiri… Tuhan bagi kita ujian bukan untuk berputus asa. Ujian itu semangat untuk berjuang, Amir. Awak tak boleh begini, menangisi takdir,” ucapnya panjang dan bermakna.

Bukannya Aryssa mahu berceramah panjang, tapi dia tahu Amir perlukan seseorang untuk menyuntik semula semangatnya. Dia juga tahu, keluarganya bagai sudah berputus asa untuk menasihatinya.
“Saya cacat Ary, tak ada tempat untuk orang cacat macam saya… Saya kalah dalam hidup saya sendiri,”

Amir tunduk, menyembunyikan titisan airmatanya. Pantas tangan Aryssa menyeka airmata itu agar tidak jatuh ke lantai. Amir perlukan sokongan, tapi lelaki itu tidak pernah memberinya peluang untuk dia membuktikan betapa dia menyintai lelaki itu.
“Am, ramai orang yang cacat boleh Berjaya. Ramai orang yang lumpuh melanjutkan pelajaran ke Universiti. Tapi awak, menolak semua peluang kerana awak lumpuh? Itu tak betul. Awak belum kalah, Am… awak masih ada peluang. Hidup awak masih panjang. Bukan semua orang ada peluang tu…”

Aryssa memegang tangan Amir. Dia tahu hatinya masih ada lagi untuk Amir. Dia mahu membuktikannya. Dia sayang Amir. Sayangnya tak akan berubah walau apapun keadaan lelaki itu. Amir masih lagi seperti tadi menunduk dan bagaikan tak mahu memandang Aryssa.
“Am, saya tak kisah siapa awak, tapi saya masih sukakan awak dan mahu berkawan dengan awak. Cuma awak saja yang tak mahu kawan dengan saya. Ini nombor telefon saya, telefon saya kalau awak rasa awak perlukan kawan…kalau awak malu, anggaplah saya kawan baru awak. Janji kita jangan putus hubungan, saya tahu awak perlukan kawan seperti saya…”

Aryssa menghulurkan kertas yang tertera nombor telefonnya. Dia harus pergi bila mana dia melihat ibu bapanya sudah keluar dari bilik doctor. Hulurannya berbalas. Amir mencapai kertas itu lantas merenung wajah Aryssa, sekilas. Bila mata mereka bertemu, Amir pantas menundukkan mukanya semula. Aryssa senyum walaupun dia tahu Amir tidak memandangnya. Namun sekurang-kurangnya rindunya terubat. Dia amat berharap lelaki itu akan menghubunginya.

Amir merenung Aryssa yang sudah lama berlalu. Dia tidak pernah menyangka mereka akan bertemu semula. Selama ini, dia cuma tahu berkurung di rumah dan jarang sekali keluar. Dia malu berhadapan dengan dunia luar. Dia takut kawan-kawan akan mengejeknya nanti.

Hampir dua tahun dia kehilangan hidupnya. Temannya seharian hanyalah keluarga dan kenangannya bersama Aryssa. Justeru melihat Aryssa dalam keadaan itu membuatkan hatinya berdetik ingin bertanya di mana Aryssa yang comel dan manis yang pernah dikenalinya dulu. Mengapa Aryssa yang dihadapannya tadi, Aryssa yang lain, Aryssa yang kelihatan seperti lelaki…
“Amir kenal budak tomboy tu?” tanya ayahnya sebaik sahaja keluar dari bilik perbincangan.
“Aryssa, kawan Amir masa di sekolah dulu…” jawabnya.
“Patutlah Amir beriya nak dermakan buah pinggang pada dia, rupanya dia kawan Amir!” kata-kata ayahnya membuatkannya terpempan sekali lagi.
“Dia yang perlukan buah pinggang tu ayah?” pertanyaan Amir membuatkan Azman hairan.
“La, takkan Amir tak tahu… Kesian dia, Mir… sejak umur dua belas tahun buah pinggangnya rosak. Sekarang dia berada dalam keadaan kritikal. Dia kena buat pembedahan secepat mungkin…sekurang-kurangnya, satu daripada buah pinggangnya mesti ditukar. Kalau tidak, dia mungkin menghadapi maut,” terang Azman.




Amir bagaikan sudah tidak keruan. Tak mungkin! Aryssa yang pernah dikenalinya dulu sentiasa ceria dan tak pernah pun dia tahu Aryssa ada penyakit berbahaya.
Ya Allah! Tabahkanlah gadis itu menerima ujian-Mu, pintanya. Dia benar-benar berasa simpati terhadap Aryssa, gadis yang pernah dicintainya.

Bukan dia tidak mahu menerima gadis itu dalam hidupnya semula, tetapi dia tidak sanggup melawan takdir andainya suatu hari nanti orang yang amat dicintainya akan meninggalkannya kerana dia tidak berdaya melakukan apa-apa. Dia cacat.

Kerana menyedari ketentuan itu, Amir pasrah membiarkan Aryssa berlalu pergi, sedangkan hatinya terasa ingin berdampingan semula dengan gadis itu. Ingin bertanyakan tentang perubahan gadis itu. Dia terlalu teringin meluahkan apa yang terbuku di hatinya selama ini. Teringin untuk berbicara tentang cinta bersama Aryssa seperti suatu masa dahulu.

Tapi apakan daya, dia berasa terlalu kerdil bila berhadapan dengan Aryssa. Dia rasa terlalu hina bila berbual dengan gadis itu. Aryssa tidak mungkin menerimanya kembali. Mampukah dia menerima Amir Hizam yang sudah tidak mampu berdiri di atas kaki sendiri? Mana mungkin dia akan memberi bahagia kepada orang lain.

No comments: