Monday, August 11, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 4

Yanti membelek wajahnya di cermin. Dia sudah berpakaian rapi, malam ini dia akan keluar bersama Syahirwan lagi. Belum ada kesempatan lagi untuk dia bercerita pada Mazwin tentang malam minggu lalu.

Dia tahu Mazwin begitu sibuk untuk menghabiskan tempoh latihannya. Adakalanya dia sendiri kasihan dengan kisah hidup Mazwin, gadis itu gigih dan tabah menghadapi hidup mahupun terpaksa mengorbankan keseronokan masa remaja. Tapi gadis itu tidak pernah merungut.

Yanti sendiri tidak sekuat itu. Dia lahir dalam keluarga yang mewah. Ayahnya seorang peniaga yang berkaliber, mempunyai sebuah syarikat pengangkutan dan beberapa buah stesen minyak di sekitar Bandar ini. Pernah juga dia memujuk Mazwin bekerja dengan ayahnya dan ayahnya bersetuju memberikan gaji yang agak lumayan, tapi ditolak bulat-bulat oleh Mazwin.

Menurut Mazwin, dia perlu belajar dan berusaha untuk membawa keluarganya jauh dari dunia kemiskinan, bukan dia tidak memerlukan bantuan, katanya bantuan itu akan membuatkan manusia jadi leka dan malas berusaha, dan bila sikap seperti itu menguasai dengan sekelip mata sahaja apa yang kita perolehi boleh musnah.

Yanti mulai setuju dengan prinsip Mazwin, bila dilihatnya ada beberapa orang saudaranya yang diberikan kepercayaan oleh ayahnya akhirnya merosakkan syarikat dan mereka dibuang tanpa apa-apa alasan lagi.

“Hello! Dah siap ke belum? Hari tu bukan main bersemangat tunggu aku, tapi hari ni macam tak mahu jumpa je…”

Entah bila masa dia mengangkat telefon pun dia tidak sedar, kelam-kabut dia balik semula ke alam nyata.

“Aku dah lama siap, tunggu kau call je… kau dah sampai mana?” Yanti pantas mengenakan anting-anting, mencapai tas tangan dan berlalu.

“Depan rumah kau ni…” jawapan itu membuatkan matanya hampir terkeluar.

- Depan rumah? Mampus! Kalau mama aku nampak dia, masak aku!

“Kau parking depan sikit ye, jangan parking betul-betul depan rumah aku, kau jalan ke depan sikit… aku datang ni!” balasnya. Cepat-cepat dia menuruni anak tangga dan menuju ke pintu.

“Yanti, nak ke mana, tergesa-gesa je ni?” teguran mama membuatnya tersentak, jarinya pantas menekan butang off pada telefon bimbitnya.

“Err, Ti ada dinner dengan client, ma… dah terlambatla… papa tak cakap pada mama ke?” bohongnya.

- Nak cakap betul? Nak mampus… mamanya memang tak pernah membenarkan dia berkawan dengan mana-mana lelaki selain Zakri.

“Pergi cepat, Ti drive sendiri ke?”

“Err... tak, dengan Salwa, dia on the way… pergi dulu, ma!” pantas dia mencium pipi mamanya.

Tangannya laju menekan butang-butang di telefon bimbitnya untuk menghubungi Salwa, sepupu merangkap setiausahanya itu. Salwa mesti dihubungi, kerana kadangkala mamanya akan menelefon ke rumah gadis itu untuk kepastian.

- Ini yang susah kalau ambil saudara-mara bekerja sekali, apa-apa hal tidak dapat nak sorok.

“Lambat kau angkat telefon tadi, berangan ke?”

Syahirwan mengerling ke arah Yanti. Sungguh dia terpegun kerana kecantikan dan keharuman Yanti. Adakalanya dia terasa menyesal kerana tidak memikat gadis itu dari dahulu.

“Tak, aku teringatkan Awin tadi, dah berapa hari tak call dia, nak tunggu dia call pula, hmm… sibuk memanjang. Tambah malam cam gini, dia buat part time,” lega hatinya bila kereta Syahirwan bergerak meninggalkan kawasan perumahan itu.

“Awin? Mazwin Ariffin? You still contact her? Dia buat apa sekarang? Chubby macam dulu lagi? Lama tak jumpa dia ye,” teringat Syahirwan, pada si tembam, Mazwin Ariffin kawan baik Yanti. Kemana sahaja Yanti pergi sudah tentu ada Mazwin. Si chubby itu akan setia menemani Yanti.

“Sekarang dia dah tak chubby lagi. Kurus sangat, tapi cune, kalau lelaki tengok dia pandang dua kali punyalah! Lagi tiga-empat bulan dia jadi lawyer…” Yanti merenung Syahirwan, memang dia tahu lelaki itu dari dulu suka mengusik Mazwin.

“Wow! Tak sangka, budak comot tu bakal lawyer! Kalau ada masa nanti kita ajak dia keluar sama-sama, boleh?” pertanyaan Yanti dibalas dengan anggukan.

Malam itu mereka makan malam di restoran makanan laut yang terletak di tepi pantai di Teluk Batik. Tambah pula dengan hembusan angin sepoi-sepoi bahasa menambahkan lagi kedinginan malam. Syahirwan membuka jaket kulitnya dan membaluti tubuh Yanti yang memakai blaus satin yang nipis.

Saat itu Yanti terasa dirinya melayang dibawa Syahirwan merentasi malam menuju ke bulan purnama, romantis sekali. Alangkah bahagianya dia andai Syahirwan yang menjadi teman hidupnya kelak. Saat itulah yang paling diimpikannya dalam hidup, namun apa daya Syahirwan datang terlalu lewat.

Zakri sudah membawa hatinya pergi, setelah dia tidak lagi mahu menaruh harapan terhadap lelaki di hadapannya. Dia tahu apa yang dilakukannya ini suatu dosa, menyintai dua lelaki di dalam suatu masa.

Namun, hanya dia yang tahu apa yang terkandung di hatinya, dia terlalu menyintai Syahirwan, namun kerana kelewatan lelaki itu, dia telah memilih Zakri. Yanti keliru untuk membuat keputusan. Dia tahu jika tersilap langkah pasti ada yang kecewa. Tetapi Yanti teringin sekali untuk dicintai lelaki idamannya. Teringin sekali untuk dibelai Syahirwan yang pernah dicintainya.

Malam itu Syahirwan dengan jujurnya ingin menyuntingnya suatu masa nanti. Yanti memejamkan matanya yang semakin berkaca menahan tangis. Mujur malam itu gelap. Lelaki itu tidak dapat mengesan airmatanya.

Yasmin tahu, tak mungkin dia dapat melaksanakan hajat Syahirwan kerana dia bakal menjadi milik orang lain, milik mutlak Zakri. Untuknya menyatakan kebenarannya, Yasmin tidak berani. Takut untuk berterus terang, dia tak mahu andai dia berterus terang, Syahirwan meninggalkannya sekelip mata sebelum dia dapat menikmati cinta lelaki itu.

- Maafkan aku Syahir! Aku terlalu ingin dicintaimu…..

***************

Suapannya terhenti bila melihat Yanti tersenyum sendirian. Dilihatnya nasi goreng paprik di hadapan gadis itu masih tidak luak. Gadis itu leka menguis nasi dengan hujung garfu sambil tersenyum-senyum.
“Tu dah angaulah tu… Muka Syahir ada dalam nasi goreng tu ke?” usik Mazwin kemudian menyuap semula makanannya.

Matanya mencerun memandang ke arah Yanti yang masih seperti tadi, tersenyum-senyum.

“Awin, sekarang di mana-mana pun ada muka dia. Kadang-kadang aku tengok muka kau pun macam muka dia… aku dah syok gila kat dia la… Macamana ni?” jawapan Yanti membuatkan Mazwin menggeleng kepala.

“Sampaikan muka aku pun dah macam Syahir? Kau biar betul ni… ini dah kira angau tahap kritikal ni,” luah Mazwin sambil melampiaskan tawa panjang.

Mazwin tergelak lagi, lucu dengan keadaan Yanti. Teringat dia kenangan dulu, bila setiap kali Syahirwan menelefon Yasmin untuk bercerita tentang masalahnya dengan Harliana, Yanti akan berkeadaan sama seperti sekarang.
“Nanti aku nak ajak kau keluar sekali dengan dia. Dia pun ada mention nak jumpa kau. Malam ni boleh?” ajak Yanti, Mazwin merenungnya.

“Err…tak bolehlah, aku kan kena kerja. Boss aku sure tak bagi cuti, malam Jumaat aku free…” Mazwin jadi gugup dengan permintaan Yanti.

Dia tidak akan membenarkan mereka ke tempat kerjanya. Kenal sangat dia dengan Yanti, terlalu memandang negatif pada sesiapa yang bekerja di kelab seperti itu. Yanti bukanlah orang yang menolak hiburan, adakalanya gadis itu gemar ke karaoke, tapi dia tidak gemar pada orang yang terlalu obsess mencari hiburan sehingga sanggup berhabis hanya untuk berhibur.

“Kau kerja lagi di restoran tu? Tak apa, pukul berapa kau habis kerja? Nanti aku ajak Syahir ambil kau. Kat mana ~?” belum sempat Yanti menghabiskan kata-kata, Mazwin memintas.

“Eh! Tak payahlah datang, nanti malulah aku, dahlah aku kerja tukang cuci pinggan, malulah korang tengok… Malam Jumaat lah, okey!”

Berpeluh juga dia membuat alasan, mujurlah akhirnya Yanti bersetuju. Sememangnya temannya itu tidak pernah tahu di mana dia bekerja, macam-macam alasannya bila Yanti mahu bertemunya di tempat kerja.

Lima tahun dia merahsiakannya daripada Yanti bahkan pada keluarganya sendiri, tidak pernah mengetahui tentangnya. Kalau emaknya tahu, pasti dia akan dimarahi dan dileteri, sudah tentu emak akan berkata, macam sudah tidak ada tempat lain untuk bekerja.


Dia juga tahu pekerjaan itu tidak elok dipandang. Malah tidak baik kerana melibatkan arak. Namun hanya itu sahaja kerja yang boleh memberinya pulangan yang lebih. Untuk dia menampung keperluan keluarga. Biarlah dia menanggung dosa. Namun dia perlu meneruskan kerja untuk meneruskan hidupnya.

*************


Mazwin menunggu di perhentian bas, jam di tangannya sudah menunjukkan pukul lima tiga puluh minit, bermakna sudah dua puluh minit dia menanti bas di situ. Biasanya bas sudah pun melalui jalan itu, tapi hari ini, mungkin bas rosak. Dia sudah berpeluh-peluh, dia risau terlambat, kerjanya akan bermula jam lapan malam. Sebuah motorsikal berhenti betul-betul di hadapannya.

“Mazwin, kau nak balik rumah ye… Marilah naik! Aku hantarkan…” pelawaan itu dibalasnya dengan senyuman.

“Tak apalah, Zam… aku tunggu bas aje…” tolak Mazwin penuh sopan.

Haizam, budak pejabat yang bekerja di pejabat tempatnya membuat chambering. Dia tahu sejak dia mulakan latihan guaman di situ, Haizam tak pernah jemu mengambil hatinya.

“Kau malu nak naik motor buruk aku ke Mazwin? Aku nampak bas tu rosak kat depan sana tadi… ” terang anak muda itu lagi. Langsung tidak berganjak dari situ.

“Eh! Jangan cakap macam tu, Zam. Bukan aku malu naik motor kau, aku takut nanti orang gossip pula, kau taulah, orang kita ni pantang nampak, ada je mulut nak berkicau nanti…” balasnya, tidak mahu Haizam berkecil hati dengan sikapnya.

Bukan dia tidak mahu tapi dia takut ada yang salah anggap.Tambahan kalau teman sepejabatnya yang nampak. Sudah tentu mereka mengeluarkan bermacam, spekulasi.

“Tak apa, aku tak kisah pun kena gossip!” jawab anak muda itu sambil tersenyum menayang barisan giginya yang putih bersih.

Haizam mula menghulurkan topi keledar, dia sanggup mengambil risiko untuk menumpangkan Mazwin. Mazwin teragak-agak untuk menyambutnya, dia memandang sekeliling ingin dipastikan tiada orang yang kenal ternampakkan mereka.

Agak menghairankannya kenapa Haizam membawa dua topi keledar, setahunya Haizam tidak menumpangkan sesiapa ke pejabat, atau dia memang sengaja membawa topi keledar lebih, mencari peluang untuk bawa gadis itu.

Di atas motorsikal mereka sempat berborak, Haizam mengajaknya minum di warung, tapi ditolaknya sopan kerana dia perlu cepat. Rupanya lelaki itu tahu dia bekerja pada waktu malam, katanya dia pernah nampak Mazwin bekerja di restoran sewaktu Mazwin belajar di kolej. Dia juga tahu Mazwin terpaksa menanggung kos pelajaran yang mahal disamping menanggung emak dan tiga orang adiknya. Mazwin tidak pernah menyangka ada yang sentiasa memerhatikannya.

“Apalagi yang kau tahu tentang aku? Dah lama kau intip aku ye…?” Mazwin menghalakan jari telunjuknya ke arah lelaki itu.

Pemuda berkulit hitam manis itu cuma tersenyum, terserlah lesung pipit di kiri pipinya.

“Aku tabik kat kau Mazwin. Aku sendiri pun tak mampu berkorban macam kau” ujarnya sambil mengangkat tangannya ke dahi, memberikan tabik hormat dan menghala ke cermin sisi.

“Setiap kehidupan itu takdirnya berlainan. Tapi tujuannya sama. Cuma kita yang tak sedar!” balas Mazwin.

Dalam diam Haizam menaruh hati terhadap gadis itu. Hampir tiga tahun dia memerhatikan Mazwin, namun dia tidak punya kesempatan untuk berbicara dengan gadis itu.

Lagipun dia malu andai Mazwin tidak mahu menerimanya, maklum sahajalah, Mazwin bakal seorang peguam, siapalah dia di mata gadis itu, hanya seorang budak pejabat. Kau sudi naik motor aku pun dah cukup baik, Mazwin.

- Hai, bertuah motor aku hari ni, perempuan secantik Mazwin sudi memboncengnya.

Mazwin meminta Haizam menghantarnya jauh di simpang ke rumahnya, bukan apa dia tak mahu menjadi buah mulut orang di situ, maklumlah kampong, walaupun berada di pinggir Bandar tapi, sikap kemelayuan dalam persekitaran kampung masih sama.

Masing-masing suka mengambil tahu luar dalam hal peribadi orang, masih mahu tahu, anak si polan ni perangainya macam ni, anak si anu tu sudah jadi begini, sedangkan diri mereka sendiri belum tentu baik, belum tentu sempurna.

Mazwin tidak mahu dirinya di salah anggap oleh jiran-jirannya, tidak mahu lagi keluarganya menjadi buah mulut orang, dulu emaknya di nista kerana kata mereka emak tidak pandai menjaga suami sebab itu ayahnya berkahwin lagi.

- Ah! Siapa yang tahu tentang hal sebenarnya? Siapa yang sudi mendengar cerita si miskin seperti mereka? Siapalah yang akan percaya dengan kata-kata yang keluar dari mulut keluarganya? Tiada siapa…

Selepas mengucapkan terima kasih kepada Haizam, dia mengatur langkah meninggalkan persimpangan jalan menuju ke denai yang menjadi jalan pintas masuk ke kawasan kampungnya.

Mazwin sudah masuk ke dalam rumah, terdengar suara kanak-kanak sesekali terdengar suara orang berbual, pasti ibunya ada tamu, fikirnya.

“Kak Long dah balik…” tegur seorang kanak-kanak lelaki berusia kira-kira enam tahun.

Tangannya mengusap lembut rambut Adam, adik sebapanya itu kemudian dia mengeluh bila melihat ibu tirinya turut ada di situ, pasti ibu tirinya datang meminta pertolongan dari emak.

Setiap kali mak cik Asiah datang, pasti keluar cerita pasal ayahnya, perempuan itu akan memintanya sedikit wang dengan alasan untuk menanggung anak-anak yang masih kecil.

“Assalamualaikum! Mak dah makan ubat?” tanya Mazwin tanpa memperdulikan mak cik Asiah di sebelah emaknya.

“Sudah, kalau Awin nak makan, lauk mak dah simpankan untuk Awin.”

“Tak apalah mak, saya dah lambat ni, saya kena pergi kedai, nanti saya makan di kedai,” balasnya, lembut.

“Awin, mak cik kau datang ni, ada hal sikit,” lembut emaknya bersuara.

“Dia kalau tak ada hal tak datang mak, hah! Berapa mak cik nak?” bentak Mazwin

Bukan dia sengaja mahu bersikap kurang ajar tapi hatinya teramat geram, sedangkan Asiah tahu mereka juga terpaksa berjimat-cermat.

“Mak cik nak minta tiga ratus saja Awin… Ayah Awin dah seminggu tak balik, susu Aliya dah habis, beras pun tak ada di rumah. Aman dengan Azam nak belanja sekolah, mak cik datang sini pun tumpang orang Awin, kesiankanlah mak cik…” rayuannya membuatkan Mazwin mencebik.

Dia tidak mahu ada perasaan simpati pada perempuan yang pernah meragut kebahagiaan mereka.

Suara wanita itu amat perlahan diselangi tangisan yang pada pendengaran Mazwin, sengaja dibuat-buat. Mazwin cuma merengus marah kerana sikap ayahnya yang sering mengabaikan tanggungjawabnya, bukan dia tidak tahu makcik Asiah itu cuma dijadikan umpan oleh ayahnya untuk mendapatkan wang darinya.

Melihat kepada empat orang adiknya, Mazwin berasa kasihan, Aliya baru sahaja berusia setahun, Adam pula berumur enam tahun manakala si kembar Azam dan Aman, masih dalam darjah dua.

“Dulu masa mak cik kahwin dengan ayah, tak pernah pun mak cik kesiankan kami? Sekarang mak cik nak saya kesiankan mak cik? Saya boleh bagi duit sikit untuk beli susu Aliya dan belanja sekolah Azam dan Aman, yang selebihnya mak cik usahakan sendiri! Keluarga saya pun susah, tapi kami tak pernah meminta-minta,” terangnya dalam ketegasan lalu tangannya mengeluarkan beberapa keping not sepuluh ringgit dan dihulurkan kepada emaknya.

Dia langsung tidak mahu merenung perempuan yang pernah merampas kebahagiaan dari mereka. Asiah terdiam, lakonannya langsung tidak berhasil, balik nanti dia pasti dimarahi Arifin kerana tidak memperolehi wang dari Mazwin. Manisah juga terdiam, apa yang boleh dikatakannya lagi, dia sendiri bergantung hidup pada anak itu, mana mungkin anaknya perlu menanggung segala-galanya.

“Sebelum tu cakap pada ayah, kalau nak duit datang sendiri, tak payah guna umpan!” pesan Mazwin, keras.

Suatu hari nanti dia perlu bersemuka dengan ayahnya, sungguhpun kadangkala dia sendiri malas mahu mencampuri urusan rumah tangga mereka, sebagai anak dia kecewa, teramat kecewa dengan sikap ayahnya yang selalu lepas tangan dari tanggungjawab. Dia tahu ayahnya seorang yang suka berjudi, bermain nombor ekor, jack pot sehingga kadangkala habis sebulan dari gajinya yang tidak seberapa itu.

Bukankah lebih baik ayahnya menggunakan wang itu untuk keluarga. Mazwin tidak pernah kisah jika ayahnya langsung tidak mahu ambil tahu tentang mereka tapi sekurang-kurangnya ayahnya menjaga isteri kedua dan anak-anaknya yang masih kecil itu tanpa menyusahkan sesiapa. Ini tidak, sudahlah adik-beradiknya di abaikan, sekarang dia mahu lepas tangan dan meminta Mazwin pula yang menguruskan hidupnya.

Entah bila ayahnya akan insaf. Mazwin sendiri tak tahu. Tidakkah ayahnya tahu tentang tanggungjawab menjadi seorang ayah? Tidakkah ayahnya takut akan seksaan di akhirat kerana mengabaikan tanggungjawabnya sebagai bapa, Mazwin sendiri tak faham dengan sikap ayahnya.

1 comment:

mummyhoney said...

dina, aku terkonpius bila baca nama² yg ade tu... yanti... yasmin..? same person kah?