Monday, August 11, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 5

Dia menyalakan api rokok, kemudian menyedutnya dalam-dalam. Memang dia sudah mula ketagihan sejak tiga tahun lalu. Pada mulanya dia cuma main-main. Tetapi lama kelamaan dia sudah mula menyukainya. Ketagihan.

Habis sahaja sebatang rokok, dia memulakan kerjanya. Pintu kelab baru sahaja di buka. Biasanya jika waktu begini pelanggan tidak ramai. Yang ada cuma beberapa orang datang berborak dan minum-minum. Muzik pun tidak begitu menggila seperti selepas pukul sepuluh malam.

Mazwin meletakkan segelas martini bersama limau nipis ke meja bar. Pelanggan itu keseorangan, dan Mazwin pasti dia bukan pengunjung tetap di kelab ini. Selesai sahaja meletakkan gelas itu, tangannya dipegang erat oleh pelanggan itu, pantas dia mahu meleraikan pegangan itu.

“Mazwin, kau tak kenal aku?” sapa suara itu.
Suara yang sudah sekian lama tidak didengarnya. Dia menoleh kemudian tergamam melihat susuk tubuh yang amat dikenalinya.

“Syahirwan? What are you doing here?” tanya Mazwin sejurus teringat Syahirwan yang memesan Martini tadi. Lelaki itu menganggukkan kepalanya.

Pemuda itu mengambil limau nipis dan memicitnya ke dalam mulut, kemasaman limau itu membuatkan mukanya sedikit berkerut. Dia lalu mengangkat gelas berkaki kecil itu lalu di halakannya ke bibirnya. Selepas sahaja meneguk arak berwarna putih itu dia membalas pertanyaan Mazwin.

“Ooo… rupanya kat sinilah ‘restoran’ tempat kau kerja, patutlah berahsia sangat…” perli Syahirwan dalam senyum.

“Syahirwan, aku minta kau jangan beritahu sesiapa terutamanya Yanti yang aku kerja kat sini… please!” rayu Mazwin.
“Selagi kau pegang rahsia aku!” Syahirwan mengangkat gelas berkaki kecil itu.

Kali ini Mazwin mengangguk laju. Dia tahu Yanti memang anti dengan kaki minum dan perokok malah dia tidak gemar pada orang yang suka mengunjungi kelab hiburan dan kerana itu mereka berjanji sama-sama merahsiakannya.

Mereka berbual sementara masih tidak ramai pengunjung di situ. Syahirwan sudah tahu Mazwin bekerja di sini sejak dia mula pulang ke Bandar itu bulan lalu, cuma Mazwin yang tak perasankan kehadirannya. Mungkin kerana lampu yang gelap dan berkelip menyukarkan Mazwin mengecamnya.

*********************

Pada mulanya dia ingat dia tersalah orang tapi bila diamatinya lama, memang benar gadis itu Mazwin Ariffin, teman persekolahannya dulu. Benar kata Yasmin, Mazwin sudah tidak semontel dulu. Mazwin kini lebih kurus sesuai dengan ketinggiannya. Mazwin kini begitu berbeza dengan Mazwin yang dikenalinya semasa di zaman persekolahan.

Dulu gadis itu sentiasa berbaju kurung sekolah yang kusam dan sudah hilang seri putihnya dan kadangkala dia sendiri kasihan melihatnya. Namun hubungan mereka tidak begitu rapat kerana Mazwin seorang yang suka menyendiri. Pendiam.

Berlainan benar dengan Mazwin sekarang, dengan jeans ketat dan T-shirt itu yang diikat di bahagian pinggang sehingga menampakkan pusat. Nampak rugged dan bersahaja. Semakin mereka berbual panjang dia semakin menyenangi gadis itu. Tidak pernah disangkanya Mazwin senang di ajak berbual.

Dahulu dia jarang sekali menegur gadis itu, yang dia tahu Mazwin Ariffin hanyalah seorang gadis biasa yang bersahabat karib dengan Yanti Khairil.

Selebihnya dia tidak pernah mahu mengambil tahu tentang gadis itu. Yanti pun tidak pernah bercerita tentang Mazwin selama ini walaupun boleh dikatakan dia amat rapat dengan Yanti dan mereka sering berhubungan melalui telefon. Syahirwan masih tidak berganjak dari situ memerhatikan setiap pergerakan Mazwin. Gadis itu lincah bekerja dan bibirnya tidak pernah lokek dengan senyuman manis yang dilemparkan kepada sesiapa sahaja yang datang mengunjungi kelab itu.

No comments: