Monday, November 10, 2008

Aku Bukan Untukmu - 19

Petang itu Anizan duduk sendirian di pangkin di bawah pokok mangga di halaman, Hajah Saniyah dan Izham pergi ke rumah saudara mereka selepas sahaja mereka selesai makan tengahhari tadi. Anizan tidak mahu pergi sama kerana masih belum bersedia untuk ‘menipu’ lebih ramai lagi orang di rumah saudara mereka. Dia memberi alasan yang dia letih dengan perjalanan tadi. Mujurlah Hajah Saniyah tidak banyak bertanya. Tapi wanita baik hati itu memintanya datang semasa hari kenduri saudara mereka itu nanti.
Suasana kampung yang nyaman amat menyegarkan tanpa asap dan bunyi kenderaan seperti yang selalu dinikmatinya di Kuala Lumpur. Di sini segalanya berbeza, suasananya amat menyenangkan, barisan pohon getah di hadapan rumah Izham memukau pandangan. Anizan tidak pernah melihat suasana seperti itu sebelum ini, dia pernah mengikut Asma ke kampung, tapi ianya tak sama, kampung Asma adalah sebuah taman perumahan yang terletak di pinggir pekan.
Tiba-tiba sebuah Proton Waja Campro bewarna burgundy berhenti betul-betul dihadapannya, Anizan terkejut bila dilihatnya Izham yang keluar dari perut kereta itu.
Apahal pulak mamat ni, tadi pakai baju lain, kereta pun dah tukar… mana emak dia? Takkanlah sengaja nak cari peluang berdua-duaan dengan aku kot!?
“Eh! Beli kereta baru ke? Mana umi?” pertanyaan Anizan tidak diperdulikan Izham. Anak muda terus berlalu menuju ke rumah sambil memandang Anizan dengan wajah kehairanan.
Ak enna, mulalah nak buat muka egonya tu, simpanlah muka ego kau tu kat pejabat Izham, kat sini tak payahlah nak buat balik muka kau tu, aku dah tak takut!
“Bos! Saya tanya ni! Tak payahlah Bos nak buat muka sombong tu balik-” Eh! Lupa yang dia tak benarkan aku panggil dia ‘bos’.
“Awak, mana umi awak? Cakaplah? Baru je tadi keluar takkan dah jadi bisu?” Anizan masih tak jemu meminta Izham bersuara.
“Tumpang tanya boleh? Cik ni siapa? Apa hubungan cik dengan saya? Hah! Lagi satu, mak saya mana?” pertanyaan Izham membuatkan Anizan ketawa.
“Itu mulalah nak buat lawak hilang ingatan pula tu! Dahlah tak payah nak berlakon le! Malaslah saya, banyak sangat watak ni… pagi tadi awak kata saya nak cabul awak, sekarang ni awak yang bawa mak awak, awak yang tak ingat!” ujarnya dengan nada bosan.

No comments: