Monday, November 10, 2008

Aku Bukan Untukmu - 20

Lelaki di hadapannya merenung tepat ke arahnya kemudian menggelengkan kepala bagaikan tidak memahami apa yang dicakapkan Anizan, dia terus sahaja membuka kasut dan masuk menuju dapur. Melihat gelagat Izham, Anizan merengus, bosan. Sudahlah dia dibawa ke mari, ke tempat yang begitu asing baginya, kemudian dia di layan sebegini. Kalau diikutkan hati dengan kelakuan Izham tadi mahu saja dia mengangkat beg dan pulang ke Kuala Lumpur. Anizan masuk ke ruang dapur. Dilihatnya Izham sedang enak menghadap makan tengah hari sekali lagi. Dia kehairanan namun tidak mahu berkata-kata, dia cuma duduk di hadapan lelaki itu dan memerhati setiap pergerakan anak muda itu. Dari cara dia menyuap nasi sehingga ke cara dia mengunyah makanan. Lelaki yang berada di hadapannya masih tidak memperdulikannya. Dia masih lagi menghadap hidangan dihadapannya dengan penuh selera. Tanpa menoleh ke arah Anizan yang masih memandangnya dengan wajah dan pandangan hairan.
Agaknya Izham ni bela hantu raya ke? Manalah tahu, dia takut aku tinggal seorang dalam rumah ni, lepas tu dia minta hantu raya dia balik. Tengok cara dia makan, lahap, betul-betul macam hantu raya. Langsung tidak menoleh! Tapi takkanlah hantu raya balik pakai kereta, Waja Campro lagi!
“Saya bukan hantu raya!” ucap lelaki di hadapannya, sambil ketawa kecil, gelihati bila dipandang pelik sebegitu. Pasti gadis di hadapannya itu sedang mereka-reka sesuatu dalam fikirannya. Anizan terkejut, bagaimana lelaki ini boleh membaca apa yang difikirkannya. Biar benar mamat ni, boleh baca apa yang aku fikirkan!
“Kalau awak hantu raya pun, takkan awak nak mengakukan? Lapar sangat ke? Kan tengah hari tadi kita dah makan. Punyalah berselera saya tengok awak bedal semangkuk ikan keli masak lemak tu tadi. Kali ni awak makan lagi? Mangsa kebuluran pun tak macam ni!” rungut Anizan masih lagi tidak berpuashati dengan gelagat Izham yang bagaikan ada sesuatu yang tidak kena.
“Saya punya suka lah saya nak makan banyak mana! Ini rumah saya tau, Cik ni siapa? Dahlah datang rumah orang, membebel macam mak nenek! Cik ni datang dari mana, nak jumpa siapa?” soal lelaki itu setelah menyudahkan suapan terakhir dan membasuh tangan.
Dia meneguk sirap yang sudah dituangnya ketika memasuki ruang dapur itu tadi. Setelah membaca doa selesai makan dia bangun membawa pinggan ke singki dan membasuh pinggan sebiji itu. Kemudian lelaki itu duduk semula menghadap muka Anizan yang masih lagi melopong.
“Bos, tak baiklah Bos buat saya macam ni. Ini dah kira main-mainkan saya ni!” bentak Anizan.
“Dari tadi saya dengar awak panggil saya Bos. Awak ni siapa sebenarnya? Awak ni girlfriend Izham kot, yang Izham janji nak bawa jumpa umi?” tekaan Izlan tepat. Tanpa disedarinya gadis dihadapannya sudah mulai berpeluh.
“A… awak ni siapa pula? Awak bukan Izham?” soal Anizan teragak-agak.
“Saya Izlan, adik kembar seiras Izham!” balas anak muda itu sambil tersenyum sinis.
Mampus… mampus, kalau Izham tahu rahsia dia terbocor, mati aku! Nanti mesti mamat ni bocorkan rahsia ni pada umi dia. Dan Izham akan marah aku kerana aku terlupa yang dia memang mempunyai kembar seiras bernama Izlan. Macam manalah perkara sepenting ini aku boleh terlupa? Bodohnya… lepas ni bila terbongkar segala-galanya, pasti Izham takkan bayar walau satu sen pun!
“Kenapa awak panggil Izham, Bos?” soal lelaki itu.

No comments: