Pulang sahaja dari mahkamah, Hafizah memberitahu yang umminya menelefonnya sejak pagi tadi. Memang kalau dia ke mahkamah telefon bimbitnya dimatikan dan selalunya dia akan terlupa menghidupkan semula sehingga ke petang. Uminya menelefon, pasti bertanyakan tentang calon yang dijanjikannya itu. Apa yang perlu dijawabnya, Izham sendiri tak tahu. Kepalanya pening memikirkannya. Kala itu dia teringatkan idea Hasrul. Betul juga idea Hasrul, upah sahaja mana-mana gadis untuk berlakon menjadi kekasihnya untuk sementara waktu. Tapi selepas itu apa akan jadi kalau uminya memintanya berkahwin.
Ah! Katakan saja padanya yang mereka tiada jodoh, tapi kemudian tentu uminya akan meminta dia menerima Amira juga, masak dibuatnya. Nak pujuk Sofea balik ke pangkuannya? Never! Perempuan itu sudah terlalu banyak melukakan hatinya, dan dia tak mahu hati umi terhiris juga bila bermenantukan Sofea. Habis, siapa yang harus dia cari? Tiada siapa yang dia kenal dan tahu…. Tapi kalau ditawarkan sejumlah wang pasti ada yang setuju…
“Fizah, Anizan mana? Kalau dia ada, panggil masuk ke bilik saya…” selepas sahaja Izham meletakkan telefon, Ijan mengetuk pintu.
“Ada apa Boss? Hari ni, saya tak keluar, saya tolong Kak Zaharah buat audit. Lagipun surat tak ada yang urgent, saya hantar esok saja, kalau bos nak minta saya tukarkan air akuarium, saya boleh buat,” ternyata ada sedikit kegusaran di wajah gadis tomboy itu.
Izham tersenyum sumbing, memang kadangkala sengaja dia menjerkah gadis itu. Bukan apa, sekali kena jerkah sahaja pasti Anizan akan menjawab soalannya dengan tergagap-gagap.
“Anizan, saya nak tanya kenapa awak pakai pakaian macam lelaki?” soalan itu membuatkan Ijan ternganga seketika.
“Sebab, saya tak mahu kena buli! Kalau pakai macam ni, orang nampak saya ganas sikit. Jadi orang takut nak dekat. Selamatlah saya dari dibuli… kenapa Bos tanya?” jawabnya jujur namun pertanyaan Izham membuatkannya rasa tidak selesa.
Selama ini tiada siapa pernah menegur caranya berpakaian. Kenapa tiba-tiba pula hari ini Izham mahu mengambil tahu tentang penampilannya.
“Mak ayah awak tak marah ke awak pakai macam lelaki ni?” soal Izham lagi. Selepas bertanya tentang itu, dia nampak airmuka Anizan berubah.
“Mak dan ayah saya dah lama tak ada Bos, sejak umur saya 13 tahun! Mak, ayah dan dua adik saya meninggal dunia sebab kemalangan semasa pulang dari menghantar saya ke asrama. Selepas itu saya dibesarkan di rumah anak-anak yatim… sebab tak ada saudara-mara. …” ujarnya perlahan.
Memang Anizan sayu setiap kali orang bertanyakan tentang ibu bapanya. Peristiwa ngeri itu membuatkannya rasa bersalah, bila dia yang meminta ayah menghantarnya pulang ke asrama lewat, kerana tak sanggup berpisah dengan keluarga. Akhirnya ayahnya menghantarnya pulang waktu malam, kerana dia perlu memasuki pagar asrama sebelum pukul 12 malam. Tanpa disangka, dia mendapat berita tentang kemalangan itu selepas beberapa jam keluarganya berlalu meninggalkannya. Izham mula rasa bersalah, hasratnya untuk menjadikan Anizan sebagai pelakon untuknya terus mati di situ, dia tak sampai hati.
“Kenapa Bos tanya? Bos nak minta saya hantar apa-apa ke? Tapi Bos kalau Bos minta saya hantar bunga lagi, saya minta maaf Bos, bukan saya tak mahu buat. Tapi, staf di pejabat Cik Sofea tu garang sangat!” takut juga kalau-kalau perempuan sombong itu mengadu sesuatu pada Izham.
Mahu Izham berhentikan aku, nahas! Air muka Anizan serta merta berubah. Kalau tadi dia kelihatan sayu dan sedih tapi, sekarang wajahnya langsung tidak menunjukkan reaksi yang sama.
Anizan memang layak menjadi pelakon, tapi mampukah gadis ala-ala tomboy ini menyimpan rasa gemuruhnya bila berhadapan dengan uminya nanti? Izham dapat lihat yang Anizan terlalu gementar bila berhadapan dengannya.
“Tak, saya nak bagi awak cuti se~” Belum sempat Izham menghabiskan ayatnya, Anizan memintas.
“Bos saya minta maaf Bos, saya tahu saya salah. Saya kurang ajar! Tapi Bos, dia kutuk-kutuk saya, sebab tu saya tak tahan, saya marahlah! Tapi saya minta maaf Bos! Janganlah berhentikan saya…” rayunya seperti orang dalam ketakutan.
Bersungguh-sungguh dia meminta maaf, tentang kekasaran kata-katanya kepada Sofea tempoh hari. Izham cuma senyum, dia tahu sangat kerenah Sofea yang suka melayan orang mengikut tarafnya. Izham tak hairan semua tu, kerana kadangkala dia juga menjadi mangsa cemuhan Sofea. Dan Izham berharap selepas ini, dia tidak akan bertemu Sofea.
Akan diterangkan perkara ini dengan Tan Sri Kamil, dan pasti Tan Sri Kamil tidak berupaya menghalangnya. Beliau memang sudah maklum dengan perangai anak gadisnya itu, malah pernah Tan Sri Kamil bertanya padanya, bagaimana dia boleh menahan melayan kerenah Sofea yang membosankan itu.
“Saya janji Bos, lain kali saya tak buat lagi… Tapi janganlah berhentikan saya Bos, kalau Bos nak potong gaji saya, saya tak kisah janji jangan berhentikan saya Bos!” rayu Anizan.
“Siapa pula yang nak berhentikan awak. Saya nak bagi awak cuti untuk temankan saya balik kampung… awak mahu tak?”
No comments:
Post a Comment