Monday, November 17, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 23

BAB DUA PULUH TIGA
Selesai kenduri-kendara untuk majlis perkahwinan itu, mereka tinggal bersama ibu Mazwin, maklumlah ibu tua itu hanya sendirian dan cuma ditemani Maisarah, adik bongsunya yang teramat pendiam. Mereka tidak punya rancangan ke mana-mana untuk berbulan madu, kerana masing-masing sibuk dengan urusan kerja yang bertimbun, tertunggak kerana cuti perkahwinan.

Mazwin pula semakin sibuk ke Mahkamah bagi menyelesaikan kes. Mazwin ada merancang untuk membeli rumah dan tinggal berasingan supaya dia boleh menjaga Syahirwan sepertimana isteri yang lain. Teringin sekali dia ingin melayani suaminya itu tanpa dibelenggu jadual tugas yang menyesakkan hidupnya.

Adakalanya dia terasa terlalu letih kerana memilih bidang guaman sebagai kerjaya, bidang ini memerlukan penghayatan yang teliti sehingga adakalanya menggugat kehidupan seharian. Manakan tidaknya, di pejabat sudah tentu dia terpaksa menyediakan tugasan penting untuk hari-hari seterusnya, dan bila pulang dia harus memikirkan perkara untuk dilakukan esok, kerana adakalanya hampir setiap hari Mazwin terpaksa ke Mahkamah. Bukan kerana firma itu kekurangan peguam, tetapi kebanyakan kes adalah kes Plaintif di mana setiap tarikh yang diberikan mewajibkan peguam pihak Plaintif untuk menghadirkan diri, jika gagal pasti ada kes akan terbatal.

“Hari ini Awin out-station lagi. Awin ada kes di Tapah. Tak dapat lunch dengan Wan!” ujarnya sambil menuangkan milo panas di hadapan Syahirwan. Suaminya itu cuma merenungnya kemudian tersenyum.

“Tak apalah, dah kerja nak buat macam mana. Kalau tak larat nak survive resign je lah. Lagipun Wan boleh tanggung…” balas Syahirwan.

“Ala… rugilah Awin. Belajar lama-lama, tapi tak sampai tiga tahun dah nak give-up, lagipun kerja ni memang cita-cita Awin dari dulu,” balasnya sambil tangannya lincah menyenduk nasi goreng ke pinggan suaminya.

“So, tak payah merungut, okey! That is your choice, and you can’t give up if you want to be a great lawyer!” lembut sahaja Syahirwan membalas kata-kata isterinya. Saat itu juga tangannya menepuk lembut pipi isterinya, Mazwin membalasnya dengan genggaman tangannya.

Mazwin akui setiap kata-kata semangat dari Syahirwan membuatkannya bertambah kasihkan lelaki itu. Betapa Syahirwan sanggup berkorban kerana menyintainya, sehingga tidak menghiraukan apa pun yang pernah terjadi pada Mazwin, pengorbanan lelaki itu hanya mampu dibalasnya dengan kasih sayang dan perhatiannya.

Selepas sahaja bersarapan mereka beriringan menuju ke kereta masing-masing, sebagaimana biasa jika Mazwin bekerja di luar, kalau si isteri tidak ke mahkamah mereka akan berkongsi kereta ke tempat kerja dan suasana itu jarang sekali dapat mereka kecapi.

Selepas mereka menyalami Manisah untuk ke tempat kerja, Mazwin menyalami suaminya itu seperti biasa dan dalam masa yang sama itu juga Syahirwan mencium dahinya.

******************

Petang itu Mazwin pulang awal, sengaja mahu menikmati minum petang bersama Syahirwan dan emak di rumah. Tadi dia singgah di gerai hujung jalan yang menjual kuih cakoi kegemaran Syahirwan. Sejak tengahhari tadi dia sudah menelifon emaknya, memesan supaya tidak perlu membuat kuih untuk minum petang. Dia juga membeli tapai ubi kegemaran emaknya.

“Hai sayang! Dah lama balik? Wan call tak angkat pun ye! Ingat nak ajak pergi minum petang di Heritage,” sapa Syahirwan.

Dia mencucuk lembut pinggang Mazwin yang sedang membawa dulang ke ruang hadapan. Kemudian dengan mesra dikucupnya pipi isterinya itu. Pantas tangan Mazwin menepuk lembut pipi suaminya.

“Hish! Wan ni, mak nampak nanti. Awin dah beli cakoi dengan tapai ubi, memang nak minum petang tapi kat rumah je ye! Mak dah buat satu baldi kopi untuk Wan!” gurau Mazwin.

“Wah! Cakoi yang hujung jalan tu ke? Awin cakap tak kat mak cik tu suruh bagi kaya banyak-banyak?”

Syahirwan sudah menggosok telapak tangan menghadap kuih kegemarannya yang masih berasap. Dia menarik cakoi dari piring. Memang jika sudah menghadap cakoi yang dicicah dengan kaya, sudah tentu dia tidak menoleh lagi. Sebab itu Mazwin selalu membeli lebih, tahu sangat kegemaran suaminya itu.

“Sarah, mari minum sama. Ni kak long beli tapai ubi dengan cakoi…” laung Mazwin kepada Maisarah.

Adiknya itu sentiasa memerap di dalam bilik. Memang semenjak kecil Maisarah amat pendiam, namun gadis itu pandai menguruskan kerja rumah.

“Sarah tu balik dari sekolah tak keluar-keluar dari bilik ke mak? Takkan asyik menghadap buku sampai tak mahu bercampur orang!” ujar Mazwin sambil merenung Manisah yang sudah menyuap tapai ubi ke mulutnya.

“Kau bukan tak tahu dia, memang sejak kecil jarang bercakap. Tapi kerja rumah beres. Mak pun tak kuasa nak berleter, bukan dia ada buat salah, dia cuma tak suka nak berborak. Sampai kadang-kadang kalau mak tinggal berdua dengan dia, macam tinggal seorang pula!” balas Manisah.

Memang anak gadis bongsunya itu tidak banyak kerenah. Balik dari sekolah memerap dalam bilik. Tapi kerja rumah selesai tanpa disuruh-suruh. Segala pinggan mangkuk bersih berseri tersusun di rak. Kalau petang pula tanpa dileter dia sudah mengangkat kain di jemuran kemudian sambil menonton televisyen, ligat tangannya melipat kain yang diangkat tadi.

Sampai kadangkala, Manisah duduk di rumah hanya meriba tangan tanpa membuat kerja rumah. Malah anak gadis itu jarang sekali merengek minta itu ini sepertimana gadis-gadis sebayanya. Keluar dengan kawan-kawan juga amat jarang.

“Amboi, Wan dapat cakoi terus senyap tak menoleh lagi. Sedap ke lapar ni Wan?” usik Manisah tatkala melihat menantu tunggalnya itu asyik mencarik cakoi kemudian mencicah ke dalam kaya yang masih panas. Berselera sungguh dia menghadap makanan itu.

“Wan kalau dapat cakoi, memang tak bergerak mak! Nasib baik mak cik jual cakoi tu tak ada anak dara, mak kalau tak, tak merasalah mak bermenantukan Wan!” seloroh Mazwin diselangi tawa mengusik suaminya.

Syahirwan cuma tersenyum sambil menghabiskan kunyahannya. Kopi pekat bancuhan Manisah di teguknya penuh nikmat.

“Kalau makcik jual cakoi tu ada anak dara Awin nak pinangkan untuk Wan ke?” perangkap Syahirwan sengaja menguji. Dia tersenyum nakal mengusik sang isteri.

“Amboi, suka-suka nak suruh kita pula yang pinangkan! Mak tengoklah menantu mak sorang ni. Macam ni lain kali tak mahu belikan cakoi untuk dia lagi!” Mazwin pura-pura merajuk, pecah tawa Syahirwan melihatnya. Pantas jemarinya mencubit halus lengan suaminya. Lelaki itu mengaduh kecil.

“Tahu pun takut! Takkanlah Wan nak orang lain, isteri Wan pun dah sempurna ye mak! Wan ada isteri yang baik, cantik, cerdik dan bertangan sepit ketam! Sempurnalah tu…” Syahirwan menghabiskan sisa tawanya.

Ayat yang terakhir membuatkan Mazwin sekali lagi mencubit lengan suaminya itu. Manisah dapat melihat kemesraan mereka. Hatinya mengucap syukur berkali-kali tatkala melihat kebahagiaan mereka. Selama ini dia begitu risaukan tentang Mazwin yang terlalu banyak berkorban untuk keluarga mereka. Tanpa Mazwin dia hilang kekuatan untuk membentuk keluarga setelah digantung tidak bertali oleh suaminya.

Namun ada sepasang mata yang menangis melihat kemesraan itu. Langkahnya untuk menyertai minum petang bersama terhenti bila tiba-tiba diserang rasa cemburu yang dalam bila terlihat kemesraan itu. Dia sekali lagi dicengkam resah panjang. Dia terus ke bilik semula mengenang cintanya yang semakin menjauh. Maisarah mengetap bibir, cemburu dengan kemesraan pasangan suami isteri itu. Jantan penipu! Getusnya, geram.

Mahu sahaja dia menampar muka Syahirwan yang selama ini bagaikan memberi harapan palsu padanya. Mana mungkin lelaki yang pernah menyatakan cinta padanya beralih sayang kepada Mazwin, kakak kandungnya sendiri. Hatinya bagai diragut pedih setiap kali mendengar suara gelak tawa mereka. Jiwanya terasa tersiksa bila melihat kemesraan mereka di depan matanya, dan saat kemesraan itu juga, lelaki itu langsung tidak memperdulikannya, langsung tidak mahu memandangnya.

Yang paling memilukan bila renungan Syahirwan padanya bukan seperti dulu, kini sorotan matanya hanyalah renungan seorang abang ipar kepada adik ipar. Maisarah tidak sanggup lagi menanggung azab menahan rasa. Dia harus memulakan, dia mesti memberitahu Syahirwan apa yang dirasanya, apa yang dialaminya dan malamnya sentiasa mengundang mimpi ngeri bila mengenangkan Mazwin lena di dalam pelukan Syahirwan, lelaki yang sepatutnya menjadi miliknya.

Maisarah mesti menghentikan semua ini, kasihnya harus direbut kembali, cintanya mesti dipupuk semula. Dia tidak mahu kehilangan cinta Syahirwan yang selama ini disimpan kukuh dalam hatinya. Dia tidak mahu kasih lelaki itu terhadapnya bertukar seratus peratus kepada Mazwin, kakaknya itu adalah perampas! Perampas kebahagiaannya, pemusnah cintanya, dan dia mahu melihat airmata Mazwin mengalir kecewa, sebagaimana dia menangis pilu di saat mereka diijabkabulkan.

Kejam? Memang dia harus bertindak kejam untuk merampas semula cintanya. Mazwin juga kejam, merampas Syahirwan darinya. Mazwin juga kejam, menghukumnya dengan meraih simpati Syahirwan sehingga lelaki itu jatuh ke tangannya. Maisarah berjanji akan membalas segala kekecewaannya. Kasih Syahirwan terhadapnya semakin menjauh, dan kerana kejauhan itu, dendamnya semakin membara. Mazwin akan terima pembalasan di atas kekecewaan Maisarah. Dia berjanji akan merobek hancur hati kakak kandungnya, hanya kerana cinta Syahirwan kepadanya berubah.

Bersedialah Mazwin, bersedialah menerima kehancuran yang paling tidak dapat kau lupakan, sebagaimana hancur luluhnya hati aku, akan ku balas padamu kelak! Tidak, aku tak kejam, aku cuma mahukan Syahirwan yang selama ini adalah hak aku! Kau yang kejam, Mazwin! Kau yang kejam, merampas lelaki itu dari adik kandungmu sendiri! Kau kejam, kerana terlalu mementingkan dirinya sendiri. Kejam kerana meraih simpati hanya kerana inginkan Syahirwan menjadi kekasihnya. Kau terlalu kejam hingga sanggup merampas kekasihku!!! Maisarah mencerun mata, membayangkan kemusnahan hubungan mereka.

2 comments:

Kekna said...

is this ur work??gosh i betul2 ingat u nak ulas pasal some novel..so far..(ceh padahal baru baca 1 entry)i like the story..
=)

dina said...

TQ liana... komen kamu sangat dihargai. teruskan membaca...