Sunday, November 23, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 24

BAB DUA PULUH EMPAT

Sudah hampir dua bulan peperiksaan SPM berakhir. Selama itu juga Maisarah bertugas sebagai kerani sementara di bank tempat Syahirwan bekerja. Mereka pergi dan pulang dari bekerja bersama. Mazwin tidak pernah mengambil kisah tentang semua itu. Dia hanya menganggap ianya hanya sekadar hubungan abang ipar dan adik iparnya, tidak lebih dari itu. Kerana kepercayaan itu juga Maisarah mengambil kesempatan, melampiaskan segala kerinduannya pada Shahirwan.

Maisarah tersenyum sendiri, melihat dirinya di cermin. Hari ini dia dan Syahirwan mengambil cuti bersama, ternyata lelaki itu masih menyayanginya, tapi kerana bayang-bayang Mazwin, Syahirwan bagaikan terbelenggu. Mereka akan ke Pulau Pinang menghabiskan masa seharian memadu kasih yang hampir setahun tersimpan di lubuk hati masing-masing.

“Betul ke abang sayangkan Mai?” tanyanya sekadar memancing reaksi Syahirwan.

Tangannya menggenggam erat jemari lelaki itu sambil direbahkan badannya ke dada sasa lelaki itu. Syahirwan cuma mengangguk, tidak ada jawapan yang pasti.

“Mai tak percaya!” bentaknya, kemudian bangun dan melepaskan genggaman itu kasar.

Lelaki yang sedang memandu itu merenungnya sekilas. Hatinya sedikit geram kerana gadis itu menghalang perhatiannya semasa memandu.

“Macam mana abang nak bagi Mai percaya? Mai tahukan kedudukan abang sekarang? Mai kena terima seadanya… suatu hari nanti bila tiba masanya, abang akan selesaikan secara baik… Mai sabar ajelah!” pujuk Syahirwan sambil tangan kirinya meraba-raba mencari semula jemari Maisarah yang terlepas tadi.

“Kalau betul-betul abang sayangkan Mai, ceraikan kak Long! Lagipun abang dengan dia dah lama kahwin tapi tak ada anak, kan semua tu boleh dijadikan alasan untuk abang tinggalkan dia,” sekali lagi Maisarah membentak.

Syahirwan cuma tersenyum mendengar idea dari mulut gadis yang baru berusia lapan belas tahun itu.

“Mai… Mai, jangan terburu-buru, Mai! Bagi abang masa sikit, takkan lari gunung dikejar!” ucap Syahirwan bersama gelengan dan senyuman sinis bagai menyindirnya.

“Gunung memang tak lari, tapi abang tu macam nak lari dari Mai aje, sudahlah! Kita baliklah! Malaslah nak bincang dengan abang, idea Mai langsung abang tak mahu pakai. Agaknya abang dah termakan nasi kangkang kak long kot, sebab tu lah abang liat sangat nak ceraikan dia!” bentakan Maisarah membuatkan Syahirwan tersentak.

“Takkanlah Mazwin nak buat benda-benda karut macam tu. Mai tu terlalu ikutkan perasaan, sampai sanggup buat tuduhan macam tu! Tak baik tau…” senyuman Syahirwan masih seperti tadi.

Maisarah merengus marah mendengar kata-kata lelaki di hadapannya. Tidak di sangkanya lelaki yang pernah menabur cinta kepadanya senang saja membiarkan dia terkapai hilang arah.
“Yelah, Mai ni memang tak baik! Macamlah abang tu baik sangat, waktu malam abang peluk kak long, waktu siang pula abang main cinta dengan Mai! Baik sangatlah tu!” tempelak Maisarah lagi.

Syahirwan terdiam, malas dia mahu membalas rengusan Maisarah yang baru setahun jagung. Malas mahu berbalah lagi. Bukannya dia tidak sayangkan gadis comel itu, tapi dia terlanjur menyayangi Mazwin kerana ikatan persahabatan yang pernah terjalin antara mereka sehingga ikatan itu menjadi simpulan cinta yang disemai kasih sayang bila Mazwin menerima lamarannya. Dia tidak sanggup melukai hati isterinya itu. Walaupun dia tahu dosanya kerana menyayangi kedua beradik ini.

Syahirwan benar-benar bingung sekarang. Tidak tahu bagaimana dia mahu meleraikan segala kekusutan yang selama ini diciptanya. Tidak tahu bagaimana untuk memadamkan segala palitan-palitan dosa terhadap isterinya. Sedangkan isterinya itu teramat setia terhadapnya.

Walaupun dia tahu semasa majlis perkahwinan mereka hati isterinya sedikit tergoyah bila terpandangkan kekasih lama. Dia tidak pernah bertanya, kerana Mazwin tidak pernah mengungkitnya. Mungkin benar Mazwin sudah menerimanya sepenuh hati dan melupakan segala kisah cinta lama yang tidak beerti padanya. Syahirwan mengeluh kecil.

Bagaimana dia harus memberitahu Maisarah yang dia kini teramat cintakan Mazwin dalam masa yang sama bagaimana jika Mazwin terlalu kecewa kerana dia menjalin hubungan dengan Maisarah. Segalanya membuatkan dia keliru.

*********************

Syahirwan membuka pintu bilik. Dilihatnya Mazwin masih menghadap komputer, pasti ada kerja yang masih belum diselesaikannya. Dia kemudiannya terus merangkul Mazwin dari belakang.

“Baru balik? Wan dah makan ke?” tanyanya bila menoleh ke arah Syahirwan. Dia mengusap lembut tangan suaminya. Terasa kehangatan tangan itu meresap ke lehernya yang jinjang.

“Sudah, Wan ajak Sarah sekali tadi. Bukan apa kesian dia kena tunggu Wan balik lambat. Suruh balik sendiri tak mahu pula, tak pasal-pasal sampai mengantuk menunggu Wan habis kerja! Wan letih sangat ni… hujung tahun macam ni banyak benda Wan kena audit” rungut Syahirwan.

“Dia takut berjalan seorang. Maklumlah Maisarah tu tak biasa keluar tak menentu. Eloklah dia tunggu Wan, takut juga jadi apa-apa pada dia. Jadi Awin harapkan Wan tolong tengok-tengokkan dia. Secara tak langsung, Maisarah tu amanah Awin pada Wan tau!”

Mazwin mencuit hidung suaminya. Syahirwan mengangguk sambil tersenyum manis. Kemudian bibirnya mula merayap ke leher isterinya.

“Oopss! Pergi mandi dulu ye, bau peluhlah!”

Mazwin bangun kemudian membuka tali leher dan butang kemeja suaminya itu. Dia kemudian beralih ke almari pakaian mengeluarkan pakaian tidur buat Syahirwan.

Selepas berpakaian Syairwan sekali lagi merangkul tubuh langsing Mazwin. Keharuman rambut Mazwin benar-benar membuatkannya semakin berahi. Hilang segala keletihannya bekerja seharian.

“Eh! Kata tadi letih? Dah hilang letih ke?” tanya Mazwin berunsur gurauan. Tangan Syahirwan tidak berhenti merayap ke seluruh tubuh isterinya.

“Tengok je muka Awin, hilang semua letih. Tengok bertenaga lagi sampai boleh angkat Awin!” seraya itu Syahirwan mengendong Mazwin ke katil. Jeritan kecil Mazwin dan tawa Syahirwan memecah suasana. Mereka bergurau dan bercanda, mengucap kata cinta dan bercumbuan.

“Wan sayang Awin sampai bila-bila…” Syahirwan membenamkan hidungnya ke pipi gebu Mazwin. Mazwin membalasnya.

“Awin pun sayangkan Wan selama-lamanya!” ucap Mazwin sambil mengelus lembut rambut Syahirwan yang mula dibasahi peluh.

Mereka melayari bahtera bersama. Mazwin tersenyum dalam rela. Sememangnya segalanya sudah menjadi hak Syahirwan. Mazwin meletakkan kepalanya ke dada sasa suaminya yang sudah keletihan. Di sapunya titik-titik peluh yang menitis dari dahi suaminya.

“Awin harap kita dapat anak yang baik, yang soleh dan comel!” ucapnya sambil mengucup lembut bibir Syahirwan.
Lelaki itu terus memeluk erat isteri yang amat dicintainya. Dalam kesamaran malam itu, airmata lelakinya menitis. Ingin dia memohon maaf di atas kecurangan terhadap Mazwin, tapi dia tidak berdaya untuk melukai hati orang yang paling dicintainya.

“Kenapa Wan menangis?” tanyanya saat terasa ada titisan panas sewaktu dia mengusap pipi Syahirwan.

“Wan sayangkan Awin. Wan takut satu hari nanti Awin tinggalkan Wan! Wan tak boleh hidup tanpa Awin! Wan sayang Awin sangat-sangat!” semakin erat pelukan Syahirwan.

Bibirnya tidak henti mengucup dahi Mazwin. Mazwin tidak berasa pelik, memang setiap kali Syahirwan berkelakuan seperti itu. Malah dirasakan cintanya terhadap Syahirwan semakin kuat. Dan dia tahu cinta Syhairwan terhadapnya terlalu luhur.

“Awin pun sayang Wan!”

No comments: