Sunday, November 23, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 25

BAB DUA PULUH LIMA

Mazwin keluar dari perut kereta, lantas diberinya salam pada ibu mertuanya yang sedang memanjakan pohon-pohon orkid yang galak berbunga. Ucapannya dibalas mesra oleh Zaharah. Senyumnya panjang menyambut kedatangan menantu keduanya itu. Seperti biasa Syahirwan dan Mazwin akan bermalam di rumahnya pada setiap hujung minggu.

“Awin seorang saja ke? Syah mana?” soal Zaharah, bila dilihatnya anak lelakinya tiada bersama Mazwin.

Dia terus meraih Mazwin dalam pelukannya bila Mazwin selesai menyalaminya, walaupun hampir setiap minggu mereka bertemu tapi kerinduannya pada menantu yang satu ini tidak pernah padam.

“Dia lewat sikit, mama… Dia ada meeting hari ni. Kejap lagi sampailah tu! Wah! Dah berbunga okid mama ni, makin berserihalaman rumah mama!” puji Mazwin ikhlas.

Dia tidak pernah berpura-pura menyayangi keluarga mertuanya sepertimana dia tidak pernah berpura-pura menyintai Syahirwan.
“Ye la, memang berseri tapi sunyi la Awin sebab tak ada budak kecil. Suasana halaman yang berseri ni akan lebih ceria kalau Mazwin bawakan cucu untuk mama!” ucap Zaharah berbau sindiran.

Mazwin cuma tersenyum meleret mendengarnya, sedikit pun tidak berbekas di hatinya mendengar sindiran mertuanya itu. Dia dan Syahirwan juga memang sentiasa berusaha untuk mendapatkan cahaya mata bagi menyerikan lagi rumah tangga yang terbina hampir dua tahun ini. Namun, kudrat mereka tidak mampu menghalang ketentuan Allah yang belum memberikan rezeki itu kepada mereka.

“Insya Allah masa tu akan tiba. Awin pun tak sabar nak tengok macam mana rupanya anak Awin. Tapi Awin belum lagi terpilih untuk menjadi ibu, Ma! Maafkan Awin, kalau Awin terlalu lambat memberikan mama cucu!” pohonnya, tangan ibu itu diraihnya, sambil merenung wajah ibu itu penuh makna.

Zaharah agak terkejut dengan tindakan Mazwin. Tidak terlintas di hatinya untuk membuat menantunya itu terasa hati.

“Eh! Mama gurau je… jangan ambil hati ye! Nanti mama nak suruh Syah tu berusaha lebih sikit! Jangan asyik nak kerja dua puluh empat jam sampai tak ada masa nak buatkan cucu untuk mama!” gurauan itu diselangi tawa ceria Zaharah. Dia tidak mahu menantunya itu terasa hati dengan kata-katanya.

“Mari masuk, petang ni panas pula. Mama dah buatkan kek chiffon orange yang Awin suka tu. Mama bakar dua biji tadi tau! Nanti Awin boleh bawa balik bagi mak Awin rasa kek mama. Mak apa khabar? Dah lama mama tak berbual dengannya,” bual Zaharah sekadar menutup cerita pasal cucu.

Tidak mahu melihat Mazwin bersusah hati dengan permintaannya. Dia tahu menantunya itu juga amat menginginkan anak sebagai penyeri rumah tangganya. Tetapi rezeki belum menyebelahi mereka.

“Alhamdulillah, ma, sihat! Tadi sebelum datang sini, Awin called, mak kirim salam kat mama! Err… Syaiful dan Zamira tak balik ke?”

“Ada kat dalam tu. Jom masuk dulu, papa kau pun tak nampak batang hidung lagi. Malam ni mama ingat nak masak ketam bercili, bolehlah Awin tolong mama. Resipi daging masak hitam Awin tu mama dah cuba semalam, sedap! Bertambah-tambah papa kau makan,” Zaharah merangkul pinggang Mazwin, mesra.

Mazwin cuma tersenyum bila mertuanya itu tidak henti bercerita itu ini. Memang rutinnya bila dia pulang ke banglo dua tingkat itu, ada sahaja yang Zaharah mahu bualkan, macam tidak cukup dua hari pertemuan mereka. Walaupun kadangkala hatinya bimbang andai ada yang irihati dengan kemesraannya kedua mertuanya terhadapnya.



**************



“Huh! Bi, you tengok mother you tu, bukan main lagi, macam orang dapat harta karun bila jumpa perempuan tu. Kalau dengan I macamlah I ni musuh ketat, jangan kata nak peluk-peluk macam tu. Nak tegur I elok-elok pun tak pernah. Padahal I ni menantu pertama dalam rumah ni!” bentak Zamira, sambil mencebik bibir melihat kemesraan mertuanya terhadap birasnya.

Meluat dengan perlakuan mereka. Syaiful cuma diam, tidak berkata apa-apa. Melihat Syaiful tidak memberi sebarang komen, Zamira menarik lengan baju suaminya itu, kasar. Sang suami yang sedang asyik membaca di sofa hanya memandangnya sekilas, kemudian meneruskan bacaannya semula.

“Hie, cakap dengan you ni kan, buat sakit hati! Macam orang tak ada mulut!” kadangkala dia sendiri marah dengan perlakuan Syaiful terhadapnya.

Jarang sekali mahu membalas kata-katanya. Dia sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh terpikat dengan Syaiful, sedangkan lelaki itu bukan sahaja jarang bercakap, malah tidak berapa romantik. cuma yang menggembirakannya, Syaiful tidak pernah membantah. Apa sahaja yang diminta, pasti terbentang di depan mata. Kerana itu juga dia mengahwini Syaiful. Puas dia mempergunakan suaminya itu, hinggakan bila dia kata dia tidak mahu anak, Syaiful menurut tanpa sedikit pun membantah.

“Hai Mira, dah lama sampai?” tegur Mazwin sebaik sahaja kakinya menjejak ke ruang tamu. Zamira yang tadi sedang marah-marah bagaimanapun masih mampu berpura-pura menayangkan wajah manis.

“Hai!” balas Zamira pendek dan mengerling dengan ekor mata.

Mazwin tahu birasnya itu tidak berapa menyenanginya, namun dia tidak perduli. Dia datang ke rumah keluarga mertua dan Zamira hanyalah birasnya bukannya adik ipar untuk dia berasa tidak selesa berada di rumah itu.

“Kak long naik solat dulu!” ucapnya sambil berlalu mendaki anak tangga.

Zaharah yang melihat wajah kurang senang Zamira cuma menggeleng perlahan. Bukan dia tidak sukakan menantu sulungnya itu, tapi kadangkala tindakannya seringkali menghiris hati. Mujurlah ada Mazwin, pengubat lukanya. Sejak dari dahulu dia menginginkan anak perempuan, tapi rezeki tidak berpihak padanya.

Justeru, bila Syahirwan dan Syaiful sudah melangkah dewasa tiada apa lagi yang diharapkan melainkan mendapat menantu yang baik untuk dilayannya dan berkongsi cerita seperti anak perempuan sendiri.

“Mira, mari tolong mama, potong kek yang mama buat semalam!” ajak Zaharah lembut, sambil merenung wajah menantu sulungnya itu. Kadangkala dia merasakan layanannya tidak sama rata terhadap Zamira dan Mazwin. Zamira cuma menurut mengikut Zaharah ke dapur.
*******************

Mazwin sudah mengambil wuduk, kemudiannya beralih ke arah ampaian kayu, tempat dia menyidai telekung dan sejadah. Tapi pakaian solat itu tiada di situ. Dia kemudiannya beralih ke almari, dibukanya pintu sebelah kanan almari kayu itu, yang ada cuma beberapa bajunya dan Syahirwan yang tersangkut di palang almari. Dia beralih ke pintu yang sebelah lagi.

Sebelum ini dia tidak pernah membuka pintu itu, kerana selalunya pintu yang sebelah itu terkunci, tapi hari ini pintu almari itu tidak berkunci. Dia cuma ingin mencari kalau-kalau ibu mertuanya menyimpan telekungnya di situ.

Di beleknya tetingkat almari itu satu persatu, melihat sahaja ada kain bewarna putih, dia menariknya cermat. Setelah menariknya, baru dia tahu ianya bukanlah telekung, cuma baju kemeja Syahirwan yang lama. Mazwin cuba melipat semula baju yang sudah terburai dari lipatan asal. Tiba-tiba sekeping gambar melayang jatuh ke hujung kakinya, diambilnya, berderau darahnya bila melihat gambar Syahirwan berpelukan mesra di tepian pantai dengan gadis kecil molek yang amat dikenalinya. Jantungnya berdegup kencang melihat gambar itu.
Ya Allah! Ampunkanlah dosa aku selama hidupku, janganlah Engkau hukum aku dengan ujian maha hebat ini! Rintihnya, dalam sedar airmatanya mengalir.

Walaupun dia tidak pasti saat bila gambar itu terakam, tapi dia tahu ada sesuatu yang tersirat di sebalik gambar itu dan dia tahu Syahirwan pasti menyembunyikan sesuatu darinya, justeru dia sedar kepercayaannya terhadap Syahirwan telah terjual. Saat itu ketukan bertalu membuatkan Mazwin terkocoh-kocoh menyimpan semula baju dan gambar itu di tempat asalnya. Dia terus mencapai tombol, daun pintu terkuak luas.

“Hai, sayang… Oh! Dah sampai sini, tak call pun!” ucap Syahirwan lembut sambil merapatkan bibirnya untuk menjamah bibir mungil isterinya.

Mazwin menolak lembut dada Syahirwan. Kala itu bau yang terbit dari kemeja yang dipakai Syahirwan membuatkan hatinya bertambah lara. Bau minyak wangi yang teramat dikenalinya, minyak wangi dari wangian bunga rose yang dihadiahkan kepada adik kandungnya beberapa bulan lepas saat adik bongsunya itu menyambut hari lahirnya yang ke 18 tahun.

Mengapalah kebetulan ini sering berlaku untuk melarakan lagi hati ini? Detiknya dalam hati yang maha perit. Puas dia menolak tanggapan tidak elok dalam hatinya terhadap suaminya itu. Namun setiap kali itu juga, hatinya bagai tergigit pedih.

“Awin dah ambil wuduk, nak solat dulu!” ucapnya perlahan, sambil tunduk menahan tangisan yang masih bersisa.

“Ops, sorry… eh! Nak ke mana tu? Kata nak solat?” tanya Syahirwan sambil mengangkat kedua belah tangannya bila Mazwin sudah menuju ke kepala tangga.

“Nak tanya mama, telekung Awin mama simpan kat mana!” pantas Mazwin menuruni anak tangga menuju ke dapur. Tidak sanggup rasanya dia menatap wajah lelaki yang memperkosa kepercayaannya.

Selesai menunaikan solat Asar dia merenung ke arah Syahirwan yang sudah berdengkur kecil. Mungkin terlalu letih, dalam diam dia mengutuk diri sendiri kerana mencurigai Syahirwan. Namun, hatinya masih lagi berdetik prasangka tentang hubungan suaminya itu dengan adik bongsunya. Dia cuba mengingati jika Syahirwan pernah menyatakan apa-apa tentang adik perempuannya itu sebelum ini, dan seringkali itu juga hatinya mengatakan tidak pernah!

Mazwin mengusap lembut ubun-ubun Syahirwan. Dia masih belum membuka telekungnya. Teringatkan gambar yang dijumpainya tadi membuatkan dadanya sebak. Kelopak matanya yang sejak tadi tidak dapat lagi menampung air jernih dari terus jatuh. Apalah dosanya pada suaminya, sehingga Syahirwan sanggup berlaku curang dan menduakannya dengan adiknya sendiri.

“Hmm… dah solat? Wan tertidur rupanya,” Syahirwan mengeliat kecil, diramasnya tangan isterinya yang masih bertelekung.

“Awin… Awin menangis?” tanyanya saat melihat mata Mazwin basah. Seraya itu Mazwin menggelengkan kepala. Dia senyum sambil tangannya membuka telekung yang membalut tubuh.

“Wan pergi solat dulu, nanti turun ye, Awin turun dulu tolong mama apa yang patut. Sebelum tu mandi dulu ye, bau perfume perempuan, kuat sangat!” ujarnya sambil tersenyum sinis.

Kemudian dia berlalu meninggalkan Syahirwan yang termangu sendiri. Perfume perempuan? Terangkat-angkat hidung Syahirwan mencari bau yang dimaksudkan Mazwin. Memang ada bau wangian dari bunga rose menusuk ke hidungnya. Wangian yang selalu di pakai oleh Maisarah.

- Ya Allah! Sebab inikah Mazwin menangis? Rasa bersalah bertamu di hatinya. Kalaulah Mazwin tahu bau wangian ini milik Maisarah bagaimana? Atau memang dia sudah tahu. Ya Allah! Apa yang aku dah buat ni?

Syahirwan meraup mukanya. Kesal dan bimbang menguasai diri. Dia tidak mahu kehilangan Mazwin. Tidak sanggup rasanya dia mahu berpisah dengan isterinya itu. Mazwin terlalu baik padanya selama ini. Maafkan Wan, Awin!

“Awin curigakan Wan ye?” bisik Syahirwan bila melihat Mazwin sedang mencuci pinggan di dapur.

Mujur mamanya tiada di situ selepas minum petang, masing-masing berehat di ruang tamu. Cuma Mazwin seorang sahaja di dapur. Mazwin yang mendengar pertanyaan Syahirwan tunduk menggeleng kepala.

“Habis tadi Awin kata bau perfume perempuan. Mesti Awin ingat Wan keluar dengan perempuan lain kan?” soalnya lagi sambil tangannya membantu

Mazwin menyusun pinggan mangkuk. Mazwin cuma tersenyum sambil menggelengkan kepala. Dia terasa bagaikan ingin bertanya kepada Syahirwan tentang gambar itu. Tetapi hatinya menghalang bila memikirkan apa yang bakal berlaku. Dia tidak mahu perasaan keluarga Syahirwan terguris. Tapi suatu masa nanti dia harus menyelesaikan perkara ini.

“Tak adalah, Awin tak rasa macam tu. Yang Wan sangka bukan-bukan ni kenapa? Awin tahu, mesti tadi Wan pergi lunch kat food court kat mana-mana shopping complex, kemudian ada salesgirl yang calitkan minyak wangi tu untuk iklankan pada Wan kan? Awin tak mahu nanti mama dan ayah berprasangka pada Wan bila balik-balik terbau bau bunga rose pula. Nanti diorang ingat yang bukan-bukan pada Wan…” bohongnya dalam menahan hati yang walang.

Kalaulah kau tahu perasaan aku ini, Syahirwan. Tapi kau pasti tidak perduli apa perasaan akukan? Kerana kau pasti sudah bersedia lebih awal untuk semua ini.

Syahirwan yang mendengarnya cuma tersenyum senang, dia menarik nafas lega. Dadanya lapang bila mendengar kata-kata Mazwin yang seumpama memberikannya idea untuk mencipta alasan. Yang pasti rasa bersalahnya lenyap bila Mazwin masih belum tahu lagi rahsianya.

“Sorry la sayang, Wan bukan apa, Wan risau nanti Awin ingat Wan ni pergi tempat yang bukan-bukan. Memang tadi Wan pergi makan dekat Shopping Mall, kebetulan lalu di kiosk perfume, sales girl tu calitkan minyak wangi tu pada Wan. Nanti Wan belikan untuk sayang ye, sayang jangan sangka bukan-bukan pula tau. Wan sayangkan Awin, Awin jangan ingat Wan ada perempuan lain pula!” ucapnya tanpa bersalah, lantas tangannya merangkul erat pinggang isterinya. Kata-kata Mazwin tadi bagaikan idea yang datang menyelamatkan keadaan.

Bibirnya singgah ke leher jinjang isterinya. Mazwin memejam mata mendengar setiap bait ucapan Syahirwan padanya. Hatinya kuat menyatakan yang lelaki itu sedang berbohong.

Mazwin cuma membiarkannya, airmatanya bagaikan mahu menitis tapi dia berjaya menahannya dari terus merembes keluar. Kini dia merasakan segala ucapan sayang dan cinta dari Syhairwan tidak mendatangkan apa-apa makna. Dia terasa tertipu selama ini. Semakin erat pelukan Syahirwan, semakin bengkak hatinya menahan pedih.

Sampai bilakah kau harus membohongiku, Syahirwan! Keluhnya dalam kesal yang amat dalam.

No comments: