Sunday, November 23, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 28

BAB DUA PULUH LAPAN

“Hah, baru balik? Ingatkan sudah tak mahu balik ke sini? Ini mimpi apa balik ni? Kau dah jumpa Mazwin? Kau kata kalau tak jumpa kau tak mahu balik sini?” tempelak Zaharah saat melihat wajah Syahirwan yang kusut masai.

Semenjak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku antara anak menantunya, dia langsung tidak memaafkan Syahirwan, walaupun Manisah ibu Mazwin berkali memberitahu yang dia sudah memaafkan dosa Syahirwan terhadap Mazwin.

“Belum ma. Puas saya mencarinya, dekat tujuh tahun ma, mana saya nak cari. Dia dah tak mahukan saya, dia dah lupakan kita ma, kalau dia ingat pasti dia balik, saya dah putus asa ma!!” ujarnya perlahan. Dia tahu dia bersalah dan mamanya tidak mahu memaafkan kesalahannya.

“Baguslah dengan jawapan kau tu. Sudah kau rosakkan hubungan orang, hubungan adik-beradik, hubungan emak dan anak, kau senang je cakap kau dah putus asa. Aku tak pernah ajar kau jadi duri dalam daging Syah! Mama tak pernah ajar kau bersikap curang terhadap isteri sendiri!” marah Zaharah.
“Kau tu sepatutnya bersyukur sebab dapat isteri sebaik Mazwin, ini tidak. Kau main kayu tiga, kalau dengan orang lain tak apa lagi, ini dengan adiknya sendiri! Kau dah tak tahu dosa agaknya, penat-penat mama dengan ayah hantar kau belajar tinggi-tinggi. Belajar agama, belajar jadi manusia baik, tapi kau buat juga perangai nak rosakkan hidup orang lain!” sambungnya.

Sejak beberapa bulan marahnya pada anak sulungnya itu tidak pernah padam. Walaupun dia tahu, anak lelakinya itu telah menyesal dengan apa yang berlaku. Zaharah juga sudah cukup malu dengan perbuatan Syahirwan. Jika anak lelaki itu membuat hubungan dengan wanita lain Zaharah tidak terlalu terkilan dengan sikap anak itu. Tetapi tindakan Syhairwan membuat hubungan dengan adik ipar sendiri itu sudah melampau.

“Cukuplah Zah. Syah tu baru balik, entah dah makan ke belum ke tiba-tiba je awak sembur dia. Yang sudah tu sudahlah Zah. Kalau Mazwin tu ada hati nak balik nanti, lama-lama baliklah dia…” Taufik menepuk bahu isterinya yang sedang marah.

Dia juga berasa marah bila mendengar cerita yang keluar dari mulut Syahirwan. Namun anak itu sudah berkali memohon maaf.

“Bukannya saya nak marah dia saja-saja bang. Tapi saya malu dengan keluarga Manisah. Sudahlah Mazwin tu tunggak keluarga dia, datang anak kita kacau bilaukan mereka. Sampai asma Manisah tu menyerang balik,” ucapnya kemudian diam seketika menarik nafas panjang bersama keluhan.

“Nasib baik tak jadi apa-apa, kalau jadi suatu yang tak elok, macam mana? Ni anak jantan awak ni, tak ada perasaan langsung! Ikut sangat nafsu tu… heh! Entahlah, apalah salah saya mengandungkan anak macam ni?” sambungnya kala itu Zaharah sudah menangis.

Syahirwan hanya berdiam diri mendengar apa saja kata-kata yang keluar dari mulut mamanya. Dia sudah tidak berdaya menahan amarah Zaharah kerana segalanya berpunca darinya.

“Sudah tu… Syah, kau pergi makan dulu. Nasi, lauk semua atas meja tu. Jangan layan sangat mama kamu ni,” arah Taufik, adakalnya kasihan melihat Syahirwan yang serba tak kena dek kerana kemarahan Zaharah.

Taufik sudah bingkas melipat akhbar di tangannya. Dia menarik Zaharah menuju ke tangga. Dia tahu anak sulungnya itu tidak makan lagi. Syahirwan pula berjalan perlahan menuju ruang makan. Saat itu terbayang-bayang Mazwin sedang menghidangkan makan malam. Selalunya Mazwin akan buatkan untuknya sup ayam kegemarannya jika dia melihat Syahirwan keletihan. Hati lelakinya sedih bila mengenangkan semua itu. Terasa kesal yang teramat sangat.

“Syah, mama minta maaf. Sepatutnya mama suruh kau sabar, tapi mama tak dapat tenangkan perasaan bila terkenangkan perbuatan kau tu. Mama sayangkan Mazwin macam mama sayangkan kau, Syah! Mama ni perempuan Syah, mama tahu bagaimana rasa terluka…” rintih Zaharah sambil tangannya menyenduk nasi ke pinggan anak lelakinya itu.

“Saya minta maaf mama. Memang salah saya, saya yang luka kan hati Mazwin. Tapi saya tak sangka lepas Mazwin pergi hati saya pun sakit mama. Sekarang baru saya sedar, saya sebenarnya tak boleh hidup tanpa Mazwin!” luahnya perlahan.

Dia meraih tangan Zaharah mengucup tangan ibu itu memohon keampunan. Dia tahu mama terlalu mengikut perasaan semasa memarahinya. Dia juga faham perasaan mamanya.

Malam itu Syahirwan tidur di banglo dua tingkat itu, dia tidak terus pulang ke apartmennya. Hujan lebat beserta guruh berdentum membuatkan dia mengambil keputusan untuk bermalam dirumah orang tuanya.

Syahirwan merenung sekitar bilik yang pernah menjadi tempat tidurnya bersama Mazwin. Bagaikan terbayang Mazwin sedang duduk menyisir rambut di meja solek. Birai matanya bagai terpandang Mazwin sedang bersolat. Kemudian merenungnya dalam kasih sayang. Teringat-ingat sentuhan lembut Mazwin saat mengelus rambutnya. Terkenang-kenang tawa wanita itu tika ada yang melucukan. Segala-galanya membuatkan dia rindu.

Syahirwan bangun melihat baju-baju Mazwin yang masih berada di dalam almari. Bagai terbau-bau wangi tubuh isterinya saat baju-baju itu lembut terkena ke hujung hidungnya. Dia tercari-cari bau itu di segenap pakaian Mazwin.

Kerinduannya pada Mazwin memang tidak dapat dinafikan. Bila dia cuba merapatkan matanya untuk lena, malah semenjak Mazwin pergi tidurnya tidak pernah lena. Mazwin sering hadir dalam mimpinya.

Kalaulah Mazwin pulang semula kepangkuannya, dia akan melutut di hadapan isterinya itu. Dia akan merayu kemaafan dari satu-satunya wanita yang amat dicintainya. Cintanya pada Mazwin terlalu dalam sehingga dia tidak dapat memaafkan diri sendiri kerana ketelanjurannya mengkhianati wanita itu. Syahirwan bangun menuju jendela, merenung titisan hujan yang jatuh membasahi bumi. Perasaan bersalahnya juga bertimpa bagai hujan.

Seketika Itu Sepi Mencuit Hati
Hanya Suara Hujan Seakan Menyanyi
Mendendangkan Lagu Syahdu Seketika Ku Terpegun
Merenung Jauh Gambar Mu Sayangku
Terkilan Rasa Bila Kata-Kata Mu
Kau Ucapkan Padaku, Membuatku Terpaku
Bersama-Sama Surat Mu, Setelah Kubaca Ini
Seolah Ku Berada Dalam Mimpi
Titisan Demi Titisan Airmata Ku Jatuh Berlinangan
Ku Genggam Gambar Mu Dalam Pelukan Mesra
Tak Mungkin Ku Dapat Melupakan Mu… Sayang
Di Dalam Dunia Ini
Tak Mungkin Dapat Ku Cari Pengganti Dirimu
Ohhh!!! Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta…
Janganlah Kau Lupa Satu Ketika Dulu
Kita Pernah Bersama Berjanji Dan Bercinta
Tapi Kini Kau Mungkiri Segala Janji Mu Dulu
Di Mana Terletak Kejujuran Mu…
Ohhh!!! Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta… Dari Ku….


Mazwin… Mazwin, di mana kau sayang? Tidakkah kau rindukan aku? Tidakkah kau ingin membalas dendam di atas segala perbuatanku? Pulanglah, Mazwin lunaskan segala dendammu pada ku, akan ku pautkan hatimu dengan cintaku sekali lagi! Aku berjanji tidak akan mengecewakan kau sampai bila-bila! Pulanglah, Mazwin…

2 comments:

-Ain-Dak In- said...

padan muker kat wan..
eii,,
geramnye ngan sikap dia,,
tensen,,tensen,,
kusut tol ar..

akk,,,keepitup lg yek,,
bes lar cte ni,,

Unknown said...

MEMAKANKAN BAGAIMANA MENDAPATKAN SUAMI EX ATAU KEMAHIRAN EKAT? RAHARI LEBIH LANJUT DI SINI ADALAH PELUANG ANDA ANDA EMAIL YAKAYATEMPLE@GMAIL.COM ATAU PANGGIL +2347050270227 Saya GOT MINYAK DENGAN SPELL LOVE SANGAT KUASA.