Sunday, November 23, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 29

BAB DUA PULUH SEMBILAN

Syahirwan merenung jauh ke arah padang hijau Padang Polo. Di situlah tempat dia mengimbas memori bersama bekas isterinya Semenjak Mazwin pergi dia seperti hilang arah. Jiwanya teramat kosong, sekosong. hatinya kini. Sudah lebih dari lima tahun Mazwin meninggalkannya. Sepanjang tempoh itu dia tidak dapat membuktikan kasih sebenarnya terhadap Maisarah. Sememangnya hatinya bukan untuk gadis itu.

Berkali dia cuba melupakan Mazwin dan mengikat kasih yang sempurna untuk Maisarah, namun setiapkali itu juga dia gagal. Wajah Mazwin ada di mana-mana. Justeru, Maisarah bagai mengalah, langsung tidak mengharap lagi dan akhirnya tinggallah dia terkonteng-konteng keseorangan menjeruk sepi dan kesal di hati.

“Sudahlah tu Wan. Sudah lebih tujuh tahun kau menunggu di sini. Lebih baik kau lupakan dia. Kau tengok diri kau tu, dah tak macam Syahirwan, kalau Mazwin tengok kau macam ni, dia pun lari!” Haizam menepuk lembut bahu Syahirwan, sengaja berlucu bagi menghilangkan gundah di hati Syahirwan.
Semenjak tujuh tahun lalu, hanya pada Haizam tempat Syahirwan mengadu. Teringat waktu pertama kali dia bertemu Haizam semata-mata untuk mencari Mazwin. Lelaki itu teruk dikerjakannya, kerana menyangka Haizam menyembunyikan Mazwin.

******************

“Lebih baik kau cakap, mana kau sorok bini aku, bangsat! Kurang ajar kau ye! Kau main cinta dengan bini aku, kau nak larikan bini aku ye! Hei! Keparat, lebih baik kau cakap!” tengkingnya, marah yang teramat.

Tangannya tidak berhenti menumbuk muka Haizam bertubi-tubi. Perut Haizam di tendangnya berkali-kali, Haizam rebah ke lantai. Dia mengerang kesakitan, dia cuba melawan tetapi Syahirwan yang sedang berang langsung tidak memberi peluang kepada Haizam untuk mempertahankan diri.

“Ak… aku tak tahu… aku tak jumpa… di… a! A…ku… tak tahu!” ketar suaranya menahan sakit. Berpuluh kali dia menafikan, namun masih tidak dipercayai.

Memang dia tidak tahu langsung mengenai Mazwin, kali terakhir dia bertemu Mazwin tengahhari semalam di sebuah restoran. Itu pun mereka tidak berbual panjang, cuma bertegur sapa. Dan dia ada memberikan nombor telefon, namun Mazwin tidak menghubunginya.

Haizam lembik dikerjakan Syahirwan. Mulut dan muka lelaki itu penuh berdarah, Syahirwan mula panic. Selama ini dia tidak pernah membelasah orang seteruk itu. Dia lalu mengangkat Haizam ke dalam kereta dan membawanya ke hospital. Semenjak itulah mereka berkawan baik, malah hubungan mereka menjadi lebih rapat kerana peristiwa itu. Masing-masing berusaha menjejaki Mazwin, namun kedua-duanya masih gagal.

******************

“Zam, Apa kau buat di sini?” soal Syahirwan bila melihat temannya itu.

“Kebetulan aku lalu di sini, aku nampak kereta kau parking kat depan tu. Aku dah agak dah mesti kau di sini, tak habis lagi melayan blues kau tu?” soalnya semula sambil duduk di sebelah Syahirwan.

“Aku selalu yakin yang Mazwin akan ke sini semata-mata kerana kenangan kami! Aku menyesal Zam! Aku kecewa dengan diri aku sendiri. Sepatutnya aku genggam cinta Mazwin, tapi aku yang curang dan sebaliknya aku menuuduh dia pula curang pada aku! Aku bodoh Zam! Aku rampas dia dari kau dan kemudian aku sia-siakan dia. Selepas dia pergi baru aku terasa, dia amat bermakna dalam hidup aku!” rintih Syahirwan.

Kesal dan sedih sering berlegar di dalam dirinya. Dia tewas dengan perasaan, bila keluarganya bagai menyalahkannya kerana kepergian Mazwin. Semenjak itu juga ibunya bagaikan tidak dapat menerima keadaan. Cuma ibu Mazwin masih melayani seperti dulu, walaupun dia tahu hati ibu tua itu juga pernah dilukainya.

Pada hari Mazwin meninggalkannya, dia masih marah. Masih tidak memperdulikan apa yang akan terjadi pada isterinya itu, walaupun tidak pernah terdetik di hatinya untuk mengahwini Maisarah bagi menggantikan tempat Mazwin. Bila dia bangun sahaja dari tidur pagi esoknya, barulah dia tersedar, hatinya sudah dibawa pergi oleh Mazwin. Cintanya hanya ada untuk Mazwin.

Dia bangun dan terus mencari Haizam bagi merebut kembali Mazwinnya. Namun, sia-sia, bila Haizam sendiri tidak tahu ke mana isterinya. Puas dia cuba menghubungi telefon bimbitnya, malangnya perkhidmatannya sudah dihentikan. Dengan bantuan Haizam dia mencari kawan-kawan Mazwin, mencari kalau-kalau Mazwin bekerja di pejabat guaman lain.

Namun semuanya hampa. Sebulan, dua bulan dia menunggu Mazwin, tapi wanita itu langsung tidak menghubunginya. Sehingga suatu hari dia terjumpa sekeping surat dan gambar yang terselit di poket baju kemeja yang terlipat kemas di dalam almari. Kemeja yang sememangnya sering dipakai ke tempat kerja. Dia yang sedang bersiap untuk ke pejabat terduduk membaca isi surat itu.

Rupa-rupanya, selama ini bukan Mazwin yang curang, tapi dia sendiri yang membuang wanita itu darinya. Dia sendiri yang tidak berguna mengecewakan hati isteri yang kononnya disayangi. Tika membaca warkah itu, dia mengogoi bagai anak kecil, menyesali diri.

Assalamualaikum!
Semoga Wan berada dalam keadaan tenang dan menyenangkan. Semasa Wan membaca warkah ini, Awin sudah tiada di sini. Awin sudah meninggalkan segala-galanya termasuk keluarga Awin kepada Wan. Awin minta maaf kerana ianya mungkin membebankan, tapi jika ada rezeki Awin akan kirimkan wang untuk menyara keluarga Awin.
Wan,
Awin minta maaf di atas apa yang terjadi. Awin memang tidak pernah tahu yang Wan menaruh hati pada Maisarah dan sememangnya selama ini, Wan sendiri tidak pernah memberitahu Awin tentang perkara itu. Andai dari mula Awin mengetahuinya, pasti Wan tidak akan terkecewa dan terdesak untuk mengahwini Awin. Awin tahu Awin harus bertanggungjawab ke atas percintaan kalian. Awin yang merampas Wan dari Maisarah, dan Awin tidak dapat memaafkan diri sendiri jika Awin meneruskan hubungan kita.
Wan,
Awin serahkan Maisarah kepada Wan untuk Wan buktikan cinta Wan selama ini terhadapnya. Wan mesti menjaganya sebaik yang mungkin, Awin harap Wan jangan kecewakannya. Awin tidak mahu hati adik Awin terluka, kerana merekalah hidup Awin, semangat Awin. Kahwinilah dia, jagalah dia sepertimana Awin menjaganya sejak dulu. Sebelum Awin mengakhiri kata, ingin Awin nyatakan di sini yang cinta Awin pada Wan sukar untuk dilupakan. Kerana cinta, Awin mahu Wan bahagia bersama orang yang paling Wan kasihi. Terima kasih di atas kasih sayang Wan selama ini, walaupun ianya mungkin hanya sebuah lakonan simpati.
Maafkan Awin di atas segala tanggungjawab ini. Izinkan Awin mengundur diri, andai kesedihan sudah terpadam di hati, Awin pasti kembali…
Yang pernah menyinta,
Mazwin

Semenjak hari itu dia ke sini, menunggu dan terus menunggu andai Mazwin akan kembali mengimbas memori lama mereka di sini. Andai Mazwin kembali semula kepadanya ingin dia pohon kemaafan kepada wanita itu. Dia berasa teramat berdosa bila memfitnah wanita yang sebenarnya dicintainya.
Maisarah selalu mengatakan dia gila kerana menunggu Mazwin. Adakalanya dia kasihankan gadis itu, menunggu cintanya yang pernah dijanjikan. Namun untuk menunaikannya dia terasa bersalah. Kasihnya pada Mazwin masih tebal. Kerana masih tidak mendapat jawapan darinya, gadis itu merajuk hati membawa diri ke Pantai Timur. Mungkin selama ini dia hanya menyayangi Maisarah tidak lebih umpama kasih abang dan adik. Cuma Maisarah yang salah menafsir dan dia yang bagaikan memberi harapan kepada gadis itu.

“Abang tipu Mai, abang janji nak kahwin dengan Mai. Mana janji-janji abang dulu?” bentakan Maisarah membuatkan Syahirwan terdiam.

Dia sudah tidak ingat bila dia berjanji dengan gadis itu. Yang dia tahu, dia memang mahu menyelesaikan perkara ini dengan cara baik. Dia kasihkan Mazwin melebihi dia cintakan Maisarah. Namun, dia terkeliru di antara dua beradik ini. Mazwin memberinya cinta yang penuh keikhlasan, tapi hatinya diserang godaan kecantikan Maisarah.

“Abang tak pernah janji nak kahwin dengan Mai pun! Mai tak kasihan ke pada mak? Lepas Mazwin pergi mak selalu tak sihat, ni tiba-tiba Mai ajak abang kahwin! Nanti lagi sakit orang tua tu!” Syahirwan tegas memberi alasan. Fikirannya bercelaru bila Mazwin meninggalkannya tanpa berita.

“Huh! Dulu, alasannya ada Mazwin sekarang alasannya mak Mai pula. Apa kena dengan abang ni? Sebenarnya abang memang nak main-mainkan Mai kan? Abang jangan cuba nak main-mainkan Mai, abang dah remukkan hati kak long, dah bagi mak sedih, sekarang abang nak bagi Mai gila pula?” saat itu Maisarah menolak bahu Syahirwan kasar.

Dia kesal dengan sikap lelaki itu yang bagai sengaja hendak mempermainkan perasaannya.

“Shut up Maisarah! Kau yang jadi punca segala-galanya tahu? Kau yang selalu menghasut aku ceraikan Mazwin. Kau ingat kau tu baik sangat?” tempelak Syahirwan.

Hatinya tidak tenteram dengan desakan Maisarah. Dia menyayangi Manisah seperti ibu kandungnya, untuk membuat Manisah bersedih lagi, tidak sekali-kali.

“Ooo… abang ingat abang tu baik sangat ke? Abang kahwin dengan kak long, lepas tu abang main cinta dengan Mai. Abang ingat abang tu malaikat? Abang sendiri cakap, abang kahwin dengan kak long tu sebab abang kesiankan kak long. Sebab kak long dah ditebuk tupai! Abang dah lupa?” Maisarah masih lagi seperti tadi terus menbentak.

Lancang mulutnya mengata itu ini. Dia terkejut dengan kelakuan Syahirwan. Sebelum Mazwin pergi lelaki itu berjanji akan menjadi miliknya, namun segalanya bagaikan dilupakan Syahirwan.

“Sudahlah Maisarah, abang tak mahu bergaduh dengan kau. Lebih baik kau cari je orang lain yang lebih baik dari abang. Kau pun muda lagi. Terlalu muda untuk abang!” pujuk Syahirwan, lembut.

Darah muda Maisarah tidak boleh dibalas kekerasan. Syahirwan mengusap kepala Maisarah. Dia tidak mahu berkasar dengan gadis itu. Dia tahu andainya dia berkasar lagi, gadis itu akan terus-menerus memberontak.

“Abang kejam! Abang tipu Mai, abang memang tak guna! Mai ingat bila Mazwin pergi abang akan kotakan janji abang, rupanya abang memang jantan tak berhati perut!” jeritan Maisarah membuatkan dia terus merangkul gadis itu. Umpama anak kecil, Maisarah mengogoi dalam pelukan Syahirwan.

“Maafkan abang, abang tak berniat nak mainkan perasaan Mai. Tapi hati abang hanya untuk Mazwin! Abang minta maaf!” ucapan Syahirwan membuatkan Maisarah berang.

Dia menolak lelaki itu kasar. Di tamparnya muka Syahirwan berkali-kali. Di tumbuknya dada lelaki itu bertalu-talu. Syahirwan diam tidak membalas. Dia menerima sahaja pukulan itu sehingga Maisarah sendiri berhenti diselangi tangisannya yang panjang.

Kala itu juga Syahirwan mengeluarkan surat dari Mazwin diberinya pada Maisarah. Gadis itu terpempan setelah membacanya. Tidak pernah disangkanya Mazwin punya hati semulia itu. Sanggup berkorban demi dia, seorang adik yang memusuhinya dalam diam.

Dalam esakan sendu dia mengakui silapnya. Betapa dia telah merosakkan hubungan pasangan ini hanya kerana perasaan sendiri. Betapa dia kesal kerana meragut segala kebahagiaan seorang kakak yang telah memberi kehidupan padanya selama ini.

Dia diburu rasa bersalah tiba-tiba, bila mengenangkan kasih sayang Mazwin melebihi segalanya sehingga sanggup mengorbankan cintanya pada suami sendiri. Dia tahu Mazwin lebih berhak ke atas Syahirwan. Dia menyesali tindakannya, namun apa yang mampu dilakukannya kerana Mazwin sudah pergi meninggalkan mereka.

“Maafkan Sarah, kak long! Maafkan, Sarah!!!” rintihnya dalam esakan yang panjang.

****************

“Wan! Sudahlah, aku nak balik ni. Kalau kau nak ikut, marilah, mak selalu bertanyakan kau. Kau dah lupa pada kopi mak ke?” tanya Haizam sambil menepuk bahu kawannya itu.

Syahirwan tersedar dari khayalan saat Haizam menepuk bahunya. Dia cuma tersenyum tawar. Dia terlalu banyak mengelamun tentang kesalahannya pada Mazwin. Memang sudah lama benar dia tidak menjenguk Manisah. Selalunya dia hanya terperuk di apartment yang disewanya kini ataupun dia ke sini menanti Mazwin, kalau-kalau bekas isterinya itu datang menghitung cinta mereka yang pergi, tapi sudah tujuh tahun menanti bayang Mazwin masih tiada.

“Tak apalah, Zam. Lain kali kalau ada masa aku datang, sampaikan salam aku pada mak. Aku pernah janji pada mak, aku akan bawa Mazwin balik. Aku malu, Zam sampai hari ini, sudah tujuh tahun aku tetap tak berdaya mencari Mazwin di mana-mana,” ujarnya sambil meraup wajahnya.
Syahirwan tunduk merenung rumput dihujung kakinya. Haizam seakan faham perasaan lelaki itu. Namun dia juga tidak mampu berbuat apa-apa, dia dan Hanis juga sedang cuba mencari bekas teman wanitanya. Namun usaha mereka selalunya hampa.

Penyesalannya pada peristiwa lalu tidak pernah padam dalam diri Syahirwan. Sama seperti kasih sayangnya terhadap wanita bernama Mazwin. Dia tahu hatinya benar. Dia sedar dia teramat menyintai wanita yang pernah memberi cinta sejati dalam hidupnya.

3 comments:

farah_suhanissis said...

dahla kejp yasmin kejap yanti.
pas tu plak kejap 5thn kejap 7thn.
cerita mmg menarik tapi tu la...
kesalahan kecik tu buat saye rase cam tak patut ade.

dina said...

@arisa-fujiwara(farah)

maaf cik, saya khilaf tentang itu. kesalahan itu berlaku kerana kekalutan saya untuk menyusun watak2nya. saya harap ianya tidak mencacatkan jalan cerita. karya ini juga sekadar percubaan saya dalam bidang penulisan. saya cuma penulis picisan dan belum ada pengalaman luas dalam bidang ini. harap kesalahan kecil ini dapat dimaafkan...

Anonymous said...

tak per2..
kesalan tuh masih bole diperbetulkan lg..
kesalahan kecil jer tuh..
kita jgn tau nak mengkritik penulisan orng jer..
bagi la semangat sikit..