Tuesday, November 4, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 9

BAB SEMBILAN

Sudah tiga bulan Syahirwan dan Yanti putus hubungan, selama itu juga Yanti tidak pernah menghubungi Mazwin. Mazwin sering cuba menelefonnya untuk memberitahu perkara sebenar, dia tak mahu Yanti berterusan menyalahinya menjadi dalang dalam hubungan mereka, tapi seringkali itu juga Yanti langsung tidak mahu menjawab panggilannya. Dia kesal dengan sikap Yanti, tapi apa dayanya andai Yanti tidak mahu lagi meneruskan jalinan persahabatan dengannya, Mazwin terpaksa akur.

“Maz, hari ni hari terakhir chamberingkan?” Haizam mula bertanya bila dilihatnya tiada orang di sekeliling mereka, dia juga tak mahu hubungannya dengan Mazwin menjadi buah mulut pekerja di pejabat ini.

Sedangkan waktu tengahari begini sememangnya tiada orang yang berada di pejabat, cuma beberapa orang peguam yang belum lagi keluar untuk makan tengahari. Mazwin menoleh ke arah Haizam yang berpura-pura menyusun buku supaya tiada yang menyedari mereka sedang berbual.

“Ha-ah, kenapa? Nanti Zam jangan lupa pada Maz ye.”
“Tak, Zam takut Maz yang lupa kat Zam… Nanti, Zam call Maz, okey, Zam banyak kerja la…” bisik Haizam lagi.

Sebelum berlalu sempat Haizam meletakkan sesuatu di atas meja Mazwin. Tangannya mencapai sampul surat yang kelihatan seperti ada sesuatu di dalamnya. Intercom di mejanya berbunyi, ketika dia mula mahu membuka sampul tersebut.

“Maz, balik nanti baru buka…” bisik Haizam dari dalam intercom, Mazwin memandang ke arah meja Haizam, lelaki itu pura-pura sibuk.

Mazwin tersenyum lucu, melihat gelagat Haizam yang terlalu pemalu hinggakan nak berbual dengannya pun macam nak mencuri, dalam diam dia menyimpan perasaan terhadap lelaki itu. Mazwin amat menyenanginya, Haizam lain dari yang lain, pemalu tapi berani. Sudah beberapa kali mereka keluar bersama di hujung minggu, dia senang dengan sikapnya. Orangnya juga agak lembut bila bercakap, pandai memujuk dan yang penting Mazwin berasa selamat kalau keluar bersamanya.

Petang itu Syahirwan menjemputnya pulang dari pejabat. Dia nampak Haizam merenungnya dari jauh lantas melambai lelaki itu, sebelum ini dia sudah maklumkan kepada Haizam siapa Syahirwan. Dia juga mengaku bahawa dia tidak punya hubungan istimewa dengan Syahirwan, hanyalah sebagai seorang sahabat. Malah dia sudah pun memperkenalkan mereka semasa Syahirwan menjemputnya pulang minggu lalu, tak mahu Haizam menyangka yang bukan-bukan, dia mahu perhubungan mereka atas dasar percaya dan berterus-terang.

“Sudah-sudahlah melambai tu, Win. Besok-besok bukan tak boleh jumpa lagi…” usik Syahirwan bila dilihatnya Mazwin bagai tak mahu lepas melambai ke arah Haizam.

Mazwin membalas dengan senyuman, tangannya mengoyak sampul yang diberikan Haizam tengahari tadi, sebuah kotak kecil dibalut dengan kertas bewarna emas dikeluarkannya dari sampul berkenaan, tanpa sabar dia membuka kotak kecil tersebut, seutas rantai buatan perak berukir nama Mazwin, ukiran itu dihiasi batu-batu biru yang berkilau. Mazwin terpaku melihat hadiah itu, dia bagai hilang kata-kata, seumur hidupnya tak pernah dia menerima hadiah yang seindah itu.

“Wow! So gorgeous! Bertuah kau Win, sure mahal tu…” Syahirwan yang sedang memandu sempat melihat rantai yang dipegang Mazwin. Mata Mazwin mula berkaca, dia terharu dengan pemberian Haizam.

“Win, are you alright? Or you want me tu turn back?” kata Syahirwan bila dilihatnya Mazwin mengesat airmatanya yang sudah melewati pipinya.

“No! I’m okey, I’m just surprise…” balasnya sementara tangannya menaip kata-kata untuk sms kepada Haizam.

Selama ini dia tidak pernah membayangkan ada lelaki yang akan menghulurkan cinta padanya, sungguh, sejak dia mengetahui Haizam menaruh hati padanya, hatinya mekar berbunga. Kalau sehari tidak melihat senyuman Haizam, dia gelisah, kini, dia sudah bersedia menerima Haizam dalam hidupnya.

************

Hari ini hari pertama dia bekerja di firma Khairul Afendi & Associates, tak banyak perkara yang di buatnya melainkan berkenalan dengan staff dan peguam yang lain. Mazwin akan mengendalikan kes kemalangan mewakili pihak insuran, dia menerimanya dengan senang hati walaupun dia selalu berharap akan membuat kerja di bahagian urusan hartanah atau lebih dikenali sebagai conveyancing.

Bukan apa, kadangkala dia agak gementar berhadapan dengan Hakim ketika di mahkamah, jika dia di bahagian conveyancing, dia tidak perlu ke mahkamah dan tidak perlu berpakaian hitam putih setiap hari. Seorang kerani datang ke meja menghantar beberapa fail lama yang dimintanya tadi. Dia menyemak fail-fail yang lama itu dan meneliti segala dokumen yang ada, dia perlu memahami konsep kerja di tempat baru ini.

Memang semua firma guaman mempunyai skop kerja yang sama iaitu membela klien walau apa pun pembuktian terhadap klien mereka, tapi kadangkala konsep kerja mereka banyak perbezaannya terutama dalam pada mereka menyampaikan sesuatu fakta untuk membela klien.

“Cik Mazwin, ada orang tunggu cik di conference room…” beritahu Sapura, kerani yang akan membantunya.

Siapa pula yang mahu bertemunya, takkan hari pertama sudah ada klien yang nak jumpa. Mazwin terus keluar dan tersenyum bila melihat topi keledar yang amat dikenalinya di atas meja penyambut tetamu, terus dia masuk menemui tuan punya topi keledar berkenaan.

“Sorry, kalau Zam buat Maz malu…” perlahan Haizam bersuara.

“Tak adalah, Maz suka Zam datang. Tadi Maz ada call tapi Zam tak angkat telefon. Memang Maz nak ajak Zam lunch hari ni… Maz belanja, tapi Zam bayar!” guraunya dalam tawa kecil.

Mazwin menyambut baik kedatangan Haizam, ceria tergambar di wajahnya saat memandang muka Haizam. Namun ada juga mata-mata yang curiga memandang mereka.

“Juwita, kenalkan ini, teman lelaki saya, Haizam!” Mazwin memperkenalkan Haizam pada Juwita, penyambut tetamu yang dari tadi asyik menjeling ke arah mereka.

“Hai!” ucap Juwita, mukanya seakan serba-salah memandang Mazwin. Ucapan itu Cuma dibalas Haizam dengan anggukan dan segaris senyuman.

“Zam, jomlah, dah tengah hari ni, lapar!!!” ajak Mazwin bila dia melihat jam sudah menunjukkan pukul satu tengah hari, dia memegang perutnya, kemudian terus menarik tangan Haizam.

Haizam menurutinya, hatinya sedikit berbangga bila Mazwin langsung tidak menunjukkan riak yang dia malu berkawan dengannya. Dalam diam, Haizam bersyukur kerana dikurniakan Mazwin padanya. Mazwin memang baik dan tidak pernah langsung mengungkit siapa dirinya selama mereka berkawan, Mazwin menerima seadanya, dan yang paling dia suka bila gadis itu memakai rantai pemberiannya setiap hari. Malah berkali-kali juga Mazwin memberitahu tentang kecantikan hadiah yang diberinya itu.

“Maz, kenapa dada awak berbintik merah? Allergic dengan silver ke?” tegurnya bila melihat bahagian dada gadis itu yang tidak di tutup, berbintik merah dan ianya amat ketara bila terkena bahang matahari.

“Tak apa, lama-lama nanti baiklah, lagipun kena panas ni, memang jadi macam ni…” balas gadis itu sebelum menyedut air tembikai yang sejuk dan menyegarkan.

“Kalau tak tahan, tak payahlah pakai, simpan saja rantai tu… Nanti Zam gantikan yang emas…”

“Tak mahu, jangan membazir, Zam. Yang ini pun saya boleh pakai, baru-baru pakai memang cam gini nanti lama-lama dia dah serasi, baiklah dia!”

Mazwin menutup bahagian dadanya dengan tangan kiri, tak mahu Haizam melihatnya lagi. Sebenarnya memang dia alah dengan barang kemas, kulitnya sensitive terhadap semua jenis logam. Tapi dia tetap mahu memakai rantai itu, kerana ianya pemberian Haizam, lelaki yang mula menghuni hatinya kini.

Selesai makan tengah hari Haizam menghantarnya pulang semula ke pejabat. Haizam menghantar Mazwin betul-betul di depan bangunan pejabatnya, dia melihat Mazwin berjalan meninggalkannya.

Dia rasa bertuah, kerana punya teman wanita yang amat sederhana seperti Mazwin, apa yang dia amat hargai bila Mazwin menerima seadanya, tanpa memikirkan siapa dirinya di mata gadis itu. Tambah dia diperkenalkan pada rakan sepejabat Mazwin, tiada riak malu di wajah Mazwin masa itu, Haizam terharu. Tidak pernah disangka luahan hatinya dibalas Mazwin dengan keikhlasan, dalam diam dia berjanji tidak akan mengkhianati cinta Mazwin.

********

Malam ini malam terakhir Mazwin bekerja di kelab, kawan-kawannya yang sama-sama bekerja di situ melarangnya berhenti, malah Albert, pemilik kelab itu juga mahu Mazwin terus bekerja di situ, katanya mukanya, ada ong! Berkali Mazwin katakan dia sudah dapat kerja lain, dan dia tidak punya masa lagi untuk bekerja part time di malam hari. Malam ini Syahirwan juga mahu menemani Mazwin hingga dia habis kerja.

“Win, lepas ni aku nak berhenti minum…” ujarnya bila Mazwin datang ke meja bar.

“Baguslah, sampai bila kau nak minum, takkan kau nak layan frust kau sampai mati…” jawab Mazwin.

Dia juga pernah beberapa kali menasihati Syahirwan supaya berhenti dari minum minuman keras.
“Aku nak berhenti minum kat sini, sebab kau dah tak kerja kat sini… tak ada siapa nak temankan aku berborak, aku nak cari tempat yang ada GRO pula…” balasnya dalam gurauan kemudian dia itu ketawa.

Mazwin mengetap bibir mendengar penjelasan Syahirwan. Melihat Mazwin seakan geram memandangnya, Syahirwan berhenti ketawa. Dia kemudian bermuka serius.

“Serius Win, aku nak berhenti minum. Sebab kan aku rasa aku dah jatuh cinta lagi,” ujar Syahirwan.

“Cepat kau jatuh cinta ye, hari tu setahun lepas putus dengan Harliana, kau jatuh hati kat Yasmin, sekarang baru beberapa bulan kau putus dengan Yasmin, dah jatuh cinta balik? Maknanya cinta tu pada kau macam tak ada maknalah kan?” kata Mazwin.

Senangnya lelaki di hadapannya itu jatuh cinta, macam tukar baju pula, sedangkan Mazwin nak jatuh cinta sekali dalam hidup pun begitu payah untuk dia melayari perasaan itu.

“Cinta aku pada Harliana, memang kuat tapi bila dia curang, aku teringatkan Yasmin untuk mengubat luka aku, tapi baru sahaja aku mahu menyemainya, dia tipu aku,”

“Tapi kali ni aku rasa lain macam tau Win. Kalau aku tak dengar suara dia, aku rasa tak sempurna hidup aku, lepas tu aku nak jadi lelaki yang terbaik untuk dia. Eh! Kau dengan budak dispatch tu macamana?” tiba-tiba Syahirwan mengubah tajuk.

Kadangkala Mazwin rasa marah pada Syahirwan, seringkali dia gunakan perkataan ‘budak dispatch’ untuk menggantikan nama Haizam. Adakalanya Syahirwan semacam merendah-rendahkan Haizam di hadapannya.

“Nama dia, Haizam, Wan. So far, semuanya okey, tadi dia datang office aku, kami lunch sama, kenapa kau tanya?” ada nada geram dalam jawapan Mazwin.

“Sorry, tu la aku lupa namanya. Eh! Kau tak rasa segan ke couple dengan Haizam tu? Ye lah, kau kan lawyer, dia pula…cuma seorang dispatch! Nanti apa pula orang kata?”

Lupa namanya? Perbuatan Syahirwan membuatkan Mazwin terasa meluat. Apa bezanya pangkat seseorang bukankah kita manusia, sama sahaja, ingin menyintai dan dicintai…

“Nak segan apa? Dispatch-dispatch pun dia orang pertama yang sudi berkawan aku, jadi aku terima dia seikhlas hati aku. Lagipun sampai bila hidup kita nak fikirkan tentang kata orang, Wan,” dia merenung lelaki dihadapannya. Kemudian menyambung kata.

“Hati dan perasaan kita, orang lain tahu ke? Kalau kita pilih pasangan sesama darjat, kalau hati tak gembira, selalu bertengkar, bila orang tahu mereka tetap mengata sana-sini. Manusia Wan, tak pernah puas hati dengan kehidupan orang lain. Asal kita jaga hidup kita sudah, tak payah fikir tentang orang lain lagi,” terangnya, panjang lebar.

Syahirwan terdiam mendengar hujah Mazwin, memang patut gadis itu menceburi bidangnya sekarang, dia memang petah bercakap. Bagi Mazwin, Haizam adalah lelaki pertama yang pernah menyuarakan isi hatinya, orang pertama yang menyatakan cintakannya.

Dia ikhlas menerima Haizam dalam hidupnya, ikhlas menentukan Haizam menjadi pasangan hidupnya nanti, Haizam adalah segala-galanya baginya kini. Tanpa anak muda berlesung pipit itu, hidupnya tak akan ceria.

No comments: