Tuesday, November 4, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 10

BAB SEPULUH

Betul-betul dia tidak sangka, gadis yang disanjung kerana keperibadiannya itu adalah penipu, pembohong dan pelakon rupanya Gadis yang amat dikaguminya suatu masa dulu rupanya perempuan yang menjengkelkan. Siang hari dia berpura baik dengan perwatakan yang sopan dan lemah-lembut, walhal malam semalam dia nampak gadis itu berpoya dengan lelaki, merokok dan berkelakuan yang menjijikkan pandangannya.

Selama ini dia tertipu dengan gadis itu, tertipu dengan lakonannya yang betul-betul mantap. Andai gadis itu menjadi pelakon filem, sudah pasti lakonannya memenangi anugerah. Haizam betul-betul bagaikan tak percaya dengan apa yang dilihatnya semalam.

Entah kenapa, tiba-tiba sahaja dia mahu menjejakkan kaki ke tempat itu setelah mendapat satu sms dari seseorang yang diterimanya awal malam semalam. Hatinya bagaikan tidak percaya dengan sms itu dan akhirnya dia mahu melihat sendiri kebenarannya, kerana itu dia berada di situ, di tempat yang tak pernah langsung dijejaki seumur hidupnya.

Tapi semalam, pertama kali dia menjejaki ke tempat itu, ianya bagai mengubah seluruh hidupnya, harapannya tiba-tiba hancur berkecai, angan-angannya terus terpadam, hatinya bagai di hiris belati tajam. Memang dia jijik melihat rupa sebenar perempuan itu, tak mungkin perempuan seperti itu mahu dijadikan teman hidupnya.

Malam itu dia dapat lihat bagaimana gadis yang sentiasa mendapat tempat pertama di hatinya itu tanpa silu menari bersama lelaki di situ, itu masih lagi boleh dimaafkan, tapi bila terlihatkan gadis itu menghembuskan asap dari hidung, dia bagaikan sudah hilang sabar, mahu saja dia mendekati mereka dan menampar gadis itu.

Tapi, apa gunanya dia buat semua itu, sedangkan hatinya sudah tidak dapat menerima gadis itu semula, dan dia sudah nekad walaupun gadis itu akan merayunya nanti, dia tak mungkin dia menerimanya kembali. Memang dia pernah bertekad untuk menerima Mazwin seadanya sepertimana Mazwin menerimanya, tapi dengan apa yang dilihatnya malam ini, dia tidak dapat memaafkan Mazwin walau apa cara sekalipun.

Pandangannya terhadap Mazwin berubah serta-merta, selama ini dia memandang gadis itu kerana keperibadian yang mulia, tapi baru Haizam sedar, selama ini dia tertipu dengan kepura-puraan Mazwin. Tak mungkin gadis itu bisa menghuni dalam hatinya lagi…

No comments: