Tuesday, November 4, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 11

BAB SEBELAS

Sebentar tadi dia cuba menghubungi telefon bimbit Haizam, tapi langsung tidak dijawab. Di mencuba menghubungi pejabat Haizam lagi, tapi hampa bila setiap kali dia memanggil, jawapannya tetap sama, Haizam tiada. Dia sendiri hairan, mengapa Haizam tidak menjawab panggilan darinya.

Selalunya Haizam akan menelefonya subuh-subuh lagi, mengingatkanya tentang solat subuh, tapi subuh tadi dia langsung tidak mendapat panggilan dari Haizam. Sampai sahaja di pejabatnya, Mazwin menunggu lagi, kalau-kalau Haizam akan menghubunginya, tapi dia bagaikan menanti buah yang tak gugur.

Hatinya mulai risau, adakah Haizam kemalangan atau lelaki itu sudah berubah hati? Andai lelaki itu kemalangan, sedah tentu orang di pejabatnya tahu. Mana mungkin lelaki itu berubah hati, sedangkan tiga tahun dia memendam perasaan terhadap Mazwin, takkan setelah tiga tahun menunggu Haizam akan berubah, sedangkan hubungan mereka baru mulai berputik sejak tiga bulan lalu.

Kalau benar dia tidak mahu meneruskan perhubungan mereka, berterus terang sajalah, Mazwin tak akan marah, dia akan menerimanya dengan hati dan fikiran terbuka. Lagipun Mazwin masih sedar siapa dirinya, selama ini juga dia tidak pernah berasa layak untuk berdampingan dengan mana-mana lelaki. Tapi, kala ini Mazwin terasa hatinya dibebani perasaan sedih, risau kalau-kalau Haizam benar-benar sudah tidak mahu berkawan dengannya. Hatinya sudah mula dihuni oleh lelaki itu, kerana lelaki itu telah mengunci hatinya dan tak mungkin dia mahu melepaskan Haizam begitu sahaja.

Bukan dia mahu memerangkap Haizam dan menjadikan lelaki itu sebagai pak sanggup untuk menerima dirinya yang sudah tidak lagi suci, tapi cintanya itu bagaikan tersimpan untuk Haizam, kerana selama ini dia tidak pernah melayani perasaan seperti ini. Cinta itu cinta suci, dan baginya cinta untuk Haizam adalah cinta pandang pertama, yang tidak mungkin dapat dilupakan. Pada Syahirwan dia meluah rasa, segalanya dikeluarkan pada lelaki itu yang kini dianggapnya sebagai sahabat yang paling baik.

“Dia ada masalah kot. Kau jangan risaulah, tak mungkin dia akan menolak puteri secantik kau. Relaksla, Win. Balik nanti kita cuba cari dia, nanti aku jemput kau!” pujukan Syahirwan membuatkan melegakan hati Mazwin. Sungguh dia tak mahu kehilangan Haizam, dia sayangkan lelaki itu, terlalu sayang.

Petang itu di menjejaki Haizam di pejabatnya bersama Syahirwan. Nasib menyebelahi mereka bila ternampakkan Haizam yang baru sahaja keluar dari pejabatnya, Mazwin terus mendapatkannya, sementara Syahirwan menunggu di dalam kereta.

“Zam, kenapa tak jawab panggilan saya?” tanya Mazwin, Haizam langsung tidak memandang ke arahnya.

“Buat apa kau datang? Aku dah benci tengok muka kau, betina penipu!” tuduh Haizam. Mazwin mengurut dadanya, terperanjat Mazwin mendengar tuduhan itu.

“Kenapa ni Zam? Apa salah saya? Kalau betul pun saya salah, beritahulah, boleh saya betulkan…” pinta Mazwin, bila dilihatnya Haizam langsung tak mahu memandangnya.

“Kau tu perempuan murah, perempuan kotor! Aku tak mahu jumpa kau lagi! Selama ni kau main wayang depan aku ye? Kau ingat aku tak tahu apa kau buat bila malam? Kerja konon… kerja apa? Kerja berpoya-poya?” tempelak lelaki itu lagi. Mazwin terpempan mendengarnya, macam mana Haizam boleh tahu? Sedangkan dia tahu, Haizam tak mungkin akan ke tempat sebegitu.

“Maafkan saya, Zam. Percayalah pada saya, semua yang saya buat pasti bersebab…” rayunya.

“Bersebab? Sebab apa? Sebab kau nak setaraf dengan orang-orang yang ada di situ? Kau nak semua orang nampak, darjat kau dan diorang tu sama kotornya? Kau ingat aku boleh terima ke perempuan macam kau ni? Itu baru yang aku nampak, yang aku tak nampak. Wallahualam! Entah-entah kau sengaja nak perangkap aku, sebab kau dah rosak!” tuduh Haizam lagi.

Tuduhan itu benar-benar membuatkan hatinya bagaikan dicincang hancur. Dia juga hairan bagaimana perkara itu boleh sampai ke pengetahuan Haizam.

“Sudahlah Mazwin, kau tu orang berdarjat, tempat macam tu tak salah bagi kau. Aku ni orang tak setaraf kau, sepatutnya aku sedar dari dulu yang aku memang tak layak berkawan dengan kau. Aku yang tak sedar diri. Hubungan kita setakat ini saja Maz, biarlah aku cari gadis yang benar-benar jujur dan yang penting setaraf dengan aku…!” bentak Haizam kemudian menghidupkan enjin motorsikalnya, dia terus memecut meninggalkan Mazwin yang masih kebingungan.

Dulu sering dia mendengar tentang kehebatan cinta, kata orang cinta itu indah, sehingga kita lupa pada diri, sehingga kita hilang kata-kata. Tapi baru sahaja perasaan itu mulai meresapi dirinya, tiba-tiba cinta itu pergi jauh meninggalkannya. Mazwin keliru dengan perasaan sendiri.

Sekarang ini dia hanya ada Syahirwan untuk mengadukan segala persoalan di hatinya, Syahirwan juga menemaninya sepanjang malam selepas Haizam memutuskan hubungan mereka. Di hadapan Syahirwan dia tidak henti menangis, kesal dengan sikap Haizam yang begitu menghinanya. Syahirwan pula tak jemu memujuk, menyuruhnya bersabar. Malam itu juga mereka duduk bersantai di tepi laut, menenangkan fikiran.

“Aku tak faham, Wan, kenapa bila mula aku menyayangi dia, tiba-tiba dia buat aku macam ni. Besar sangatkah salah aku Wan? Dia tak tahu hidup aku macam mana. Aku cuma nak yang terbaik untuk keluarga aku tapi aku tak mahu sampai rosakkan cita-cita sendiri.” bentak Mazwin, bila Syahirwan sudah hampir berputus asa memujuknya.

Sejak dari tadi Mazwin tidak berhenti menangis. Itulah perempuan, terlalu lemah pada cinta, hingga sanggup membuang airmata semata-mata kerana kecewa.

“Kau tak salah, dia yang pentingkan diri, orang macam tu, kolot Win. Dia tak fikir tentang hak orang lain, lagipun kau belum jadi isteri dia, kalau dah jadi isteri mahunya dia kongkong kau gila-gila…” kata-kata yang keluar dari mulut Syahirwan semacam mengapi-apikannya. Ianya membuatkan Mazwin semakin cuba melupakan Haizam.

“Win, sekarang kau tak perlu fikir tentang dia lagi. Sebenarnya kau boleh pilih mana-mana lelaki yang kau suka, kau cantik, berkerjaya dan kau tak terbelenggu lagi dalam kepayahan hidup macam dulu. Kau gadis hebat Win. Kau tentu akan dapat lelaki yang betul-betul memahami dan menyayangi kau sepenuh hatinya, cinta kau pada Haizam tu cuma cinta sementara tiada…” sambung Syahirwan lagi.

Pujukannya memberi kesan di sudut hati Mazwin. Ada benarnya kata- kata Syahirwan. Untuk apa dia kesalkan apa yang terjadi, cintanya pada Haizam cumalah cinta yang baru sahaja berputik. Masih belum ada lagi pengorbanannya terhadap cinta itu. Mazwin merenung jauh ke arah laut yang terbentang di hadapannya.

Dia dapat melihat cahaya-cahaya dari kapal-kapal nelayan yang masih belum mahu berlabuh di perlabuhan. Dia tahu dia perlu kuat, sekuat ombak laut yang tidak henti menghempas batu di tepian pantai. Dia tidak mahu menjadi pasiran yang sentiasa berubah rupa apabila ombak datang menderu. Lagipun perkenalannya dengan Haizam bukanlah suatu ikatan yang begitu lama untuk dia bersedih meleraikannya.

“Sudah lah Win, jangan diingatkan lagi. Kau kan dah jadi peguam, takkan kau boleh membela orang tapi tak boleh membela hati sendiri, sedangkan kau tak bersalah,” Syahirwan masih tidak jemu memberi semangat.

Akhirnya Mazwin tersenyum, setelah sekian lama membiarkan empangan matanya tidak berhenti mengalirkan air jernih deras. Kadangkala sikap Syahirwan menjengkelkannya tapi hari ini Syahirwan menjadi penguat semangatnya. Mazwin tahu dia tak boleh mati kerana cinta, dia akan berusaha merebut cinta yang lain pula, andainya cinta itu memang betul-betul miliknya.

Kini, nasib mereka serupa, ditinggalkan disaat hati mereka mulai menyemai cinta. Tidak pasti apalah dosa mereka diperlakukan sebegitu oleh kekasih masing-masing. Namun, itu semua bukanlah merupakan penyesalan untuk mereka tidak mampu meneruskan hidup.

No comments: