Monday, August 11, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 3

Jantung Yanti mula berdebar menanti kedatangan Syahirwan. Entah mengapa sejak menerima panggilan Syahirwan, jantungnya asyik berdegup kencang, dia datang awal setengah jam.

Semuanya gara-gara dia tidak mahu kelihatan gementar bila berhadapan dengan Syahirwan. Dia mahu berlagak selamba seperti mana yang pernah dilakukan bila mereka berjumpa lima tahun lepas. Dua kali dia ke bilik air untuk memastikan dirinya berada di dalam keadaan bersedia.

Dan sudah empat kali dia menelefon Mazwin menyatakan perasaan gemuruhnya yang datang tiba-tiba.

“Awin, aku nervous la… Aku tak tahu macam mana nak mulakan untuk cakap dengan dia. Kau tak ada apa-apa jampi serapah ke, nak hilangkan nervous aku ni?” Mazwin tergelak bila mendengar suara Yanti terketar-ketar.

“Kau ni, macam tak pernah jumpa dia, kau cakap macam biasalah. Tarik nafas, lepaskan perlahan-perlahan. Lepas tu kau selawat Nabi, hilanglah nervous kau tu!” pesan Mazwin. Yanti cuba menuruti pesanan Mazwin, selepas menekan off pada telefon bimbitnya.

“Hai! Min,” sapa suara itu, suara yang dirinduinya selama ini.

Pantas Yanti menoleh ke arah suara itu. Kelihatan Syahirwan begitu ringkas dengan kemeja T berlengan pendek dan Jeans Levis 501 bewarna biru tua.

“Hai! Lain kau sekarang ye, semakin handsome!” puji Yanti, namun dia masih menyimpan gemuruh di dadanya agar tidak ketara. Hatinya agak geram dengan penampilan Syahirwan.

- Aku punyalah beriya dengan dress labuh, siap selendang panjang ni, kasut tumit tinggi lagi. Make-up secantik yang boleh pula tu, dia datang dengan jeans dan T-shirt je? Ingatkan dia datang pakai kot ke, tuxedo ke, at least pakaila kemeja biasa dengan slack pun dah okey…

“Kau pun apa kurangnya, kau ada appointment dengan client ke malam ni?” pertanyaan Syahirwan membuatkan Yanti rasa macam nak menangis.

- Tak tahukah dia betapa aku berusaha untuk berpakaian cantik semata-mata untuk bertemu dengannya.

“Err… dah selesai dah! Tadi ada high tea kat office client, tak sempat balik tukar baju…” bohongnya menutup malu.

“Cantik kau pakai macam ni… Aku ingat kau sengaja nak pakai macam ni sebab nak jumpa aku. Nasib baik, kalau tak malulah aku, pakai T-shirt je… Lain kali, dating dengan aku pakai macam ni ye…” Syahirwan senyum dan senyuman itu cukup membuatkan Yanti termimpi-mimpi.

- Memanglah aku pakai macam ni sebab nak jumpa kau… penat tau satu malam cari baju yang sesuai untuk keluar dengan kau, mujur Mazwin yang pandai pilihkan. Lain kali dating dengan dia pakai macam ni… Dia suka kat aku!? Awin!!! Dia suka kat akulah! Jeritnya dalam hati.

“Ada ke lain kali untuk aku?” tanya Yanti sekadar menduga, menyembunyikan kegembiraannya.

“Kenapa? Entah-entah untuk aku yang tak ada kot?” jawapan Syahirwan membuatkan hatinya berbunga-bunga.

“Kalau ada lain kali untuk aku, maknanya untuk kau pun adalah!” jawabnya sambil mengerling ke arah anak muda yang kacak itu.

“Bertuahnya badan…” balas Syahirwan diselangi tawa kecil.

Mereka akhirnya masuk ke restoran menikmati makan malam. Mereka bercerita tentang kehidupan masing-masing selama tidak berhubungan. Yanti berjaya mengawal dirinya dari terus gementar, walaupun terkadang tangannya seram sejuk bila terasa Syahirwan merenung tajam ke arahnya.

Mata Syahirwan tidak henti memandang wajah ayu Yanti, memang kecantikan Yanti tidak dapat dinafikan, kulitnya putih kemerahan, rambutnya panjang dan lurus, sekali pandang macam model iklan syampu.

Sesekali tangan Yanti menarik selendang jarang yang sering terjatuh dari menutupi dadanya yang terdedah. Mahu sahaja Syahirwan melamar Yanti malam ini, tapi dia tidak mahu dituduh gelojoh.

“Thanks for a nice dinner,” ucap Yanti sebelum dia membuka pintu kereta. Syahirwan mengangguk.
“Yanti, just wait for my call tonight!” kenyitan mata Syahirwan membuatkan Yanti rasa tidak keruan lagi.

Sungguh, dia mahukan hubungan yang istimewa dengan Syahirwan, dan dia tahu ianya semakin hampir. Apa yang diimpikannya selama ini betul-betul menjadi kenyataan. Dia memang terpikat pada anak muda itu sejak mengenalinya di tingkatan empat.

Namun dia tidak mampu untuk meluahkan bila, lelaki itu sudah menjalin hubungan cinta dengan Harliana. Yanti terpaksa mengalah, tetapi pada Mazwin tempat dia meluah rasa.

Perhubungannya selama ini dengan Syahirwan memang baik, bila Syahirwan selalu meminta pendapatnya mengenai apa sahaja berkaitan dengan Harliana. Walaupun hatinya terguris cemburu saat Syahirwan berbual mengenai kekasih hati, dia masih mampu menahan rasa, semuanya semata-mata kerana tidak mahu kehilangan lelaki itu.

*******************

Mazwin mengangkat dulang yang berisi segelas Tequilla ke meja nombor 12. Suasana yang bising dengan muzik techno sudah sebati dengannya, hampir empat tahun dia bekerja di situ. Tempat ini menjadi pilihan anak-anak muda berhibur, berjumpa teman, menghilangkan stress dan menari.

Bukan tiada kerja di tempat lain, tapi di kelab hiburan seperti itu pulangannya agak lumayan. Adakalanya dia mendapat tips dari pelanggan di situ, lagipun dia bukan buat kerja salah, dia cuma seorang budak pelayan bukannya GRO atau melacur diri. Dengan gajinya itu jugalah dia menyambung pelajarannya tanpa membebankan orang tua, malah mampu menanggung keluarga.

Dia sedar keluarganya orang susah, jadi dia tidak mahu menyusahkan keluarga demi untuk mencapai cita-citanya. Bukan dia tidak layak masuk ke universiti yang dibiayai kerajaan, lebih dari layak bila dia mendapat 7A1 dalam SPM, malah keputusan STPM juga cemerlang, tapi andai dia berada di universiti selama empat tahun untuk mengejar cita-citanya, siapa yang akan menanggung emak dan tiga adiknya yang masih belajar.

Ayah? Mazwin malas untuk berbicara tentang ayah. Ayahnya masih ada, masih bertenaga dan masih mampu bekerja tapi kerana kemampuan itu juga ayahnya mempunyai dua isteri walaupun dia hanyalah seorang pemandu van di sebuah kilang. Emaknya juga sudah tidak lagi kisah tentang ayah, ada dia balik emaknya layan, kalau tidak balik pun mereka sudah tidak perduli.

Ayahnya berkahwin lagi ketika dia masih di tingkatan dua, adiknya yang bongsu pula baru menjangkau lima tahun, waktu itu mereka adik beradik bergantung hidup kepada emak yang bekerja di sebuah kilang kertas dengan pendapatan tiga ratus ringgit sebulan, ayahnya langsung tidak pernah mengambil peduli tentang mereka.

Makan pakai mereka segalanya ditanggung oleh emak. Hanya emak sahaja tempat mereka empat beradik bergantung harap.

Setelah doctor mengesahkan emaknya menghidap asma dan sudah tidak berupaya untuk bekerja, pada Mazwin tempat mereka bergantung walhal pada masa itu Mazwin sedang berada di tingkatan empat, dia tidak mahu berhenti sekolah, memikirkan ianya sesuatu yang merugikannya kelak.

Dia mengambil keputusan untuk bersekolah pada waktu pagi dan pada sebelah petangnya pula dia bekerja di kedai makan dengan upah lima belas ringgit sehari, untuk membantu meringankan beban emaknya. Dari tingkatan empat sehingga dia berada di tingkatan enam atas dia bersekolah sambil bekerja.

Apabila dia menyambung pelajarannya ke kolej, dia akan bekerja di kedai makan yang sama di waktu petang, sebelah malam pula dia akan ke kelab ini mencari rezeki, dapatlah dia mencari wang menampung perubatan emaknya sekaligus membiayai pelajarannya dan adik-adiknya.

Adik perempuannya yang kedua, Marhanis sedang belajar di Universiti Putra Malaysia. Yang ketiga Arif, belajar di tingkatan enam atas dan tinggal di asrama Sekolah Menengah Sains di Pulau Pinang manakala yang bongsu, Maisarah masih berada tingkatan empat. Kerana memikirkan semua itu dia berada di sini.

Mazwin juga telah bertekad dalam hati, selepas dia menghabiskan latihan guamannya empat bulan lagi dan setelah dia berjaya menjadi seorang peguam, dia akan berhenti dari kelab hiburan itu.

Adakalanya dia malu pada diri sendiri bila dia terpaksa menipu pada siang hari dengan pakaian dan perwatakannya yang sopan, sedangkan bila tiba waktu malam dia menjadi budak pelayan penghantar minuman keras. Yang penting bagi Mazwin, dia mahu dia dan adik-adiknya berjaya suatu masa nanti.

“Awin, esok kau off kan? Gantikan aku boleh tak? Aku ada hal malam esok! Tony kata, esok tak ada orang, John dengan Sam je…” jerit Vicky melawan bunyi muzik yang membingitkan.

“Boleh, tapi masa kau off nanti, kau gantikan aku?” Mazwin membalasnya dengan menjerit juga, Vicky angguk, dia terus mengelap meja selepas sekumpulan pelanggan berlalu.

Tangan Mazwin pantas mengisi campuran kekacang ke dalam bekas rotan yang kecil dan bekas-bekas rotan itu diagihkan pada meja yang memesan minuman. Kemudian dia terus berlalu walau ada beberapa pelanggan yang mengajaknya duduk bersama. Dia menolaknya, sopan.

Albert, pemilik kelab itu, tidak menggalakkan mereka terlalu rapat dengan pelanggan. Cuma sesekali dia akan menemani pelanggan untuk berborak sama, itupun jika mereka adalah pelanggan tetap kelab itu. Andainya ada yang mengenalinya rapat, mereka hanya akan pergi bertemu selepas habis waktu kerja.

Tiba-tiba telefon bimbit di poketnya berlagu minta di angkat. Dia mengambilnya dan melihat nombor yang tertera, nombor itu mungkin nombor telefon awam di asrama sekolah Arif. Mazwin terus berlari menuju tandas, dia tidak mahu adiknya bertanya tentang kebisingan muzik di situ, dia tak mahu mereka berasa curiga terhadapnya.

“Assalamualaikum! Kak long kat kedai ke? Sorry, Arif ganggu kak long!” Arif, adiknya yang ketiga belajar di tingkatan enam sekolah menengah Sains di Pulau Pinang.

“Arif sihat ke? Dah makan?” tanyanya, sekadar bertanya khabar.

“Sihat! Kak long, mak sihat ke? Kak long, Arif nak ikut rombongan sekolah ke Langkawi,” perlahan sahaja suara Arif.

“Mak sihat, semua sihat. Nanti kak long masukkan dalam akaun Arif. Tapi jimat sikit ye, jangan beli benda yang bukan-bukan…” bagaikan faham kehendak si adik. Dia terus bersetuju.

“Terima kasih, kak long. Arif janji, Arif takkan beli benda yang bukan-bukan. Bukan apa, kak long kalau di sini tambangnya murah sikit,” terang Arif.

Mazwin tidak terus membalas kata-kata itu, dia kasihan pada adik-adiknya. Dia tidak mahu adik-adiknya malu pada kawan-kawan jika tak dapat mengikut aktiviti sekolah. Walaupun dia dulu tidak pernah sekalipun mengikuti mana-mana aktiviti di sekolah.

Bulan lepas dia baru sahaja membelikan sebuah komputer untuk kemudahan Hanis di universiti, hampir separuh simpanannya habis, dia tidak kisah malah menarik nafas lega bila masih mampu lagi membiayai persekolahan mereka.

Sungguh pun semua itu bukan tanggung jawab yang sepatutnya disandang Mazwin, tapi dia rasa, adik-adiknya berhak mendapat apa yang dimiliki oleh orang lain.

Mazwin tidak pernah menolak permintaan mereka, tidak sanggup melihat mereka terasa tersisih oleh kawan-kawan dek kerana mereka miskin. Dia mahu adik-adiknya mempunyai segala apa yang dimiliki orang lain. Tetapi biarlah berpada-pada.

Itulah selalu dipesannya kepada mereka. Dia bersyukur kerana adik-adiknya faham dan sentiasa mendengar kata. Kerana setakat ini mereka tak pernah meminta yang bukan-bukan sehingga kepada permintaan yang tak mampu dilaksanakan.

3 comments:

LeaQistina said...

erm kak dina.. bkn ke klu kita bekerja walau hanya sebagai penghantar minuman keras.. juga adalah salah.. hukumnya sama je dgn org yg minum.. mcm kurang sesuai je kak keje dia.. tp apa pun.. teruskan citer ni.. menarik.. ;)

dina said...

Terima kasih kerana teguran itu lea... memang benar ianya haram dan akak bukannya mahu menghalalkan yang haram, cuma ini cebisan kisah yang ada disekeliling kita...

LeaQistina said...

ok.. lea faham.. apa pun citer ni best.. hehe..