Monday, August 11, 2008

YANG KALUT DIFIKIRAN - BAB 6

“Tolong! Pak Cik! Sakit! Ya Allah! Mak! Tolong Awin…” jeritnya.

Dia merayu lagi. Minta dilepaskan. Segala kesakitan ditahan dengan air mata, tubuhnya yang kecil ditindih tubuh sasa jantan usia dua puluhan.

Bagaimana dia bisa melawan, hendak mengangkat tangan pun dia langsung tidak berdaya. Berkali-kali dia diperlakukan begitu. Dia tidak pasti apa sebenarnya. Apalah yang diketahui budak berusia tujuh tahun. Cuma yang diketahuinya perlakuan itu menyakitkan dan membuatkannya berasa takut berhadapan dengan lelaki itu.

Dia hanya mampu menangis bila dirasakan kelangkangnya perit dan sakit dan adakalanya mengeluarkan darah. Untuk memberitahu pada emak dan ayah, dia takut, bila pakciknya itu berkali-kali mengugut akan membunuhnya andai perkara itu diketahui orang lain.

“Ingat Mazwin! Kalau sesiapa tahu, siap kau! Aku bunuh kau!” ugutan itu membuatkannya dia terpaksa berdiam sehingga kini.

Sejak itu igauannya sentiasa mengerikan, mimpinya sentiasa menakutkannya untuk meneruskan hidup, sehinggalah adik tiri kepada ayahnya itu mendapat pekerjaan di luar daerah dan sejak itu juga dia tidak menjadi mangsa keganasan seksual bapa saudaranya itu.

Dia lega yang teramat sangat, tapi setiap kali pak ciknya melawat keluarganya, dia ketakutan walaupun semenjak meninggalkan rumah mereka lelaki itu tidak mengulangi perbuatan binatangnya.

Malam itu dia bermimpi lagi, mimpi ngeri yang sentiasa hadir berulang kali menganggu lenanya. Dia takut, walaupun peristiwa itu berlaku hampir dua puluh tahun dulu, tapi bayangan ngeri itu masih mengekori sepanjang hidupnya.

Mazwin resah. Walaupun peristiwa itu masih menjadi rahsia, kalau ada yang tahu pun cuma Yanti, teman yang teramat rapat yang sanggup berkongsi suka duka dengannya.

Malah setiap kali mimpi itu hadir, dia akan menelefon Yanti, menceritakan traumanya terhadap kejadian yang berlaku hampir dua puluh tahun dulu. Mazwin mahu menebus dosa yang pernah dilakukan padanya. Tetapi dia sendiri tidak tahu bagaimana. Lagipun dia tidak mahu emaknya sakit lagi bila memikirkan tentang hal itu. Biarlah emaknya tidak tahu, biarlah dia berdiam sahaja asalkan hubungan emaknya dengan keluarga ayah masih berjalan lancar.

Sehingga kini Mazwin berasa terbelenggu dengan semua itu. Kadangkala dia gementar untuk menghadapi hidup mendatang hanya kerana kesuciannya pernah diragut binatang yang bertopengkan manusia. Mazwin sedar selama ini dia leka dengan dunianya sehingga kadangkala dia lupa tanggungjawab terhadap Allah.

Adakalanya dia keliru dengan hidupnya, sering dia menyalahkan takdir yang telah meletakkan dia sebagai hamba yang terhina. Mengapa harus dia yang menghadapi semua ketentuan itu?

Andai dia diberi pilihan untuk kali kedua, pasti pilihannya untuk tidak dilahirkan ke dunia. Namun, segalanya memang sudah tersurat, maka terpaksalah jua dia menempuhi liku-liku hidup ini sebagai seorang yang kuat dan tabah, dan seharusnya dia tidak mahu lagi terbelenggu.

*****************

Hari Sabtu, hari yang amat di nanti-nantikan untuk meleraikan segala kepenatan bekerja di pejabat. Seperti biasa juga selepas mengemas rumah Mazwin akan ke pasar bersama emaknya untuk membeli keperluan dapur untuk seminggu. Dia tidak mahu emak terlalu penat kalau terpaksa pergi ke pasar membeli sayuran setiap hari.

Di kawasan rumahnya tiada penjaja menjual sayuran, lagipun di pasar, harganya juga lebih menjimatkan. Tambah pula minggu ini kedua-dua adiknya yang tinggal di asrama pulang, macam-macam permintaan mereka untuk makan tengah hari.

“Kak Long petang ni buat pudding jagung macam dulu tu ye, dah lama tak makan. Hmm…sedapnya,” pinta Hanis, adik keduanya yang sudah mulai bercuti.

“Hah! Order-order, nak makan apa, kak long boleh masakkan, hari ni kak long nak bagi mak relaks. Sarah dengan Arif nak order apa?” gurau Mazwin kepada adiknya yang bertiga itu. Emaknya hanya ketawa melihat gelagatnya melayani adik-adiknya.

“Arif nak makan udang masak lemak taruh nenas dengan ikan cencaru sumbat,” jawab Arif, satu-satunya adik lelaki kandungnya.

Terkecur air liur Arif bila menyebut nama makanan itu, tergambar di kepalanya ikan cencaru yang dibelah belakang dan disumbat sambal kemudian digoreng garing.

“Sarah makan saja apa yang kak long masak…”

Maisarah, adik bongsunya lebih banyak mendengar dari bercakap, dia memang pendiam sejak kecil. Dia hanya akan bersuara jika dia perlukan wang untuk membeli buku sekolah, selebihnya dia tidak gemar untuk berbual walau berbual kosong sekalipun.

“Okey, siap! Kalau macam tu, semua orang kena tolong kak long sediakan bahan-bahannya, setuju?”

“Setuju!” jawab mereka serentak, kemudian ketawa.
Begitulah kecohnya jika mereka berkumpul, sedikit sebanyak memberi kegembiraan kepada Manisah, emak mereka. Pulang sahaja dari pasar, mereka terus menyediakan bahan-bahan masakan.

Kerana pengalamannya bekerja di restoran selama beberapa tahun, membuatkannya menjadi arif tentang pelbagai masakan daripada masakan Melayu, hinggalah masakan Barat malah masakan Thai, India dan beberapa masakan Cina pun dia boleh masak, sebut sahaja nak makan apa. Pasti permintaan itu terlaksana dan sudah tentu terhidang segala macam makanan yang dipesan.

Adik-adiknya juga rajin menolong menyediakan rempah-ratus untuk makanan kegemaran mereka. Mereka sama-sama memasak diselangi gurauan dan hilai tawa. Mazwin pandai bergurau, adik-adiknya begitu menyenanginya, kata mereka kalau dia tidak ada, rumah ini sunyi sepi.

Mazwin terdengar orang memberi salam. Dia menjenguk ke ruang tamu, kelihatan emaknya sedang menyambut kedatangan Yanti dan Syahirwan.

“Masuk, Yanti, ajak kawan tu masuk… lama kau tak datang sini, ingatkan dah tak ingatkan makcik…” Manisah menyambut salam Yanti. Dia senang dengan kawan baik anaknya itu.

“Eh! Mak cik jangan cakap begitu, saya ingat kat mak cik, cuma sibuk sikit, mak cik…Ini Syahirwan, kawan kami masa sekolah dulu…”

Yanti memperkenalkan Syahirwan pada emaknya. Dengan sopan pemuda itu bersalam dengan emaknya, kemudian tanpa segan Syahirwan duduk merapati emaknya yang sedang mengait itu. Mazwin pantas menarik tangan Yanti ke dapur.

“Apasal kau bawa dia ke mari? Seganlah aku…” bisiknya, Yanti cuma ketawa.

Memang dia faham sangat dengan perangai Mazwin yang suka menyorokkan identity. Bukan dia tidak hormatkan pendirian kawannya itu, tapi Syahirwan yang beriya-iya sangat mahu datang ke rumahnya.

“Dia yang beriya-iya nak datang, aku bawakan aje…eh! Kau masak apa Win, sedapnya bau…” tanpa memperdulikan Mazwin, Yanti menghidu gulai lemak udang yang sedang mendidih di atas dapur.

“Kak Yanti, makan sinilah ye, ramai-ramai barulah syok!” ajak Arif, ramah.

Mereka sudah biasa dengan kehadiran Yasmin. Bagi mereka Yasmin anak orang kaya yang baik, peramah dan tak pernah sombong walau di mana mereka bertemu.

“Kalau Arif tak jemput pun, Kak Min makan… pandai kak long Arif masak…best! Eh! Dah boleh makan ke?”

Yanti mengangkat ibu jarinya dan menunjukkan kepada Arif. Arif tersenyum mendengar Yanti memuji kakak kesayangannya.

“Kak Min, abang tu boyfriend akak ye? Handsome ye… padan dengan akak!” giat Marhanis pula, membuatkan Yanti tersenyum-senyum.

Mazwin berdehem dan kemudian menjeling ke arah Marhanis, adiknya itu cuma tersenyum dan membuat isyarat memberitahu Yanti bahawa kakaknya itu sedang marah. Dia mula menyenduk gulai ke dalam mangkuk dan mengarahkan adik-adiknya menyediakan hidangan yang lain.

“Janganlah marah, Awin, kau tengok tu, si Syahir bukan main suka lagi berborak dengan mak kau. Dia tu okey, kita je nampak dia macam sombong…” pujuk Yanti, walaupun dia tahu Mazwin tidak akan memarahinya.

Cuma Mazwin memang tidak berapa gemar membawa kawannya yang lain ke rumah. Bukannya Mazwin malu dengan keadaan dirinya, tapi kadangkala dia perlukan privasi, dan tidak mahu orang menerimanya sebagai kawan hanya kerana dia dari keluarga yang susah. Mazwin tidak perlukan simpati untuk menjalinkan persahabatan, dia mahukan kehidupan seperti orang lain, itulah yang selalu diluahkan pada Yanti.

Tapi hari ini, bukannya Yanti mahu mengkhianatinya, Syahirwan yang beriya-iya mahu ke rumah Mazwin. Kerana permintaan Syahirwan, Yanti tidak menolak. Tengah hari itu mereka makan beramai-ramai sambil berbual dan mendengar lawak jenaka Syahirwan, tidak sangka dia pandai bergurau.

Selesai makan tengahari, mereka bersantai di atas pangkin bawah pohon mangga di hadapan rumah kayu beratapkan zink itu. Mazwin mula memotong puding jagung dan mengagihkan kepada mereka.

“Wah! Ada dessert pula lagi… Kalau kita datang tiap minggu best ye, Yanti!” ujar Syahirwan sambil tangannya mencapai piring berisi puding jagung yang sejuk dan lemak manis.

Tidak pernah dia menyangka gadis manis itu pandai memasak, malah bila dia terhidukan gulai lemak udang yang dimasak Mazwin tadi, air liurnya sudah mulai cair. Rasa tidak sabar untuk menikmati hidangan tengah hari itu. Tambahan pula dapat makan beramai-ramai seperti tadi, suatu perkara yang jarang berlaku dalam hidupnya.

“Sesekali korang datang, bolehlah aku masakkan. Kalau selalu, korang masak sendiri…” balas Mazwin.

“Tak sangka kau pakar memasak ye Win, kalau macam ni tak payah jadi lawyerlah, baik kau buka restoran! Dah tentu kaya-raya…” puji Syahirwan.

Memang sebelum ini dia tidak pernah mengenali siapa gadis itu. Baginya dahulu, Mazwin hanyalah seorang gadis biasa yang hanya mampu mengisi kekosongan sebagai seorang kawan sahaja, tidak lebih dari itu. Tetapi semenjak dia bertemu Mazwin pada malam itu, pandangan Syahirwan berubah serta-merta, Mazwin adalah insan istimewa yang amat sederhana.

Mazwin melarikan wajahnya dari terus direnung Syahirwan, entah mengapa renungan itu membuatkan hatinya bagai tidak keruan, mungkin kerana dia takut lelaki itu membocorkan rahsianya. Bagaimanapun, dia seronok hari ini, selama ini dia selalu menganggap Syahirwan sombong seperti kebanyakan orang berada yang lain, maklum sajalah dia kacak, akauntan pula tu. Syahirwan bekerja di sebuah institusi kewangan, punya kereta mewah dan keluarganya juga daripada golongan orang berada.

Kadangkala apabila Mazwin merenung dirinya, dia terasa rendah diri, kawan-kawannya kebanyakannya orang berada dan jauh lebih sempurna hidupnya berbanding dia. Namun dia masih bersyukur kerana mereka tidak pernah sekalipun memandang rendah padanya.

1 comment:

farah_suhanissis said...

kejap yasmin.kejap yanti.